BAB 5

Fantasy Series 447

Bunyi bising di dalam dewan Akademi Mettasha masih tidak dapat memekakkan telinganya. Malah dia masih boleh mengelamun.

Sudah lama rasanya dia tak berjumpa bondanya. Bohonglah jika dia kata tiada secalit pun rasa rindu itu. Ini kali pertama mereka berpisah. Belajar berdikari memang sukar baginya.

Namun, dengan bantuan Aqlan Fann, dia Berjaya hidup dengan baik. Malah dia juga tidak pernah terbayang dia akan segembira ini.

Tidak lama kemudian, bunyi derap kaki seseorang kedengaran. Seperti biasa, Nail Ihsan, penolong pengetua Akademi Mettasha muncul.

Sepanjang keberadaannya di sini, tiada sesiapa pun yang pernah nampak kelibat pengetua akademi. Khabar angina mengatakan pengetua sedang bertapa dan tidak terlibat dalam urusan akademi beberapa tahun kebelakangan ini.

“Akademi Mettasha telah menerima jemputan ke Perjumpaan Wira-wira. Jadi, pihak akademi telah bercadang untuk menghantar pelajar Tahun Satu untuk memenuhi jemputan itu.”

Semua orang bersuara teruja. Abriel juga tidak ketinggalan. Mereka tidak pernah terlibat dengan dunia luar memandangkan mereka baru sahaja menyertai akademi ini selama sebulan.

Memandangkan pelajar Tahun Dua akan menyertai majlis ulang tahun Raja Tamim dan pelajar Tahun Tiga yang sibuk untuk menamatkan tahun terakhir mereka, maka pelajar Tahun Satu yang mendapat peluang ini.

“Jadi, seperti yang kamu semua Nampak, kotak di tangan saya terdapat nama-nama kamu semua. Saya akan memanggil nama lima orang pelajar secara rawak dan kamu akan membentuk kumpulan. Baiklah, saya mulakan.”

Satu persatu nama disebut. Ada sepuluh kumpulan secara keseluruhan. Dua kumpulan akan memulakan serangan sesama sendiri dahulu. Kumpulan yang berjaya mendapatkan bendera merah dikira sebagai menang.

Senjata yang dibenarkan hanyalah busur dan anak panahnya. Hujung anak panah itu dibalut dengan sesuatu bagi mengelakkan sebarang kecederaan berlaku. Semua itu telah disediakan oleh akademi. Dan sesiapa yang terkena anak panah yang dilepaskan oleh pihak lawan akan disingkirkan.

Selepas pusingan pertama tamat, pusingan seterusnya diteruskan sehinggalah satu kumpulan diiktiraf sebagai pemenang. Kumpulan tersebut akan pergi ke Perjumpaan Wira-wira.

Pusingan pertama berlalu dengan pantas dan kumpulan Abriel berjaya menewaskan lawan mereka. Antara sepuluh kumpulan itu, kumpulan Abriel tergolong dalam golongan yang kuat.

Matahari pun sudah beransur-ansur mengundur diri. Perlawanan memanah hari ini berakhir dengan dua kumpulan terakhir yang akan berlawan pagi esok. Kumpulan Abriellah antara dua kumpulan itu.

Sebelum semua orang beredar, bahu Abriel sempat dipegang oleh seseorang. Abriel berpaling.

“Jumpa kau esok, Adi Abriel,” kata suara itu lalu berlalu pergi.

Abriel memandang tubuh itu berlalu. Seorang lelaki seusia dengannya berambut pendek dan berwajah hitam manis.

Abriel pun tak tahu apa yang pernah terjadi antara mereka berdua tetapi dia dapat rasakan lelaki itu benar-benar menganggapnya sebagai satu ancaman.


**************
Pada pagi yang cerah itu, para pelajar Tahun Satu sudah berkumpul di kawasan lapang, tempat mereka mengadakan pertandingan kecil semalam. Mereka berasa teruja untuk melihat keputusan akhir bagi perlawanan itu.

Kumpulan Abriel akan berlawan dengan kumpulan Sharim. Antara pelajar yang terkenal dalam kalangan pelajar Tahun Satu. Abriel sudah mula dikenali sejak hari pertama ujian kemasukan lagi.

Sharim pula terkenal kerana statusnya yang merupakan anak kepada antara keluarga yang terkaya di negara Tamim. Disebabkan statusnya itu, dia bersikap sombong dan tidak disenangi oleh sesiapa. Semua orang dipandang rendah termasuklah Abriel.

Dia tidak berpuas hati kerana Abriel lebih menonjol daripada dirinya.

“Baiklah. Seperti yang dikatakan oleh Tuan Nail, kita perlu merampas bendera yang berada pada pihak lawan. Jadi, aku perlukan Aqlan. Kau tolong kami jagakan bendera kita. Dawas dan Haira, kau orang menyerang dari arah kanan. Aku menyerang dari arah kiri dan Aileen kau terus bergerak dari tengah. Boleh?” Abriel membahagikan kawasan masing-masing sebelum perlawanan bermula.

Dia sudah mengorek serba sedikit tentang kumpulan lawannya. Dia tahu niat Sharim yang mahu mengalahkannya.

Kedua-dua kumpulan itu sudah bersiap sedia masuk ke dalam hutan dan berdiri di tempat masing-masing. Kemudian, gong dipukul menandakan perlawanan antara mereka telah bermula.

Kumpulan Abriel sudah mula bergerak. Seperti yang dirancangkan oleh mereka, Abriel tahu mereka tidak akan menang dengan mudah.

Daripada panahan mata Sharim semalam, dia pasti Sharim telah merancangkan sesuatu untuk menggagalkan mereka.

Abriel melalui semak hutan itu. Kawasan perlawanan mereka sudah ditetapkan. Jadi, luas kawasan itu tidak seluas kawasan hutan ini.

Abriel sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Risau jika dia diserang hendap secara tiba-tiba.
Namun, sepanjang perjalanannya itu dia tidak mendengar sebarang pergerakan sekalipun. Dia juga tidak dapat mengesan kehadiran seseorang.

Dalam beberapa minit sahaja, dia sudah sampai di kawasan lawannya. Abriel tersenyum apabila ternampak bendera yang terpacak dan tidak jauh darinya.

Tanpa berpaling ke kanan dan kiri, dia bergerak pantas ingin mengambil bendera itu tetapi langkahnya terhenti. Dia berdiri betul-betul di depan bendera itu.

Dia melihat sekeliling. “Kau masih tak nak keluar ke?” tanya Abriel bersahaja.

Kemudian, bunyi orang ketawa kedengaran. Sharim muncul bersama salah seorang daripada ahli kumpulannya sendiri dari belakang batang pokok yang besar.

“Kenapa kau tak terus ambil saja bendera itu? Aku dah berikan peluang untuk kau menang.” Sharim tersenyum mengejek.

“Tak semudah itu untuk aku menang. Aku pun tahu apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku.”

“Baguslah kalau macam tu. Tak perlu aku terangkan lagi.”

“Kau terlalu kebudak-budakan, Sharim. Kau yakin mahu menewaskan aku hanya kerana sifat dengki kau itu?” ejek Abriel. Sengaja mencari pasal.

Muka Sharim berubah merah. Dahinya berkerut.

“Keluarga kau sendiri terkenal sebagai keluarga yang dihormati tetapi pewarisnya berkelakuan seperti budak-budak walaupun dah besar.” Abriel tergelak besar.

Dia mahu Sharim naik gila dan menyerangnya.

Seperti yang dijangkakan, Sharim mendekati Abriel seperti mahu menerkamnya. Abriel juga bergerak ke arah Sharim pada masa yang sama.

Abriel mengelak apabila buku lima Sharim dituju ke mukanya. Dia mendarat ke atas tanah dengan stabil. Dia melepas nafas lega. Buku lima itu hampir sahaja mengenanya.

Sharim pula terjatuh di atas tanah dengan kuat. Bunyi tubuhnya jatuh kuat kedengaran.

Dia memandang Abriel dengan pandangan marah. Dia bangun lalu menarik anak panahnya.

“Kau dah terkeluar, Sharim,” kata Abriel sambil tersenyum.

Sharim menayang riak terkejut. Dia memeriksa keseluruhan badannya. Tepung yang melekat pada hujung anak panah itu terbentuk elok di belakang Sharim.

“Maafkan aku. Aku menolak anak panah itu terlalu kuat sampaikan kau jatuh.”

Sharim mendengus marah.

“Kau pula tunggu apa lagi. Panahlah dia,” jerkah Sharim terhadap ahli pasukannya yang hanya memerhati sahaja dari tadi.

Belum sempat busurnya ditarik, ahli kumpulan Sharim itu diserang dahulu dari belakang.

Kemudian, Aqlan Fann dan Aileen Amanda muncul. Abriel melempar senyumannya.

“Dawas dan Haira mana?” tanya Abriel.

“Mereka terkeluar. Nampaknya, strategi kau betul-betul berguna,” kata Aqlan Fann dengan gembira.

Tiba-tiba, Sharim ketawa.

“Kumpulan kau takkan menang,” kata Sharim.

“Maksud kau ini ke?” tanya Abriel sambil mengeluarkan sesuatu daripada genggamannya.

Sehelai bendera ditunjukkan. Bendera itu sama dengan bendera yang masih terpacak berdekatan mereka. Sekali tengok, memang tiada beza tetapi tiada apa yang dapat lari daripada mata Abriel.

“Ma… macam mana kau tahu?” Tangan Sharim meliar pada poket bajunya.

“Kalau kau menipu pun, jangganlah tinggalkan kesan yang ketara sangat. Bendera yang tercacak tu, kau tak letak betul-betul. Kalau kau tengok bendera itu tak dimasukkan dengan betul. Lagipun, bendera palsu kau tu tak ada logo sekolah.”

“Logo sekolah?” Sharim kerut dahi.

Abriel menggeleng kepala.

“Kalau kau tengok betul-betul, di hujung bahagian atas bendera ada logo sekolah. Bentuknya kecil sahaja.”

Sharim menumbuk tanah. Mungkin tak menyangka perkara kecil itu pun disedari oleh Abriel.

“Baiklah. Kali ini aku menang. Nanti, kita berlawan lagi,” kata Abriel sambil menghulurkan tangannya.

Sharim mengangkat kepalanya. Dia menolak tangan Abriel.

“Aku pasti akan kalahkan kau.”

Perlawanan hari itu tamat di situ. Abriel tersenyum gembira. Bukan sahaja kumpulannya menang tetapi dia juga dapat membina hubungan dengan Sharim.


************************
“Hari ini, pertama kali dalam hidup aku rasa berjaya,” kata Dawas dengan gembira.

Semua orang tergelak mendengar kata-kata Dawas itu.

Malam itu, Dawas mengajak mereka berempat keluar. Bagi meraikan kemenangan mereka, Dawas mengotakan janjinya untuk membayar makan malam mereka.

“Kau tak buat apa-apa pun. Kalua bukan disebabkan Abriel, belum tentu kau menang,” kata Haira sambil menolak kepala Dawas.

“Bukankah kau orang pertama yang terkeluar?” tanya Aqlan Fann mahu mengusik.

Dawas pula tersengih sambil menggosok-gosok kepalanya.

“Jadi, hari ini aku belanja. Kau orang pesanlah apa-apa yang kau mahu. Terutama sekali kau, Abriel.”

Abriel tersenyum gembira. “Macam mana kau tahu tentang kedai ini? Walaupun kedai ini kecil saja tapi ramai juga yang datang.” Tanya Abriel ingin tahu.

Kedai itu memang penuh. Ada beberapa orang pelanggan terpaksa menunggu untuk mendapatkan tempat duduk mereka.

“Oh, aku belum beritahu kau lagi. Ini kedai keluarga aku,” kata Dawas.

“Ayah dan mak aku seorang tukang masak. Ayah aku bercadang mahu membesarkan kedai ini tetapi belum diputuskan lagi bila waktunya,” terang Dawas.

Abriel mengangguk-anggukkan kepalanya sambil melihat sekitarnya. Melihat makanan yang banyak di depannya, dia teringat bondanya. Apalah khabar bondanya sekarang.

Berselerakah bondanya ketika makan? Kesunyiankah bondanya apabila berseorangan? Terbit rasa risau dalam hatinya.

Tiba-tiba, tangannya disiku. Abriel berpaling melihat Aileen Amanda yang sedang memandangnya.

“Dawas tanya kau tu.”

Abriel memandang Dawas. “Kau tanya apa?”

“Ayah dan mak kau kerja apa?” tanya Dawas.

“Bonda aku tanam sayur-sayuran. Kemudian, bonda akan jual kepada orang kampung. Ayah aku dah tiada,” jawab Abriel.

Semua orang terdiam membisu. Dawas yang biasanya banyak cakap turut terkedu.

“Ayah aku dah tiada sejak aku kecil lagi. Aku dah biasa.” Abriel cuba untuk menceriakan suasana yang tiba-tiba muram.

“Aku pun anak yatim seperti Abriel juga. Kau orang tak payah nak tayang muka begitulah,” kata Aqlan Fann apabila melihat wajah mendung mereka.

“Kau, Haira? Kau nampak macam dah kenal lama dengan Dawas.” Tanya Aqlan Fann.

“Betul tu, rumah aku dekat depan tu saja.” Haira menunjuk ke arah sebuah rumah kedai di luar. Betul-betul di depan kedai Dawas.

“Keluarga aku juga ada kedai juga. Kami buka kedai runcit. Aku dan Dawas membesar bersama. Kami dah macam kembar. Tak pernah berpisah dari kecil lagi,” kata Haira sambil memukul bahu Dawas.

Dawas pula mengaduh kesakitan dengan wajahnya yang berkerut.

“Aileen senyap saja dari tadi. Mak dan ayah awak kerja apa?” tanya Haira.

Kini, semua mata tertumpu ke arah Aileen Amanda. Antara mereka berempat Aileen orang yang paling senyap. Mungkin kerana masih tidak dapat membiasakan diri. Lagipun, mereka berlima baru sahaja beberapa hari bersama. Jadi, tidak hairanlah kalau Aileen Amanda hanya diam.

“Tak ada.” Hanya dua patah perkataan itu sahaja yang keluar daripada mulutnya.

“Maaf, Aileen.” Haira meminta maaf.

“Bukan itu maksud saya.” Tiba-tiba, Aileen Amanda menunduk.

Haira gelisah. Rasa serba salah semakin menggunung.

Mereka juga tidak tahu apa yang perlu mereka buat. Nampaknya, mereka sudah salah pilih topik untuk dibicarakan.

"Cerita saya tak menarik untuk didengar. Lebih baik jika awak yang bercerita saja, Haira," kata Aileen Amanda sambil tersenyum nipis.

Abriel terpana. Pertama kali dia melihat Aileen Amanda tersenyum. Aileen Amanda nampak cantik apabila tersenyum.

Abriel turut tersenyum melihat Aileen Amanda yang memberi respon.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience