BAB 11

Fantasy Series 447

Dia mengetuk pintu rumah di hadapannya. Selang beberapa minit, pintu terbuka. Seorang wanita muncul. Wanita itu nampak gembira dengan kedatangannya.

“Sila masuk,” jemput wanita itu.

Dia masuk bersama dua orang rakannya di belakang.

“Ini kawan saya, Dawas dan Haira. Mereka yang membantu saya.”

Jasmin mengangguk. “Tak apa. Duduklah.”

Aqlan Fann, Dawas dan Haira melabuhkan punggung mereka di atas kerusi.

“Tiga hari lepas, saya terserempak dengan seorang pelajar tahun kami. Namanya Wafi. Pada malam itu, saya mahu mengekorinya tetapi apabila difikirkan semula saya batalkan niat saya itu. Lagipun, saya tak yakin jika dialah orang yang mak cik cari.”

“Semalam Dawas dan Haira yang bantu saya ekori dia. Saya tak sangka dia terlibat dengan sesuatu yang besar.”

Jasmin tersenyum. “Aku baru sahaja mahu ceritakan sebab kenapa aku menyuruh kau mencari orang itu. Nampaknya, kau dah tahu serba sedikit tentang perkara ini. Aku mahu tahu apa yang kau dapat.”

“Semalam…”

IMBAS KEMBALI

“Kau ikut dia ke dalam. Biar aku tunggu di luar,” kata Aqlan Fann.

“Kenapa kau tak masuk juga?” tanya Dawas hairan.

“Ramai sangat orang. Aku tak suka sesak.”

Dawas mengangguk. Dia masuk ke dalam kedai itu. Dia melihat sekeliling kedai itu. Ramai perempuan yang menjadi pelayan di situ. Kebanyakan pelanggan di situ adalah lelaki. Mereka dilayan dengan manja oleh pelayan perempuan.

Dawas yang melihatnya berasa jijik. Tempat apa yang dia masuk ini? Dia menghiraukan orang-orang di sekelilingnya. Dia ternampak Wafi masuk ke dalam sebuah bilik di tingkat atas. Dawas mengekorinya lalu terserempak dengan seorang wanita yang berpakaian lebih menonjol daripada perempuan-perempuan yang lain.

“Tuan mahu ke mana?” tanya wanita dengan senyuman yang terukir pada bibirnya.

“Saya mahu menempah bilik itu,” kata Dawas lalu menunjuk ke arah bilik yang dimasuki oleh Wafi.

“Maafkan saya, tuan. Bilik itu sudah ditempah. Bilik ini masih kosong,” kata wanita itu. Bilik yang dimaksudkan ialah bilik yang bersebelahan dengan bilik itu.

Tanpa berfikir panjang, Dawas bersetuju.

“Tuan mahu berapa orang?” tanya wanita itu.

Dawas kerut dahi. Tidak memahami maksud wanita itu.

“Tak mahu.” Dia menjawab walaupun masih tidak memahami apa yang dikatakan oleh wanita itu.

Setelah berurusan dengan wanita itu yang merupakan pemilik kedai ini, dia berjaya menempah bilik ini. Dia pun masuk ke dalam bilik tersebut.

Dawas mendekati dinding yang memisahkan bilik itu dengan bilik sebelah. Dia cuba mendengar suara di dalam bilik itu.

Kedengaran dua suara garau sedang berbual. Satu suara yang dikenalinya iaitu Wafi dan seorang lagi tidak dikenali olehnya.

“Kenapa kau tak datang semalam?” tanya lelaki itu.

“Aku dapat rasakan salah seorang kawan aku syak sesuatu. Aku perlu hilangkan syak dia. Jadi, aku tak keluar semalam,” jawab Wafi.

Lelaki itu mengetap giginya. Bunyinya kuat sampai didengari olehnya.

“Dia ikut kau?” tanya lelaki itu.

“Tak.”

“Bagus. Kau buat apa yang suruh?”

“Sudah. Aku sudah berjumpa dengannya. Dia menyuruh engkau mengambil alih tempat itu.”

Lelaki itu ketawa dengan gembira.

“Kau buat kerja dengan bagus,” puji lelaki itu.

“Ini kali terakhir aku tolong kau. Selepas ini, aku tak mahu buat apa-apa lagi.”

“Nasib abang kau ada dalam tangan aku, budak. Hutang abang kau tak cukup untuk dibayar dengan kerja kecil kau ini,” kata lelaki itu dalam nada mengugut.

Wafi terdiam seketika.

“Baiklah. Setakat ini aku tak perlukan kau tapi kau jangan sesekali mengkhianati aku. Kalau aku tahu kau buat perkara itu, jangan harap kau dapat jumpa dengan abang kau lagi.”

Selepas itu, Dawas terdengar bunyi tapak kaki berjalan. Mungkin salah seorang daripada mereka sudah beredar.

Dawas membuka pintu bilik itu sedikit. Dia ternampak seorang lelaki yang tak dikenalinya keluar dari bilik itu.

Dengan segera, Dawas mendekati tingkap bilik itu. Dia melihat Aqlan Fann yang sedang melihatnya. Kebetulan tingkap bilik yang didudukinya dapat dilihat oleh Aqlan Fann.

Dia terus mengarah Aqlan Fann untuk mengekori lelaki itu. Aqlan Fann mengangguk faham.

Dawas terus keluar dari bilik itu. Tiba-tiba, dia terlanggar seseorang. Seorang perempuan berpakaian cantik. Pakaiannya sama dengan pelayan-pelayan perempuan yang dilihatnya tadi.

“Maaf, saya tak sengaja,” kata Dawas.

Perempuan itu mengangkat kepalanya. Dawas terkejut melihat wajahnya.

“Haira? Kau buat apa di sini?” soalnya.

“Aku yang sepatutnya tanya soalan itu. Apa yang kau buat di sini?”

Dawas kerut dahi. “Apa maksud kau?”

“Aku beritahu ayah kau. Kau pergi ke rumah pelacuran.”

Ternaik kening Dawas. Dia tidak tahu ini rumah pelacuran. Patutlah Aqlan Fann menolak untuk masuk ke sini ketika mereka sampai tadi.

“Jangan. Jangan beritahu ayah aku. Aku tak tahu tempat ini.” Dawas gelabah. Dia menyumpah Aqlan Fann dalam hati.

“Tengoklah macam mana. Nanti, kita berbincang semula. Aku mahu ikut lelaki tadi,” kata Haira lalu melangkah pergi.

Dawas mengekori langkah Haira.

“Kau tak jawab lagi soalan aku. Kenapa kau ada di sana?”

“Aku ikut kaulah. Sikap kau dan Aqlan pelik beberapa hari ini. Jadi, aku ikut kau orang. Jangan harap kau boleh berahsia dengan aku.”

Dawas menepuk dahinya. Memang dia tak beritahu Haira tentang apa yang mereka lakukan.

“Kenapa kau mahu ikut lelaki tu?” tanya Dawas ingin tahu.

Haira mengeluh, “Aku dah hilang jejak,” kata Haira.

Dawas tergelak melihat tingkah Haira.

“Kau ni tak berubah langsung. Jadi bijak sikit macam aku,” kata Dawas sambil mengetuk perlahan kepala Haira.

Haira menjeling ke arahnya.

“Ini orang panggil strategi. Kau pun perlukan kawan yang membantu. Aqlan dah susun batu untuk laluan aku. Kau hanya perlu ikut batu ini sahaja,” terang Dawas sambil menunjuk beberapa batu yang telah disusun oleh Aqlan Fann.

Haira mencebik. “Kau mahu aku beritahu ayah kau ke?”

Dawas tersengih. “Jangan, jangan. Aku bergurau saja. Kau belum jawab lagi soalan aku.”

“Aku nampak kau dan Aqlan ikut Wafi. Jadi, aku pun masuk ke dalam bilik yang sama dengan Wafi. Nasib baik dia tak cam muka aku.”

“Macam mana kau boleh masuk ke sana?”

“Aku menyamar jadi salah seorang daripada pelayan di situ. Aku duduk di sisi lelaki itu dari mula. Aku dengar mereka bercakap tentang duit dan lelaki itu mahu ke satu tempat. Aku mahu tahu tempat yang dikatakan oleh mereka.”

Dawas menggeleng. Haira suka bertindak melulu.

“Nasib baik aku jumpa dengan kau. Berbahayalah kau keluar seorang diri. Kalau kau kena culik, baru kau tahu nak cari aku.”

“Kau ni banyak cakap betul. Aku baik-baik saja,” kata Haira geram. Dawas tak habis-habis membebel.

“Shhh.” Dawas mengarah Haira supaya senyap.

Mereka sudah sampai di suatu pondok kecil. Tiada sesiapa yang ada di halaman. Lampu di dalam pondok itu menyala.

Mereka pun tak tahu ke mana Aqlan Fann sudah menghilang. Dawas terus menarik tangan Haira. Mereka masuk ke halaman itu dengan senyap. Suasana ketika itu sangat senyap. Hanya kedengaran bunyi cengkerik dan serangga-serangga lain.

Mereka berdua mendekati sebuah meja. Terdapat banyak duit syiling di atas meja itu. Dawas mengambil beberapa keping duit syiling. Dia syak tempat itu merupakan tempat duit syiling palsu dibuat
. Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi pintu dibuka. Dawas dan Haira bersembunyi di sebalik perigi yang berdekatan dengan mereka.

Selang beberapa minit kemudian, lelaki itu beredar. Dawas menghembus nafas lega.

“Hei!” Tiba-tiba, mereka berdua disergah dari belakang.

Dawas dan Haira terjatuh ke atas tanah kerana terkejut. Aqlan Fann pula tergelak apabila melihat reaksi mereka berdua.

“Kau memang tak boleh berpisah dengan Dawas, ya?” usik Aqlan Fann.

“Mana ada,” nafi Haira. Merah muka apabila ditanya sebegitu di hadapan Dawas.

“Aku pun rasa macam tu. Terkejut aku bila terserempak dengan dia,” kata Dawas.

Haira mencebik. “Perasan,” kata Haira perlahan.

“Perkara ini perlu dimaklumkan dengan segera. Kita perlu berjumpa dengan mak cik Jasmin esok,” kata Aqlan Fann.

IMBAS KEMBALI TAMAT

“Dan di sinilah kami sekarang,” Aqlan Fann menghabiskan ceritanya.

“Bagus. Tak sia-sia aku minta tolong,” puji Jasmin.

“Apa yang patut kami buat selepas ini?” tanya Haira.

“Hujung minggu ini adalah hari ulang tahun raja Tamim. Kalau kamu bertiga berminat, kamu boleh ikut aku dan Yatna,” ajak Jasmin.

“Tapi pelajar Tahun Dua yang akan ke majlis itu,” jawab Dawas.

“Mereka pergi atas nama pelajar Akademi Mettasha. Kita berempat pergi atas nama Yatna,” kata Jasmin sambil tersengih.

Mereka bertiga hanya mengangguk setuju. Masing-masing cuba membayang kali pertama mereka ke majlis diraja tersebut.

-------------------------------------

Sudah beberapa hari berlalu selepas hari dia sedar. Sepanjang hari itu, dia hanya berbaring di atas katil. Tubuh badannya berasa lenguh kerana tidak banyak bergerak. Tetapi dia dapat rasakan tubuhnya semakin bertenaga dan sihat atas rawatan Ilham.

Dia cuba membantu Ilham dan isterinya menguruskan klinik kecil mereka. Dia hanya membantu merekod setiap pesakit, menyusun ubat-ubat dan pelbagai kerja kecil lagi.

Dia pun tidak sabar untuk pulang tetapi Ilham melarangnya. Ilham sudah mengingatinya sejak awal lagi. Mungkin dia akan tinggal di situ beberapa bulan lagi. Dia tidak sangka lukanya perlu dirawat sampai berbulan-bulan lamanya.

Lagipun, dia risau kalau kawan-kawannya yang lain sedang memikirkan mereka berdua. Dia rasa bersalah pula kerana telah merisaukan kawan-kawannya di sana.

Sedang asyik dia mengelamun, tiba-tiba, dia mendengar bunyi bising di luar klinik itu. Dia tertanya-tanya punca kekecohan itu lalu keluar dari klinik dan mendekati sekumpulan orang ramai yang sedang berkumpul.

Ilham sudah berada di situ.

“Doktor kena tolong saya. Ayah saya. Sudah berhari-hari dia tak sedarkan diri tapi tadi dia sesak nafas secara tiba-tiba. Saya tak tahu apa yang patut saya buat.”

Seorang remaja lelaki sedang melutut di hadapan Ilham dengan wajah yang risau. Ilham terus menyuruh remaja itu berdiri.

“Kau tunjukkan rumah kau. Abriel, kau ikut aku dan bawa beg aku itu sekali,” arah Ilham.

Kemudian, mereka berdua membuntuti remaja itu ke rumahnya. Beberapa minit berjalan, mereka sampai di depan sebuah rumah batu kecil. Besar mata Abriel melihat rumah itu. Kebanyakan bahagian rumah itu perlu dibaiki seperti atap rumah itu yang kelihatan berlubang.

Rumah kecil itu tiada bilik. Hanya dipenuhi dengan sebuah tilam dan dapur kecil. Kehidupan remaja itu pasti sangat susah.

“Itu ayah saya,” kata remaja itu sambil menunjuk ke arah seorang lelaki tua yang berbaring di penjuru rumah itu.

Dada lelaki tua itu naik turun. Abriel hanya memerhati tindak-tanduk Ilham.

Ilham memeriksa keadaan orang tua itu. Setiap inci tubuh itu diperiksanya. Tidak mahu tertinggal apa pun yang ada pada tubuh itu.

“Ayah kau diberi racun tapi aku dah sediakan ubatnya. Kau cuma perlu sediakan ubat ini untuk ayah kau tiga kali sehari. Dalam masa beberapa hari, racun itu akan hilang,” terang Ilham selepas memeriksa pesakitnya itu beberapa kali.

Remaja itu mengangguk faham lalu berterima kasih kerana sudi merawat ayahnya. “Ayah kau pergi ke mana?” tanya Ilham.

Remaja lelaki itu terdiam.

“Kalau kau tak keberatan, kau boleh ceritakan kepada aku apa yang berlaku. Lagipun, ayah kau bukan diracun dengan racun biasa tetapi racun yang sukar untuk dicari. Aku pun tak sangka racun ini masih wujud.” Ilham memandang muka remaja itu menagih jawapan.

“Sebenarnya, saya pun tak tahu apa yang ayah buat tetapi baru-baru ini ayah balik dengan duit yang banyak. Ayah tak suka kehidupan kami yang serba kekurangan. Ayah pun tak bekerja sebelum ini. Hanya saya seorang yang bekerja tetapi upah yang saya dapat tidaklah terlalu banyak. Pada hari itu, kami berdua makan dengan kenyang. Apabila saya bertanya tentang duit itu, ayah hanya senyap. Jadi, saya tidak bertanya banyak kerana risau ayah marah.”

“Sejak hari itu, ayah selalu membeli makanan yang sedap. Rasa mahu tahu saya menebal. Ayah selalu keluar pada waktu malam. Jadi, malam itu saya mengekori ayah tanpa pengetahuannya. Saya mahu tahu apa yang dilakukan oleh ayah tapi saya terkejut selepas itu. Saya tak tahu apa tugas ayah dalam kumpulan itu tetapi saya yakin ayah telah terlibat dengan penghasilan duit secara haram.”

“Saya cuba untuk bertanya ayah lagi tentang duit itu tetapi ayah tetap diam. Sejak hari itu, saya tidak makan makanan yang dibawa balik oleh ayah. Ayah naik angin dan keluar dari rumah. Dia tidak balik beberapa hari kemudian. Saya risau bercampur takut. Risau akan keselamatan ayah dan takut jika ayah sudah ditangkap. Saya cuba untuk mencari ayah dan saya terjumpanya di dalam semak. Keadaan ayah ketika itu teruk. Badannya penuh dengan luka. Darah tidak berhenti-henti keluar. Saya menghentikan darah itu dan ayah tidak sedarkan diri selepas itu. Tetapi ayah tiba-tiba saja jadi seperti tadi. Saya terus berlari ke klinik untuk meminta tolong.” Cerita itu berakhir di situ.

Abriel terkejut. Kes itu sangat berat. Penghasilan duit secara haram. Mungkin ayah remaja lelaki itu akan mati dihukum kerana melanggar undang-undang.

“Kau yakin mereka menghasilkan duit secara haram?” soal Ilham dengan serius.

Sesiapa sahaja yang mendengar hal tersebut pasti akan bertindak serius kerana kes sebegitu tidak boleh dibuat main.

Remaja lelaki itu mengangguk menjawab soalan Ilham.

“Kalau ayah kau sedar, terus maklumkan kepada aku. Aku ada beberapa hal yang perlu ditanya. Satu lagi, jangan beritahu sesiapa tentang hal ini. Biar aku uruskan,” pesan Ilham sebelum dia dan Abriel mengundur diri.

“Abang Ilham mahu buat apa? Bukankah kes ini kes berat. Sepatutnya, kita perlu…” Ilham memotong, “Kau tak payah masuk campur. Aku tahu apa yang aku buat. Kau perlu risaukan tubuh kau. Kalau kesihatan kau tak ada peningkatan, mungkin masa kau di sini pun makin bertambah. Masa itu, jangan haraplah kau boleh balik ke tempat kau.”

“Ya, abang Ilham. Beritahu sajalah jangan menyibuk. Tak payah nak ugut saya begitu.” Abriel mencebik.

Ilham ketawa. “Aku tahu kau tak sabar nak pulang tetapi badan kau tu perlukan rawatan lagi. Kenapalah orang muda sekarang tidak pentingkan kesihatan sendiri?”

Ilham merungut.

“Bukan tidak pentingkan kesihatan tetapi lebih pentingkan keselamatan,” jawab Abriel sambil tersengih.

“Keselamatan Aileen, bukan keselamatan kau.”

Abriel hanya tersengih sambil menggaru kepalanya. Tidak tahu apa yang perlu direspon.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience