BAB 22

Fantasy Series 447

Abriel memandang pintu gerbang itu. Ini kali kedua dia sampai di sini. Entah kenapa dia rasa mahu menangis. Sebak dadanya mengingati kali pertama dia datang.

Bunyi esakan di tepinya menyebabkan Abriel berpaling. Aileen sedang menunduk sambil mengelap air matanya.

Aileen berpaling apabila seseorang mencuit bahunya.

"Aku tak ada tisu tapi kalau kau rasa nak menangis, aku boleh pinjamkan bahu aku," kata Abriel tanpa memandang Aileen.

Aileen pula hanya tersenyum. Dia ingatkan Abriel tak mahu bercakap dengannya. Sejak petang semalam, Abriel seakan-akan cuba menjauhkan diri daripadanya.

Selepas Anang berlalu, Ilham terus mengajak mereka pulang ke Tamim. Ilham kelihatan terburu-buru. Sampai sekarang mereka tidak tahu apa tujuan Ilham pulang ke Tamim.

Mereka berempat tidak melakukan sebarang pemeriksaan. Abriel perasan Ilham menunjuk satu badge yang berwarna emas kepada pengawal di situ. Tanpa pemeriksaan, mereka dibenarkan masuk.

Mereka terus berjalan di celah-celah orang ramai. Seperti biasa, jalan Tamim sentiasa sibuk dengan orang menjual.

"Abriel, Aileen, aku dan Harsha mahu ke istana. Kau mahu ikut kami? Tabib Sinan pun akan ada." Ilham mengajak mereka berdua.

Dia tahu Aileen berminat untuk mempelajari bidang perubatan. Oleh sebab itu dia mengajak gadis itu menyertainya merawat Ghifari Hafis di istana.

Mata Aileen bercahaya sebaik sahaja mendengar nama Sinan. Dia suka belajar daripada lelaki tua itu.

"Saya nak tapi kenapa istana?" soal Aileen hairan.

"Tuanku sedang gering. Tabib-tabib istana tak dapat cari penawar. Aku dan tabib Sinan perlu ke sana untuk memeriksa penyakit tuanku dahulu," beritahu Ilham dengan suara yang perlahan.

Rakyat Tamim masih tidak mengetahui tentang Ghifari Hafis. Risau kekecohan akan berlaku jika berita itu tersebar dalam khalayak ramai.

"Saya pun nak pergi." Abriel turut menyampuk.

Dia juga mahu melihat keadaan raja Tamim itu.

"Marilah."

Mereka berempat terus berjalan menuju ke istana yang berdiri megah di tengah-tengah bandar Tamim itu.

Pintu pagar istana dijaga dengan ketat seperti pintu gerbang sebelum masuk ke bandar ini. Seperti tadi, Ilham terus menunjukkan badge perak tadi kepada pengawal istana itu pula. Mereka dibenarkan masuk tanpa pemeriksaan.

Aileen dan Abriel hanya mengikuti langkah Ilham dan Harsha. Ilham seakan-akan sudah menghafal selok-belok istana ini.

Bukan seperti mereka berdua yang baru pertama kali tiba di situ. Mereka berjalan sampailah di depan satu bilik tidur yang mewah.

Ilham masuk begitu saja dan diikuti oleh mereka bertiga. Ghifari Hafis sedang terbaring lesu di atas katil. Di sebelah raja itu, seorang perempuan sedang duduk di situ.

Sebaik sahaja mendengar derap langkah kaki seseorang, perempuan itu terus bangun lalu memandang tetamu mereka. Wajah itu terkejut.

"Ilham?" tegur wanita itu.

Ghifari Hafis cuba untuk bangun daripada pembaringannya. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu. Wanita itu terus membantu Ghifari Hafis untuk duduk.

"Yatna, kau minta tolong orang sediakan bilik untuk mereka." Ghifari Hafis mengarah anakanda sauaranya itu.

Yatna berlalu lalu meninggalkan bilik itu. Sempat dia tersenyum ke arah Abriel yang terkejut melihat wajahnya.

"Puteraku." Ghifari Hafis memanggil anakandanya. Dia menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya.

Terbeliak biji mata Abriel dan Aileen sebaik sahaja mendengar gelaran itu. Putera Tamim? Mereka tidak menyangka selama ini Ilham ialah seorang putera raja.

Aileen terasa mahu menampar mulutnya. Ketika inilah dia teringat semua kutukan yang pernah dia tujukan kepada Ilham. Harsha pula tidak pernah membangkitkan hal itu.

"Tak mengapa, Tuanku. Saya lebih selesa berdiri di sini." Ilham menjawab dengan dingin.

"Ilham." Harsha menolak lengan suaminya tapi tubuh itu tetap tidak bergerak.

"Tak apalah..." Ayatnya terhenti di situ.

"Harsha, ayahanda," jawab Harsha ramah.

"Harsha isteri Ilham?" soal Ghifari Hafis ingin tahu.

Harsha mengangguk mengiakan.

"Aku minta maaf. Aku tak kisah apa yang kau nak buat, aku cuba harap kau tinggal di istana. Aku tak kisah kalau kau tak nak jadi pewaris aku. Kita lupakan kisah lepas," kata Ghifari Hafis lalu memandang sayu wajah puteranya itu.

"Saya datang sini bukan kerana itu, Tuanku.  Saya datang untuk merawat. Kau berdua, tolong aku."

Ilham meminta tolong Aileen dan Abriel memeriksa badan. Aileen membantunya mencatat apa yang patut. Abriel pula menolong menyapu ubat pada tubuh raja itu.

Ghifari Hafis memandang wajah Abriel. Wajah itu mengingatkan dia akan seseorang yang pernah dikenalinya suatu masa dahulu.

"Apa nama kau?" tanya Ghifari Hafis kepada Abriel.

Belum sempat Abriel menjawab, Ilham terlebih dahulu menyampuk. "Tuanku tak perlu tahu siapa dia." Ilham menjawab tanpa rasa bersalah.

Ghifari Hafis tersenyum pahit. Dia tahu anakandanya masih terasa.

"Kami dah nak balik. Beberapa hari lagi, kami akan datang kembali," kata Ilham sambil mengemas barang-barangnya.

"Ayahanda dah sediakan bilik untuk kau berempat. Tinggal saja di istana ni," kata Ghifari Hafis.

"Tak perlu pun, Tuanku. Kami tinggal di lu..."

Harsha mencubit lengan suaminya.

"Terima kasih, ayahanda. Maaf sebab dah menyusahkan ayahanda."

"Awak tak payah nak minta maaf sangatlah. Orang-orang istana yang tolong sediakan semua benda," kata Ilham kepada isterinya.

Harsha hanya menjeling suaminya. Orang nak berbaik dengan dia lagi dia nak bergaduh. Ghifari Hafis bukannya masih muda. Sudah dimamah usia. Lambat laun, pergi juga raja itu mengadap Tuhan.

"Pergilah berehat. Kau sudah berjalan jauh. Kalau perlukan apa-apa, minta sahaja dengan orang istana." Ghifari Hafis memberi kebenaran.

Harsha, Abriel dan Aileen berterima kasih. Terbit juga rasa takut untuk tinggal di istana ini. Kawasan diraja, bukannya kawasan rakyat yang biasa dilalui mereka.

Mereka berempat terus mengundurkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience