BAB 12

Fantasy Series 447

Ternganga mulut Aqlan Fann, Dawas dan Haira melihat majlis yang sedang berlangsung itu. Majlis ulang tahun pemerintah Tamim. Ramai orang yang dijemput. Kebanyakannya adalah keluarga diraja.

Majlis tersebut sangat meriah. Penari-penari perempuan yang dijemput menceriakan lagi suasana majlis. Raja Tamim juga kelihatan gembira.

Tetamu-tetamu di situ makan dengan gembira. Mereka sudah disediakan tempat masing-masing dari awal lagi.

Namun, Aqlan Fann hanya memerhati sahaja tingkah mereka semua. Dia tidak rasa mahu bergembira ketika itu. Dia juga tertanya-tanya tujuan Jasmin mengajak mereka bertiga datang. Hanya untuk berseronok atau sebab lain yang tidak diketahui oleh mereka.

“Kenapa kau nampak tak seronok?” tanya Jasmin lalu mengambil tempat di sebelah lelaki itu.
“Bukan macam itu. Saya seronok. Perut saya pun dah penuh dengan makanan,” jawab Aqlan Fann.

Jasmin tersenyum di sebalik kain yang menutup separuh mukanya. “Kau mahu tanya apa?” soal Jasmin tiba-tiba.

Aqlan Fann terkejut. Ketara sangatkah riak wajahnya yang penuh dengan soalan.

“Kau sebenarnya lain daripada mereka berdua. Aku dapat rasakan kau banyak memendam. Kadang-kadang, kau juga perlu tunjukkan perasaan kau yang sebenar, Aqlan.”

“Saya cuma tertanya-tanya. Kenapa kami dibawa ke majlis ini?”

“Aku tak rasa itu soalan kau.” Jasmin memandang wajah Aqlan Fann dalam-dalam lalu menyambung ayatnya, “Kau dah dapat agak apa yang akan berlaku, kan?”

Aqlan Fann membulatkan matanya lalu bertanya, “Jadi, betullah?”

“Kau tunggu saja.” Jawapan Jasmin menimbulkan rasa suspen kepada Aqlan Fann.

“Kau nampak lelaki tua yang duduk di meja kedua dari depan?” soal Jasmin lalu menunjuk ke arah yang dinyatakannya.

Seorang lelaki tua sedang menikmati makanan di depan matanya. Senyuman sentiasa terukir. Menunjukkan rasa gembiranya ketika itu.

“Kenapa dengan lelaki itu?”

“Dia Menteri Perdagangan. Apa yang boleh aku katakan, dia juga terlibat dalam kes itu,” bisik Jasmin perlahan.

Tidak perlu ditanya lagi kes apa yang dimaksudkan oleh Jasmin. Aqlan Fann sudah dapat meneka kes yang dituju adalah kes yang menyebabkan Dawas terpaksa masuk ke dalam rumah pelacuran.

Dia tidak dapat melupakan reaksi Dawas setelah mengetahui tampat itu. Dawas tidak henti-henti memarahinya dalam perjalanan mereka pulang.

Aqlan Fann memerhati dari jauh. Lelaki tua itu masih tidak menyedari dirnya diperhati. Beberapa minit kemudian, seorang lelaki mendekati menteri itu. Mungkin orang suruhannya.

Lelaki itu membisikkan sesuatu. Kemudian, wajah menteri itu bertukar terkejut dan pucat lesi.

Aqlan Fann menoleh ke arah Jasmin.

Tiba-tiba, seorang pelayan istana berlari ke arah raja lalu memberitahu sesuatu yang tidak dapat didengari oleh tetamu-tetamu di situ. Tingkah pelayan itu menarik perhatian semua orang. Membuatkan suasana meriah tadi beransur-ansur hilang dan bertukar bising dengan bisikan mereka.

“Panggil dia masuk,” titah Ghifari Hafis.

Kemudian, pelayan istana itu mengumumkan ketibaan seseorang yang dimaksudkan. Jeneral Anang. Salah seorang jeneral Tamim selain daripada Jeneral Said. Tamim memiliki empat orang jeneral yang ditugaskan untuk menjaga empat arah. Utara, selatan, timur dan barat.

Jeneral Anang melangkah masuk dengan pakaian besinya. Semua orang tertanya-tanya tujuan kedatangan jeneral itu secara tiba-tiba termasuklah Aqlan Fann.

Jeneral Anang tunduk menyembah hormat.

“Apa tujuan kau datang? Adakah kau sudah lupa tentang majlis aku ini?” soal Ghifari Hafis.

“Ampun, Tuanku. Aku tahu aku salah kerana menganggu majlis istimewa ini tetapi aku ada hal penting yang mahu dilaporkan. Aku risau kalau urusan ini ditangguhkan,” kata jeneral itu dengan berani.

Ghifari Hafis memegang kepalanya sambil mengeluh. “Katakan urusan apa yang merisaukan kau itu.”

“Aku telah menemui beberapa sarang penghasilan duit haram.”

Semua orang terkejut mendengar kata-kata Jeneral Anang. Begitu juga Aqlan Fann. Dia sangkakan hanya satu tempat itu duit haram itu dihasilkan. Rupa-rupanya, duit itu dibuat di pelbagai tempat.

“Apa maksud kau?” soal Ghifari Hafis terkejut. Wajahnya merah menandakan dia sedang murka.

“Dan beberapa orang menteri telah terlibat dalam kegiatan ini,” terang Jeneral Anang.

“Apa bukti yang dapat mengukuh kata-kata kau?”

“Aku ada beberapa orang saksi. Tuanku boleh menyoal mereka.”

Kemudian, pelayan istana memanggil saksi yang menunggu di luar dewan istana.

Dua orang lelaki muncul. Seorang remaja lelaki dan seorang lelaki yang merupakan pelajar Tahun Pertama di Akademi Mettasha, Wafi.

Mereka berdua tunduk menyembah Ghifari Hafis.

“Perkenalkan diri kau,” arah Ghifari Hafis kepada Wafi.

Wafi mengangkat wajahnya.

“Aku merupakan salah seorang pelajar Akademi Mettasha. Abang aku berhutang dengan seorang lelaki yang merupakan ketua baru yang menguruskan tempat penghasilan duit haram itu. Abang aku tidak mampu membayar hutangnya dalam masa yang ditetapkan dan telah dipukul dengan teruk. Jadi, aku dipaksa bekerja dengannya.”

“Apa kerja yang kau lakukan?”

“Aku diminta untuk menghantar mesej kepada dua orang.”

“Siapa dua orang itu?”

Wafi kelihatan teragak-agak untuk bersuara.

“Kenapa?” soal Ghifari Hafis yang hairan dengan reaksi Wafi.

“Lelaki itu dan itu,” kata Wafi. Jari telunjuknya mengarah kepada dua orang lelaki tua yang duduk tidak jauh daripada Ghifari Hafis.

Semua orang bersuara terkejut.

“Seorang Menteri Perdagangan dan seorang lagi Menteri Kanan,” kata Jasmin yang duduk di sebelah Aqlan Fann.

“Apa bukti yang menunjukkan kau telah pergi berjumpa mereka berdua?”

“Aku bertemu dengan mereka di rumah masing-masing. Aku menceroboh masuk secara senyap. Aku terserempak dengan cucu Menteri Kanan semasa aku pergi ke rumah agamnya. Aku menyuruh cucunya merahsiakan perkara tersebut dengan memberi sedikit gula-gula.”

“Bagaimana kau tahu dia cucu kepada Menteri Kanan?”

“Aku bertanya. Dia menjawab dengan jujur.”

“Baiklah, teruskan cerita kau.”

“Kemudian, pada malam yang sama aku bertemu dengan Menteri Perdagangan. Aku tidak pasti apa yang dapat mebuktikan kehadiran aku di sana tetapi aku kehilangan dompet. Aku tidak pasti sama ada di rumah Menteri Kanan atau Menteri Perdagangan.”

Ghifari Hafis mengangguk-angguk. Kemudian, dia mengarah sesuatu kepada pelayan istana yang berdiri di sisinya.

“Apa tujuan kau berjumpa dengan mereka berdua?”

“Berlaku konflik dalam kalangan pekerja di situ kerana kehilangan ketua mereka. Orang yang menyuruh aku itu mahu menjadi ketua yang seterusnya dan meminta aku memberitahu perkara tersebut kepada mereka berdua.”

“Kenapa dia sendiri tidak berjumpa dengan menteri-menteri ini?” tanya Ghifari Hafis sambil menjeling ke arah dua menteri itu.

“Ampun, Tuanku. Aku tiada jawapan untuk soalan itu.”

Ghifari Hafis mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Itu sahaja cerita kau?” soal raja itu. Wafi pula mengangguk mengiakan.

“Apa cerita kau pula?” Ghifari Hafis bertanya kepada remaja lelaki yang masuk bersama Wafi tadi.

“Nama aku Kaheel dari Kampung Angin. Ayah aku telah terlibat dengan kegiatan haram itu.”

“Apa maklumat yang kau dapat daripadanya?”

“Pada mulanya, aku tak tahu tentang kegiatan itu sehinggalah suatu hari dia pulang dengan makanan yang banyak. Kami hidup berdua dan tidak semewah orang lain. Sebelum ini, kami hanya cukup makan sahaja tetapi apabila melihat makanan yang banyak itu, aku sedikit terkejut.”

“Selepas daripada hari itu, hidup kami sedikit berubah. Kami dapat makan dengan kenyang. Kami juga dapat membeli bahan mentah dan barang-barang keperluan yang lain. Suatu hari, aku tergerak mahu mengetahui pekerjaan yang dilakukan oleh ayahku. Aku terkejut apabila aku mengetahui tentang pekerjaannya.”

“Dan yang paling mengejutkan aku, ayah aku merupakan ketua bagi pekerjaan haram itu. Beberapa hari yang lepas, aku terjumpanya di sebalik semak. Ayah hilang beberapa hari sebelum itu dan aku cuba untuk mencarinya. Ayah cedera teruk dan tidak sedarkan diri. Aku meminta bantuan seorang doktor yang hebat di kampung aku. Menurut doktor itu, ayah aku telah diracun dengan racun yang jarang dijumpai.”

“Berkat kepakaran doktor itu, ayah aku telah sedarkan diri dua hari selepas itu. Ayah menceritakan kesemuanya. Ayah berjumpa dengan dua orang lelaki yang menawarkan kerja itu kepada ayah. Ayah menerima kerja itu dengan senang hati. Namun, kerja sebagai ketua tidak sesenang yang disangka.”

“Menurut ayahku, pergaduhan berlaku dalam kalangan pekerja-pekerja di situ. Banyak punca yang menyebabkan pergaduhan itu. Antaranya ada pekerja yang tidak bersetuju kalau ayah menjadi ketua. Ada juga disebabkan kerjasama yang tak pernah wujud pun antara mereka.”

“Disebabkan perkara itu, kegiatan mereka hampir diketahui pegawai kerajaan. Sebagai langkah berjaga-jaga, dua orang lelaki itu cuba untuk membunuh ayah untuk menghentikan konflik itu tetapi Tuhan telah memanjangkan umur ayahku.” Kaheel menyudahkan kisah panjangnya.

Ghifari Hafis terdiam. Tangannya diletakkan pada dagunya. Cuba untuk berfikir tentang tindakan yang patut diambil olehnya.

Seperti tadi, dia membisikkan sesuatu di tepi telinga seorang pelayan istana. Pelayan itu mengangguk lalu berlalu pergi.

Beberapa minit kemudian, pelayan itu kembali. Dia membisikkan sesuatu kepada Ghifari Hafis.

Ghifari Hafis menunduk. Tangannya menumbuk meja di depannya.

“Tahan Menteri Perdagangan dan Menteri Kanan,” titah Ghifari Hafis. Dadanya naik turun akibat perasaan marah.

Menteri Perdagangan dan Menteri Kanan ditangkap oleh askar-askar yang datang bersama dengan Jeneral Anang.

“Apa bukti Tuanku yang kami terlibat dalam aktiviti. Aku tidak pernah tahu tentang aktiviti haram ini.” Menteri Kanan cuba memberontak.

“Kamu berdua tak perlu berdalih lagi kerana aku sudah tahu.”

Kata-kata itu memeranjatkan kedua-duanya sehingga pucat wajah mereka.

“Seperti yang dikatakan oleh Wafi, aku telah mengarahkan orang aku untuk bertanya cucu kau, Menteri Kanan. Kanak-kanak memang dilahirkan suci dan tidak pandai menipu. Dia memang berjumpa dengan Wafi pada malam itu dan dompetnya telah ditemui di luar tingkap bilik kau. Adakah kau keluar melalui tingkap?”

“Betul Tuanku.”

“Kalau begitu, aku tidak bersalah dalam hal ini, Tuanku. Aku tiada kaitan dengan aktiviti haram itu.” Sekarang, Menteri Perdagangan pula cuba untuk membela dirinya sendiri.

“Aku belum habis bercakap. Sebotol racun telah dijumpai di kediaman kau, Menteri Perdagangan. Kau sangka kau dapat bersembunyi dengan bilik rahsia kau? Sebuah bilik rahsia dijumpai di dalam bilik kau dan racun itu juga berada di dalam bilik itu. Racun itu sudah diperiksa. Racun yang jarang ditemui.”

“Sesiapa yang terkena racun itu, dia akan berdarah dengan teruk dan tidak sedarkan diri. Beberapa hari kemudian, keadaannya bertambah parah dan dadanya naik turun dengan laju. Perkara itu pasti terjadi terhadap ayah kau.”

Kaheel mengangguk bersetuju.

“Bukti sudah menunjukkan kau berdua terlibat. Duit hasil daripada aktiviti haram ini juga telah dijumpai di kediaman kamu berdua. Masukkan mereka berdua ke dalam penjara dan tunggu untuk disoal siasat,” arah Ghifari Hafis.

Kemudian, kedua-dua menteri itu dibawa pergi. Aqlan Fann masih terkejut. Dia tidak sangka dia dapat melihat kes ini selesai di depan matanya sendiri.

“Aku patut berterima kasih kepada kau, Jeneral Anang.”

“Tidak perlu begitu, Tuanku. Lagipun, Puteri Yatna yang memberitahu perkara ini kepadaku.”
Terkeluar biji mata Aqlan Fann apabila mendengar gelaran yang ditujukan kepada Yatna yang dikenali oleh mereka sebagai seorang doktor.

Ghifari Hafis ketawa. “Aku tak sangka anak saudara aku sendiri yang mengetahui tentang kegiatan ini. Aku patut berterima kasih kepadanya,” katanya sambil tersenyum memandang Yatna yang duduk tidak jauh daripada mereka.

“Jadi, apa yang perlu aku buat kepada keluarga mereka, Tuanku?” soal Jeneral Anang.

“Tidak perlu berbuat apa-apa. Yang bersalah bukannya mereka tetapi ketua keluarga mereka. Kita tidak sepatutnya menghukum orang yang salah.”

Semua orang bereaksi terkejut. Siapalah yang tidak terkejut apabila mengetahui bahawa tiada hukuman yang diberikan kepada keluarga pesalah sedangkan undang-undang telah ditulis keluarga pesalah juga akan dihukum sekiranya pesalah membuat jenayah.

Seperti khabar angin yang tersebar, sikap Ghifari Hafis memang disukai semua orang. Sikapnya yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap rakyatnya.

“Baiklah, Tuanku. Jika begitu, aku mengundurkan diri dahulu. Berita baik dan berita buruk ini perlu diberitahu kepada keluarga mereka berdua,” kata Jeneral Anang sebelum menunduk hormat kepada raja itu dan berlalu pergi.

Selepas itu, majlis yang tertangguh tadi berjalan semula. Semua orang seakan-akan telah melupakan kejadian yang baru sahaja berlaku tadi tetapi tidak bagi Aqlan Fann.

Dia masih berfikir tentang kejadian tadi.

“Kes sudah selesai. Apa lagi yang kau risaukan?” soal Jasmin apabila dia perasan sikap Aqlan Fann yang senyap dari tadi.

“Siapa mak cik sebenarnya?” soal Aqlan Fann sambil merenung wajah Jasmin. Pandangannya tajam meminta jawapan jujur daripada mulut Jasmin.

Jasmin tersengih. “Kenapa kau tanya soalan begitu?”

“Pada pertemuan pertama, saya sudah dapat mengagak Doktor Yatna bukan calang-calang orang. Dia dapat menghalang askar-askar untuk memeriksa Abriel sedangkan pemeriksaan sangat penting pada waktu itu kerana risaukan serangan Puak Hitam. Kalau Doktor Yatna seorang kerabat diraja, siapa mak cik? Dan siapa Abriel?”

“Kau juga tidak percayakan Abriel?”

“Bukan begitu. Saya cuma tertanya-tanya. Kekuatan Abriel agak luar biasa. Saya agak dia mempunyai identiti yang istimewa.”

“Kau terlalu banyak berfikir. Aku datang daripada keluarga biasa sahaja. Begitu juga Abriel. Kami tidak mempunyai identiti yang istimewa. Lagipun, tidak salah kalau rakyat biasa seperti kita bergaul dengan kerabat diraja. Mereka juga menusia biasa seperti kita.”

Aqlan Fann terdiam setelah mendengar penjelasan Jasmin.

“Berhenti berfikir. Kau hanya perlu berseronok sahaja. Waktu muda beginilah kau banyak masa untuk berseronok,” kata Jasmin. Cuba untuk melarikan tumpuan Aqlan Fann daripada berfikir.

Aqlan Fann hanya menurut memandangkan dia juga akan sibuk dengan urusan akademi selepas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience