BAB 8

Fantasy Series 447

Kuda yang ditunggangnya bergerak dengan laju. Beberapa minit lagi, mungkin dia akan tiba di kawasan banjir yang keempat. Kawasan ini agak jauh. Di hujung pedalaman Tamim.

Bunyi suara orang ramai dari kejauhan menandakan dia sudah tiba. Dia berhenti apabila ternampak sekumpulan besar rakyatnya berkumpul.

Pengikut-pengikutnya di belakang turut berhenti.

Dia turun daripada kudanya lalu mendekati orang ramai. Dia berpakaian ringkas. Berbaju biasa dengan lengan pendek dan berseluar panjang.

Walaupun umurnya hampir separuh abad, wajahnya tidak nampak begitu. Fizikalnya juga masih kuat.

“Tuanku?”

Suara garau itu menyapanya. Ghifari Hafis terus berpaling.
“Nail Ihsan. Kau juga ke mari.”

“Aku datang memantau pelajar-pelajar akademi yang menjadi sukarelawan.”

Ghifari Hafis mengangguk-angguk. “Sudah lama rasanya aku tak berjumpa dengan kau.”

“Betul, Tuanku. Tuanku sibuk dengan urusan negara dan aku sibuk dengan urusan akademi,” jawab Nail Ihsan.

Mereka berdua memiliki guru yang sama. Sudah bertahun-tahun mereka mengenali tetapi mereka semakin sibuk apabila usia mereka bertambah.

“Aku tengok cuaca sudah semakin baik. Aku berharap beberapa hari ini hujan tidak turun. Jadi, bolehlah kita membina perkampungan mereka semula.”

“Aku turut berharap begitu, Tuanku. Oh, apa tujuan Tuanku datang?” tanya Nail Ihsn sekadar berbasa-basi.

“Aku mahu menghatar beras dan beberapa keperluan yang lain. Di manakah tempat yang patut aku letakkan?”

“Barang itu di mana? Biar aku panggil pelajar-pelajar aku untuk membantu.”

Kemudian, Nail Ihsan memanggil beberapa orang pelajar daripada Akademi Mettasha. Abriel turut dipanggil.

Mereka diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan pemimpin Tamim. Abriel tidak menyangka dia dapat berjumpa dengan raja itu.

Mereka mebantu mengangkat keperluan itu ke tempat yang telah disediakan.

Tiba-tiba, seorang sukarelawan berlari ke arah Nail Ihsan.

“Tuan, kami telah menjumpai satu kampung. Penduduk-penduduk tersekat dalam kampung mereka. Mereka tidak dapat keluar kerana air agak tinggi,” ujar lelaki itu.

Nail Ihsan terus mengarah beberapa orang untuk pergi membantu.

Abriel terus mengikut sekumpulan sukarelawan yang lain pergi ke kampung tersebut. Kampung itu tidak jauh. Hanya memakan masa beberapa minit.

Dari jauh, mereka sudah nampak penduduk kampung yang duduk di atas atap rumah masing-masing. Sudah separuh hari mereka berada di situ.

Seorang demi seorang dibantu naik ke dalam sampan. Tiba-tiba, angin datang dengan kuat.

Langit gelap. Hujan seakan-akan mahu turun tetapi tidak turun lagi. Hanya angin yang datang dengan kencang.

Keadaan itu menyukarkan pergerakan mereka. Sampan mereka bergoyang.

Setelah sampan mereka sudah penuh, mereka bergerak pulang. Semua penduduk sudah selamat keluar daripada kampung mereka.

Belum sempat mereka beredar hujan turun dengan lebat. Angin mula bergerak ganas.

Tiba-tiba, kedengaran seseorang terjatuh daripada sampan. Tangannya tergapai-gapai. Abriel terus turun daripada sampan itu memandangkan dia berada dekat dengan orang itu.

Abriel menarik orang itu. “Aileen?” Abriel tekerjut. Tak menyangka gadis itu yang terjatuh.

Muka Aileen Amanda pucat. Mungkin terkejut.

“Aqlan, kau tolong aku.” Abriel meminta tolong Aqlan Fann yang berada satu sampan dengannya.

Aqlan Fann cuba menarik lengan Aileen Amanda. Keadaan ketika itu genting. Air semakin laju mengalir. Tambahan hujan turun dengan lebat beserta angin. Walaupun, hari sebelumnya lebih teruk tetapi keadaan saat ini tutut membataskan pergerakan mereka.

Belum sempat mereka berdua naik ke dalam sampan, mereka sudah dibawa arus. Pegangan Aqlan Fann terlepas.

Abriel dan Aileen Amanda telah jauh dibawa arus air tersebut. Aqlan Fann pula terkedu.

“Abriel!” Dia menjerit memanggil rakannya itu.

“Aqlan, kau bertenang. Kita akan menghantar pasukan penyelamat untuk mencari mereka berdua. Lebih baik kita pulang dahulu. Cuaca tidak menentu. Aku risau perkara lain pula yang terjadi,” kata Nabhan yang mengetuai aktiviti menyelamat ketika itu.

Aqlan Fann hanya mengangguk perlahan. Dia masih lagi dalam keadaan terkejut. Dia tidak sengaja melepaskan pegangan itu.

Terbit rasa bersalah dalam dirinya. Dia telah menyebabkan kedua-dua kawannya dibawa arus. Dia hanya berharap mereka berdua dijumpai dalam keadaan yang selamat.


*******************

Tiba-tiba, bahunya ditepuk dari belakang. Dia terus berpaling. Habis hilang apa yang difikirkannya.

“Kau tak perlu salahkan diri kau. Abriel pasti faham.” Dawas cuba memberi kata-kata semangat untuk Aqlan Fann.

Sudah dua hari berlalu dan sepanjang dua hari itu begitulah keadaan Aqlan Fann. Termenung apabila dia tidak sibuk.

“Aku tak boleh lupakan wajah Abriel ketika itu. Dia meminta tolong aku menyelamatkan mereka tapi…” Aqlan meraup wajahnya.

“Mereka belum menjumpai Abriel dan Aileen ke?” tanya Aqlan Fann.

Dawas menggeleng. “Tiada berita adalah berita baik. Mungkin mereka masih hidup. Cuma belum ditemui sahaja.”

Pasukan penyelamat yang telah dihantar tetap tidak menjumpai tubuh Abriel dan Aileen Amanda. Tiada berita merupakan berita baik buatnya pada masa ini.

“Tuan Nail suruh kita berkemas. Pagi esok, kita akan bergerak pulang ke akademi,” kata Dawas.

Aqlan Fann memandang Dawas. Mahu memastikan berita itu. “Tapi Abriel dan Aileen tak dijumpai lagi.”

“Tuan Nail tahu. Dia menyuruh kita berehat. Sudah hampir seminggu kita berada di sini. Tuan Nail tetap menyuruh orang-orang itu mencari mereka berdua.”

Aqlan Fann terdiam. Dia berat hati mahu tinggalkan tempat itu. Dia risau.

“Aku mahu cari mereka berdua,” kata Aqlan Fann tiba-tiba.

“Tuan Nail pasti tak akan benarkan kau pergi.”

“Kalau macam tu, biar aku bertemu dengannya. Aku sudah tidak tahan menunggu.”

Aqlan Fann mengangkat kaki. Dia mahu berbicara dengan Nail Ihsan.

“Aqlan Fann.” Dawas memegang kuat bahu Aqlan Fann. Menghalang rakannya itu menyambung langkah.

“Abriel pasti tak suka kalau kau berterusan begini. Dia kawan baik kau sendiri. Kau pasti lebih memahaminya. jika dia sudah tia…”

“Apa maksud kau dia sudah tiada? Abriel masih hidup.” Merah padam mukanya kerana marah.

“Ya, aku pun berharap dia masih hidup. Aku cakap kalau. Kalau dia dah tiada sekalipun, dia mesti gembira kerana dia pergi ketika membantu orang lain. Kau pun tahu apa yang dia mahu lakukan dalam hidupnya. Kau pun tahu apa yang dia mahu capai setelah dia masuk ke dalam akademi. Kenapa kau masih nk salahkan diri kau lagi?”

Aqlan Fann terdiam. Ya, dia terlupa. Dia terlupa kata-kata Abriel itu.

IMBAS KEMBALI

“Kau tak penat ke, Abriel?” tanya Aqlan Fann.

“Tipulah kalau aku cakap tak penat tapi kau pun nampak pak cik itu sudah tua. Kita hanya memudahkan kerja dia saja.”

“Kenapa kau suka buat benda macam ni?” tanya Aqlan Fann ingin tahu.

Ketika itu, mereka dalam perjalanan ke ibu kota Martin. Mereka telah melalui banyak kampung kecil dan sepanjang perjalanan mereka itu pasti akan ada seorang dua yang akan ditolong.

“Aku diajar untuk membantu sejak kecil lagi. Biarlah mereka tidak meminta tetapi biarlah kita yang memberi.”

Aqlan Fann mengangguk. Sikap yang ada pada Abriel menarik minatnya untuk lebih mengenali dan mengambil tahu lebih banyak tentang lelaki itu.

IMBAS KEMBALI TAMAT

Aqlan Fann menghembus nafasnya. Dia tersedar daripada perasaan yang berkecamuk dalam hatinya.

“Aku minta maaf kerana berkasar dengan kau tadi,” kata Aqlan sambil memandang wajah Dawas.

Dawas tersenyum. “Aku faham situasi kau. Kau cuma perlu tunggu Abriel pulang.”

Siapalah yang tidak pernah diuji dengan masalah. Masalah itulah yang akan mengubah diri masing-masing sama ada ke arah positif atau negatif. Sebagai kawan, Dawas sedar dia perlu membantu Aqlan Fann supaya tidak terus tenggelam dalam perasaannya sendiri.

Aqlan Fann mengangguk.


***************

Dia menarik tali kudanya untuk berhenti. Melihat papan tanda itu mengingatkannya tentang perkara lepas. Tak sangka dia akan kembali ke sini lagi setelah bertahun-tahun lamanya.

Seperti orang-orang yang lain, dia turut beratur dalam barisan. Menunggu untuk diperiksa sebelum memasuki kota besar itu. Kota yang merupakan tanah air yang ditinggalkannya.

Setelah melepasi pintu pagar besar itu, dia berjalan sepanjang jalan itu dengan kudanya. Banyak benda sudah berubah. Kedai yang dikenalinya sudah tidak berada di tempat asal. Mungkin sudah berpindah. Mungkin juga sudah menghentikan perniagaannya.

Dia singgah di sebuah gerai kecil lalu memesan semangkuk mi dan air. Dia sedang menanti seseorang di situ.

Dalam banyak-banyak tempat, gerai inilah yang menjadi tempat lepaknya dahulu. Dia pun tak pasti jika tuan empunya kedai itu masih ada atau tidak.

“Jasmin.” Jasmin berpaling apabila terdengar seseorang menyapanya.

“Sampai pun kau.”

Yatna melabuhkan punggungnya di hadapan Jasmin. sudah lebih dua bulan mereka tidak bertemu. Mereka hanya berhubung melalui sepucuk surat untuk mengetahui perkembangan masing-masing.

“Macam mana dengan anak aku?” soal Jasmin.

Tujuan dia datang hanya kerana anak lelaki yang dikhabarkan telah ditimpa masalah. Jika bukan kerana Abriel, mungkin dia tidak akan menjejakkan kakinya ke sini.

Yatna hanya menggeleng sebagai jawapan. Sudah seminggu peristiwa itu berlaku. Khabar Abriel dan seorang lagi rakannya masih tidak kedengaran.

“Aku risau mereka akan berhenti mencari beberapa hari lagi. Abriel mungkin akan dikatakan sudah meninggal,” kata Yatna dengan teragak-agak. Risau jika kata-katanya akan menaikkan marah rakannya itu.

“Abriel masih hidup. Aku dapat rasakan dia masih hidup. Dia tak selemah itu untuk mati.” Jasmin berkata dengan yakin.

Yatna memandang wajah Jasmin.

“Aku lega kalau kau cakap macam tu. Aku risau kalau kau senyap.”

Memang itulah yang dirisaukannya sejak tadi. Sudah berpuluh-puluh tahun dia berada di sisi Jasmin.

Dia risau jika Jasmin senyap seperti 10 tahun lepas seperti selepas kematian suaminya. Saat itu sangat sukar untuknya. Juga untuk Jasmin.

Membesarkan anak seorang ini merupakan suatu perkara baru buat Jasmin. Tambahan pula, dia hidup senang sejak kecil lagi. Pertama kali dia rasa hidupnya sangat susah.

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah keadaannya. Dia bertuah kerana Yatna sentiasa menyokong dan membantunya.

“Masa berlalu dengan pantas, Yatna. Aku pun mungkin sudah berubah,” kata Jasmin sambil tersengih.

“Baguslah macam tu. Kau mahu tinggal berapa hari di sini? Aku boleh sediakan tempat untuk kau.”

“Aku tak tahu. Mungkin aku akan tinggal lama. Aku mahu siasat beberapa perkara. Kau tak perlu sediakan apa-apa sebab aku akan tinggal di rumah lama kami.”

“Siasat? Kau mahu siasat apa lagi, Jasmin?”

“Tentang pemberontakan itu. Sudah 10 tahun aku mencari tetapi tiada satu pun berita yang aku dapat.”

“Kau lupa, Jasmin. Pemberontakan itu disiasat oleh baginda sendiri. Semua yang berkaitan dengannya tidak diceritakan kepada umum. Rakyat hanya tahu Adi ialah pemberontak itu. Kau pun tahu popularitinya sebagai raja macam mana.”

Jasmin mengeluh berat. Dia sendiri tidak tahu dia perlu bermula daripada apa.

“Tapi aku ada sesuatu mahu dibicarakan dengan kau.”

“Apa?”

“Aku bawa kau balik dahulu. Kita bercakap di rumah kau.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience