BAB 24

Fantasy Series 447

Bilik Ghifari Hafis dipenuhi oleh Yatna, Ilham, Harsha, Abriel dan kawan-kawannya. Apabila mengetahui keadaan Ghifari Hafis yang merosot, Abriel terus bergegas ke istana bersama rakannya.

"Aku dapat rasakan hidup aku tak lama. Jadi, kau tak payah bersusah payah mencari penawar. Aku cuma mahu bercakap dengan semua orang," kata Ghifari Hafis diselangi batuk.

Abriel memandang sayu ke arah raja Tamim itu. Entah kenapa hatinya berasa terlalu sedih. Mungkin kerana rasa sedih kerana rasa hormatnya terhadap pemimpin itu.

"Ilham." Ghifari Hafis memanggil perlahan.

Ilham berjalan ke arah ayahandanya. Dia mengambil tempat di sebelah ayahandanya.

"Aku minta maaf. Aku tahu aku salah. Kau berhak memilih jalan hidup kau sendiri." Ghifari Hafis memandang anakandanya itu.

Dia mahu Ilham yang menaiki takhta tapi dia tahu anakandanya itu tidak berminat. Pilihan yang ada cumalah Putera Farhat dan seorang lagi pewarisnya yang dia sendiri tidak pasti masih hidup atau tidak.

"Saya minta maaf, ayahanda tapi saya betul-betul tidak berminat untuk mewarisi takhta ayahanda. Putera Farhat ada untuk ayahanda wariskan takhta itu."

Ghifari Hafis mengeluh sebelum membalas, "Aku tidak mengharapkannya. Kalau dia menjadikan puteri Bareeq sebagai isterinya mungkin aku boleh pertimbangkan tapi sekarang ini puteri Bareeq masih tidak dapat dijumpai."

"Puteri Bareeq? Ayahanda kenal? Bukankah dia tak pernah keluar rumah sejak dia sudah membesar?"

Ghifari Hafis menggeleng. "Tapi aku yakin dia seorang gadis yang boleh diharap dan dapat membantu Farhat. Kalau tidak masih ada seorang lagi yang aku boleh jadikannya sebagai pewaris aku."

Ilham terdiam apabila ayahandanya berkata sebegitu. Dia tahu siapa yang dimaksudkan Ghifari Hafis. Cucu kepada raja itu dan merupakan anakanda saudaranya.

"Abriel." Ghifari Hafis memanggil Abriel.

Abriel terkejut. Tidak percaya dia dipanggil oleh raja itu.

"Boleh aku tahu nama kau?"

"A- Adi Abriel, Tuanku."

Terjungkit keningnya setelah mendengar nama itu. Kebetulankah?

"Adi Armada," sebut Ghifari Hafis secara tiba-tiba.

Semua orang di situ terkedu. Tidak sangka Ghifari Hafis akan menyebut nama itu. Pada mulanya, nama itu gah kerana kehebatan pemilik nama itu tetapi nama itu kian hilang kerana dia dikatakan ketua pemberontak yang cuba untuk menyerang Tamim.

"Kau tahu kisah tentangnya?" Tanya Ghifari Hafis.

Abriel mengangguk sebagai jawapan.

"Setelah bertahun-tahun berlalu, hati aku rasa bersalah. Bukti Adi sebagai pemberontak sudah jelas tapi hati aku tetap menidakkannya. Sampaikan aku berfikir jika Adi difitnah oleh seseorang. Aku cuma mahu berpesan kepada kau. Janganlah menjadi seperti aku. Keputusan yang kau buat fikir masak-masak. Jangan menyesal seperti aku." Ghifari Hafis tersenyum memandang Abriel.

Entah kenapa hati tua terasa ada satu ikatan antara mereka berdua. Walaupun mereka tidak pernah berbicara panjang, dia sudah jatuh sayang akan lelaki muda itu.

"Baik, Tuanku. Terima kasih atas pesanan Tuanku," ucap Abriel.

"Yatna, Bareeq dan Farhat belum sampai lagi?" Tanya Ghifari Hafis apabila dia perasan dua kelibat itu masih tidak ada.

"Sekejap. Saya pergi tengok." Yatna berlalu keluar.

Suasana bertukar sunyi sebentar.

"Siapa mereka bertiga?" Tanya Ghifari Hafis sambil memandang Aqlan, Dawas dan Haira yang berdiri berdekatan Abriel dan Aileen.

"Ini Aqlan, Dawas dan Haira. Kawan saya," jawab Abriel.

Mereka bertiga hanya melemparkan senyuman.

Belum sempat perbualan itu diteruskan, Yatna muncul dengan dua orang lelaki. Putera Farhat dan Bareeq, perdana menteri Tamim.

Mereka berdua menunduk hormat di depan Ghifari Hafis.

"Ampun Tuanku, aku terlambat. Ada apa Tuanku mahu berjumpa?" Soal Bareeq.

"Puteri kau sudah pulang?"

Pertanyaan Ghifari Hafis membuatkan Bareeq kecut perut. Semuanya disebabkan puterinya yang menghilang.

"Ampun Tuanku. Sudah merata kami mencari. Puteriku masih tidak muncul. Hampir setahun berlalu, kami risau dia sudah..." Bareeq tidak meneruskan kata-katanya tapi semua orang di situ tahu apa perkataan yang akan disambung.

Mati. Mungkin anak perempuan Bareeq sudah mati.

Ghifari Hafis mengeluh berat.

"Ayahanda, saya sudah ada pilihan hati saya sendiri," kata Putera Farhat secara tiba-tiba.

"Siapa orang itu?" Tanya Ghifari Hafis dengan kening yang terangkat.

Perempuan mana pula yang disukai oleh anakandanya. Dia harap gadis itu sesuai untuk dijadikan permaisuri.

Tiba-tiba, Putera Farhat berjalan mendekati seorang perempuan di situ. Dia menggenggam tangan itu.

"Inilah gadis itu." Genggaman tangan mereka diangkat.

Semua yang berada di situ terkejut. Aileen lagilah terkejut kerana dialah orang itu.

Dia perasan Putera Farhat asyik duk menjeling ke arahnya tapi dia tidak melayan. Dia tidak tahu ini niat putera itu.

"Kamu kenalkah siapa dia?" Tanya Ghifari Hafis. Dia takut puteranya itu hanya mempermainkan dirinya kerana tidak mahu perkahwinan itu diatur olehnya.

Lagipun, dia melihat reaksi terkejut Aileen yang seperti tidak tahu apa-apa itu.

"Amanda. Puteriku."

Bareeq meluru ke arah Aileen secara tiba-tiba lalu memeluk tubuh itu. Aileen mengeluh dalam diam. Semuanya terbongkar begitu saja.

"Puteri engkau?" Ghifari Hafis sudah hairan.

"Ampun Tuanku. Inilah puteriku yang menghilang. Aileen Amanda. Dialah calon permaisuri Putera Farhat."

Tangan puterinya itu ditarik mendekati Ghifari Hafis. Aileen hanya menurut walaupun hatinya meronta-ronta ingin keluar daripada situasi itu.

"Kau anak perempuan Bareeq?" Ghifari Hafis bertanya meminta kepastian.

Aileen terdiam sebelum menjawab, "Betul, Tuanku."

"Ke mana kau menghilang selama ini sampaikan keluarga kau sendiri tak menjumpai kau?"

"Saya hanya menyertai Akademi Mettasha. Di situlah tempat saya. Saya tidak bersembunyi di mana-mana pun."

Ghifari Hafis memandang Bareeq. "Aku tak tahu apa masalah keluarga kau tapi aku harap masalah itu selesai sebelum aku kahwinkan puteri kau dengan pewaris aku."

"Baik, Tuanku." Bareeq menunduk mengerti.

"Maafkan aku kerana terlalu mendesak. Aku risau aku akan pergi bila-bila masa sahaja dan apabila waktu itu tiba aku tak sempat untuk membuat apa yang aku mahu buat."

Aileen mengeluh perlahan. Dia tidak tahu siapa yang perlu disalahkan. Tiada siapa yang bertanya apa yang dia mahukan.

Aileen dibawa pulang oleh Bareeq. Dia hanya menunduk ketika melintasi rakan-rakannya. Dia takut dan sedih.

Takut kerana penerimaan yang akan diterima olehnya. Sedih pula kerana perkahwinannya diatur di depan kawan-kawannya terutama Abriel.

Perasaan yang dia pendam terpaksa dia simpan sampai bila-bila. Abriel bukan miliknya walaupun dia mencintai lelaki itu. Air matanya sudah bertakung pada tubir matanya.

Perlahan-lahan nafasnya dihembus. Dia hanya mampu melihat dirinya dibawa ke rumahnya kembali. Dia sudah membayang dirinya yang akan dimarahi oleh ayahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience