BAB 20

Fantasy Series 447

Tidak sampai seminggu pun berlalu, pesakit-pesakit Ilham semakin berkurang. Akhirnya, mereka berempat dapat melepaskan nafas lega.

Abriel duduk di atas kerusi sambil memandang Ilham dan Harsha yang melayan pesakit-pesakit yang tidak henti-henti berterima kasih dari tadi. Tiba-tiba, segelas air menyapa pandangannya.

Abriel berpaling. Aileen menghulurkan segelas air ke arahnya. Abriel terus mengambilnya.

"Terima kasih," ucap Abriel.

"Bila kita nak balik?" tanya Aileen.

"Kau rindukan Tamim?"

"Tipulah kalau aku cakap tak rindu tapi tempat kita bukan di sini. Sudah banyak yang kita tertinggal di akademi."

Abriel mengangguk setuju.

"Aku baru sahaja bercadang nak balik esok."

"Aku setuju."

Abriel berpaling ke arah Aileen. "Kalau kita balik semula ke Tamim, adakah kau akan lupakan aku?" tanya Abriel tiba-tiba.

Aileen kerut dahi. "Kenapa aku nak lupakan kau pula?"

"Tak apalah. Lupakan saja soalan aku," kata Abriel.

Dia pun tak tahu kenapa soalan itu yang terkeluar daripada mulutnya. Dia ingatkan soalan itu hanya bermain dalam fikirannya sahaja.

"Kau pernah sukakan seseorang?" tanya Abriel kepada Aileen.

Aileen terdiam. Membahang rasa mukanya sebaik sahaja mendengar soalan itu. Lambat-lambat dia angguk mengeyakan.

"Aku kenal ke orangnya?" tanya Abriel lagi.

"Kenal." Jawapan Aileen meruntuhkan sekeping hatinya. Tidak lain dan tidak bukan Aqlanlah orangnya.

Dia tahu akan perasaan Aqlan terhadap Aileen tapi dia tidak tahu pula sahabatnya itu sudah memulakan langkah lebih awal.

Jika Aqlan orangnya, dia tidak kisah walaupun terbit juga rasa cemburu itu. Dia yakin Aqlan mampu menggembirakan Aileen.

Teringat akan Aqlan, hatinya rasa sedih. Sudah lama tidak mendengar khabarnya. Apalah yang dilakukan mereka bertiga ketika ini?

"Kau bersiaplah malam ni. Esok pagi kita bertolak. Aku nak beritahu Abang Ilham dahulu," kata Abriel lalu bangun daripada tempat duduknya.

Aileen terkedu melihat respon Abriel. Wajah Abriel terus berubah setelah mendengar jawapannya. Dia tersalah cakapkah?

Belum sempat Abriel ingin menyapa Ilham, tiba-tiba, bunyi tapak kaki kuda sudah kedengaran dari jauh lalu berhenti betul-betul di halaman rumah Ilham. Seorang lelaki turun dari kuda itu.

"Ilham, lama tak jumpa kau," sapa lelaki itu.

Ilham kelihatan terkejut apabila melihat wajah lelaki itu.

"Anang?!" tanya Abriel dengan nada terkejut. Dia betul-betul terkejut.

Sudah lama dia tidak melihat wajah itu. 10 tahun, 11 tahun atau lebih daripada itu. Dia pun sudah lupa.

"Akulah ni."

Sebaik sahaja mendengar jawapan itu, tubuhnya rakan lamanya itu dipeluk.

"Aku tak sangka aku masih dapat berjumpa kau. Kau buat apa datang sini?" soal Ilham ingin tahu.

"Inilah yang aku mahu berbincang dengan kau. Kita bercakap kat dalam, boleh?" soal Anang meminta kebenaran tuan rumah dahulu.

Ilham mengangguk setuju. "Jemputlah masuk."

Mereka berdua terus melabuhkan punggung di atas kerusi.

"Apa yang kau nak bincang dengan aku?" tanya Ilham sudah tidak sabar-sabar.

"Tuanku perlukan kau sekarang. Penawar untuk penyakitnya tak dapat dikenal pasti. Puteri Yatna hanya mengharapkan kau dan tabib Sinan untuk merawat Tuanku."

"Penyakit apa?"

"Aku tak tahu. Tabib-tabib istana yang lain pun tak tahu."

Ilham mengeluh berat. Bukannya dia tak mahu kembali tetapi apabila teringatkan kata-kata yang pernah diucapkan olehnya dahulu, berat hatinya mahu ke sana.

"Bukankah tabib Sinan sudah ada. Mengapa aku perlu ke sana juga?"

"Kau dan tabib Sinan lebih mahir dalam bidang perubatan berbanding dengan tabib-tabib istana yang lain. Walaupun mereka sudah tua dan banyak pengalaman, kemahiran mereka tidak setanding kau dan tabib Sinan. Kehadiran kau sangat diperlukan di sana."

"A.. aku tak rasa aku diperlukan di sana."

Anang mengeluh berat.

"Kau tak pernah terfikir untuk lupakan perkara lama itu. Tuanku sedang gering. Kau fikir Tuanku masih fikirkan kisah lepas. Kalau kau tak nak pergi, tak apa. Aku pun tak nak paksa kau. Aku cuma tak nak kau menyesal kalau aku tak beritahu kau. Aku juga tak boleh berlama. Aku perlu berjumpa dengan tabib Sinan juga."

Anang terus meminta izin untuk mengundur diri.

Ilham pula masih termenung. Dia memikirkan kata-kata Anang sebentar tadi. Memori lama tiba-tiba muncul dalam ingatannya.

"Saya nak belajar perubatan, ayahanda. Saya tak nak terlibat dalam politik negara. Saya mahukan kehidupan yang jauh dari istana ini." Ilham duduk melutut. Dia merayu agar permintaannya ini ditunaikan.

Dia tidak meminta lebih. Dia hanya mahu ayahanda memahaminya sahaja.

"Kau putera pertama aku yang sah. Kau layak untuk mewarisi takhta aku."

Ilham mengeluh berat.

"Saya tidak kisah apa ayahanda nak buat. Saya tetap dengan keputusan saya." Ilham berdegil.

"Kalau kau keluar dari istana ini, kau bukan lagi anakanda aku. Aku tak benarkan kau jejakkan kaki ke dalam istana ini lagi," laung ayahandanya ketika Ilham sudah berdiri di depan pintu istana.

Kaki Ilham terhenti seketika. Keluhan berat dilepas.

"Maafkan saya, ayahanda."

Sejurus kata-kata itu diucapkan, dia terus melangkah keluar dari istana itu.

Tiada lagi gelaran putera yang selalu dia dengar dari kecil. Tiada lagi kelibat orang istana yang selalu memanggilnya untuk membantu ayahandanya menguruskan kerajaan.

Sekarang, dia hanyalah seorang rakyat biasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience