BAB 13

Fantasy Series 447

“Tak guna!” Meja di hadapannya ditumbuk dengan kuat.

Nafasnya tidak teratur. Perasaan marahnya membuak-buak.

“Kalau aku tahu perkara ini akan berlaku, aku patut suruh mereka berdua tengok lelaki itu mati di hadapan mereka.”

Dia betul-betul marah. Habis musnah rancangannya.

“Ayah tak perlu naik angin. 100 kali rancangan kita gagal, 100 kali juga rancangan baru kita buat.” Seorang lelaki muda masuk ke dalam bilik itu tanpa mengetuk terlebih dahulu.

Lelaki tua yang digelar sebagai ‘ayah’ itu mendengus.

“Kali ini, ayah patut dengar kata saya pula.”

“Apa rancangan kau?” tanya si ayah ingin tahu. Jarang anaknya mahu menyibuk halnya.

Kalau anaknya betul-betul ada rancangan, dia akan ikut. Bukan kerana dia kehausan cadangan tetapi dia tahu kemampuan anaknya ini.

“Rancangan saya…”

--------------------------------

Dia sibuk menumbuk daun herba yang sudah dikutip pagi tadi. Daun herba ini dikutip di kaki bukit yang berdekatan dengan Kampung Angin itu. Daripada daun itu, Ilham akan menjadikan sebagai ubat untuk merawat pesakit-pesakitnya.

Disebabkan dia tidak tahu jenis-jenis ubat itu, dia hanya dapat membantu dengan kerja kecil ini. Masa berlalu dengan pantas. Tak sangka sudah sebulan lebih dia tinggal di sini.

Dia pun tak tahu bila mereka berdua boleh pulang. Lukanya tidak seteruk Abriel, jadi dia sudah sihat. Abriel juga sudah kelihatan semakin sembuh.

“Termenung apa tu?” tegur seseorang dari belakang. Hilang apa yang difikirkannya sebentar tadi.

“Kak Sha.” Aileen Amanda membalas.

“Habis lumat awak kerjakan herba tu.” Harsha menegur.

Aileen Amanda menjeling ke arah herba yang ditumbuknya. Seperti kata Harsha, daun sudah lumat. Aileen Amanda tersengih.

“Awak mesti rindukan rumah sendiri.”

Aileen Amanda tidak membalas. Sudah lama dia tidak pulang ke rumah. Sejak dia masuk ke akademi, dia tidak menjejakkan kakinya ke rumah.

Bukan kerana dia sibuk tetapi dia memang tidak mahu ke sana. Lagipun, sudah berbulan-bulan dia hilang. Tiada sesiapa yang kisahkan dirinya. Keluarganya memang tidak sukakan kehadirannya dari dulu lagi.

“Kalau awak tak nak cerita pasal rumah awak, awak boleh ceritakan perkara lain. Akak tengok awak macam tak bersemangat kebelakangan ni. Kalau awak ada masalah, awak boleh kongsi.” Harsha memandang gadis di hadapannya.

Sekali tengok, dia tahu gadis ini bukan gadis biasa. Gadis ini juga tidak suka untuk berbicara. Lebih banyak memendam daripada meluahkan.

“Kenapa orang tua suka pentingkan diri sendiri?”

Terjongket kening Harsha setelah mendengar soalan itu. Dia tak tahu apa yang bermain dalam fikiran gadis itu.

“Akak pun tak apa yang patut akak jawab tapi bagi akak apa yang kita buat pasti akan ada alasannya walaupun kita sendiri tak tahu apa alasannya. Walaupun pentingkan diri itu sebenarnya sikap yang tak elok tetapi mungkin ada sebab dia pentingkan diri. Awak pernah tanya orang tua itu kenapa dia pentingkan diri?”

Aileen Amanda terdiam lagi. Tidak. Dia tak pernah bertanya.

“Saya tak rasa dia ada sebabnya. Sejak saya dilahirkan lagi, ayah tak pernah ambil tahu tentang saya. Semua orang tidak kisahkan saya. Keluarga saya sendiri tidak pernah dekati saya. Apa lagi sebab mereka kalau bukan mereka memang tidak sukakan saya. Mereka anggap saya pembawa malang tetapi mereka tak pernah tahu perasaan saya apabila terpaksa membawa gelaran itu. Gelaran yang diberikan oleh keluarga sendiri.”

Aileen Amanda mula bercerita. Dia sendiri tidak tahu mengapa tetapi dia berasa ingin berkongsi ceritanya kepada Harsha.

“Saya dikurung sejak kecil. Saya tidak pernah keluar dari rumah selama lapan tahun. Saya disuruh belajar dari rumah. Saya tiada kawan. Jadi, hanya abang yang menjadi kawan saya. Selepas saya tahu Akademi Mettasha akan mengambil pelajar, saya keluar dari rumah dan tak pernah balik sejak itu. Adakah saya sudah menyusahkan keluarga saya sendiri?”

Waktu itu, baru dia terfikir apa yang berlaku kepada keluarganya setelah dia menghilangkan diri. Adakah keluarganya betul-betul tidak kisahkan dirinya seperti yang difikirkannya.

“Walaupun awak berasa marah tapi akak yakin awak masih kisahkan keluarga awak. Awak tetap sayangkan mereka walaupun mereka berbuat begitu. Akak tak nafikan keluarga awak memang teruk tetapi akak tak boleh nak terus berkata begitu kerana akak tak tahu situasi sebenar keluarga awak.”

“Akak pernah berada dalam situasi begitu tetapi berlainan kisah akak lain daripada kisah awak. Awak sekarang berada dalam umur remaja. Umur yang membangkitkan rasa mahu memberontak. Sebenarnya, keluarga akak menentang hubungan akak dan Ilham. Akak tinggalkan keluarga akak dan berkahwin dengan Ilham. Sejak itu akak tak pernah melawat mereka.”

“Akak tinggalkan keluarga akak? Mustahillah.” Aileen Amanda cuba menidakkan. Dia tidak percaya Harsha begitu orangnya.

Harsha tersengih.

“Pada awal perkahwinan kami, akak tipu Ilham. Akak beritahu dia keluarga akak tak membantah pun hubungan kami tapi suatu hari rahsia tu pecah. Akak sudah agak lambat laun dia akan tahu juga tapi akak tak sangka dia pergi melawat keluarga akak tanpa pengetahuan akak.”

“Kenapa Abang Ilham tiba-tiba saja mahu melawat?” soal Aileen Amanda ingin tahu.

“Sebelum ini, Ilham ada ajak akak pergi melawat mereka tapi setiap kali itu akak tolak. Dia rasa musykil jadi dia pergi ke sana. Disebabkan itu kami bergaduh dan kami hampir berpisah. Ilham seorang yang baik walaupun luarannya tidak kelihatan begitu. Dia pujuk akak untuk berbaik dengan keluarga akak. Kalau keluarga akak tetap tidak bersetuju, dia akan ubah pandangan mereka.”

“Akak ikut cakap Ilham. Mereka tetap mahu memisahkan kami. Waktu itu, akak rasa marah dan anggap mereka pentingkan diri sendiri. Seperti yang dijanjikan, Ilham cuba untuk mengubah pandangan keluarga akak dan dia berjaya. Walaupun Ilham mengambil masa yang lama, pada akhirnya keluarga akak terima dia. Akak mula berbaik dengan keluarga sendiri. Sejak itu, akak tahu sebab mereka mementingkan diri atau sebenarnya itu bukan pentingkan diri mereka tetapi mahu melindungi orang yang mereka sayang. Keluarga akak tak mahu akak hidup dengan lelaki yang pemarah dan panas baran kerana sikap itu akan merosakkan hubungan kami tetapi Ilham lain.”

“Jadi, sebesar mana pun rasa benci itu, rasa itu akan hilang dengan kasih sayang. Awak perlu berbincang dengan keluarga awak. Beritahu perasaan awak yang sebenar.”

Harsha menepuk-nepuk bahu gadis itu. Aileen Amanda pula mengangguk faham.

“Tak payah sambung kerja lagi. Malam ini kita akan keluar.”

“Keluar?” Aileen Amanda hairan.

“Setiap tahun pada hari ini merupakan hari Kampung Angin dibangunkan. Jadi, pada waktu malam semua penduduk akan keluar menyambut hari ini,” terang Harsha.

Aileen Amanda terus mengemas meja yang merupakan tempat dia melakukan kerja itu lalu masuk ke dalam rumah bersama Harsha.

--------------------------------

Mereka berempat keluar bersama pada malam itu. Penduduk Kampung Angin memenuhi jalan. Ramai orang yang membuka kedai. Kedai makan, kedai pakaian dan pelbagai jenis lagi. Tukang tilik pun membuka meja kecilnya di tepi jalan.

Abriel dan Aileen Amanda hanya mengekori Ilham dan Harsha. Jika pasangan itu masuk ke kedai itu, mereka mengikut. Jika pasangan itu memasuki kedai yang lain pula, mereka tetap mengikut. Walaupun sudah seminggu lebih di kampung itu, mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan laluan-laluan di situ kerana mereka jarang keluar.

“Abriel, Aileen, awak berdua pergilah berjalan-jalan. Tak perlu ikut kami pun,” kata Harsha apabila dia perasan mereka berdua hanya diam mengekorinya dan Ilham.

“Tapi saya tak berapa kenal lagi jalan-jalan di kampung ni,” balas Aileen Amanda.

“Kau tak payah risau. Kampung ini kecil sahaja. Kau tak akan tersesat dengan mudah melainkan kau memang betul-betul bodoh,” kata Ilham dengan muka mengejek.

Aileen Amanda membulatkan matanya. “Saya bukan bodohlah.” Dia mendengus. Ilham memang sengaja mencari pasal.

“Kau pergilah berjalan dengan Abriel. Dia lagi pandai daripada kau. Kau tak akan tersesat kalau kau bersamanya. Malam ini, biar aku bersama isteri aku,” kata Ilham lalu menarik tangan isterinya. Mereka berjalan pergi begitu sahaja. Berpaling kepada mereka pun tidak.

Abriel tergelak kecil. Aileen Amanda berpaling memandang Abriel.

“Kenapa kau gelak?”

“Aku gembira tengok kau mula bercakap banyak. Tidak seperti sebelum ini.”

“Kenapa? Aku pendiam ke sebelum ini?”

Abriel mengangguk. “Kau jarang bercakap. Jadi, kami tak tahu apa yang kau fikirkan. Tapi sekarang kau lain. Aku suka diri kau yang sekarang.”

Aileen Amanda menunduk. Mukanya berasa terbakar dengan kata-kata Abriel.

“Sudahlah. Kau pun banyak bercakap. Aku mahu makan di situ. Kau mahu pergi?” soal Aileen Amanda. Perutnya berasa lapar apabila melihat makanan yang dijual di situ.

“Kalau aku tak ikut, kau tak jumpa jalan balik nanti.”

Aileen Amanda mencebik. Abriel dan Ilham sama sahaja. Tidak habis-habis mahu mengejeknya.

Mereka berdua duduk di sebuah meja lalu memesan makanan. Mereka makan dengan senyap.
Masing-masing tidak bersuara. Mungkin kerana lapar atau tiada topik yang mahu dibicarakan.

“Kau mahu ikut aku selepas ini?” tanya Abriel ketika mereka sudah hampir habis.

“Pergi ke mana?” soal Aileen Amanda kembali.

“Satu tempat. Aku terjumpa tempat itu beberapa hari lepas. Kau nak ikut?”

“Boleh saja.” Aileen Amanda terus bersetuju. Takkanlah dia mahu menolak begitu sahaja. Lagipun, kalau dia tidak bersama Abriel memang dia tak dapat pulang pada malam itu.

Ketika mereka mahu keluar dari kedai itu, tiba-tiba, mereka terdengar kekecohan di luar kedai itu. Mereka mendekati sekumpulan manusia yang telah berkumpul di situ terlebih dahulu untuk menyaksikan drama di depan mata.

Seorang remaja lelaki terduduk di atas tanah. Kelihatan seorang wanita sedang memarahinya. Kata-kata wanita itu jelas kedengaran.

“Berani kau mahu menjual sayur-sayur buruk ini. Sudahlah buruk, mahal pula tu. Lagipun, kau berpakaian begini. Kau ingat orang berani mahu membeli dengan kau.”

Pakaian lelaki itu memang pelik. Dia berpakaian gelap dan menutupi tubuhnya dari atas sampai bawah. Abriel seakan-akan pernah melihat cara pemakaian begitu tapi dia sendiri sudah lupa di mana dia melihatnya.

Wanita itu masih membaling kata-kata kesat. Remaja lelaki itu pula diam menunduk. Abriel tidak tahan melihat situasi. Dia mendekati remaja lelaki itu lalu mengusir orang ramai yang berkumpul.

“Sudah, pergi. Tidak perlu bercakap buruk lagi,” kata Abriel.

Semua orang mula beredar. Termasuk wanita yang berkata-kata buruk itu. Dia sempat memandang Abriel dengan tajam seperti mahu membunuh lelaki itu sebelum dia melangkah pergi.

Abriel melutut memandang remaja itu. Remaja lelaki itu mengengsotkan badannya ke belakang.

“Kau tak perlu takut dengan aku. Aku tak berniat apa-apa pun.” Abriel cuba untuk bercakap dengan lelaki itu.

“Te… terima kasih sebab dah tolong saya,” ucap lelaki itu. Abriel tersenyum.

“Apa nama kau?”

“Bima.”

“Kenapa kau jual sayur layu?” Abriel bertanya ingin tahu.

Dia memandang sayur-sayuran yang dibawa oleh Bima. Semuanya sudah layu dan bertukar warna.

“Saya tak tahu saya tak boleh jual sayur dalam keadaan begini. Lagipun, inilah rupa sayur yang saya selalu makan,” jawab Bima dengan jujur.

Abriel terkejut mendengar respon itu. Dia tak sangka kehidupan Bima sangat miskin.

“Kau dapat dari mana sayur-sayuran ni?”

“Sayur-sayuran ini saya ambil dari kebun tanaman kami.”

“Keluarga kau tanam sayur-sayuran ni? Kalau begitu biar aku hantar kau balik. Bahaya kalau kau jalan seorang diri.”

Aileen Amanda memandang Abriel dari belakang. Dalam diam dia cemburu sikap Abriel. Abriel memang seorang yag peramah dan prihatin. Semua orang dilayan dengan baik.

Bima kelihatan teragak-agak mahu membenarkan.

“Tapi rumah kami kecil saja. Mungkin abang tak suka kalau abang pergi ke sana.”

“Aku tak kisah. Aku juga tinggal di rumah yang kecil. Boleh aku ikut kau?”

Bima mengangguk dengan gembira. Dia mengemas barang-barang yang dibawanya. Abriel turut menolong.

“Awak nak ikut juga ke, Aileen? Kalau awak nak balik sekarang saya boleh tolong hantarkan,” tanya Abriel apabila dia teringat Aileen Amanda juga bersamanya.

“Saya pun nak ikut. Lagipun, bukan ke awak nak bawa saya ke satu tempat.”

“Kalau begitu, mari pergi,” kata Abriel lau menarik lengan Aileen Amanda supaya berjalan di tepinya.

Hampir setengah jam berlalu. Mereka sudah sampai di depan sebuah rumah kecil yang dimaksudkan oleh Bima tetapi pada pandangan mereka berdua itu bukanlah rumah kecil tetapi sebuah rumah yang sangat kecil. Hanya mempunyai satu ruang.

Dan beberapa buah rumah yang lain juga begitu. Mereka hidup beramai-ramai. Tidak jauh daripada rumah itu, ada beberapa batas sayur kelihatan. Seperti yang dijual oleh Bima, sayur-sayur yang ditanam juga layu menyembah tanah.

“Maaf kalau buat abang tak selesa.” Bima berkata apabila melihat Abriel dan Aileen Amanda senyap.

“Aku tak kisah. Berapa buah keluarga tinggal di sini?” tanya Abriel ingin tahu.

“Banyak. Saya pun tak tahu berapa. Keluarga sebelah ayah ramai. Keluarga sebelah ibu pun ramai.”

Abriel mengangguk dengan wajah yang terkejut. Cukupkah ruang untuk mereka semua tinggal di rumah itu? Abriel bersimpati dengan nasib keluarga Bima.

“Ayah dan ibu pasti gembira kalau mereka tahu ada tetamu. Abang dan kakak tunggu saya di sini. Saya nak panggil ayah dan ibu,” kata Bima lalu masuk ke salah sebuah rumah yang ada di situ.

Beberapa saat kemudian, seorang lelaki yang sudah berumur keluar. Abriel dan Aileen terus mendekati mereka.

“Maaflah sebab kami menganggu keluarga pak cik malam-malam ini.” Abriel memohon maaf. Dia rasa bersalah kerana telah menyusahkan keluarga itu.

“Tak apa. Pak cik gembira kamu sudi datang. Terima kasih sebab bawa Bima balik. Pak cik minta maaf kalau dia dah menyusahkan kamu.” Ayah Bima menundukkan sedikit kepalanya tanda memohon maaf.

“Eh, tak perlu sopan dengan saya pak cik. Saya ternampak Bima dan sayur-sayuran yang dijual. Sayur-sayuran begini tak boleh dijual sebab layu.”

Muka ayah Bima kelihatan terkejut. “Betulkah? Pak cik tak tahu sayur ini sebenarnya layu.”

Abriel hairan. Dia tertanya-tanya tentang keluarga itu. Tinggal di sebuah tempat terpencil. Rumah-tumah mereka sangat kecil. Mereka juga tidak tahu sayur yang dijual itu sudah layu.

“Saya sudah tengok tanaman pak cik. Semuanya tidak elok untuk dijual. Kalau pak cik tak keberatan saya boleh bantu pak cik tanam dan jual sayur yang lebih segar.”

Ayah Bima tertunduk seketika. Beberapa saat kemudian, dia mengangkat mukanya. Matanya kelihatan merah.

“Terima kasih banyak-banyak, nak. Kamu sangat baik. Pak cik tak tahu nak balas apa. Dahulu, kami selalu mengemis di tepi jalan. Daripada duit itu, kami cuba untuk berniaga tetapi tidak sangka pula kami yang salah. tiada sesiapa yang datang menegur. Kamu orang pertama yang datang ke sini. Pak cik sangat gembira.”

Ayah Bima menunduk lagi. Dia mengucapkan terima kasih berulang-ulang kali sehingga Abriel berasa malu kerana lelaki itu asyik memujinya dari tadi.

“Esok pagi saya datang bantu pak cik. Jadi, saya minta diri dahulu,” kata Abriel meminta diri. Dia melambai Bima dari jauh.

“Aku nak ikut kau esok,” kata Aileen Amanda yang diam dari tadi.

“Kau nak ikut? Bukan ke setiap pagi kau akan pergi mencari ubat?”

“Aku sudah mengutip banyak hari ini. Terlebih cukup untuk digunakan beberapa hari ini. Aku pun nak belajar perkara yang tak pernah aku buat.”

Abriel mengangguk setuju. Ketika mereka berdua dalam perjalanan pulang, bunyi bunga api kuat kedengaran. Mereka berhenti berjalan lalu mendongak ke langit.

“Aku lupa nak bawa kau ke sana,” kata Abriel lalu menarik tangan Aileen Amanda untuk mengikutnya.

Mereka berdua berlari sehingga langkah Abriel berhenti. Sekarang, mereka berdiri di atas bukit. Bukit ini tidak jauh daripada tempat tinggal keluarga Bima. Mungkin berada antara Kampung Angin dan rumah Bima.

Bunga api masih lagi menghiasi langit. Langit gelap pada malam itu kelihatan cantik dengan warna-warni bunga api.

Beberapa minit kemudian, langit itu gelap semula. Cahaya bintang pula kelihatan. Aileen Amanda melihat Kampung Angin yang berada di bawah. Seluruh kampung itu dapat dilihat dari atas bukit ini.

“Bagaimana kau boleh jumpa tempat ini?” tanya Aileen Amanda ingin tahu.

Abriel tersengih lalu berkata, “Abang Ilham yang beritahu aku. Dia cakap ini tempat dia dan Kak Harsha bersetuju untuk bersama.”

Aileen Amanda tersenyum. Entah kenapa dia berasa sangat gembira pada malam itu. Dalam diam, terbit satu perasaan yang sukar digambarkan olehnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience