PROLOG

Fantasy Series 447

Keadaan negara Tamim bukan seperti sebelum ini. Bunyi dentingan senjata logam kuat kedengaran. Tamim memang dalam keadaan genting kerana serangan yang muncul secara tiba-tiba.

Pemanah Tamim sibuk memanah tentera musuh yang dapat terbang menggunakan kuasa angin. Tentera-tentera Tamim yang lain turut menggunakan kuasa-kuasa dan kekuatan mereka untuk menghentikan pemberontakan itu.

Dari jauh, seorang lelaki lewat 40-an memerhati peperangan itu di atas benteng. Lelaki itu lengkap berbaju besi tetapi hanya menjadi pemerhati. Tiba-tiba, seorang tentera Tamim datang mendekatinya.

"Tuanku, orang yang tuanku mahukan sudah ditangkap."

Tersenyum Ghifari Hafis, yang dikenali sebagai pemerintah negara Tamim itu selepas mendengar berita baik daripada Jeneral Said.

"Bawa aku bertemu dengannya." Ghifari Hafis bangun lalu mengikut langkah Jeneral Said.

Inilah saat yang dinantikan. Pemberontakan ini akan berhenti selepas tentera musuh mendengar berita buruk tentang ketuanya. Ketika itulah, mereka dapat menenangkan keadaan yang sedia kecoh.

"Silakan, Tuanku."

Jeneral Said membuka pintu penjara itu. Keadaan orang yang ditangkap itu sangat teruk. Mukanya pucat akibat kekurangan darah. Wajahnya kotor dan rambutnya berserabai. Baju besinya pun sudah hilang ke mana.

"Ampunkan aku, Tuanku. Aku gagal melatih tentera Tamim. Aku tidak bersalah dalam hal ini. Pemeberontakan ini bukan rancanganku. Aku difitnah."

Suara garau lelaki itu kedengaran walaupun dalam keadaan yang lemah.

"Aku tidak pernah memperlakukan sesiapa dengan cara tidak adil. Aku ada bukti yang menunjukkan pemberontakan engkau."

"Aku mahu melihat bukti itu. Aku mahu tahu apa yang membuatkan Tuanku tidak mempercayai kesetiaanku lagi."

Ghifari Hafis terus mengarah Jeneral Said menunjukkan bukti yang telah diterima oleh mereka.

Muka lelaki itu terus berubah. Dia kelihatan terkejut.

"Tidak. Ini bukan tulisan aku, Tuanku. Aku tidak pernah menulis perkataan-perkataan ini."

Sesungguhnya dia terkejut membaca surat yang menunjukkan penderhakaan kepada Raja dan negara Tamim iaitu pemberontakan. Namun, yang lebih mengejutkan, tulisan pada surat itu sangat mirip dengan tulisannya.

"Ada satu lagi benda yang kau belum lihat. Aku sangat kecewa dengan kau selepas aku tahu sesuatu tentang kau."

Ghifari Hafis menunduk. Dia mengeluarkan sesuatu daripada bajunya lalu menghulur sebentuk cincin kepada lelaki itu. Lelaki itu terkedu. Hampir tidak bernafas dibuatnya. Dia tidak menyangka apa yang dirahsiakan selama ini sudah terbongkar. Semuanya kerana kecuaiannya sendiri.

"Aku boleh terangkan, Tuanku. Aku tidak berniat jahat. Aku hanya mahu semuanya kembali kepada asal."

"Perkara itu sudah berlaku beribu-ribu tahun dahulu. Kau tidak akan dapat mengubahnya, Adi Armada. Semuanya berpunca daripada nenek moyang kau. Bukti ini sudah jelas dan nyata. Lebih baik kau mengaku sahaja. Pengakuan kau sekurang-kurangnya dapat menghentikan peperangan ini. Rakyat Tamim tidak akan tercedera lagi. Keluarga kau mesti menjadi sasaran orang ramai."

Kata-kata Ghifari Hafis menghentak dadanya. Dia tertanya-tanya akan keadaan keluarganya. Adi Armada mengeluh. Selepas berfikir masak-masak, dia bersuara.

"Baiklah. Aku menyerah diri tetapi aku takkan mengaku bahawa pemberontakan ini, akulah dalangnya. Aku juga mahu Tuanku tunaikan beberapa permintaan daripadaku."

Adi Armada memandang wajah Ghifari Hafis dengan mata yang penuh harapan.

"Katakan apa permintaan kau."

Adi Armada tersenyum mendengat respon daripda Ghifari Hafis.

"Kesalahan ini biar aku yang pikul. Aku cuma mahukan Tuanku melepaskan keluarga aku dan puak hitam. Mereka tidak tahu apa-apa."

Ghifari Hafis terdiam seketika. Undang-undang Tamim sudah tertulis bahawa sekiranya seseorang membuat jenayah, maka seluruh keluarganya turut terlibat. Hukuman itu bergantung pada kesalahan yang dilakukan sama ada dibunuh atau dipenjarakan.

"Aku tak boleh janjikan itu, Adi. Engkau pun tahu apa akan berlaku sekiranya aku bersetuju dengan permintaan kau."

Adi Armada mengeluh. Dia faham apa yang Ghifari Hafis mahu katakan. Rakyat Tamim pasti akan memberontak pula.

Tiba-tiba, seorang tentera Tamim muncul. Dia mendekati Jeneral Said dan membisikkan sesuatu. Muka Jeneral Said jelas terkejut mendengar berita itu.

"Tuanku, rakyat dalam keadaan yang berbahaya. Tentera musuh muncul secara tiba-tiba dari dalam. Aku pun tak tahu mereka masuk dari arah mana."

Bulat mata Adi Armada. Dia risau akan keadaan keluarganya.

"Usah lengahkan lagi hal ini, Tuanku. Sebelum nyawaku diambil, aku mahu katakan sesuatu. Jika isteri dan anakku mati dibunuh, tanamlah mereka bersama-sama aku. Aku tahu aku tiada hak untuk meminta tapi aku merayu agar Tuanku tunaikan permintaan aku yang terakhir ini."

Ghifari Hafis menarik nafas dalam-dalam lalu berkata,"Baiklah."


**************

Jasmin memeluk erat anaknya yang berada di dalam pelukannya. Dia menutup telinga anaknya. Bunyi pedang dan orang berlawan kuat kedengaran dari dalam rumah mereka.

Berita sudah tersebar bahawa Adi Armada telah membawa seangkatan tentera untuk menentang negara ini. Oleh sebab itulah, Jasmin risau akan keadaan suaminya. Dia tahu Adi Armada tidak akan berbuat sedemikian. Lagi-lagi tindakan itu hanya mendatangkan keburukan.

Tiba-tiba, pintu rumah mereka dibuka dari luar.. Seorang perempuan berdiri di depan pintu. Pakaiannya penuh dengan darah dan terkoyak di bahagian bahunya. Mungkin disebabkan kekalutan yang berlaku di luar sana.

"Yatna?" Jasmin terkejut.

"Jasmin, cepat lari. Jeneral Said dan orang-orangnya sedang mencari kau. Belum terlambat untuk kau pergi," kata Yatna, wanita yang muncul secara tiba-tiba itu.

"Tapi Adi bagaimana?"

"Melihat kau dan anak kau selamat, sekurang-kurangnya dia lega untuk berkorban."

Kata-kata Yatna menambahkan lagi kejutan Jasmin.

"Adi ingin serah diri?"

"Itu yang aku dengar daripada askar-askar di luar. Kematian Adi mungkin dapat menghentikan peperangan ini. Lagipun, sudah ramai yang terkorban untuk selamatkan engkau."

"Apa maksud kau?"

"Aku tiada masa untuk terangkan. Cepat pergi," kata Yatna lalu menarik Jasmin untuk keluar dari situ.

Mereka keluar melalui pintu belakang. Jasmin sempat berpaling melihat peperangan itu. Dia cuma berharap agar Adi Armada selamat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience