BAB 4

Fantasy Series 447

Tiga hari telah berlalu setelah ujian Akademi Mettasha selesai. Abriel dan Aqlan Fann berjaya memasuki akademi tersebut. Hari ini adalah hari pertama mereka di situ. Mereka diminta untuk menunggu di dalam dewan akademi selepas pembahagian bilik selesai. Mereka berdua juga menjadi rakan sebilik. Setiap bilik yang disediakan dapat memuatkan dua orang pelajar.

Beberapa minit kemudian, suasana bising bertukar sunyi. Nail Ihsan muncul di atas pentas dewan itu.

“Selamat datang ke Akademi Mettasha.”

Tepukan bergema di dalam dewan itu menyambut kata-kata Nail Ihsan.

“Pertama sekali, saya perlu ingatkan kepada semua. Akademi Mettasha menganggap semua pelajarnya setaraf. Siapa yang berkedudukan tinggi tidak disanjung setinggi-tingginya. Orang yang lemah juga tidak akan dilayan dengan seburuk-buruknya. Sesiapa yang melanggar peraturan ini akan didenda mengikut keputusan pihak akademi.”

Semua orang mengangguk faham.

“Pada hari pertama, kalian akan dibahagikan kepada tiga kelas. Kekuatan kuasa kalian akan menentukan kelas masing-masing. Pembahagian kelas ini bukan untuk membanding-bandingkan tahap penguasaan kamu semua tetapi untuk mengetahui dan mengatasi kelemahan masing-masing. Jadi, batu di hadapan kamu ini akan menentukan tahap kuasa kamu sendiri.”

Abriel melihat batu yang dinyatakan. Jika dia tidak tahu tentang kisah batu istimewa yang menyebabkan perubahan kepada manusia, pasti dia hanya menganggap batu itu seperti batu biasa.

Abriel tidak kisah kelas mana dia akan masuk. Dia hanya ingin memenuhi harapan bondanya. Belajar dan menolong mereka yang memerlukan.

“Baiklah, saya akan panggil nama satu persatu. Kalian datang ke sini dan sentuh batu ini dengan tapak tangan kamu. Seperti ini.” Nail Ihsan meletakkan tapak tangannya sendiri sebagai contoh. Lebih ¾ bahagian batu itu bercahaya tetapi bukan keseluruhannya. Pelajar-pelajar bersorak teruja.

Kemudian, satu persatu nama dipanggil sehinggalah namanya dipanggil, “Pelajar seterusnya, Adi Abriel.”

Abriel melangkah ke atas pentas itu. Seperti yang dinyatakan oleh Nail Ihsan, dia terus menyentuh batu itu. Pada mulanya, batu itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Namun, tidak lama kemudian batu itu mula bercahaya.

Abriel terkejut. Begitu juga dengan semua orang yang berada di dalam dewan itu. Batu itu bercahaya sepenuhnya sekaligus menewaskan tahap kuasa Nail Ihsan, seorang yang sudah lanjut usianya.

“Kamu dapat menguasai berapa kuasa?” tanya Nail Ihsan.

Dia betul-betul terkejut. Dia sendiri baru menguasai lima jenis kuasa tetapi tahap kuasanya tidak standing budak lelaki di hadapannya ini.

“Saya dapat menguasai Kuasa Penglihatan dan Pendengaran tetapi Kuasa Pendengaran saya masih lemah,” jawab Abriel. Rasa terkejutnya masih tidak hilang.

Nail Ihsan terdiam. Hanya dua kuasa sahaja sudah membuatkan batu itu bercahaya terang. Dia juga tertanya-tanya jika budak lelaki itu dapat menguasai lebih banyak kuasa. Dia mula tertarik dengan dengan Abriel. Sangat berpotensi.

Kemudian, sesi pembahagian kelas diteruskan. Dia dan Aqlan Fann Berjaya memasuki kelas 1.

Kalau cahaya yang dikeluarkan oleh batu itu kurang daripada ¼ bahagian, pelajar itu akan ditempatkan dalam kelas 3. Kelas 2 pula untuk pelajar yang berjaya membuatkan batu itu bercahaya separuh. Jika lebih daripada separuh bahagian batu itu becahaya, pelajar itu akan berada dalam kelas 1.

Semasa sesi itu berlangsung, Abriel tertarik dengan seorang pelajar perempuan dan namanya dipanggil sebagai pelajar yang terakhir.

“Saya tahu apa yang kamu fikirkan. Salah seorang pelajar yang terpilih tidak dapat mendaftar masuk. Jadi, pihak akademi telah membuat keputusan bagi pelajar yang layak memasuki akademi ini.”

Pelajar perempuan itulah yang telah ditewaskan olehnya. Abriel juga tak sangka dia akan berjumpa dengannya lagi.

“Jadi, kamu semua boleh bergerak ke kelas masing-masing.”


*******************
Sudah hampir dua minggu berlalu. Sepanjang dua minggu itu juga dia telah mempelajari banyak perkara di Akademi Mettasha. Walaupun dia berasa letih setiap hari, dia tetap berasa seronok.

Tiba-tiba, bahunya ditolak lembut. Dia tersedar daripada lamunannya lalu berpaling ke arah Aqlan Fann yang duduk di sebelahnya.

“Kenapa?” tanya Abriel yang hairan dengan tingkah Aqlan Fann.

“Kau tak sedar ke kau sedang diperhati dari jauh?” tanya Aqlan Fann dengan suara yang perlahan.

“Apa yang kau merepek? Kau ingat aku ada masa nak cari musuh?” Abriel menyambung suapannya.

Sekarang adalah waktu makan mereka setelah seharian kelas. Esok pulah sudah hujung minggu. Hari cuti buat mereka. Jadi, mereka dibenarkan untuk keluar sama ada pulang melawat keluarga atau keluar berjalan.

“Habis, kenapa budak perempuan tu asyik pandang kau saja dari tadi?”

“Budak perempuan?” Abriel kerut dahi.

Dia pun tak tahulah apa yang difikirkan Aqlan Fann. Perkara sebegitu pun dapat dikesan olehnya.

Aqlan Fann menunjuk seorang perempuan yang ralit menyuap makanannya tanpa menyedari dirinya menjadi bahan bualan mereka.

“Aileen Amanda.” Abriel menyebut nama perempuan itu.

“Haah. Aileen Amanda. Kau ingat nama dia?” Aqlan Fann tersengih.

“Dia orang perempuan pertama yang berlawan dengan aku. Pastilah aku ingat. Lagipun, dia sekelas dengan kita. Kau lupa?”

“Kau tak rasa dia agak pelik. Aku tengok dia tak ada kawan. Kau tak nak jadi kawan dia?” Aqlan Fann mengangkat-angkat keningnya sambil tersengih.

Abriel menggeleng. Bukannya dia tak faham apa yanag dimaksudkan sahabatnya itu.

“Kalau kau suka dia, kenapa kau saja tak tegur dia?”

Aqlan Fann mencebik, “Aku dah tegur tapi dia tak layan aku.”

Abriel tergelak apabila mendengar jawapan Aqlan Fann. Dia terus bangun dari tempat duduknya.

Aqlan Fann pula terkejut melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Abriel. Abriel betul-betul mahu tegur ke? Dia tak sangka Abriel akan mengambil serius dengan kata-katanya.

Abriel melangkah kea rah Aileen Amanda sambil tangannya membawa makanannya yang belum dihabiskan. Dia melabuhkan punggungnya di hadapan Aileen Amanda.

Aileen Amanda terkejut. Aqlan Fann turut bangun lalu mengambil tempat di sebelah Abriel.

“Kenapa kau datang duduk sini pula. Aku bergurau saja tadi,” kata Aqlan Fann yang nampak gelisah di sebelah Abriel.

“Lah, aku nak tolong kaulah.”

Bunyi deheman Aileen Amanda menghentikan perbualan antara Abriel dan Aqlan Fann.

“Nama kau Aileen Amanda, kan?” tanya Abriel. Cuba untuk memulakan bicara antara mereka.

Aileen Amanda hanya mengangguk mengiakan. Kemudian, suasana antara mereka sunyi semula.

Aqlan Fann yang kebiasaannya bising turut diam tidak bercakap.

“Kawan aku cakap kau asyik pandang aku. Betulkah?” tanya Abriel tanpa berdalih.

Aileen Amanda tercekik. Aqlan Fann membulatkan matanya. Terkejut apabila Abriel berterus terang.

Dia tidak menafikan itu apa yang dikata olehnya.

“Pa… pandang kau?”

Abriel memandang Aileen Amanda. Menanti jawapan daripadanya.

“A… aku cuma mahu pastikan sesuatu sahaja.”

Terangkat kening Abriel apabila mendengar jawapan Aileen Amanda. Dia tak sangka perempuan di hadapannya ini mengakui perbuatannya itu.

“Apa yang kau nak pastikan daripada aku?” tanya Abriel ingin tahu.

“Aku dah dapat jawapannya. Maaf kalau aku buat kau tak selesa,” jawab Aileen Amanda. Wajahnya kelihatan serba salah.

Dia bangun lalu berkata, “Aku pergi dulu.” Kemudian, Aileen Amanda hilang daripada pandangan mereka berdua.

Aqlan Fann tergelak, “Kau buat dia cuak saja.”

“Aku ingatkan kau hanya berbohong.”

Aqlan Fann mencebik.

“Aku rasa macam aku pernah jumpa dia tapi aku tak ingat.”

Abriel mengerut dahi. Cuba mencari memori yang hilang itu.

“Sudahlah tu berfikir. Bila kau nak balik?”

Abriel terus menghabiskan sisa makanannya. Kemudian, dia dan Aqlan Fann beredar dari situ.


**************************
“Apa perkembangan terbaru tentang majlis aku?”

Suara garau itu bergema. Ruangan itu kosong. Hanya ada mereka berdua sahaja.

Seorang lelaki agak tua dan berjanggut putih duduk di atas singgahsananya dengan senang hati.

Di depannya, berdiri seorang lelaki yang menundukkan kepalanya. Tidak diangkat dari tadi lagi.

“Persiapan majlis ulang tahun Tuanku berjalan dengan lancer. Tuanku tak perlu risau kerana Tuanku pasti berpuas hati,” jawab lelaki itu.

“Aku tak perlukan majlis yang gah. Cukuplah sekadar majlis kecil-kecilan untuk mengekalkan tradisi yang diamalkan oleh nenek moyangku. Aku hanya perlukan sokongan rakyat sahaja. Lagipun, kau asyik menunduk saja dari tadi. Muka aku menakutkan kau ke?” tanya lelaki tua yang digelar Tuanku itu.

Lelaki yang sedang menghadapnya terus mengangkat kepalanya. Dia tersenyum kekok.

“Ampunkan aku, Tuanku. Ini kali pertama aku berjumpa Tuanku. Aku cuma berasa teruja campur cuak,” jawab lelaki itu.

Ghifari Hafis memang terkenal dalam kalangan
rakyat. Selalu memikirkan keadaan rakyatnya. Ketika ada antara rakyat Tamim yang kesusahan, Ghifari Hafislah yang menjadi orang pertama turun membantu walaupun dalam kesibukan.

“Aku dengar adik perempuan kau hilang. Kau masih belum menjumpainya?” tanya Ghifari Hafis.

“Belum, Tuanku. Tidak lama lagi, pasti kami menjumpainya juga. Maafkan aku dan keluargaku kerana telah membuat Tuanku susah hati.”

Lelaki itu menundukkan kepalanya berulang-ulang kali beserta kedua-duanya tapak tangannya yang melekat.

“Tidak perlu berasa bersalah. Bapa kau seorang perdana menteri. Antara orang kepercayaan aku. Aku cuma bercadang untuk menyatukan adik perempuan kau dengan putera mahkota. Nampaknya aku perlu tangguhkan dahulu rancangan aku.”

Lelaki itu menayang muka bersalah. Ini merupakan satu penghormatan buat keluarganya jika benar adiknya bakal disatukan dengan putera mahkota.

“Kami pasti dapat menjumpainya. Terima kasih atas perhatian yang Tuanku berikan.”

“Atau kau perlukan tentera Tamim untuk bantu mencari? Aku boleh arahkan Jeneral Said untuk menolong keluarga perdana menteri.”

“Terima kasih atas tawaran Tuanku. Tapi aku terpaksa menolak. Bapaku juga pasti tidak akan menerima bantuan daripada Tuanku. Maksud aku, kami tak mahu menyusahkan Tuanku.” Lelaki itu menundukkan kepalanya.

Sebenarnya, dia dan keluarganya memang sedang susah hati. Adik perempuannya sudah menghilang selama seminggu. Jejaknya pun tidak dapat dikesan.

Dia takut adiknya tersesat atau dalam masalah. Lagipun, adiknya tak pernah keluar dari rumah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jeneral Said datang menghadap!”

Laungan itu mengejutkan anak lelaki perdana menteri itu. Habis hilang apa yang difikirkannya.

Kemudian, seorang lelaki berumur setengah abad itu berjalan dengan penuh yakin mendekati Ghifari Hafis.

Walaupun badannya tidak dibaluti dengan pakaian perang yang sering dipakainya, aura seorang jeneral tetap dapat dirasai. Itulah Jeneral Said, orang penting Ghifari Hafis.

“Aku meminta izin untuk beredar dahulu, Tuanku.”

Anak perdana menteri itu menunduk sekali lagi sebelum beredar dari situ.

“Ampun, Tuanku,” sembah Jeneral Said.

“Bangun,” arah Ghifari Hafis.

“Apa tujuan aku dipanggil?” tanya Jeneral Said ingin tahu.

“Aku inginkan kau mengawal majlis aku dengan ketat ketika sedang berlangsung. Aku risau puak hitam akan membuat onar.”

“Baiklah, Tuanku. Aku menurut perintah.”

Jeneral Said menunduk tanda menerima perintah, “Ada apa-apa yang perlu aku lakukan lagi?”

“Aku mahu kau membantu Bareeq mencari anak perempuannya. Perkara ini jangan sampai ke pengetahuannya. Selepas itu, akum ahu turun dari takhta. Aku mahu putera mahkota ditabalkan dan anak perempuan Bareeq sebagai pasangannya,” kata Ghifari Hafis dengan wajah yang gembira.

Sudah lama dia merancangkan hal ini tetapi apabila tiba waktu yang sesuai, ada masalah lain pula yang berlaku.

“Anak perempuan Bareeq? Tuanku yakin mahu satukan tuanku putera dengan anak Bareeq?” tanya Jeneral Said dalam nada terkejut.

“Aku dengar anak perempuan Bareeq pembawa malang. Ke mana sahaja dia pergi, pasti aka nada masalah berlaku. Tuanku yakin mahu jadikannya sebagai permaisuri?”

“Aku tidak kisah jika dia pembawa malang atau pembawa tuah sekalipun. Aku tidak percaya akan perkara itu. Apa yang aku tahu dia seorang yang bijak. Mungkin dia dapat menolong puteraku dalam pentadbiran negara. Kau pun tahu bagaimana sikap putera mahkota. Hanya berfoya-foya sahaja.” Ghifari Hafis mengeluh.

“Tuanku tidak perlu susah hati. Aku tahu apa yang perlu aku buat,” kata Jeneral Said.

“Pastikan kau jumpa, Jeneral Said. Aku telah ada rancangan yang lain selepas aku serahkan tanggungjawab aku kepada puteraku.”

Jeneral Said mengangguk faham.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience