BAB 16

Fantasy Series 447

Dua hari telah berlalu. Seperti yang disuruh oleh Ilham, Abriel dan Aileen dalam perjalanan ke kampung Abriel untuk mencari doktor yang disebut oleh Abriel.

"Abriel, berapa lama lagi kita perlu berjalan?" tanya Aileen. Matahari sudah naik meninggi. Wajahnya berpeluh dan berminyak. Badannya juga sudah melekit.

Selama dua hari itu juga, mereka berdua tidak mandi. Hanya berhenti untuk makan dan tidur.

"Kau nampak tak orang ramai kat depan sana?" Abriel menunjuk ke arah orang ramai yang kelihatan sibuk menjual dan membeli.

Aileen mengangguk memberi jawapan.

"Itulah kampung aku. Aku rancang nak berhenti di rumah dahulu. Sudah lama aku tidak berjumpa bonda aku. Lagipun, kau pasti tak selesa dengan pakaian yang sama," kata Abriel.

Aileen bersetuju dengan Abriel. Memang dia tidak selesa pun.

Seperti yang dirancang oleh Abriel, mereka berhenti di rumahnya dahulu. Abriel mengetuk pintu rumahnya. Namun, tiada sahutan atau jawapan.

Abriel mengerut dahi.

"Mungkin mak cik keluar." Aileen meneka.

"Tak. Bonda tak akan keluar pada waktu begini." Abriel hairan.

Dia terus membuka selak pada pintu rumah lalu menolaknya. Dia melangkah masuk dan diekori oleh Aileen.

Keadaan di dalam rumah itu tidak berubah. Tiada tanda-tanda pecah masuk. Abriel tertanya-tanya. Rumah itu juga berdebu dan berhabuk. Bondanya pergi ke mana?

"Nampaknya, bonda aku tak ada di rumah. Kau pergilah mandi. Aku nak keluar beli makanan. Buat macam rumah sendiri saja," pesan Abriel sebelum dia keluar.

Aileen menghembus nafas lega. Abriel seakan-akan memahaminya. Bukannya dia tak suka kalau satu rumah dengan Abriel, cuma dia rasa tidak selesa. Lagipun Abriel lelaki dan dia perempuan.

Aileen terus mencari bilik mandi. Dia perlu mandi sebelum Abriel balik.

Abriel mengurut dadanya. Entah kenapa jantungnya asyik bergerak laju. Dadanya terasa sempit apabila dia bersama Aileen. Macam orang sesak nafas. Abriel menggeleng-geleng kepalanya.

Dia terus mencari-cari kedai yang menjual makanan. Dia berhenti di sebuah kedai yang biasa dia singgah bersama bondanya.

"Eh, itu bukan ke budak pelik yang duduk kat hujung kampung?" Dari jauh Abriel sudah boleh dengar suara itu.

Walaupun sudah hampir setahun dia tinggalkan kampung ini, perangai mereka masih tidak berubah. Adakah sebab mereka, bondanya keluar dari kampung?

"Aku nampak dia bawa balik perempuan. Entah-entah, sesuatu berlaku. Sebab itulah Jasmin tak balik-balik sampai sekarang. Mesti tak mahu berjumpa dengan anak dia."

"Orang yang tak tahu malu saja boleh terima anak perangai teruk macam tu."

Abriel menahan marahnya.

"Kau berdua ni, tak habis-habis mengumpat. Kalau kau dah habis makan, cepat-cepatlah keluar dari kedai aku. Disebabkan mulut kau orang, pelanggan aku lari," seorang pak cik yang berusia menyampuk.

"Kami bercakap saja, pak cik. Lagipun, betulkan apa yang kami cakap. Jasmin dah lama keluar dan tak balik-balik sampai sekarang. Entah-entah ada kaitan dengan budak pelik ini."

"Dah, kau orang keluar. Aku tak mahu tengok muka kau berdua." Pak cik itu mengahalau dua wanita itu.

Sempat mereka menjeling ke arah Abriel sebelum berlalu pergi.

"Maaflah, Abriel. Kamu tak payah nak ambil hati. Mulut mereka berdua memang macam tu."

Abriel mengangguk. Siapalah yang tak kenal dengan dua wanita tadi. Kaki gosip dan sebar berita yang tak betul. Yang selalu menjadi mangsanya mestilah Abriel dan bondanya memandangkan mereka berdua lain daripada penduduk kampung di situ.

"Kuasa yang ada pada kamu itu bukan satu kelemahan tapi satu kelebihan. Pak cik pun tak ada kuasa macam kamu. Hah, kamu datang nak beli apa?" soal pak cik.

"Mi sup dua, pak cik," pesan Abriel.

Pak cik ini memang baik dengannya dan bonda. Bukan seperti orang lain yang hanya tahu mengata.

"Dua? Mak kamu dah balik ke?" tanya pak cik itu.

"Belum lagi. Saya datang dengan kawan. Saya ingat nak jumpa dengan bonda tapi bonda tak ada di rumah."

"Mak kamu dah lama tak balik sebenarnya. Dalam lima bulan rasanya. Pak cik ingatkan kamu datang dengan mak kamu tu."

"Pak cik tahu ke bonda pergi mana?"

"Tak tahulah pula tapi pak cik ada dengar Jasmin pergi ke Tamim. Eh, seingat pak cik kamu pun ke Tamim juga kan?"

Abriel mengangguk mengiakan. "Tapi ada kemalangan berlaku. Saya tinggal di Kampung Angin. Saya datang nak jumpa seseorang."

"Lat, aku nak mi sup satu," sampuk seseorang tiba-tiba.

"Lah, kau rupanya Sinan," sapa pak cik itu atau nama sebenarnya ialah Selat.

"Abriel, lama tak nampak," sapa Sinan.

"Saya baru balik, Pak Nan. Saya datang nak berjumpa dengan Pak Nan sebenarnya," kata Abriel berterus terang.

Sinanlah doktor yang dimaksudkan oleh Abriel. Dia perlu memujuk Sinan dengan segera. Nyawa orang tidak boleh dibuat main.

"Nampak macam serius saja. Ada apa-apa yang berlaku?" soal Sinan.

"Penyakit yang pernah berlaku di kampung ini berlaku di Kampung Angin. Kami perlukan Pak Nan untuk merawat merekat di sana."

Sinan terdiam seketika. Dia sudah ada jawapannya jika dia disoal begini tapi apabila melihat wajah Abriel yang penuh berharap dia mahu berubah fikiran.

Sinan cepat-cepat menghalau jawapan-jawapan yang ada dalam fikirannya.

"Tak. Aku tak boleh pergi," jawab Sinan.

"Abriel, Nan, ni mi kau berdua." Selat menghulur satu plastik kepada Abriel dan satu plastik lagi kepada Sinan.

Sinan terus berjalan pergi tanpa berpaling ke belakang. Namanya yang dipanggil oleh Abriel tak dilayannya. Dia tak boleh berganjak daripada jawapannya.

Abriel mengeluh apabila melihat Sinan yang semakin menjauh.

"Kamu pujuklah berapa kali pun. Dia akan beri jawapan yang sama," kata Selat tiba-tiba.

Abriel mengerut dahi. Dia tidak memahami apa maksud Selat.

"Apa yang berlaku, pak cik?"

"Beberapa bulan lepas, satu kejadian berlaku. Beberapa orang diracun dan Sinan tak dapat selamatkan mereka. Keluarga si mati salahkan Sinan sampaikan tak benarkan Sinan merawat orang lagi. Jadi, Sinan terpaksa bersumpah yang dia tak akan merawat orang lagi. Sampai sekarang, tak ada orang mencari Sinan kalau mereka sakit. Mereka sanggup pergi kampung sebelah," cerita Selat.

Abriel tak sangka itu yang berlaku kepada Sinan. Apalah yang orang kampung ini fikirkan sampaikan sanggup merosakkan pekerjaan orang lain.

"Terima kasih, pak cik. Saya rasa dah lama saya di sini. Saya balik dahulu."

Abriel mengundur diri. Dia perlu berbincang dengan Aileen. Nak datang ke kampung ini pun memakan masa dua hari. Takkanlah mereka perlu kembali ke Kampung Angin dengan tangan kosong. Apapun, mereka perlu memujuk Sinan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience