BAB 27

Drama Completed 192

MEREKA BUKAN PENDERHAKA

Kisah yang berlaku pada zaman penjajahan Inggeris. Di sebuah kampung yang bernama Permatang Pasir. Ujang, Radin, Alang, Siaga dan Damak adalah lima orang anak muda yang berasal dari kampung. Dalam usia yang muda mereka mempunyai semangat keberanian menentang penjajah Inggeris.

“Apa? Dato’ Penghulu telah dilucutkan jawatan oleh Inggeris?” Ujang berasa sungguh terkejut. Apabila mendengar perkhabaran yang disampaikan Radin rakannya itu. Rasa marah yang teramat sangat bercampur geram juga jelas kelihatan di wajahnya. Semakin meluap-luap rasa bencinya terhadap penjajah yang bernama Inggeris.

“Benar, Ujang!” Radin menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Inggeris telah melantik Dato’ Baguk sebagai penghulu yang baru,” katanya lagi.

“Cis!” celah Alang pula dengan tiba-tiba bersama perasaan marah.
“Aku dah agak perkara ini akan berlaku!” Semakin membara api kemarahannya apabila Radin menyebut Dato’ Baguk telah dilantik menjadi penghulu yang baru.

“Kenapa Inggeris dengan tiba-tiba bertindak melucutkan jawatan Dato’ Penghulu?” Alang meminta penjelasan sambil memandang tepat muka Radin.

“Dari apa yang aku dengar Dato’ Penghulu tidak mahu menerima Inggeris sebagai pemerintah dan juga hasutan daripada Dato’ Bagok yang meminta Inggeris supaya melucutkan jawatan yang dipegang Dato’ Penghulu dan melantik dia sebagai pengganti,” jelas Radin pula sebaliknya.

“Supaya dia dapat berkuasa! Memang itu yang dia mahukan. Sejak sebelum Inggeris datang ke kampung ni. Tentu puas hatinya sekarang!” Siaga cepat memotong dalam nada suara yang keras. Sebagai tanda turut sama melemparkan rasa kemarahan terhadap Dato’ Baguk.

“Memang jelas Dato’ Baguk amat kuat menyebelahi Inggeris!” Damak bersuara dalam bunyi yang marah.

“Aku memang tak puas hati dengan cara yang digunakan Dato’ Baguk. Dia mempergunakan Inggeris untuk merampas kuasa daripada Dato’ Penghulu!” tegas Ujang pula.

“Inggeris juga telah menindas orang-orang kampung. Dengan menaikkan cukai yang tinggi. Sehingga orang-orang kampung hidup dalam kesusahan dan penderitaan. Dato’ Baguk juga telah dilantik oleh Inggeris sebagai wakil untuk mengutip cukai,” tambah Radin lagi dengan penuh panjang lebar.

“Dah melampau nampaknya Inggeris. Mereka benar-benar nak mencabar kita di bumi Permatang Pasir ini!” sambut Alang dengan rasa geram dan marah yang panas menyala seperti api membakar.

Ujang kemudiannya lalu memandang wajah keempat-empat kawan karibnya itu silih berganti.

“Kita mesti tentang mereka habis-habisan. Sehingga ke titisan darah yang penghabisan!” dia berkata dengan semangat yang penuh berkobar-kobar sambil menggenggam erat tangan kanannya.

Serentak dengan itu juga bangkit semangat ke dalam diri Radin, Alang, Siaga dan Damak. Untuk berjuang bersama dengan Ujang menentang Inggeris.

“Ingat! Ini tanah air kita. Pusaka warisan datuk nenek moyang kita terdahulu. Di sini kita hidup di sini juga kita mesti berani mati!” Ujang tak henti-henti membakar rakan-rakannya. Agar berjuang bermati-matian dan mengusir Inggeris keluar daripada Kampung Permatang Pasir.

“Dato’ Baguk pengkhianat bangsa!” Radin berkata dengan penuh lantang untuk melepaskan rasa marah yang menyelubungi dirinya.

“Memang benar apa yang kau katakan tu, Radin!” sokong Alang pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Pengkhianat macam dia tak boleh dibiarkan hidup!” dia menyambung lagi.

“Dia mesti kita hapuskan!” Siaga menambah.

Nampaknya semangat kelima-lima anak muda ini untuk menentang penjajah Inggeris semakin marak menyala. Umpama api yang disimbah dengan minyak dan perasaan mereka bagaikan tidak sabar-sabar lagi untuk berhadapan dengan si pengkhianat Dato’ Baguk dan askar-askar Inggeris. Riwayat mereka mesti dilenyapkan dari tempat yang bernama Kampung Permatang Pasir. Itulah yang ditanamkan dalam diri mereka berlima.

“Tak sabar rasanya senjata aku ini untuk bermandikan darah Dato’ Baguk dan askar-askar Inggeris!” ucap Damak.

“Kapal-kapal dagang Inggeris juga saban hari semakin banyak masuk di sungai kampung kita. Akibatnya orang-orang kampung kita tidak dapat lagi berniaga. Sebaliknya diperhambakan untuk mengangkat barang-barang mereka turun dari kapal,” kata Radin.

“Pedagang-pedagang Inggeris mewah dengan keuntungan hasil daripada perniagaan. Orang-orang kampung dibayar dengan harga yang murah. Jelas Inggeris nak menjadikan orang-orang kampung sebagai hamba di tanah air sendiri!” nyata Alang bersama rasa kemarahan dan kegemaran yang jelas kelihatan memuncak di wajahnya.

Ujang yang selama ini berdiam diri lalu mengangkat muka dan menghalakan pandangan ke arah keempat-empat rakan seperjuangannya itu. Hatinya amat marah apabila mendengar apa yang dikatakan Alang itu. Di mana Inggeris menjadikan orang-orang kampung sebagai hamba abdi di tanah tumpah darah sendiri. Ternyata dia tidak boleh menerimanya dan semakin meniupkan semangat ke dalam dirinya untuk menghapuskan Inggeris yang bukan sahaja menjajah malahan juga melakukan penindasan terhadap orang-orang kampung. Bagi Ujang perkara yang dilakukan Inggeris ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku dan mesti dihentikan.

Dia mahu orang-orang kampung menikmati semula kedamaian dan kebebasan hidup yang dinikmati sebelum ini. Dan bukannya hidup dalam kongkongan seperti dalam penjara macam yang dilakukan Inggeris sekarang. Tali penjajahan yang mengikat orang-orang kampung harus dilepaskan. Demikianlah kata-kata penuh semangat yang berbisik dalam diri Ujang.

“Rezeki orang-orang kampung yang selama ini hasil daripada berdagang telah ditutup oleh Inggeris!” Perasaan tak puas hati Ujang terhadap Inggeris semakin bergelora panas.

“Apa rancangan kau, Ujang?” tanya Radin.

“Kita serang kapal-kapal dagang Inggeris yang masuk di sungai kampung kita. Segala barang-barang dagangan dan harta yang mereka bawa kita rampas dan beri pada orang-orang kampung!” Ujang membalas.

Radin, Alang, Siaga dan Damak bersetuju dengan rancangan Ujang itu. Seperti yang dirancangkan mereka lalu menyerang kapal-kapal dagang Inggeris yang menyusuri sungai di kampung mereka. Bukan sahaja setakat menyerang dan membunuh pedagang-pedagang Inggeris mereka turut membakar kapal-kapal.

Segala harta rampasan kemudiannya lalu diagihkan kepada orang-orang kampung. Serangan yang dilakukan oleh Ujang dan kawan-kawannya mendatangkan rasa ketakutan kepada pedagang-pedagang Inggeris untuk datang berniaga ke Kampung Permatang Pasir. Ini menimbulkan rasa kemarahan kepada Tuan John pegawai Inggeris yang ditempatkan di Kampung Permatang Pasir.

Dia lalu mengarahkan Dato’ Baguk supaya segera menangkap Ujang dan kawan-kawannya.

“Ujang sudah lawan sama Inggeris!” dia meninggikan suara dalam telo orang Inggeris bercakap Bahasa Melayu. Mukanya merah macam udang kena bakar kerana berasa marah terhadap Ujang dan kawan-kawannya. Yang telah melakukan serangan ke atas pedagang-pedagang Inggeris.

“Tuan jangan bimbang. Serahkan saja perkara ini kepada saya.” Dato’ Baguk sebaliknya meyakinkan pegawai Inggeris itu.

“Saya mahu dato’ tangkap Ujang dan kawan-kawannya hidup-hidup. Mereka mesti dihukum dan kalau dato’ dapat tangkap mereka saya akan beri dato’ hadiah yang lumayan,” janji Tuan John pula pada Dato’ Baguk.

Mendengarkan sahaja hadiah lumayan yang ditawarkan Tuan John itu menjadikan Dato’ Baguk bagaikan tidak sabar-sabar lagi untuk melaksanakan tugas yang diberikan oleh pegawai Inggeris itu. Dalam fikirannya sudah terbayang akan kemewahan hidup apabila memperolehi hadiah yang lumayan itu dengan menghadapkan Ujang dan kawan-kawannya kepada Inggeris untuk dijatuhkan hukuman.

“Saya berjanji, tuan!” Dato’ Baguk menundukkan kepala sebagai tanda rasa hormat kepada Tuan John.

“Saya akan tangkap Ujang dan kawan-kawannya dan bawa kepada tuan,” katanya lagi.
“Bagus!” Tuan John pantas membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sekarang juga saya pergi tangkap Ujang dan kawan-kawannya,” Datuk Baguk bersuara sambil pantas berlalu pergi meninggalkan rumah Tuan John.

Dari jauh jelas kelihatan hutan tebal subur menghijau yang menjadi tempat persembunyian Ujang dan kawan-kawannya. Matahari bersinar indah di kaki langit biru bersama gumpalan awan tebal yang memutih. Angin yang datang dari arah bukit berhampiran dengan hutan bertiup sepoi-sepoi bahasa. Terasa nyaman dan dingin apabila menyapu permukaan kulit.

“Aku dapat perkhabaran yang Datuk Baguk telah diarahkan oleh Inggeris untuk memburu kita,” nyata Radin.

Ujang sebaliknya hanya mendiamkan diri sambil memeluk tubuh erat apabila mendengar perkhabaran yang disampaikan rakan seperjuangannya itu. Dia kemudiannya lalu mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang ke arah pokok-pokok yang terdapat berhadapan dengannya. Radin, Alang, Siaga dan Damak hanya memerhatikan sahaja Ujang yang nampak sedang memikirkan sesuatu tentang dia dan kawan-kawannya kini sedang menjadi buruan Inggeris.

Setelah lama melemparkan fikiran dan memandang pokok-pokok di hutan belantara yang tebal Ujang kemudiannya lalu memandang semula ke arah keempat-empat sahabat akrabnya itu.

“Kita tak perlu takut dan gentar. Baik dengan Inggeris mahupun Dato’ Baguk!” balas Ujang dengan penuh semangat.

Darah mudanya bersama api perjuangan untuk menghapuskan Inggeris dan Dato’ Baguk pengkhianat bangsa semakin membara umpama api yang membakar hangat. Dia telah bersedia untuk memandikan senjatanya dengan darah Inggeris dan Datuk Baguk. Biar berapa ramai yang datang sekalipun akan tetap dihadapinya dengan berani dan tak akan berundur walau setapak pun. Demi agama, bangsa dan tanah air dia sanggup mati begitu juga dengan keempat-empat sahabatnya Radin, Alang, Siaga dan Damak. Demikianlah tingginya semangat perjuangan kelima-lima anak muda Kampung Permatang Pasir ini menentang Inggeris.

“Cis! Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!” sambut Alang pula dengan semangat api perjuangan yang menyala-nyala.

“Kita tentang mereka habis-habisan!” celah Siaga dengan penuh bersemangat sekali.

“Kita mesti teruskan rancangan menyerang kapal-kapal dagang Inggeris yang lalu di sungai kampung kita!” Damak menambah pula sebaliknya.

“Memang benar kata kau, Damak!” Ujang memegang bahu Damak sambil memandang tepat wajah rakan seperjuangannya itu.

“Biar Inggeris tahu anak-anak muda Kampung Permatang Pasir berani menentang dan membebaskan orang-orang kampung daripada penindasan yang dilakukan mereka!” dia menyambung lagi dengan semangat api perjuangan untuk menumpaskan Inggeris semakin panas membakar dalam dirinya.

Semangat keempat-empat sahabatnya itu juga semakin hangat menjulang seperti api yang membakar rumput-rumput kering pada musim kemarau.
Sementara itu Dato’ Baguk bersama dengan pengikut-pengikutnya dan askar-askar Inggeris tidak dapat menjejak tempat persembunyian Ujang dan kawan-kawannya. Mereka kemudiannya lalu bertindak kejam dan ganas dengan menyeksa orang-orang kampung agar memberitahu tempat persembunyian Ujang dan kawan-kawannya. Ada juga yang dibunuh dan rumah mereka dibakar yang bertujuan menakut-nakutkan orang-orang kampung dan memberi kerjasama kepada mereka untuk menangkap Ujang dan kawan-kawannya.

Tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan Dato’ Baguk bersama dengan pengikut-pengikutnya dan askar-askar Inggeris terhadap orang-orang kampung telah membangkitkan kemarahan dan semakin menaikkan lagi semangat perjuangan Ujang dan kawan-kawannya.

“Cis! Dato’ Baguk dan Inggeris dah melampau!” Ujang berkata dengan rasa marah dan geram pada Dato’ Baguk dan Inggeris. Dia sudah terbayang akan tidak sabar-sabar lagi untuk membenamkan senjatanya ke tubuh Dato’ Baguk dan askar-askar Inggeris yang padanya nama sahaja manusia tapi sebenarnya berhati binatang.

“Kita mesti tuntut bela kematian orang-orang kampung di tangan Dato’ Baguk dan askar-askar Inggeris!” sampuk Radin dengan meninggikan suara.

“Hutang darah mesti dibayar dengan darah!” tegas Alang pula sebaliknya.

“Benar, Alang!” sokong Siaga dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dah tiba masanya untuk kita bertindak menghapuskan Dato’ Baguk dan Tuan John!” ucapnya lagi.

“Dato’ Baguk bukan calang-calang orang dan bukan mudah untuk kita menamatkan riwayat hidupnya,” Damak mengingatkan kawan-kawannya.

“Pantang menyerah sebelum berjuang!” Ujang mencelah.

“Kau tentu ada rancangan, Ujang!” Radin mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas. Seperti Alang, Siaga dan Damak dia mengerti dengan apa yang dimaksudkan Ujang itu.

“Kalau kita bersatu dan mempunyai semangat juang yang tinggi sudah pasti Dato’ Baguk dan pengikut-pengikutnya begitu juga dengan Tuan John dan askar-askar Inggeris akan dapat kita tewaskan!” kata Ujang.

“Maksud kau kita lancarkan serangan ke atas Dato’ Baguk dan Tuan John?” Radin mengerti dengan apa yang ingin dirancang oleh Ujang itu.

“Ya, Radin!” dia pantas menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Seperti yang kau katakan kita mesti balas dendam di atas kematian orang-orang kampung. Mereka tak boleh dibiarkan hidup lama di bumi Permatang Pasir ini!” dia menambah lagi.

“Bila kita akan melancarkan serangan ke atas mereka?” soal Radin lagi.

“Besok!” balas Ujang pendek.

“Sebaik-baik sahaja matahari terbit kita akan mandikan bumi permatang pasir ini dengan darah Dato’ Baguk dan pengikut-pengikutnya termasuk Tuan John dan askar-askar Inggeris,” nyatanya pada Radin, Alang, Siaga dan Damak.

“Ya! Kita hapuskan Dato’ Baguk pengkhianat bangsa dan Tuan John!” sahut keempat-empat rakan seperjuangan Ujang dengan penuh semangat. Nada suara mereka yang kuat dan lantang itu bagaikan mahu meruntuhkan suasana rimba.

“Setiap langkah yang kita atur perlu waspada dan hati-hati agar kita tidak kecundang di tangan mereka.” Ujang sebaliknya mengingatkan keempat-empat kawannya itu.

Keesokan harinya seperti yang telah dirancang Ujang, Radin, Alang, Siaga dan Damak lalu menyerang Dato’ Baguk dan orang-orangnya serta Tuan John dan askar-askar Inggeris. Ternyata Ujang dan kawan-kawannya mempunyai ilmu pertempuran yang tinggi. Dato’ Baguk dan orang-orangnya serta Tuan John dan askar-askar Inggeris telah tumpas di tangan Ujang dan kawan-kawannya.

Serangan yang dilakukan oleh Ujang dan kawan-kawannya terhadap Dato’ Baguk dan Tuan John sehingga kedua-dua mereka terbunuh telah menaikkan lagi api kemarahan Inggeris.

Mereka lalu menghantar askar yang ramai untuk menghapuskan pemberontakan yang dilakukan Ujang dan kawan-kawannya. Bukan itu sahaja Inggeris juga menawarkan hadiah yang lumayan kepada orang-orang kampung untuk membantu mereka menangkap Ujang dan kawan-kawannya. Namun seperti biasa Ujang tidak berasa gentar untuk menghadapi semua itu.

“Lebih baik mati bergalang tanah daripada hidup bercerminkan bangkai. Namanya untuk hidup bertuankan Inggeris tidak sekali-kali. Biarpun beribu askar Inggeris yang datang sekalipun demi bumi Permatang Pasir yang kita cintai ini kita tentang mereka sehingga nyawa terkorban. Biarlah darah kita basah dan tubuh rebah menyembah bumi demi tanah air yang kita kasihi ini!” dia menaikkan semangat perjuangan kawan-kawannya.

Memang di mata Inggeris Ujang, Radin, Alang, Siaga dan Damak adalah penderhaka. Tapi mereka sebenarnya adalah pahlawan yang berjuang untuk membebaskan tanah air tercinta ini daripada cengkaman penjajah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience