BAB 10

Fantasy Series 447

Aileen Amanda mengambil tuala kering lalu dibasahkan di dalam air. Tuala basah itu diperah pula lalu mengelap wajah Abriel. Rambut Abriel juga dibasahinya.

Sudah dua hari dia sedar tetapi Abriel masih dalam lena panjangnya. Aileen Amanda tak tahu bila lelaki itu akan sedar.

Setelah badan Abriel dilap, dia mengambil pula semangkuk ubat yang dikhaskan untuk Abriel. Dia menyuap perlahan-lahan ke dalam mulut Abriel.

Setelah kosong mangkuk itu, dia meletakkannya di atas meja. Dia memandang wajah Abriel. Wajahnya tenang. Membuatkan Aileen Amanda juga rasa tenang apabila berada di sisi lelaki itu.

“Bila kau nak bangun, Abriel? Sudah lebih seminggu kau tak sedarkan diri. Aku pun tak tahulah apa yang berlaku di akademi.”

Aileen Amanda cuba untuk berbual-bual dengan Abriel seperti yang dikatakan oleh Ilham. Mungkin dengan perbualan mereka dapat menyedarkan Abriel.

“Sebenarnya, aku tak berniat pun untuk menyusahkan kau. Aku pun tak sangka yang kau akan terjun dari sampan itu. Disebabkan aku juga, badan kau sudah ada parut yang besar. Kalau kau masih tak sedarkan diri juga, memang aku patut dipersalahkan.”

“Aku teringat pertama kali kau bercakap dengan aku. Aku tak tahu kau seorang yang berterus terang. Waktu itu, aku pun tak tahu kenapa aku perlu mengaku. Kau mengingatkan aku tentang seorang kawan lama. Kawan lama yang aku cari. Pada mulanya, aku sangkakan kau kawan yang aku cari itu sebab kau ada parut yang sama dengannya. Di hujung dahi kau.”

Aileen Amanda menahan sebak. Dia tidak pernah bercerita tentang kawan lamanya kepada sesiapa pun termasuklah keluarganya. Abriel ialah orang pertama yang mendengar ceritanya ini.

“Tapi aku terlupa. Dia tak pernah bercakap. Aku tak tahu sama ada dia bisu atau dia tak mahu bercakap. Selepas kekecohan 10 tahun lepas itu, aku sudah tak berjumpa dengannya. Budak-budak sebaya aku waktu aku cakap dia dah tinggalkan aku. Tinggalkan aku seperti ibu aku. Aku hanyalah pembawa malang. Pembawa malang untuk keluarga aku dan kawan-kawan aku.”

Aileen Amanda tidak dapat menahan tangisnya lagi. Air matanya mengalir.

“Aku takut kau, Aqlan, Haira dan Dawas terima nasib yang sama. Aku cuba untuk bersikap dingin dengan semua orang tapi kau orang tak menjauhkan diri daripada aku. Sejujurnya, aku pun tak tahu sama ada aku perlu percaya atau tak bahawa aku seorang pembawa malang. Tetapi semua nasib buruk berlaku di sekeliling aku.”

Aileen Amanda menekup wajahnya dengan tangannya. Dia menangis teresak-esak.

Tiba-tiba, Aileen Amanda berasa kepalanya diusap. Dia mengangkat wajahnya.

Abriel sedang memandangnya sambil tersenyum.

“Aku tak tahu kau juga banyak cakap,” kata Abriel dengan suara serak.

Aileen Amanda menyapu air matanya. Bulat matanya memandang Abriel.

“Kau dah sedar?”

“Kenapa? Kau mahu kawan kau mati ke?” Kedengaran suara garau itu muncul dari muka pintu.

Ilham dan Harsha sedang berjalan mendekati mereka berdua.

“Kau, ke tepi,” arah Ilham.

Aileen Amanda terus menjauhi katil itu dan berdiri di sebelah Harsha. Ilham memeriksa Abriel.

“Beberapa hari ini, kau tak perlu buat apa-apa pun. Hanya berehat. Luka pada dada kau tu ambil masa yang lama untuk sembuh,” pesan Ilham.

Abriel mengangguk. “Terima kasih,” katanya.

“Sikap kau lebih bagus daripada budak itu. Sampai sekarang tak berterima kasih lagi,” kata Ilham sambil memandang Aileen Amanda.

Ternaik kening Aileen Amanda. “Saya sudah membantu. Lebih baik daripada tak buat apa-apa pun.”

“Yalah. Yalah. Asyik bergaduh saja awak berdua ini. Awak pun tak reti nak beralah langsung, Ilham.”

Ilham memandang isterinya dengan pandangan terkejut. “Awak pun dah berpihak pada dia?”

“Tak payah nak bercakap. Jom, keluar. Kita dah tak ada guna lagi duduk di sini,” kata Harsha sambil menarik lengan suaminya agar keluar bersama.

“Makanan ada di atas meja, Aileen,” kata Harsha sebelum menutup pintu bilik itu.

Kemudian, suasana bertukar senyap. Aileen Amanda berdiri tidak bergerak.

“Aileen.” Abriel memanggil.

“Ya.” Dia berpaling.

“Aku nak air.”

Aileen Amanda terus menuang air ke dalam gelas lalu menghulurkannya kepada Abriel. Abriel meneguk air itu dengan pantas. Sudah berhari-hari tekaknya kering.

Gelas itu dihulurkan kembali.

“Kau nak makan?” soal Aileen Amanda.

Abriel mengangguk.

Aileen Amanda terus mengambil mangkuk makanan itu lalu dihulurkan kepada Abriel.

Abriel menunjuk tangan kanannya yang sedang berbalut sambil tersengih. Aileen Amanda baru teringat. Tangan kanan Abriel juga tercedera.

Dia mengambil tempat berdekatan dengan Abriel. Sudu diangkat lalu disuap ke mulut Abriel.

Abriel membuka mulutnya lalu mengunyah makanan tersebut. Aileen Amanda menunggu Abriel menelan makananya dahulu sebelum disuap lagi.

“Kenapa kau diam? Tadi, kau banyak bercakap,” kata Abriel. Cuba mematikan kesunyian antara mereka.

“Aku cuma nak sedarkan kau saja. Abang Ilham ada cakap yang aku perlu banyak bercakap dengan kau.”

“Aileen,” panggil Abriel lagi.

Aileen Amanda mengangkat keningnya menyoal kenapa. Dia berasa gugup.

“Kenapa kau kata kau pembawa malang?” soal Abriel.

“Jadi, kau dengar segala-galanya?” soal Aileen Amanda terkejut.

“Kau menangis kuat sangat. Kau ingat aku boleh tidur dengan tenang.”

Aileen Amanda terdiam seketika sebelum memberi jawapan.

“Semua orang cakap ibu meninggal dunia dalam keadaan mengandung tetapi siapa sangkakan. Aku diberikan peluang untuk melihat dunia. Aku dilahirkan di dalam keranda. Disebabkan itulah aku dianggap sebagai pembawa malang.”

Abriel tergelak kecil.

“Apa maksud kau?” tanya Aileen Amanda. Tidak berpuas hati kerana Abriel sedang gelakkannya.

“Aku tak percaya tentang pembawa malang tapi aku percayakan satu perkara ini.”

“Apa dia?”

"Takdir boleh diubah. Mungkin pembawa malang
seperti kau sebenarnya seorang pembawa tuah. Kau tak perlu hidup untuk orang lain. Kau hidup untuk diri kau sendiri. "

Aileen Amanda terdiam. Dia tidak pernah terfikirkan perkara tersebut. Dalam diam dia mengiakan apa yang dikatakan oleh Abriel.
"Kau dan aku selamat dan masih hidup. Kau masih rasa diri kau seorang pembawa malang?"

Aileen Amanda menggeleng.

“Jadi, kau bukan pembawa malang. Kau juga manusia. Berhak memilih yang baik atau buruk.”

“Terima kasih,” ucap Aileen Amanda sambil tersenyum.

“Tak perlu berterima kasih pun. Aku hanya mengatakan pendapat aku saja.”

“Kata-kata kau telah menghapuskan kekusutan dalam kepala aku. Selama ini, tiada orang yang pernah menafikan bahawa aku seorang pembawa malang.”

“Aku gembira mendengar kau banyak bercakap. Kau juga patut senyum selalu.”

Aileen Amanda mengangguk mengerti.


**********************

Dua malam berlalu dan selama dua malam itu dia berdiri tidak jauh daripada pintu pagar belakang sekolah. Dia bersembunyi di sebalik semak.

Dua malam sebelumnya, tiada sesiapa yang keluar dari situ. Dia pun tidak tahu sama ada pagar belakang ini bukan tempat orang itu keluar atau orang itu memang tidak keluar selama dua malam itu.

Aqlan Fann menutup mulutnya yang menguap. Dia mengibas nyamuk yang mendekatinya. Bagi menghilangkan rasa mengantuknya, dia berjalan-jalan sepanjang pagar itu.

Ketika dia berjalan di situ, dia tersedar sesuatu pada pagar itu. Ada satu lubang besar yang dapat memuatkan seorang manusia melaluinya. Lubang itu ditutup dengan batu memandangkan pagar itu memang diperbuat daripada batu.

Sekali pandang, sesiapa pun tak perasan bahawa ada lubang di situ. Tetapi Aqlan Fann nampak perbezaan tersebut kerana dia ternampak ada lubang-lubang kecil pula antara batu-batu besar yang disusun.

Tiba-tiba, dia terdengar seseorang sedang berjalan ke arahnya. Dia berpaling.

“Wafi?” soal Aqlan Fann terkejut.

“Aqlan?” Wafi turut terkejut.

“Kau buat apa di sini?” tanya Aqlan Fann.

Wafi terdiam. “Kau buat apa pula?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Aku beritahu kau, kau jangan beritahu sesiapa. Aku nak keluar. Biasanya aku guna lubang ini dan dah lama aku tak keluar. Aku tak tahu pula ada orang lain guna lubang ini,” terang Aqlan Fann.

Dia mahu tahu jika Wafi akan jujur dengannya atau tidak.

“Aku pun nak keluar dan akulah orang yang guna lubang ini,” jawab Wafi sambil tersengih.

“Kau nak buat apa keluar?”

“Macam kaulah.”

“Macam aku? Kau tahu tujuan aku?” tanya Aqlan Fann terkejut. Begitu cepat rahsianya terbongkar?

“Bukan ke kau mahu berseronok?”

Aqlan Fann tersengih.

“Ya, kau mahu ikut aku?”

Wafi menggeleng. “Aku mahu bertemu dengan kawan lama. Mungkin lain kali aku dapat berseronok dengan kau,” jawabnya.

Aqlan Fann mengangguk.

Kemudian, mereka sama-sama mengangkat batu-batu besar yang manghalang laluan mereka itu. Aqlan Fann menunduk lalu melalui lubang tersebut dan diikuti dengan Wafi.

Mereka berpisah jalan kemudian. Aqlan Fann berfikir sepanjang jalan. Mengapa Jasmin menyuruhnya mencari orang tersebut. Dia pun tidak pasti sama ada Wafi ialah orang yang dicari oleh Jasmin atau bukan.

Malam itu, Aqlan Fann hanya berjalan sambil melihat orang-orang di situ bergembira. Ada yang sudah menutup kedainya. Ada juga yang masih melayan pelanggannya.

Bukan mudah untuk hidup di bandar besar itu. Terbit rasa kasihan apabila dia melihat nasib pengemis-pengemis di tepi jalan itu. Mereka bergaduh sesama sendiri untuk makanan dan tempat tinggal.

Apabila dia rasa penat, dia kembali semula ke akademi. Dia masuk melalui lubang itu lalu menutupnya kembali dengan batu-batu besar. Dia pun tak pasti sama ada Wafi sudah pulang atau belum.

Aqlan Fann masuk ke dalam biliknya. Dia melihat katil Abriel yang kosong. Kesunyian semakin terasa setelah banyak hari berlalu. Nasibnya baik kerana
mempunyai kawan seperti Dawas dan Haira.

Tiba-tiba, pintu biliknya dibuka dari dalam. Aqlan Fann terkejut.

“Dawas? Kau buat apa ke sini?” soal Aqlan Fann hairan. Hari sudah larut malam. Dawas masih berjaga.

“Kau ke mana?” tanya Dawas.

“Aku? Aku tak ke mana pun.”

“Kenapa kau tiba-tiba tak mahu pergi mencari Abriel?” soal Dawas lagi.

Aqlan Fann terdiam. Dia terlupa mahu beritahu Dawas dan Haira tentang hal itu.

“Kau tunggu siapa di pintu pagar belakang?”

Dawas sudah mula menyoal siasatnya.

“Aku…” Aqlan Fann teragak-agak. Dia lupa mahu bertanya kepada Jasmin jika dia beritahu kawan-kawannya tentang perkara itu.

“Aku tolong seseorang.”

Ternaik kening Dawas. “Siapa?”

“Kau ingat wanita yang menutup separuh mukanya. Dia datang dengan doktor Yatna.”

Dawas mengangguk.

“Itulah bonda Abriel.”

“Bonda?”

Aqlan Fann mengangguk. “Aku pun tak sangka itu bonda Abriel. Dia meminta aku mencari seseorang. Dia mahu tahu siapa yang selalu keluar secara senyap-senyap dari akademi pada waktu malam.”

“Tapi kenapa dia mahu tahu?”

Aqlan Fann mengangkat bahunya tanda tidak tahu. “Aku tidak bertanya tapi aku tahu ini mesti hal yang penting.”

“Jadi, kau dah tahu siapa dia?”

“Aku tak pasti tapi aku terserempak dengan Wafi tadi. Kau tahu apa-apa tentangnya?”

“Wafi? Setahu aku dia datang daripada keluarga yang sederhana. Baru-baru ini, aku dengar abangnya telah membuat masalah. Aku pun tak pasti apa. Mungkin dia keluar pergi membantu abang dia.”

Aqlan Fann mengangguk. Dia berfikir-fikir cara untuk membuktikan perkara itu. Dia perlu tahu Wafi pergi ke mana.

“Aku boleh bantu kau.”

Aqlan Fann memandang wajah Dawas dengan gembira.

“Boleh. Kau bantu aku ikut Wafi. Aku mahu tahu dia ke mana,” jawab Aqlan Fann.

Dawas mengangguk mengerti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience