BAB 13

Drama Completed 192

MENDUNG BERARAK DI HATI

Desir angin bertiup lembut. Bahang matahari terasa pedih menggigit kulit. Yazid menoleh ke kiri dan ke kanan. Ladang dan bukit-bukau yang menghijau menjadi teman sejati. Dia kembali semula ke tempat dia dilahirkan. Kampung Teluk Saga yang membesarkannya daripada alam kanak-kanak hingga dewasa. Penuh dengan kenangan dan sejarah. Kini dia mahu menyucikan diri daripada noda dan dosa.

Bertahun-tahun lamanya dia dikurung di tembok besi. Apabila dia keluar keinsafan timbul di hati. Tidak akan mengulangi perbuatan yang keji itu.

Selama ini dia sesat. Tiada mempunyai pegangan hidup. Bak kapal yang hilang haluan di tengah lautan. Terumbang-ambing dipukul ombak yang ganas. Dia amat agresif dengan dunia jenayah sebagai kaki pukul, pemeras ugut dan perompak. Namun dia tetap bersyukur kerana belum sampai membunuh orang. Kalau tidak sudah pasti tali gantung jawabnya. Benar kata pepatah Melayu, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.Yazid telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
Sewaktu di dalam penjara dia dibentuk sebagai seorang yang bermoral baik. Sentiasa patuh dengan perintah Tuhan dan meninggalkan segala kejahatan.

Titis-titis air mata sentiasa mengalir menjadi lambang penyesalan. Tapi tak semua masyarakat dapat menerima dirinya. Bekas banduan tetap akan dipandang hina walaupun telah insaf. Tok Ketua yang menaruh simpati pada dirinya telah bermurah hati membenarkan Yazid mengerjakan tanahnya yang terletak di hujung kampung. Ini ditentang oleh Lazim yang menjadi lintah darat. Kerjanya menghisap darah orang-orang kampung.

“Mengapa Tok benarkan Yazid mengerjakan tanah tu?” Dia berasa tidak puas hati.

“Apa salahnya dia mengusahakan daripada terbiar begitu sahaja.” Tok Ketua memberi sokongan.

“Ya la. Itu saya tahu! Tapi dia tu bekas banduan!”

“Habis?”

“Jadi, Tok percaya pada dia bulat-bulat?” Lazim cuba menghasut.
“Ya!” Tok Ketua mengangguk.

“Dia tak macam dulu lagi. Sejak keluar dari penjara dia banyak berubah dan insaf.”

“Ah, sudahlah! Taubat sambal belacan!” Tok Ketua menggeleng kepala apabila mendengar kata-kata itu.

“Kenapa kau marah sangat pada dia?”

“Lebih baik Tok jualkan saja tanah tu!”

“Jual?” Tok Ketua terkejut.

“Orang-orang dari bandar tu menawarkan harga yang dua kali ganda.” Dia terus mempengaruhi Tok Ketua.

“Untuk apa tanah tu hinggakan harganya begitu tinggi sekali.” Dia seperti tidak percaya.

Orang Kaya Lazim lalu menjalankan jarumnya.

“Hah, kalau Tok nak tahu ... mereka nak bina sebuah kilang simen di situ. Ia mempunyai potensi besar untuk maju. Tambahan pula anak-anak muda di kampung ni dpat membekalkan tenaga buruh,” terangnya megah.

“Tapi itu tanah pusaka,” tegas Tok Ketua pula.

“Imbuhan yang bakal Tok terima ialah dua kali ganda!”

“Aku dah sewakannya pada Yazid.”

“Lebih baik Tok tarik balik. Lagipun ia tak akan dapat mendatangkan hasil yang lumayan.”

“Yazid bercadang hendak mengusahakan projek pertanian menanam semula secara kelompok.”

“Dia mana ada pengalaman dalam bidang tu!” sanggah Lazim pula.

“Katanya dia boleh mendapatkan nasihat dan bantuan dari Jabatan Pertanian,” jawab Tok Ketua.
“Sudahlah! Buang masa aje!” Lazim merengus. Dia berharap Tok Ketua akan menukar pendiriannya agar dia memperolehi komisyen yang tinggi jika urusan ini berhasil.

Tok Ketua terdiam sejurus.

“Lazim, aku tidak akan jualkan tanah tu. Ini adalah kata putus daripada aku.” Ternyata Tok Ketua mempunyai pendirian yang tegas. Memang sewajarnya dia menjadi pemimpin.

Lazim terkesima.

“Tok jangan percaya sangat pada dia!”

“Tak baik kau menuduh yang bukan-bukan terhadap dia.”

“Hakikatnya dia bekas banduan. Apa, Tok dah lupa?”

“Banduan juga manusia biasa macam kita. Kini dia telah kembali semula ke pangkal jalan.” Tok Ketua membela Yazid. Lazim naik bosan dengan gelagat Tok Ketua yang asyik menyebelahi Yazid. Harapan untuk memujuk Tok Ketua kecundang.
“Aku setuju sangat dengan cadangan Yazid tu. Tanaman semula secara kelompok menjadikan kita tidak lagi bergantung pada getah dan padi yang harganya sering turun naik mengikut musim. Dengan menanam tebu, kelapa, sayur-sayuran dan macam-macam lagi, katanya ini dapat mengurangkan belenggu kemiskinan di kalangan orang-orang kampung. Taraf hidup mereka juga akan meningkat. Tak payah lagi meminjam wang daripada kau,” Tok Ketua memberi penerangan yang panjang lebar. Lazim terpaksa mengalah.

“Saya yakin suatu hari nanti, Tok pasti menjual tanah tu. Ini Lazim la.” Dia melepaskan rasa tidak puas hati sambil mengingatkan Tok Ketua.

Yazid menanam keazaman yang tinggi di dada. Dia mahu menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Dia mahu membersihkan arang yang telah terconteng di mukanya.

Dia mengutip semula nasihat Pak Imam.

“Sabarlah, Yazid. Sabar itu separuh daripada iman. Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar,” Pak Imam bersuara lembut.
Yazid tunduk dengan penuh rasa penyesalan bila kata-kata itu menerjah ke telinganya. Dia bersyukur Allah telah menyedarkannya sebelum tersesat lebih jauh lagi.

“Satu hari nanti mereka semua pasti menerima kau semula. Tapi kau mesti yakinkan mereka yang anggapan dilontarkan itu adalah salah semata-mata.” Pak Imam terus memberikan kata-kata semangat.

“Mungkinkah mimpi akan menjadi kenyataan?”

“Insya-Allah!” Pak Imam mengangguk.

“Sudahlah tu, Yazid. Mari kita ke rumah,” pelawanya.

“Tak apalah, pak imam ....” Dia tidak sempat menghabiskan kata-kata. Pak Imam pantas memotong.

“Rezeki jangan ditolak, Yazid. Isteri aku memang masak lebih malam ni. Dah lama aku berhajat nak ajak kau makan bersama.” Dia terpaksa mengalah.

“Baiklah!” Mereka berdua bingkas bangun dan melipat sejadah.
Keesokan harinya Lazim pergi menemui Yazid. Lazim perlahan-lahan menuruni tebing yang agak curam. Yazid berhenti sejenak.

“Assalammualaikum!” Dia memberi salam sebaik-baik sahaja Lazim hampir dengannya.

“Waalaikumussalam!” Nada suara Lazim tinggi sedikit sambil berjabat tangan dengan Yazid.

“Bang Lazim, marilah kita ke pondok sana. Di sini panas,” pelawanya.

“Tak payah, di sini saja cukup,” tegasnya.

“Aku ada hal mustahak nak cakap dengan kau!”

“Apahalnya, Bang Lazim?” Yazid menyandarkan cangkul pada sebatang pohon yang rendang.

“Sedar la diri tu sikit!” Lazim bersuara lantang. Yazid serta-merta disapa kehairanan.

“Eh, apa salah saya, Bang Lazim?”
“Jangan nak tunjuk bijak!” Dia seperti melepaskan protes yang telah lama bersarang di jiwanya. Rasa bencinya pada Yazid kian meluap-luap.

“Kenapa dengan tiba-tiba sahaja Bang Lazim menyerang saya.” Dia inginkan penjelasan.

“Kau hasut Tok Ketua supaya jangan menjualkan tanah ni!” Lazim menurunkan jari telunjuknya ke bawah. Dia menggertap rapat giginya sebagai tanda rasa geram yang tak terhingga pada Yazid.

“Saya tak hasut!” balas Yazid sambil menggeleng.

“Kau jangan nak berpura-pura.” Lazim menudingkan jari telunjuk. Gemua suaranya hampir memecahkan alam rimba yang menghijau. Yazid terus menyangkal dakwaan yang tidak berasas itu.

“Sungguh! Saya cuma beri cadangan. Saya tak paksa dia. Kita juga harus mengkaji jika kilang simen itu didirikan, sisa-sisa bahan buangannya akan mencemarkan alam sekitar kampung ni. Terutama sekali air sungai. Asapnya pula akan memudaratkan kesihatan orang-orang kampung,” terang Yazid.

“Sudahhh!!!” bentak Lazim.

“Kau jangan nak berdolak-dalik lagi. Ingat! Kalau kau menjadi batu penghalang dalam rancangan ini kau akan menerima padahnya. Fahammm!” Lazim memandang Yazid tak ubah seperti seekor singa lapar yang mahu menerkam mangsanya. Kemudian pantas berlalu pergi dari situ bersama api kemarahan yang membara.

Yazid sedikitpun tidak berasa gentar dengan ugutan Lazim itu. Dia tetap berazam untuk meneruskan cita-citanya. Semangatnya tidak akan patah.

Petang itu cuaca redup sahaja. Bola matahari berselindung di sebalik gumpalan awan yang tebal. Angin bertiup lemah. Pohon-pohon bergoyangan. Daun-daun hijau berguguran merata-rata. Begitu juga dengan daun-daun yang kering.

Yazid mengalihkan pandangan ke arah kolam yang membiru. Kemudian dia menoleh ke arah Cikgu Nora.

“Cikgu dah lama tukar ke sini?” soal Yazid serentak mengangkat kepalanya sedikit.

“Baru dua bulan,” jawab Cikgu Nora senang.

“Sebelum ni cikgu mengajar di mana?”

“Di Sekolah Rendah Kebangsaan Melayu Ulu Bendul.”

“Cikgu minta tukar ke sini?”

“Ya!” dia mengangguk.

“Kenapa pula?”

Sehelai daun hijau jatuh menimpa riba Cikgu Nora. Lantas diambil dan disiat-siatnya.

“Kerjaya guru sungguh mencabar,” jawab Cikgu Nora.

“Maksud, cikgu?” Yazid menagih kepastian sambil meluruskan kakinya. Angin menerjah masuk melalui celah-celah dinding buluh yang dianyam rapi.

“Biarlah saya berterus-terang. Anak-anak di kampung ni masih lagi mundur dari segi pelajaran.”
“Benar!” dia menganggukkan kepala menyokong pendapat itu.

“Akibatnya saya terlibat dengan jenayah.” Tanpa silu Yazid membuat pengakuan.

“Bagaimana pengalaman Yazid sewaktu di dalam penjara?” Pertanyaan itu keluar dengan tiba-tiba sahaja dari mulutnya.

Yazid mendongakkan kepala memandang langit yang membiru. Awan putih tetap kelihatan. Kicauan unggas memecah suasana. Nora memerhati dengan penuh minat.

“Amat berguna sekali!” Yazid menarik nafas panjang. Tangan kanannya cepat menyambar sebatang ranting mati. Dan melakar gambarajah empat segi di atas tanah.

“Saya diajar mengenal Tuhan serta membentuk diri menjadi manusia yang berakhlak sempurna.”

“Yazid sudah benar-benar yakin sekarang!” Matanya tunak mengamati wajah Cikgu Nora yang jelita itu.
“Saya rasa seperti baru dilahirkan ke dunia.” Diam seketika. Cikgu Nora sengaja memberi kesempatan kepada Yazid untuk mengutip semula kisah-kisah silamnya.

“Dulu saya hidup dengan mata terbuka tapi tak berhati.” Dia meluahkan kekesalan. Cikgu Nora yang selama ini berdiam diri lalu bersuara:
“Dengan menginsafi diri?”

“Ya!” Yazid mengangguk.

“Amat kerdil di sisi-Nya!”

“Kita sebagai manusia memang bersifat lemah. Tidak boleh lari daripada segala salah dan dosa,” Cikgu Nora menyampuk.

“Dan saya adalah manusia yang kejam serta sanggup menzalimi diri sendiri ...,” Yazid bersuara lemah. Bagaikan tak bermaya lagi. Dia kemudian menunduk ke bawah. Terasa diri serba kekurangan.

“Sudahlah, Yazid! Yang berlalu biarkan berlalu. Tak usah dikenang lagi,” pujuk Cikgu Nora.
Yazid merenung lama wajah Cikgu Nora dan mengukir senyuman kecil. Berkeyakinan untuk mengharungi perjalanan hidup yang penuh dengan pelbagai ujian di mana memerlukan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapinya. Yazid mengangguk. Cikgu Nora berasa senang sekali.

“Yazid ada kekasih? Maafkan saya, soalan ini terlalu peribadi.”

“Oh, tidak mengapa!” jawab Yazid.

“Ada!” tambahnya lagi tidak keberatan.

“Tapi kini dia sudah menjadi milik orang. Dia enggan menerima saya maklumlah bekas banduan. Begitu juga dengan keluarganya.” Dia membuat pengakuan.

“Yazid benar-benar menyayanginya?”

Yazid membisu sebaik-baik sahaja persoalan itu timbul. Dia enggan meluahkan kata-kata. Seolah-olah ada satu kuasa yang mengunci rapat mulutnya. Namun dia tetap menggagahinya jua biarpun berat. Perlahan-lahan dia mengangkat muka kemudian menjawab:
“Benar! Sepuluh tahun lamanya kami menjalinkan hubungan meskikan dapat saya melupakan dirinya.”

Cikgu Nora diam. Peristiwa yang dihadapi oleh Yazid itu mengingatkan semula cintanya yang terputus di tengah jalan kerana perbezaan jurang yang amat dalam. Kekasihnya juga seorang guru. Ayahnya seorang usahawan yang terkenal bergelar Datuk. Mereka berkenalan sewaktu sama-sama menuntut di maktab perguruan.

Dia terpaksa akur dengan pilihan ibunya, seorang gadis yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di luar negara. Anak seorang jutawan yang terkenal serta menjadi rakan kongsi ayah bekas kekasih Cikgu Nora. Setaraf dengan kedudukannya. Nampaknya nasib mereka berdua serupa.

“Kadangkala hidup ini terasa seperti meniti kerikil yang tajam. Biarpun perit kita terpaksa melaluinya dengan sabar.”

Yazid memecah kebisuan yang melanda buat seketika.

Senja kian melabuhkan tirainya menyambut malam. Segala suka dan duka yang kita alami hari ini akan menjadi pengalaman dalam mendewasakan kita. Yazid akan terus menitinya tanpa berhenti sehingga berjaya. Cikgu Nora akan sentiasa memberikan semangat dengan berdiri teguh di belakangnya. Begitu juga dengan Tok Ketua dan Pak Imam. Lama-kelamaan orang-orang kampung pasti akan menerima dirinya semula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience