BAB 1

Fantasy Series 447

"Abriel, mari makan. Bonda dah siapkan makanan kegemaran kamu. Nantilah pula sambung berlatih."
Wanita yang menggelarkan dirinya sebagai bonda sedang menghidangkan makanan di atas meja. Begitulah kehidupan mereka setiap hari. Abriel berlatih untuk menguatkan stamina dan menambah kekuatannya. Bondanya pula sibuk menguruskan dirinya dan kerja rumah.
Abriel terus mendekati bondanya lalu melabuhkan punggung di atas kerusi. Bondanya turut duduk.
"Kenapa bonda nampak kamu asyik berlatih saja sejak kebelakangan ini?"

"Tiga hari lepas, saya dapat rasakan sesuatu," kata Abriel dengan wajah yang kehairanan.

"Apa yang kamu rasakan?" Bondanya mula risau.

"Saya dapat rasakan kuasa kedua saya, bonda."

Bondanya terkejut,"Apa kuasa kedua kamu itu?"

"Kuasa Pendengaran. Akhirnya, setelah beberapa tahu saya berlatih, kuasa saya sudah ada peningkatan."

"Letak tangan kamu atas meja. Bonda mahu tahu nadi kamu."

Abriel mengerut dahi. Muka bondanya kelihatan risau. Dia pun tertanya-tanya akan sikap bondanya hari ini. Bukankah peningkatan kuasanya merupakan salah satu berita baik?

Bonda menarik tangannya. Dia mengeluh. Dia memang risaukan sesuatu. Lagi-lagi keselamatan anaknya. Peningkatan kuasa bagi anaknya bukanlah berita baik. Berita ini dapat mengancam nyawa Abriel.

"Kenapa, bonda? Saya ada penyakitkah?" tanya Abriel. Wajah bondanya nampak tidak senang dengan kata-katanya.

"Tak mengapa. Kamu sambung makan."

Abriel masih susah hati. Dia mahu tahu sebab bondanya risau.

“Kenapa bonda…” Belum sempat Abriel menghabiskan kata-katanya, pintu rumah mereka diketuk oleh seseorang dari luar.

Abriel memandang bondanya. Abriel hairan. Dalam masa 10 tahun dia membesar di sini, hanya beberapa kali sahaja pintu rumah mereka diketuk. Penduduk-penduduk di sini nampak tidak senang dengan kehadiran mereka. Abriel pun tak tahu mengapa.

“Bonda pergi tengok siapa yang datang.”

Bondanya terus bangun lalu mendekati pintu rumah itu. Pintu dibuka. Seorang wanita berbaju putih bersih berdiri di muka pintu sambil tersenyum.

“Lama tak jumpa, Jasmin,” kata wanita itu.

“Apa kau buat di sini?” tanya Jasmin. Dia terkejut dengan kehadiran rakannya yang secara tiba-tiba itu.

“Bonda, apa yang mereka mahukan?” tanya Abriel yang tiba-tiba muncul.

Dia pelik kenapa bondanya masih tidak kembali untuk makan. Dia sangkakan penduduk kampung ini yang mencari mereka. Rupa-rupanya, seorang wanita yang kelihatan daripada golongan bangsawan. Pakaian wanita itu sendiri menunjukkan segala-galanya.

“Abriel, tambah satu lagi pinggan. Kawan bonda yang datang dari jauh,” kata Jasmin sambil tersenyum.


**********************

Abriel hanya memerhati bondanya dari jauh. Dia sedang membasuh pinggan mangkuk. Bondanya nampak gembira dengan kedatangan kawannya itu. Dia pun tak tahu bondanya mempunyai kawan. Dia sangkakan mereka hanya berdua sahaja di dalam dunia ini.

Sekurang-kurangnya, Abriel lega. Dia tahu bondanya memerlukan seseorang untuk meluahkan sesuatu. Dia dapat rasakan bondanya memendam sesuatu. Sesuatu yang perlu dirahsiakan daripadanya.


**********************
“Aku tak sangka sudah 10 tahun berlalu. Aku lega melihat hidup kau sekarang.”

“Apa yang nak dilegakan, Yatna. Aku Cuma berharap keselamatan Abriel terjamin. Sepanjang 10 tahun ini, tak pernah aku rasa senang hati. Aku risau jika keberadaan kami diketahui mereka. Lagi-lagi dengan kehadiran Abriel yang semakin membesar. Kuasa-kuasanya cuba untuk bangkit.”

“Bukankah kuasa-kuasa itu telah disekat. Bagaimana kuasa-kuasa itu boleh bangkit semula?”

“Kuasa-kuasa itu tak selama-lamanya boleh disekat. Adi sudah tiada untuk menyekatnya lagi. Aku pun tak tahu apa yang dihadapinya beberapa hari lepas. Kuasa Pendengarannya sudah muncul. Lambat laun, keenam-enam kuasa itu akan bangkit sepenuhnya.”

“Mengapa engkau mahu sekat kuasa-kuasa anak kau sendiri? Ada apa-apa yang aku terlepas? Selepas kelahiran anak kau, aku pelik. Kau dan Adi tekad untuk menyekat kuasa Abriel. Bukankah keenam-enam kuasa yang ada pada dirinya dapat memberi kesan yang baik kepada Tamim. Kebangkitan Pembangkit Enam Kuasa inilah yang ditunggu-tunggu oleh semua orang untuk melihat kehebatannya.”

Jasmin mengeluh.

“Aku tahu tapi hampir mustahil untuk seseorang itu menampung enam kuasa sekaligus. Jika ada pun, kau pun tahu apa pengakhiran mereka.”

“Satu benda yang kau lupa, Jasmin. Abriel bukan mereka tetapi anak kau dan Adi. Kau dan Adi bukan orang biasa-biasa juga, Jasmin. Adakah kau juga lupa apa pengorbanan Pembangkit Enam Kuasa? 100 tahun lepas, Nail Ihsan, satu-satunya Pembangkit Enam Kuasa yang hidup hampir 90 tahun. Kau tahu kenapa dia boleh hidup lama?”

“Aku dengar dia amalkan ilmu kuasa hitam.”

Yatna tersengih,”Bukan, baru sahaja beberapa hari lepas aku masuk ke Perpustakaan Diraja. Sebenarnya, Nail Ihsan telah menjumpai satu buku seni bela diri yang dapat menenangkan fikiran. Kalau Abriel dapat mempelajari seni bela diri ini, kuasa-kuasa itu akan tenang dalam badannya.”

“Kau tahu di mana buku itu berada?”

“Buku itu diturunkan secara turun-temurun tapi tiada sesiapa yang tahu keturunan Nail Ihsan yang masih hidup. Selepas beberapa tahun buku itu dijumpai, keluarga Nail Ihsan mendapat segala ancaman dari dalam dan luar. Pada satu malam, keturunannya tamat di situ dalam satu kebakaran. Pada malam itu juga, buku itu hilang dan sejak daripada itu, semua orang sibuk mencari buku itu.”

Jasmin terdiam. Adakah Abriel tiada harapan untuk hidup dengan lama? Di manakah mereka boleh mencari buku itu?

“Kau tak mahu Abriel keluar ke? Balik ke tanah kelahirannya sendiri. Kalau kau hidup di sini pun, kau hanya bergantung sesama sendiri sahaja. Penduduk-penduduk di sini pun macam tak suka dengan kehadiran kau. Kembali bersama aku, Jasmin. Aku boleh jaga kau di sana.”

Inilah yang dia risaukan sejak kebelakangan ini. Dia risau jika Abriel meminta izin untuk keluar mengembara secara tiba-tiba.

“Aku takut kewujudan Abriel di sana hanya mendatangkan bahaya untuk dirinya. Kau pun tahu aku mungkin tak akan kembali ke sana.”

“Sekarang dia dah 17 tahun, Jasmin. Bagaimana hidupnya untuk 10 tahun akan datang? Aku takut dia juga ingin melihat dunia luar.”

“Aku… aku risaulah, Yatna.”

“Semua ibu akan risau apabila memikirkan keselamatan anak tapi pernahkah kau fikir apa yang dia inginkan? Kau boleh biarkan Abriel sertai Akademi Mettasha. Dia boleh belajar apa yang perlu dia belajar di sana.”

“Bagaimana kalau kuasa-kuasanya muncul? Aku takut dia menjadi sasaran seseorang.”

“Kau perlu ada keyakinan, Jasmin. Kau pun seorang pahlawan sepertinya. Di manakah semangat kau sendiri? Kau sendiri dapat menguasai lima kuasa. Badan kau sendiri mampu. Abriel memang ditakdirkan untuk menguasai enam kuasa. Lambat laun, dia kena berhadapan dengan takdirnya sendiri juga.”

Jasmin tersenyum. Selepas mendengar kata-kata Yatna, dia menyedari sesuatu. Dia tidak pernah mengambil tahu pandangan anaknya.

“Hal ini biarlah Abriel sendiri yang putuskan. Aku tidak boleh membuat keputusan untuk dia memandangkan dia sudah besar.”

Yatna tersenyum mendengar kata-kata Jasmin.

“Aku perlu bergerak sekarang. Hari pun sudah petang.” Yatna bangun. Begitu juga dengan Jasmin.

“Terima kasih untuk hari ini. Hati-hati bila pulang nanti.” Mereka sempat berpelukan.

Jasmin menghantar Yatna keluar. Jasmin tersenyum lega. Dadanya terasa lapang selepas berbual-bual dengan Yatna.


**********************
“Bonda!” Abriel memanggil bondanya yang sedang berdiri di depan pintu.

Mungkin rakan bondanya, Yatna sudah balik.

“Abriel, kamu ke mana?” tanya Jasmin hairan.

“Oh, saya pergi berlatih di belakang gunung. Bonda perlukan sesuatu?” tanya Abriel ingin tahu.

Jasmin menarik tangan anaknya masuk ke dalam rumah lalu mengambil tempat untuk duduk.

“Bagaimana dengan latihan kamu selepas kamu dah berlatih dua kuasa sekarang?”

“Saya dapat rasakan badan saya semakin kuat. Saya juga tak cepat letih seperti sebelum ini. Tapi kadang-kadang, saya dapat rasakan Kuasa Pendengaran hilang selepas itu. Saya tidak dapat menggunakannya dengan lebih lama. Mungkin dalam masa satu jam.”

Jasmin mengangguk faham. Nampaknya Kuasa Pendengaran Abriel tidak bangkit dengan sepenuhnya.

“Adakah kamu pernah terfikir untuk mengembara?”

Jasmin memandang anaknya dalam-dalam. Dia dapat melihat sinar teruja dalam mata anaknya. Mungkin betullah apa yang dikatakan oleh Yatna.

“Saya mahu. Saya mahu menyumbang kepada mereka yang memerlukan.”

“Yatna ada beritahu bonda tentang Akademi Mettasha. Bonda dan Yatna pernah belajar di sana. Bonda cuma mahu tahu jika kamu berminat.”

“Mestilah saya berminat. Saya mahu lihat tempat bonda belajar. Saya pun mahu belajar di sana.”

Jasmin tersenyum gembira apabila melihat Abriel.

“Sebelum kamu ke sana, bonda mahu kamu berlatih bonda bermula esok. Sebelum kamu masuk ke sana, kamu perlu menghadapi beberapa ujian. Bonda akan bantu kamu lulus dengan cemerlang dalam ujian tersebut.”

“Bonda tak pergi bersama-sama sayakah?”

“Hanya kamu sahaja yang pergi. Bonda mahu kamu belajar berdikari di luar sana. Bantu siapa yang susah. Tolong siapa yang telah memilih jalan yang salah. Jangan terus menghukum.”

Abriel mengangguk faham. Itulah yang sering dikatakan oleh bondanya.


**********************
“Kosongkan fikiran kamu, Abriel. Kamu dengar bunyi air yang jatuh. Latih pendengaran kamu dengan baik.”

Jasmin berdiri di atas batu yang berdekatan dengan Abriel. Dia memerhati Abriel yang cuba untuk membiasakan diri dengan kuasa barunya.

“Pendengaran yang tajam dapat memudahkan kamu mengenal pasti pergerakan sesuatu. Cuba tangkap apa yang bonda lempar.”

Jasmin mengambil satu persatu batu yang telah dikumpul olehnya lalu dibaling ke arah Abriel. Abriel menangkap dengan cekap.

Semakin cepat Jasmin membaling, semakin cepat pergerakan Abriel walaupun matanya telah ditutup. Tiba-tiba, Kuasa Pendengarannya hilang.

“Aduh!” jerit Abriel apabila batu itu tepat terkena dahinya.

Jasmin terkejut. Dia terus melompat dari batu ke batu yang lain. Abriel membuka kain yang menutu matanya.

“Kamu tak apa-apa?” tanya Jasmin risau.

Dahi Abriel sudah bertukar warna.

“Saya baik-baik saja.”

“Apa yang berlaku? Kuasa Pendengaran kamu hilang lagi?”

Abriel mengangguk. Mukanya kelihatan risau.

“Mengapa Kuasa Pendengaran saya selalu hilang secara tiba-tiba?”

“Kuasa kamu masih lemah. Kamu masih perlu berlatih. Kamu tak perlu risau. Ujian Akademi Mettasha mungkin akan berlangsung dalam masa tiga bulan dari sekarang. Jadi, kamu masih ada masa.”

“Saya akan berusaha dengan kuat. Saya pasti dapat memasuki Akademi Mettasha.”

“Teruskan berlatih.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience