BAB 6

Fantasy Series 447

Perjumpaan Wira- wira ini sudah lama diperkenalkan. Sejak bertahun- tahun lama dulu. Tujuan utama perjumpaan ini diadakan bukannya mahu memilih siapa yang terkuat antara mereka tetapi mahu mengeratkan hubungan individu yang terlibat dalam dunia seni bela diri.

Jadi, beberapa buah sekolah yang lain turut terlibat dalam perjumpaan ini. Daripada sekolah kecil yang terdapat kurang daripada sepuluh orang pelajar hinggalah sekolah besar yang memiliki ramai pelajar.

Abriel meliarkan pandangannya. Dia dak empat orang rakannya yang lain baru sahaja tiba dan dijemput duduk di suatu sudut. Melihat tempat duduk mereka saja, Abriel sudah tahu kedudukan mereka sudah ditetapkan berdasarkan tahap sekolah mungkin.

Pelbagai ragam manusia dapat dilihat oleh Abriel. Guru-guru dari setiap sekolah berbual sesama sendiri. Mungkin sedang mengorek cerita lama mereka dalam dunia seni bela diri atau sedang berbual tentang keadaan sekolah masing-masing.

Namun, Abriel lebih tertarik dengan seorang guru yang hanya duduk diam. Pakaian lelaki itu ringkas. Hanya berbaju lengan pendek serta berseluar panjang. Keninganya tebal dan membuatkan mukanya nampak garang.

Guru itu hanya memejamkan matanya dari tadi. Dia pun tak tahu sama ada guru itu sudah tertidur dalam keadaan bising ini atau sedang memikirkan sesuatu.

Tiba-tiba, suasana hingar-bingar tadi bertukar bisikan kecil. Abriel melihat ke arah seorang lelaki yang sedar berdiri dengan yakin. Tidak jauh dari tempat duduk mereka.

Melalui reaksi para guru dan pelajar di situ, Abriel yakin lelaki itulah yang menjemput semua sekolah ini dan juga orang utama yang mengadakan perjumpaan ini.

“Selamat pagi, semua. Selepas setahun berlalu, kita berjumpa lagi,” kata lelaki itu sambil menunduk kepalanya sedikit tanda mengalu-alukan kedatangan mereka.

“Bagi sesipa yang pertama kali datang, aku ialah Keenan. Perjumpaan Wira-wira ini diturunkan oleh nenek moyang aku dan sudah bertahun-tahun berlalu. Jadi, hari ini aku mahu membuat sedikit perubahan dalam perjumpaan kita. Kebiasaannya, kita hanya berbincang tentang dunia pahlawan ini tetapi hari ini aku mahu adakan pertandingan kecil. Aku mahu melihat peningkatan setiap sekolah.”

Cadangan Keenan diterima dengan baik oleh semua orang. Tiada sesiapa yang mahu membantah.

“Jadi, sesiapa sahaja boleh bertempur. Aku tidak tetapkan siapa lawan kamu semua. Jadi, arena ini terbuka untuk sesiapa sahaja. Sama ada kau memilih lawan kau sendiri atau sesiapa sahaja yang mahu bertemur dengan kau.”

Semua orang menanti. Siapa orang pertama yang akan menunjukkan kekuataannya.

Bunyi derap langkah seseorang menarik perhatian semua. Seorang lelaki melangkah masuk ke arena itu. Tangannya memegang pedang.

“Aku, Fahrezzi daripada Akademi Dyvette mahu berlawan dengan Imdad, anak Tuan Keenan.”

“Berani betul dia mahu berlawan dengan Imdad,” kata pelajar yang duduk di belakang Abriel.

Abriel memasang telinga mahu mendengar tentang Imdad yang merupakan anak kepada Keenan.

“Dia hanya mahu memalukan diri sendiri saja tu. Tiada siapa yang boleh menewaskan Imdad. Dia dapat mengusai dua kuasa pada usia empat tahun. Seni bela diri dia juga hebat.”

“Bukankah Fahrezzi tu kawan rapat Imdad. Apa yang berlaku?” tanya kawannya itu keliru.

“Kau tak tahu lagi ke? Beberapa hari lepas, mereka berdua bergaduh kerana berebutkan anak perempuan Tuan Bareeq.”

“Perempuan pembawa malang itu ke?”

Abriel terkejut mendengar gelaran yang disebutkan itu. Apalah yang dilakukan gadis itu yang melayakkan dia digelar sebegitu.

Aileen Amanda yang duduk di sebelah Abriel pula terbatuk-batuk. Abriel cepat-cepat menghulur air yang sudah disediakan atas meja itu.

Aileen Amanda meneguk air itu dengan laju.

“Kenapa bukan kau saja jadi orang pertama kalau kau rasa dia tak layak berlawan? Suka hati kau beri nama buruk untuk orang lain,” kata Haira dengan marah kepada dua orang pelajar itu.

Abriel sangkakan hanya dia sahaja yang memasang telinga.

Kemudian, dua orang pelajar itu diam membisu. Mata Abriel kini tertumpu pada arena, tempat perlawanan antara Imdad dan Fahrezzi.

Imdad tangkas menepis segala serang yang dilepaskan oleh Fahrezzi. Seperti yang dikatakan oleh pelajar tadi, Imdad memang lawan yang kuat.

Melihat serangan Fahrezzi, Abriel fikir lelaki itu tak sepatutnya bertindak melulu. Serangan-serangan yang dilepas hanya untuk melepaskan marah. Dengan kekurangan itu, Imdad pasti dapat memenangi perlawanan itu.

Seperti yang dijangkakan, Imdad menang. Fahrezzi pula terbaring kepenatan di atas arena itu.

Semua orang bersorak atas kemenangan Imdad. Abriel melihat wajah kecewa Fahrezzi. Pasti kekalahan itu memberi kesan yang mendalam. Dikalahkan di hadapan semua sekolah kerana seorang perempuan.

“Baiklah, peserta seterusnya.”

Setelah laungan itu dilaungkan, seorang pelajar di belakang mereka bangun.

Abriel berpaling ke belakang. Begitu juga orang-orang yang berdekatan dengannya. Lelaki yang bercakap tentang Imdad dan Fahrezzi itu berjalan dengan yakin ke arena.

Haira pula mendengus.

“Aku, Harzan daripada Akademi Paradista. Aku mahu berlawan dengan pelajar itu.” Jari telunjuk lelaki itu terarah kepada Haira.

Bulat mata Haira kerana terkejut. Lelaki itu nampaknya marah dengan kata-kata Haira tadi.

Walaupun hatinya berat mahu menerima cabaran itu, Haira tetap bangun. Dia tidak akan sesekali memalukan sekolahnya.

Haira berjalan masuk ke arena. “Aku, Haira daripada Akademi Mettasha.” Haira memperkenalkan dirinya.

Kemudian, mereka mula bertempur. Haira memulakan serangannya. Begitu juga Harzan. Pedang bertemu pedang. Bunyi senjata itu berlaga kuat kedengaran.

Mereka sama-sama tertolak ke belakang. Harzan melangkah dengan pantas ke arah Haira.

Haira masih tidak bersedia. Disebabkan serangan kedua Harzan, Haira hanya mengangkat pedangnya dengan tenaga yang sedikit. Dirinya tertolak kuat ke belakang.

Jantungnya berdegup pantas. Lagi-lagi apabila melihat senjata-senjata yang terusun di belakangnya. Senjata yang disediakan bagi sesiapa yang mahu menggunakannya dalam pertempuran.

Tiba-tiba tubuhnya ditarik oleh seseorang. Kemudian, dia mendarat dengan selamat di atas tanah. Dia melepas nafas lega.

Haira mengangkat kepala. Melihat siapa yang telah menyelamatkannya.

“Lah, kau rupanya, Abriel,” kata Haira.

“Kenapa kau macam kecewa saja? Kau mahu tercedera ke?”

Haira menepuk dahinya. “Tak ada apalah,” kata Haira lalu menarik pergelangan tangannya yang digenggam oleh Abriel.

Seorang lelaki berlari mendekati mereka berdua. Wajahnya sudah berkedut. Berjanggut putih dan panjang.

“Kamu tak apa-apa ke?” tanya orang tua itu risau.

“Saya baik-baik saja. Tuan tak payah risau. Silap saya sebenarnya,” jawab Haira.

“Harzan, kau datang sini.” Orang tua itu memanggil lelaki yang bertempur dengan Haira.

Dengan langkah lambat, dia datang mendekati.

“Kau minta maaf, Harzan,” arah orang tua itu.

“Saya takkan minta maaf. Kami berlawan dan pergerakan dia lambat. Bukan salah saya jika dia tercedera.”

“Berani kau cakap macam tu…” Orang tua itu mengangkat buku limanya.

“Aku nak berlawan dengan kau.”

Tangan orang tua itu terhenti. Dia memandang Abriel.

“Kalau aku menang, kau minta maaf dengan kawan aku.”

“Kalau kau kalah?”

“Kau tentukan apa yang kau mahu.” Abriel berkata dengan yakin.

“Tapi budak…” Kata-kata orang tua itu terhenti apabila seseorang menyampuk.

“Tak perlu membantah, Karman. Aku suka dengan sikap kau. Apa nama kau?” tanya Keenan yang muncul secara tiba-tiba itu.

“Abriel, Tuan Keenan.”

“Kau nampak nekad untuk berlawan walaupun kau tahu lawan kau lebih kuat.”

Abriel hanya tersenyum. Sebenarnya, dia juga tidak yakin untuk bertempur dengan Harzan. Kekuatannya tidak setanding dengan Harzan.

“Abriel.” Haira memanggil. Pedangnya dilempar kepada Abriel memandangkan Abriel tidak membawa senjata.

Kemudian, perlawanan antara Harzan dan Abriel bermula. Abriel memulakan serangannya tetapi Harzan mengelak dengan pantas. Serangan mereka berterusan. Bunyi pedang berlaga dari tadi.

Serangan Harzan yang seterusnya memberi luka pada lengannya. Tidak kira luka kecil atau luka besar, semuanya terkena pada tubuhnya. Sakit daripada luka-luka itu diabaikannya.

Abriel semakin penat. Serangan yang dilepaskan oleh Harzan mengurangkan tenaganya.

“Kau dah letih? Aku belum gunakan segala tenaga yang aku ada,” kata Harzan dalam nada mengejek.

Abriel hanya senyap tidak membalas. Dia tetap menyerang. Kedua-dua pedang berlaga. Masing-masing melepaskan kuasa yang ada.

Kemudian, kedua-duanya terseret ke belakang. Abriel melutut di atas tanah. Nafasnya termengah-mengah.

Tiba-tiba, Harzan meluru ke arahnya. Dia hanya sempat menghalang dengan pedang di tangan.

Harzan menolak pedangnya sekuat tenaga. Keadaan semakin genting. Kekuatan Abriel sudah berkurang. Mungkin kekalahan berpihak kepadanya.

Tiba-tiba, dia dapat merasakan kelainan pada tubuh badannya. Urat-urat tubuhnya berasa tegang. Dia mengerang perlahan dalam kesakitan.

“Arghhh!” Abriel menjerit kesakitan. Dia dapat merasakan badannya semakin bertenaga.

Badannya mengeluarkan tenaga yang kuat dan menyebabkan Harzan terpelanting sekaligus keluar daripada arena tersebut.

Situasi membuktikan bahawa perlawanan itu dimenangi oleh Abriel.

Harzan pula terbatuk-batuk sakit. Mulutnya mengeluarkan darah yang agak banyak. Kekuatan yang dilepaskan oleh Abriel mengejutkannya.

Abriel melepaskan nafas lega. Dia lega kerana dia dapat menunaikan janjinya untuk menang. Kemudian, kepalanya terasa pening.

Matanya memberat. Selepas itu, dunianya kelam.


******************
Aqlan Fann, Aileen Amanda, Dawas dan Haira berwajah risau. Masakan tidak risau, Abriel masih terbaring tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja Abriel jatuh pengsan, orang ramai mengerumuninya.

Belum sempat doktor dipanggil, seorang wanita muncul. Aqlan Fann mengenali wajah itu kerana mereka pernah bertemu.

Yatna sendiri menawarkan diri untuk merawat Abriel memandangkan dia seorang doktor. Abriel dirawat di dalam bilik tetamu milik Keenan.

Perjumpaan Wira-wira tamat begitu saja selepas perlawanan antara Abriel dan Harzan.

Aqlan Fann risau akan keadaan rakannya itu. Dia tidak pernah melihat kuasa yang telah dilepaskan oleh Abriel. Kuasa itu sangat kuat.

Bunyi pintu ditolak menarik perhatian mereka yang menunggu di luar bilik itu. Aqlan Fann meluru masuk.

Abriel terbaring dengan mata yang masih tertutup.

“Kenapa Abriel masih tidak sedarkan diri lagi?” tanya Dawas yang turut masuk ke dalam bilik itu.

“Kamu semua tak payah risau. Badannya cuma letih. Luka-lukanya pun sudah dirawat. Abriel hanya tidur kepenatan,” jelas Yatna.

“Mak cik Yatna.”

Suara orang berpaling apabila mendengar suara itu.

“Abriel, sedar pun kau,” kata Dawas.

Masing-masing melepas nafas lega.

“Saya nak cakap dengan mak cik sendririan,” kata Abriel sambil memandang wajah Yatna.

Yatna mengangguk. Aqlan Fann dan yang lain keluar dari bilik itu. Mereka memberi ruang untuk Abriel bercakap dengan Yatna.

“Apa yang kau mahu tanya?” tanya Yatna.
“Mak cik buat apa di sini?”

“Inikan Perjumpaan Wira-wira. Sesiapa pun boleh datang walaupun tidak berjemput.”

Abriel mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Kau sebenarnya nak tanya sesuatu, kan?”

Abriel terdiam seketika. Dia tidak tahu jika Yatna mahu menjawab soalannya atau tidak.

“Apa yang berlaku pada badan saya? Bagaimana saya dapat mengeluarkan tenaga sekuat itu?”

“Kau ada rasa sakit atau tak semasa kau lepaskan tenaga kau?”

“Urat-urat saya seakan-akan tertarik. Tiba-tiba, saya rasa bertenaga.”

Yatna membisu. Dia mengerut dahi. Dia juga tidak tahu apa yang terjadi terhadap Abriel.

“Mak cik makan ayam bakar ke tadi?” soal Abriel tiba-tiba.

Ternaik kening Yatna, “Kau tahu macam mana?” tanya Yatna pelik.

Dia menghidu pakaiannya.

“Bau asap melekat pada pakaian mak cik.”

Kepala Yatna terangguk-angguk, “Macam mana kau tahu aku makan ayam? Kenapa bukan ikan?”

“Sekarang musim hujan. Ikan payah nak dapat, mak cik.”

Yatna menepuk dahinya, “Aku lupa sekarang musim hujan.”

Tiba-tiba, Yatna berdiri dari tempat duduknya.

“Kau dapat hidu sesuatu tak dari dapur?” tanya Yatna.

“Saya bau ubat. Ubat herba untuk saya mungkin.” Abriel meneka.

“Tahniah, kuasa kau sudah bertambah,” ucap Yatna dalam nada mendatar.

Abriel terkedu. Dia memandang Yatna dengan mata membulat, “Kuasa baru? Kuasa Deria?”

Yatna mengangguk. Dia tidak dapat membayangkan respon Jasmin setelah mengetahui berita ini.

“Jangan maklumkan hal ini kepada bonda. Saya tak nak bonda risau selepas tahu saya tercedera.”

Yatna mengangguk faham.

“Aku harap kau dapat kendalikan kuasa kau dengan baik. Bukan mudah untuk mengendalikan kuasa yang banyak. Lagi-lagi kau baru sahaja dapat membiasakan kuasa kedua kau beberapa bulan lepas.”

Abriel mengangguk lalu berterima kasih kepada Yatna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience