BAB 2

Fantasy Series 447

Satu minggu sebelum ujian Akademi Mettasha...

Abriel mengelap peluhnya yang mengalir. Cuaca sangat panas memandangkan matahari sudah pun terbit sepenuhnya. Rasanya sudah separuh hari dia berjalan. Dia memulakan perjalanannya sebelum matahari keluar lagi.

Sebelum hari hampir malam, mungkin dia sudah sampai di ibu kota Martin. Martin merupakan sebuah negara yang paling dekat dengan Tamim. Walaupun begitu, negara Martin tidak sama dengan negara Tamim.

Setahunya, manusia kelahiran Tamim dibahagikan kepada dua puak. Puak hitam dan puak putih. Beribu-ribu tahun dahulu, manusia hidup seperti biasa. Namun, pada suatu ketika, berlaku sesuatu yang memberi kesan kepada manusia. Beberapa tahi bintang jatuh dan meninggalkan satu batu yang bercahaya. Kejadian sebegitu tidak pernah berlaku sebelum ini. Para penyelidik mengkaji batu istimewa itu.

Selepas kejadian itu, berlaku suatu kejadian yang mengubah hidup mereka. Manusia yang terkena tempias hujan tahi bintang itu dapat merasai badan mereka mula berabuh. Badan mereka lebih bertenaga daripada sebelum ini.

Sebahagian daripada mereka berasa deria penglihatannya bertambah baik. Mereka dapat melihat apa-apa yang berada 1km daripada mereka. Ada yang dapat mendengar bunyi yang jauh dari tempat mereka berada.

Beberapa orang daripada mereka memperoleh deria bau yang istimewa. Dari jauh mereka boleh menghidu haruman makanan dan menekanya dengan betul. Ada yang memperoleh kekuatan yang luar biasa dan kuasa angina yang membolehkannya bergerak di atas udara.

Mereka juga dapat mengawal minda seseorang. Namun, orang yang memiliki kuasa minda ini agak sukar untuk dicari.

Jadi, batu yang bercahaya itu menarik perhatian orang yang berniat jahat dan menyebabkan puak hitam dipersalahkan. Hanya ada beberapa orang sahaja yang mengetahui cerita yang sebenar. Sama ada salah puak hitam itu sendiri ataupun puak putih yang dianggap baik. Puak hitam dihukum dengan membiarkan mereka tinggal dalam kegelapan dan menderita.

Tiba-tiba, Abriel mendengar bunyi pedang berlaga sesama sendiri. Walaupun bunyi itu sangat jauh tetapi dia boleh mendengarnya dengan jelas. Dua lawan satu. Dia dapat mengenal pasti bilangan mereka berdasarkan bunyi tapak kaki mereka.

Abriel cepat-cepat mencari arah bunyi tersebut hingga dia ternampak dua orang lelaki yang agak besar tubuhnya sedang berlawan pedang dengan seorang lelaki yang lebih kecil daripada mereka.

Walaupun lelaki itu nampak kecil tetapi dia lincah menggunakan pedanganya. Lama-kelamaan, pergerakannya semakin perlahan.

Mungkin semakin penat memandangkan lawannya lebih ramai dan kuat daripadanya. Abriel yang hanya memerhati dari tadi terus mengangkat kakinya. Bergerak ke arah dua orang lelaki itu.

Belakang badan mereka ditendang oleh Abriel menyebabkan mereka jatuh melutut. Kedua-dua lawannya terkejut. Baru menyedari kehadiran Abriel yang muncul secara mengejut.

Namun, sepakan itu tidak menjejaskan apa-apa. Kedua-duanya bangkit semula tetapi mangsa mereka bukan lagi lelaki kecil itu tetapi Abriel. Mereka menyerang Abriel menggunakan pedang mereka.

Abriel sempat mengelak kedua-dua libasan itu. Dia cuba untuk menyerang mereka dari atas.

Dia terus melompat ke arah mereka lalu melagakan kepala kedua-duanya. Kemudian, lelaki yang dibantunya itu turut menghulur tangan menolong. Dia menggunakan pedangnya yang tidak dikeluarkan daripada sarungnya lalu memukul kaki mereka.

Sekali lagi, mereka terjatuh melutut. Pergerakan mereka terhenti seketika. Mereka memegang kepala masing-masing. Muka mereka merah menyala. Mungkin sedang menahan marah atau menahan sakit. Mereka memandang Abriel dan lelaki yang diserang oleh mereka.

“Kalau aku jumpa kau orang lagi, aku takkan lepasakan kau,” kata salah seorang daripada mereka lalu menarik tangan rakannya untuk berlalu pergi.

Mereka jalan terhinjut-hinjut. Mereka sedar, mereka tidak dapat melawan kedua-duanya.

Abriel melepas nafas lega. Bahunya ditepuk dari belakang.

“Nama aku Aqlan Fann. Panggil saja Aqlan. Kau?” Aqlan Fann tersenyum tanda berkenalan.

“Abriel. Adi Abriel. Apa yang berlaku sebenarnya?” Tanya Abriel ingin tahu.

“Hanya dua orang perompak sahaja. Terima kasih kerana sudi menolong aku.”

“Kau mahu ke mana?” tanya Abriel apabila dia ternapak beberapa buah buku yang terjatuh dari beg Aqlan Fann tadi.

Dia menolong Aqlan Fann mengutip buku-buku itu.

“Aku dengar Akademi Mettasha akan mengadakan ujian untuk kemasukan pelajar-pelajar baru. Aku ingin mencuba. Kau pula nak ke mana?”

“Aku pun mahu ke sana. Tak sangka aku akan bertemu dengan kau. Apa kata kita ke sana bersama-sama.”

Abriel mengajak Aqlan Fann untuk pergi bersama. Lagipun, ini kali pertama dia keluar dari rumah. Ada rakan bersama, sekurang-kurangnya, dia tidak kesunyian dalam perjalanan ke Tamim.

“Boleh juga. Lagi ramai lagi seronok. Aku pun tak rasa bosan.”

Abriel tersenyum mendengar respon Aqlan Fann.

“Kenapa kau mahu ke Akademi Mettasha?” tanya Aqlan Fann.

“Akademi Mettasha adalah tempat bonda aku belajar. Jadi, aku mahu ke sana. Ini kali pertama aku keluar dari kampung. Kau mahu ke sana pula kenapa?”

Aqlan tersenyum kelat, “Ibu aku baru sahaja meninggal dunia bulan lepas. Jadi, aku buat keputusan untuk menduduki ujian di Akademi Mettasha.”

“Kau pasti dapat masuk ke sana. Kau nampak hebat ketika berlawan dengan perompak-perompak tadi.”

“Kau datang dari mana? Kenapa kau tak pernah keluar dari kampung kau?”

“Aku tinggal di sebuah kampung terpencil. Rumah kami pun agak jauh daripada penduduk kampung. Sebelum ini, bonda aku keberatan mahu membenarkan aku keluar tetapi beberapa bulan lepas, bonda aku tiba-tiba membenarkan.”

Abriel sentiasa mengingati pesan bondanya yang melarangnya keluar dari kampung itu. Atas sebab apa, dia pun tak pernah mengambil tahu.

Dia baru menyedari bahawa dia tidak pernah bertanya tentang keluarganya sendiri. Siapa ayahnya pun dia tak tahu. Dia tahu ayahnya sudah tiada. Selepas itu, memang dia tidak bertanya apa-apa. Risau jika ibunya bertambah sedih.

Abriel dan Aqlan Fann berjalan sambal bercerita tentang kehidupan mereka sebelum ini. Abriel mempelajari serba sedikit tentang dunia luar. Mungkin lagi seronok kalau dia bersama bonda.


*********************************
“Mari, mari. Sayur-sayuran segar!”

“Mari beli. Daging murah!”

Abriel berasa seronok apabila mereka tiba di ibu kota Martin. Ramai betul orang yang sedang berjalan-jalan di situ. Dia tak sangka begitu meriah keadaan sebuah kota.

Dia melihat dari satu gerai ke gerai yang lain. Semua barang disentuhnya. Dia berasa teruja melihat barang-barang yang dijual di situ. Barang yang tak pernah dilihat olehnya.

Selain makanan, ada gerai mainan, gerai bunga dan gerai cenderamata.

“Ini baru sahaja kota Martin. Kau dah begini teruja. Kalua kau pergi ke Tamim, kau pasti lagi teruja.”

Abriel memandang Aqlan Fann dengan pandangan teruja. Dia mahu mendengar cerita tentang Tamim daripada Aqlan Fann.

“Tamim merupakan sebuah negara yang besar. Rakyat Tamim memang ramai. Raja Tamim juga sangat terkenal. Beliau sangat mementingkan kebajikan rakyat Tamim.”

“Kau memang berpengetahuan. Beruntung aku berjumpa dengan kau.” Abriel memeluk bahu Aqlan Fann.

Aqlan Fann tergelak. Masakan dia tak tahu, hampir setiap bulan dia akan ke Tamim. Semata-mata untuk membeli ubat untuk ibunya yang mulai sakit selepas peperangan yang berlaku 10 tahun lepas.

Ibunya memerlukan herba yang istimewa dan mahal. Herba sebegitu tidak dijual di Martin tetapi dijual di Tamim. Jadi, kadang-kadang, dia perlu bekerja di kedai herba di Tamim untuk melangsaikan hutangnya.

“Kita perlu cari rumah rehat untuk berehat. Aku pun dah mula lapar.”

Abriel mengangguk setuju. Selama dua hari mereka berdua berjalan, mereka hanya makan roti kering yang dibawa sebagai bekalan. Kalua mereka melalui hutan tebal, mungkin mereka dapat merasa sedikit daging.

Perjalanan mereka sangat mencabar memandangkan laluan ke Martin perlu melalui padang pasir yang luas dan kawasan hutan yang tebal. Tidur mereka pun tidak tenang. Risau akan binatang buas yang dating menyerang.

“Kita boleh berehat di sini, Abriel. Aku dengar rumah rehat terkenal dengan tempat pengumpulan pelbagai maklumat. Mungkin kita boleh tahu apa-apa berita berkenaan dunia luar.”

Abriel melihat rumah rehat yang dicadangkan oleh Aqlan Fann. Ramai orang yang keluar masuk dari situ. Sesuai dengan apa yang dikatakan oleh Aqlan Fann. Tempat yang sesuai untuk dia mendangar cerita tentang Tamim yang sering diceritakan oleh bondanya sebelum ini.

Kemudian, mereka menempah sebuah bilik yang memuatkan dua orang. Mereka sangat beruntung kerana bilik mereka adalah bilik terakhir. Selapas meletakkan barang-barang mereka di dalam bilik, mereka turun untuk mengisi perut pula.

“Berapa hari lagi kita perlukan untuk sampai ke Tamim?” tanya Abriel sambal mengunyah makanannya.

“Kalau kita bertolak esok pagi, mungkin dalam masa tiga hari, kita sudah sampai. Kalau nak berseronok selama sehari lagi di sini, kita akan sampai sehari sebelum ujian bermula.”

“Kalau begitu, aku mahu kau bawa aku jalan-jalan di sini.”

“Boleh sahaja. Kau beritahu saja kau nak ke mana, aku boleh bawa kau ke sana.”

“Di sini tiada akademikah?” tanya Abriel ingin tahu.

“Untuk pengetahuan kau, kebanyakan rakyat Martin bukan seperti kita. Mereka dilahirkan sebagai manusia biasa. Jika kau jumpa orang yang dapat menguasai kuasa pun, mereka bukan rakyat Martin yang sebenar. Mereka mungkin penduduk Tamim yang berpindah ke sini. Akademi tetap ada di sini tetapi tidak dikhaskan bagi rakyat seperti kita.”

Abriel mengangguk faham.

Semasa mereka sedang makan, Abriel meliarkan pandangannya. Matanya terhenti di depan pintu masuk rumah rehat itu. Seorang pelayan sedang memarahi pelanggan mereka itu.

Sepasang adik beradik berdiri di situ. Seorang abang dan seorang adik perempuan. Apa yang menarik perhatiannya, tubuh mereka yang diselubungi dengan kain yang koyak-rabak dan hanya menampakkan mata mereka.

Semasa matanya tertumpu pada mereka, dia terdengar perbualan pelanggan di belakangnya.

“Pelik betul pakaian mereka. Mereka tidak berasa
panaskah?”

Abriel juga tertanya-tanya tentang perkara yang sama.

“Kau tak kenal mereka siapa?”

“Kenapa? Kau kenal ke?”

“Aku dengar beberapa orang puak hitam telah lari dari tempat mereka dan datang ke Martin.”

Abriel teringat kata-kata bondanya. Tiada sesiapa yang mengetahui keberadaan puak hitam melainkan Raja Tamim dan orang-orang kuat beliau.

Lagi menyedihkan, mereka hidup dalam serba kekurangan dan tidak pernah terkena cahaya matahari. Tempat tinggal mereka bersuhu rendah. Sangat sejuk.

Adik beradik itu berpakaian sebegitu mungkin disebabkan mereka masih tidak biasa dengan cahaya matahari lagi.

“Puak hitam? Sudah 10 tahun mereka senyap. Tak sangka mereka masih ada niat mahu lari.”

“Lari? Seumur hidup mereka tak dapat lari. Itu, kau tengoklah.”

Abriel turut memandang arah yang ditunjukkan oleh pelanggan itu. Sepasang adik beradik itu telah ditangkap oleh pihak berkuasa Martin.

Abriel terkejut. Bukan kerana mereka ditangkap tetapi diperlakukan secara kasar di khalayak ramai.

Abriel bangun dari tempat duduknya tetapi belum sempat dia melangkah, tangannya sudah ditarik oleh Aqlan Fann untuk duduk semula.

“Jangan masuk campur, Abriel,” kata Aqlan Fann sambal memandang Abriel tajam. Dia nampak serius dengan kata-katanya.

“Tapi kau pun nampak apa yang mereka buat. Mereka itu terlalu kasar. Orang daripada puak hitam itu hanya mahu menumpang di sini sahaja.”

“Kau tak faham, Abriel. Puak hitam memang dipandang rendah sejak dulu lagi. Kalau kau masuk campur, nanti kau pula yang terjebak.”

Abriel kembali duduk. Dia faham apa yang mahu dikatakan oleh Aqlan Fann. Ini kali pertama dia dating ke Martin. Seelok-eloknya, dia tak perlu masuk campur tetapi dia tak sampai hati. Abriel melarikan pandangannya.

Abriel menyambung menyuap makanan ke dalam mulutnya. Cuba untuk menenangkan dirinya.

“Bukankah pintu pagar hadapan Tamim diletakkan sebuah cermin yang dapat mengesan puak hitam. Bagaimana mereka boleh terlepas pula?”

“Mungkin mereka menyelit semasa pedagang-pedagang keluar dari Tamim. Pasti mereka menyorok di dalam barang-barang dagangan itu.”

Abriel tertarik dengan kata-kata pelanggan itu. Cermin yang dapat mengesan puak hitam. Ini kali pertama dia mendengarnya. Abriel bangun lalu mendekati mereka.

“Saudara.”

Abriel menyapa mereka.

“Kau orang berdua datang dari Tamimkah?”

Mereka berdua mengangguk tanda mengiakan.

“Ada apa-apa perkara yang menarik berlaku di Tamim?”

“Sejak kebelakangan ini, orang daripada puak hitam sedang membuat kekacauan. Jadi, hampir setiap hari, askar-askar Tamim akan membuat rondaan.”

Abriel mengangguk-angguk lalu bertanya lagi, “Tadi aku terdengar kau cakap tentang cermin yang diletakkan di pintu hadapan Tamim.”

“Cermin? Oh, cermin itu baru sahaja diletakkan. Mereka hanya mahu memastikan puak hitam tidak terlepas. Cermin itu dapat mengesan tanda lahir mereka pada dahi masing-masing.”

“Tanda lahir?” Abriel tertarik untuk mendengar dengan lebih lanjut.

“Sesiapa yang dilahirkan daripada puak hitam, mereka mempunyai tanda lahir pada dahi mereka. Cermin itu yang menampakkan tanda lahir itu walaupun mereka telah menyembunyikannya. Jadi, kau perlu hati-hati apabila kau sampai di sana. Puak hitam masih berkeliaran.”

“Baiklah. Terima kasih.”

Abriel kembali ke mejanya.

“Aqlan, aku rasa lebih baik kita terus bertolak ke Tamim esok. Aku mahu tahu apa yang berlaku di sana.”

Aqlan Fann hanya mengangguk setuju. Tiada bantahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience