BAB 14

Fantasy Series 447

5 bulan berlalu dengan cepat. Sepanjang 5 bulan itu juga tiada khabar berita tentang Abriel dan Aileen. Aqlan, Dawas dan Haira, masing-masing masih merisaukan keadaan mereka berdua. Mereka yakin Abriel dan Aileen masih hidup tetapi rasa ragu-ragu itu tetap ada.

Mereka bertiga mula dikenali selepas terlibat dengan kes penghasilan duit haram itu. Nama mereka tidak asing dalam Akademi Mettasha. Nama mereka semakin naik apabila pelajar-pelajar di situ mengetahui mereka bertiga merupakan kenalan seorang kerabat diraja.

Mereka bertiga telah membanggakan nama akademi menyebabkan mereka telah menerima anugerah sebagai Pelajar Terbaik dalam kalangan pelajar Tahun Pertama.

Esok, sebuah pertandingan akan berlangsung. Pertandingan yang sudah menjadi tradisi di situ. Perlawanan arena akan berlangsung antara pelajar akademi-akademi besar seperti Akademi Mettasha, Akademi Paradista dan Akademi Dyvette. Akademi Diraja juga akan menyertai pertempuran itu.

Bilangan pelajar tidak dihadkan. Jadi, semua pelajar boleh mengambil peluang itu untuk menguji kemampuan masing-masing atau menunjuk bakat mereka. Tidak kiralah pelajar Tahun Pertama, Tahun Kedua atau Tahun Ketiga. Semua boleh mendaftar.

Antara pelajar Tahun Pertama, kurang sepuluh orang yang mendaftar. Aqlan dan Dawas termasuk dalam kalangan itu. Haira pula tidak berani untuk menyertainya. Kebanyakan pelajar Tahun Ketiga yang mendaftar memandangkan itu tahun terakhir mereka.

"Kau nampak tenang saja. Kau dah sedia untuk esok?" tegur Dawas apabila dia perasan Aqlan hanya duduk di dalam biliknya.

Dawas duduk di atas kerusi. Dia melihat wajah Aqlan. Tiada senyuman yang terukir.

"Kenapa dengan kau. Kau nampak tertekanlah pula." Dawas cuba untuk mengorek perasaan sebenar kawannya itu.

"Makin dekat hari pertandingan, makin aku teringat Abriel. Kau ingat waktu kita berlima pergi ke Perjumpaan Wira-wira?"

"Mestilah aku ingat. Kalau aku tak sekumpulan dengan kau dan Abriel, memang tak ada harapan untuk aku pergi."

"Masa itu, Abriel mencabar seorang lelaki yang kalahkan Haira. Tak silap aku Harzan namanya. Aku berdebar campur risau waktu itu. Walaupun aku tahu Abriel seorang yang kuat tetapi aku yakin Harzan lebih kuat daripadanya."

"Disebabkan pertempuran mereka, Pejumpaan Wira-wira tamat di situ. Dia dan Harzan, kedua-duanya cedera. Aku terkejut selepas melihat kuasa Abriel. Aku tak sangka dia dapat keluarkan tenaga sekuat itu."

"Aku juga terkejut. Selepas pertempuran itu juga, Abriel mendapat Kuasa Deria. Dia memang seorang yang berbakat. Aku tertanya-tanya kehidupannya sekarang. Kalau dia masih hidup, kenapa dia tak balik ke sini lagi?"

"Bila dia balik, aku akan minta penjelasan daripadanya," kata Dawas dengan bersemangat. Dia mula memikirkan soalan-soalan yang akan ditujukan kepada Abriel.

"Apalah yang dia tengah buat sekarang?"

"Mesti tengah fikirkan kita. Macam kita yang tengah bercakap tentangnya."

                                                          ***********************************

"Uhuk! Uhuk!" Abriel terbatuk.

Tiba-tiba, tekaknya terasa gatal. Aileen yang perasan akan itu terus menghulur segelas air kepada Abriel. Tekaknya berasa lega selepas itu.

Pada petang itu, Abriel dan Aileen pergi ke rumah Bima. Sudah berbulan-bulan mereka berdua membantu keluarga Bima menanam.

Hampir setiap minggu mereka datang untuk melihat perkembangan keluarga itu. Hari makin hari, keluarga itu semakin mahir dan jualan mereka sentiasa bertambah.

"Terima kasih sebab kamu sudi datang dan bantu pak cik selama berbulan-bulan ni. Kalau kamu perlukan sayur-sayuran, datang saja ke sini. Pak cik beri percuma untuk kamu berdua."

"Tak perlu begitu, pak cik. Lagipun, kami mungkin akan keluar dari kampung ini tak lama lagi."

"Kamu bukan orang sini?" tanya Ayah Bima dengan nada terkejut.

Abriel menggeleng. "Bukan. Kami diselamatkan oleh seseorang dan menyembuhkan luka kami di kampung ini."

Ayah Bima menganguk-anggukkan kepalanya.

"Saya rasa kami perlu balik sekarang. Matahari pun dah makin menghilang," kata Abriel sebelum dia berlalu pergi dari situ.

"Kau ada soalan ke?" soal Abriel secara tiba-tiba ketika dia dan Aileen dalam perjalanan pulang.

Aileen terkejut. "Kau tahu macam mana aku ada soalan?"

"Dari tadi, kau asyik diam dan pandang aku. Dahi kau berkerut. Kau tengah fikirkan apa?"

Aileen menggosok belakang kepalanya. Dia berasa malu kerana perbuatannya itu diketahui oleh Abriel.

"Kau tahu banyak benda. Aku cuma tertanya-tanya kehidupan kau sebelum ini macam mana."

"Kehidupan aku?" Abriel tersenyum sebelum menyambung kata-katanya, "Kehidupan aku tak sempurna tetapi aku hidup secukupnya. Aku hanya datang dari sebuah kampung kecil dan hidup aku tak sehebat yang kau sangka pun. Aku hidup tanpa seorang manusia yang bernama ayah. Kebanyakan orang kampung juga cuba untuk menjauhi aku dan bonda. Mungkin kerana kami lain daripada mereka. Mereka manusia biasa tanpa kuasa. Jadi, bonda yang banyak memainkan peranan dalam membesarkan aku. Aku yang sekarang, semuanya daripada didikan bonda aku."

"Kenapa kau pindah ke kampung tu?" tanya Aileen ingin tahu.

Setahunya, semua rakyat Tamim dilahirkan dengan kuasa. Jadi, Abriel juga berasal dari negara besar itu.

"Bonda pernah beritahu. Disebabkan peperangan 10 tahun lepas itu, kami berpindah tetapi aku tak pernah ingat peperangan itu pernah berlaku. Mungkin waktu itu aku masih kecil."

Aileen mengangguk sambil tersenyum. Dia agak cemburu dengan kehidupan Abriel. Walaupun keluarganya sebuah keluarga besar, masing-masing membuat hal sendiri. Tiada siapa kisahkan dirinya. Membuatkan dia kesunyian tanpa ahli keluarga sendiri. Disebabkan mereka menganggap dirinya sebagai pembawa malang, dia tidak dilayan.

Dia mahukan sebuah keluarga yang mengambil berat antara satu sama lain. Apa yang diimpikan tidaklah terlalu besar tapi sukar bagi keluarganya. Mungkin dia memang dilahirkan untuk dibenci keluarga sendiri.

"Kenapa kau nampak muram? Kau ada masalah?" tanya Abriel risau.

Walaupun Aileen jarang bercakap, dia tak pernah melihat wajah Aileen yang sekarang. Mukanya sedih dan kepalanya menunduk. Abriel yakin Aileen masih memendamkan sesuatu.

"Tak ada apalah. Aku cuba terfikir. Pasti aku akan rasa berat hati mahu tinggalkan tempat ini. Tak sangka sudah berbulan-bulan kita di sini. Aku tertanya-tanya keadaan di sana."

Kini, giliran Abriel pula berwajah sedih. Apabila difikirkan semula, dia mengiakan apa yang dikatakan oleh Aileen.

"Aileen," panggil Abriel secara tiba-tiba.

"Aku tahu kau rahsiakan sesuatu daripada aku dan kawan-kawan kita yang lain tapi aku cuma harapkan satu sahaja daripada kau."

"Apa dia?"

"Aku mahu kau kekalkan perangai kau yang sekarang. Kau jangan salah faham. Aku tak bermaksud perangai kau sebelum ini teruk tapi..." Abriel kelihatan teragak-agak mahu meneruskan ayatnya. "... aku lebih sukakan perangai kau yang sekarang."

Aileen tergelak.

"Tak ada masalah. Aku sepatutnya berterima kasih. Disebabkan kau, satu persatu perkara yang aku risaukan menghilang."

"Aku tak tahu apa yang pernah kau alami waktu kecil tapi kalau kau mahu luahkan sesuatu aku boleh pinjamkan telinga aku."

Aileen mengangguk. Abriel memang seorang kawan yang baik. Tidak sia-sia dia mengenali Abriel.

Sewaktu mereka berdua sampai di depan rumah Ilham, masing-masing terkejut. Kelihatan beberapa barisan penduduk kampung yang sedang beratur. Kebanyakan daripada mereka sedang dirawat di atas katil. Tidak pernah klinik Ilham dipenuhi orang seramai ini.

Abriel dan Aileen terus berlari ke arah pasangan suami isteri yang sedang sibuk itu.

"Akhirnya, balik pun awak berdua," kata Harsha lalu melepaskan nafas lega.

"Kenapa ramai sangat orang? Apa yang berlaku?" tanya Aileen kalut.

"Aku tak pernah berjumpa lagi dengan penyakit ini. Aku pun tak pasti penyakit apa. Aku hanya mampu berikan ubat tahan sakit sahaja," jawab Ilham dengan wajah yang berpeluh.

Dahinya berkerut. Penyakit yang dialami oleh penduduk kampung ini sangat pelik. Kulit mereka merah dan menggelupas. Disebabkan itu, kulit mereka juga berdarah. Luka mereka itu seakan-akan diheret atas permukaan yang kasar.

Badan mereka juga kepanasan. Ilham tidak berapa pasti sama ada mereka diracun tetapi Ilham sudah memeriksa. Racun memang tidak dijumpai.

"Kau orang, tolong aku agihkan ubat ini. Suruh mereka sapu atas luka masing-masing." Ilham mengarah mereka berdua sebelum dia hilang daripada pandangan.

"Mereka boleh sembuh ke?" tanya Abriel kepada Harsha.

Harsha tersenyum sebelum menjawab, "Ilham tak pernah mengecewakan pesakitnya. Walaupun ini penyakit baru yang dia jumpa, dia pasti dapat mencari penawarnya. Akak yakin mereka akan sembuh nanti."

Abriel mengangguk faham. Dia berasa risau apabila memikirkan Ilham. Bukan seorang dua yang mengalami penyakit ini tetapi berpuluh-puluh orang yang sedang mengerang kesakitan.

Seperti yang diarahkan oleh Ilham, Abriel dan Aileen berjalan ke arah pesakit-pesakit itu lalu mengagihkan ubat tahan sakit itu.

Ilham memerhati keadaan di halaman rumahnya dari dalam. Dia buntu. Satu persatu buku perubatan dibelek. Dia masih tidak pasti punca penyakit itu. Dia mengesyaki penyakit itu adalah penyakit yang mudah merebak.

Tangan Ilham terhenti seketika. Penyakit yang mudah merebak? Dia berlari keluar lalu memanggil Harsha, Abriel dan Aileen. Dahinya berkerut risau.

Ketiga-tiga mereka terus mendekati Ilham yang berwajah tegang.

"Jangan duduk di luar. Cepat masuk ke dalam." Ilham menolak mereka masuk ke dalam.

"Kenapa ni, Abang Ilham?" tanya Abriel.

Ilham tidak menjawab. Dia memeriksa keadaan Harsha. Tangan Harsha diperhatikannya dengan teliti. Begitu juga pada bahagian kaki. Dia turut memeriksa tangan dan kaki Abriel dan Aileen.

"Penyakit yang dibawa oleh mereka adalah penyakit berjangkit. Mungkin daripada sentuhan atau udara. Jadi, kau tak boleh keluar sesuka hati. Pakai sarung tangan dan penutup muka. Aku tak pasti kalau penyakit membawa maut atau tak. Pastikan kau jaga kesihatan kau." Ilham memberi nasihat.

Masing-masing mengangguk faham.

"Ini kali pertama penyakit ini berlaku dalam kampung ini ke?" soal Abriel.

Ilham mengangguk mengiakan. Dia memandang Abriel. Dahi Abriel berkerut memikirkan sesuatu.

"Kau tahu sesuatu ke, Abriel?" tanya Ilham.

"Saya macam pernah lihat penyakit ni tapi saya tak pasti kalau penyakit ini penyakit yang sama. Luka-luka pada badan pesakit itu lebih kurang sama dengan penyakit yang pernah berlaku di kampung saya dulu," terang Abriel.

Abriel harap apa yang difikirkannya betul. Penyakit yang menyebabkan luka-luka pada badan pesakit itu pernah berlaku di kampungnya tapi dia tidak berjangkit dengan penyakit itu.

Dia pun tak pasti kenapa. Mungkin disebabkan bondanya sudah melarangnya keluar setelah mengetahui tentang penyakit itu.

"Apa yang berlaku selepas tu? Mereka sembuh?" tanya Ilham.

Abriel mengangguk.

"Seorang pak cik tua yang merawat mereka. Mungkin kita boleh berjumpa dengan pak cik tu." Abriel memberi cadangan.

Kemahiran pak cik tua itu dalam bidang perubatan memang tak dapat dinafikan. Mungkin lebih hebat daripada Ilham memandangkan dia mempunyai kemahiran dan pengalaman.

Ilham terdiam memikirkan langkah yang perlu diambilnya. Dia tidak boleh bertindak dengan lambat.

"Abriel, Aileen, kau berdua pergi berjumpa pak cik tu. Pastikan kau bawa dia datang ke sini. Kalau tidak, penyakit ini tak dapat dikawal lagi. Aku tunggu kau orang," kata Ilham.

Abriel dan Aileen mengangguk dengan bersemangat. Mereka gembira kerana diberi kepercayaan yang tinggi oleh Ilham.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience