BAB 17

Fantasy Series 447

"Bila kita nak berjumpa dengan doktor yang kau katakan tu?" tanya Aileen ketika mereka berdua sedang makan.

Sejak balik daripada membeli makanan tadi, Abriel hanya mendiamkan diri. Aileen pun tidak pasti apa yang difikirkannya.

"Aku dah jumpa dia tadi. Sinan namanya. Pak Nan dah lama tidak merawat orang. Dia dah tolak permintaan aku awal-awal," jawab Abriel. Kemudian, dia mengeluh lemah.

Kalau mereka balik begitu saja, hancurlah harapan Ilham untuk merawat pesakit-pesakit itu. Dia pun akan rasa bersalah kerana dia yang memberi cadangan.

"Dah tak merawat? Kenapa?" soal Aileen ingin tahu.

"Pak Nan ada merawat seorang pesakit tetapi pesakit itu tak dapat diselamatkan. Satu keluarga salahkannya dan menyuruhnya bersumpah agar tidak merawat pesakit lagi. Sejak daripada itu, dia tidak lagi merawat orang," cerita Abriel.

Aileen mengerut dahi. Dia berasa sangat marah tetapi dia tidak tahu kepada siapa dia mahu lepaskannya.

"Tak patut betul buat Pak Nan macam tu. Itu bukan salahnya. Kejamnya!" Aileen berkata dengan geram.

"Sekarang, aku tak tahu nak minta tolong siapa. Kalau aku asyik merayu saja, aku tak sampai hati juga. Nanti, Pak Nan pula yang merasa serba salah."

Aileen setuju dengan kata-kata Abriel. Sinan sudah bersumpah. Jika Sinan melanggar sumpahnya, pasti orang lain tidak akan mempercayainya. Bukan itu sahaja, kalau perkara yang sama berlaku pasti dia menjadi bahan umpatan orang kampung.

Sedang asyik berfikir, timbul satu idea daripada kepalanya.

"Kalau aku belajar daripada Pak Nan macam mana?" Aileen meminta pendapat Abriel.

Kalau dia belajar merawat daripada Sinan, Sinan tak perlu melanggar sumpahnya. Dia juga dapat membantu orang ramai nanti.

"Boleh. Aku setuju dengan kau. Aku pun nak sertai kau belajar juga. Awal pagi esok, kita ke rumah Pak Nan."

Aileen mengangguk setuju.

                                                            *********************************

Aileen menguap. Kali ini, sudah kali yang ke berapa dia menguap. Semuanya disebabkan Abriel yang mahu ke rumah Sinan pada awal pagi. Dia ingatkan Sinan belum bangun lagi.

Sangkaannya meleset selepas mendengar cerita Abriel. Katanya, "Pak Nan selalu bangun awal pagi. Dia akan pergi mengutip herba. Kemudian, balik ke rumah untuk membuat ubat. Kalau ada pesakit dia akan merawat. Kalau tidak ada, sama ada sepanjang hari itu dia membuat ubat atau cuba untuk membuat eksperimen."

Sekarang, mereka berdua sedang menolong Sinan mengutip herba. Mereka bertiga hanya diam dari tadi. Kedengaran bunyi cengkerik dan serangga-serangga yang lain sahaja.

"Pak Nan." Abriel memanggil.

Sinan berpaling lalu menyahut. Dia bertanya, "Kenapa?"

"Pak Nan betul-betul tak dapat tolong kami ke?"

Sinan terdiam. Walaupun Abriel tidak memberitahu apa yang dia perlu tolong, dia sudah tahu apa yang dimaksudkan oleh remaja itu. Pasti berkait dengan hal semalam.

"Maaflah Abriel. Awal-awal lagi aku tolak,"jawab Sinan.

"Macam mana kalau saya nak minta tolong Pak Nan dengan cara yang lain."

"Cara lain?" Sinan mengerut dahi.

"Kami mahu Pak Nan ajar kami merawat orang."

Sinan terkejut. Dia tidak tahu itu pula yang difikirkan oleh Abriel. Dia juga keberatan mahu membuat keputusan. Bukan kerana dia tidak sudi berkongsi dan mengajar tetapi dia takut mereka berdua tidak dapat bertahan.

"Kau sudah fikir masak-masak ke?" soal Sinan meminta kepastian.

Abriel dan Aileen sama-sama mengangguk.

"Menjadi seorang doktor bukanlah kerja yang mudah. Kau juga perlukan kekuatan mental dan fizikal. Lagi-lagi, penyakit yang kau mahu rawat sekarang kerana penyakit ini penyakit yang mudah merebak. Entah-entah belum sempat kau nak merawat pesakit lain, pesakit yang kau rawat mati dahulu. Aku tidak bermaksud nak menakutkan kau. Jauh sekali mahu perkara buruk berlaku. Aku cuma berharap kalau ini apa yang kau nak, kau kena bertahan sampai habis."

Abriel dan Aileen mengangguk yakin. Mereka sedar akan perkara itu.  Mereka akan pastikan mereka berdua bertahan dan dapat pulang dengan penawar yang dapat menyelamatkan penduduk Kampung Angin.

"Baguslah kalau macam tu. Aku tak perlu cerita banyak-banyak lagi. Selepas habis mengutip, aku akan mengajar kau berdua. Aku akan mengajar apa yang perlu untuk kau merawat penyakit itu. Aku harap kau berdua serius. Kau dah tak ada banyak masa. Aku risau penyakit itu sudah semakin merebak," terang  Sinan.

Selesai sahaja mengutip herba, mereka terus pulang. Aileen teruja mahu mempelajari serba sedikit tentang bidang perubatan itu.

Sinan juga terus mula mengajar mereka berdua. Perkara ini tidak boleh dilengahkan lagi memandangkan penyakit sebegini merebak dengan cepat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience