BAB 25

Fantasy Series 447

Abriel berjalan keluar dari bilik Ghifari Hafis dengan Yatna. Yatna kata dia mahu membawanya ke suatu tempat.

Kawan-kawannya yang lain sudah balik. Hanya tinggal Ilham dan Harsha di dalam bilik itu.

Abriel masih lagi tidak percaya. Semuanya berlaku dengan pantas. Aileen merupakan anak perempuan Bareeq yang juga seorang perdana menteri. Dia tidak kisah akan rahsia itu tapi Aileen sudah menjadi milik orang lain.

Walau macam mana pun dia berharap, Aileen tetap bukan miliknya. Lagipun, dia hanyalah orang kampung. Putera Farhat sesuai dengannya. Taraf mereka juga sama.

Sedang asyik dia mengelamun, mereka sudah berhenti di depan sebuah bilik. Pintu bilik dibuka. Seorang wanita sedang duduk di atas kerusi sambil membaca sesuatu.

Sebaik sahaja mendengar pintu bilik itu dibuka, wanita itu mengangkat kepalanya. Abriel terkedu.

"Bonda!" Dia terus meluru ke arah Jasmin.

Jasmin turut terkejut. Dia tahu Abriel sudah pulang tapi dia tidak tahu pula Abriel akan datang ke sini.

Tubuh anak lelakinya dipeluk erat. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Abriel menghilang terlalu lama. Air matanya mengalir mengingat kembali apa yang telah dilalui oleh anak lelakinya itu.

"Bonda sihat?" Tanya Abriel.

Dia mengelap air matanya yang mengalir. Dia sendiri tidak sedar bila dia menangis.

"Sihat. Bonda sihat." Jasmin tersenyum.

Abriel mengelap air mata bondanya yang masih mengalir.

"Apalah bonda ni. Saya dah pun balik. Bonda tak payah risau," kata Abriel.

Bunyi deheman seseorang menyebabkan dua beranak itu berpaling.

"Dah lupa aku ada di sini?" Yatna menjuling matanya.

Mereka berdua tergelak. Abriel betul-betul terlupa Yatna masih berdiri di situ.

Yatna berjalan masuk ke dalam bilik itu. Pintu ditutup. Dia terus melabuhkan punggung di atas kerusi.

"Macam mana dengan ayahanda?" Tanya Jasmin.

"Macam itulah. Tiba-tiba, sesak nafas tadi. Mujur tak ada apa-apa. Kau tak nak berjumpa dengan Tuanku. Perkenalkan..." Mata Yatna melirik ke arah Abriel.

"Aku takut."

Abriel memandang bondanya dan Yatna. Dia keliru. Adakah mereka bercakap tentang Ghifari Hafis.

"Ayahanda? Apa maksud bonda?" Soal Abriel. Janganlah dia dikejutkan dengan satu lagi kejutan.

Tadi, dia sudah dikejutkan di bilik Ghifari Hafis. Sekarang apa pula yang bakal didengarinya.

"Bonda ada perkara nak beritahu kamu. Dah lama bonda pendam. Bonda minta maaf sebab rahsiakan. Kamu berhak tahu perkara ini lebih awal lagi."

Abriel memandang bondanya. Dia menanti kata-kata Jasmin yang seterusnya.

*******

Bareeq menghempaskan barangnya di atas meja. Dia betul-betul marah.

Terhenjut bahu Aileen apabila terdengar bunyi kuat yang dihasilkan oleh ayahnya.

"Tak puas dengan menyusahkan aku. Kau nak menghilang pula. Nasib baik aku jumpa kau. Kalau tak memang aku dah anggap kau mati." Bareeq mengamuk.

"Kalau begitu, kenapa ayah masih mengaku saya anak ayah? Kenapa ayah masih bersetuju dengan Tuanku?"

Bareeq tergelak. "Kau ingat aku bodoh nak lepaskan peluang di depan mata. Siapalah yang tak mahu berbesan dengan raja."

Aileen sudah mengeluh berat. Apalah nasibnya selepas ini.

"Kau balik bilik kau lepas ni. Tak payah gatal nak keluar. Aku larang kau keluar dari rumah sebelum kau berkahwin dengan Putera Farhat."

Bareeq terus memanggil seorang pembantu rumahnya. Pembantu rumah itu disuruh menjaga Aileen. Bilik Aileen juga akan sentiasa diawasi oleh orang-orang suruhan Bareeq.

Dia takut Aileen akan menghilang lagi. Apa pula yang dia perlu jawab dengan Ghifari Hafis nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience