BAB 9

Fantasy Series 447

IMBAS KEMBALI

Dia memandang sekumpulan kanak-kanak bermain dari jauh. Mereka bermain dengan gembira. Dia pula tidak berani untuk mendekati mereka.

Bukan kerana takut tetapi tidak mahu menimbulkan masalah. Dia tahu kanak-kanak itu tidak suka bermain dengannya. Jika mereka bermain bersama pun, mereka tetap berakhir dengan perbalahan.

Seorang budak lelaki yang sedang duduk mencangkung itu menarik minatnya untuk mendekati. Budak lelaki itu sedang bermain dengan kayu rantingnya. Tanah itu dihiasi dengan hasil tangan budak itu.

“Kau lukis apa?” tegurnya.

Budak lelaki itu berpaling melihatnya. Kemudian, dia menumpukan perhatiannya terhadap lukisannya kembali.

Dia memandang lelaki itu dengan mata membulat. Budak itu tidak menghiraukan. Bercakap pun tidak.

“Kau pun tak ada kawan nak bermain?” Dia bertanya lagi. Cuba untuk membuka mulut budak lelaki itu.

Budak lelaki itu menulis sesuatu di atas tanah.

‘Aku tak suka bermain dengan orang lain.’

Dia duduk mencangkung di sebelah budak itu.

“Kau nak bermain dengan aku tak?”

‘Tak’

Dia mendengus.

“Kau tak perlu beritahu sekarang. Esok aku datang lagi bawa permainan baru aku. Kau tunggu aku di sini.”

Petang itu, dia pulang lebih awal daripada biasa. Dia mengeluarkan segala permainan yang dia ada. Dia memilih permainan yang ingin dibawa esok.

Seperti yang dijanjikan, dia datang dengan membawa permainan yang dijanjikan. Dari jauh, dia sudah nampak budak lelaki itu sedang melukis di atas tanah.

Dia pun tidak tahu apa yang dilukiskan oleh budak itu.

“Aku dah bawa permainan yang aku janjikan.” Dia mengeluarkan satu beg kecil daripada poketnya.

“Ini namanya guli.” Dia mengeluarkan sebiji guli untuk ditunjukkan kepada budak itu.

Budak lelaki itu mengambil guli itu daripada tangannya. Melihat respon itu, dia berasa gembira.

Dia terus mengajar budak lelaki itu tentang cara bermain. Petang itu mereka bermain bersama.

Itulah kali pertama dia dapat bermain tanpa berbalah dengan sesiapa.


****************
Sebulan sudah berlalu selepas pemberontakan itu berlaku. Dia tidak dibenarkan keluar dari rumah kerana risau akan keselamatannya. Lagipun, keadaan di luar masih kucar-kacir. Tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil untuk memulihkan ibu kota itu semula.

Hampir separuh rumah rakyat dibakar. Punca makanan mereka juga tidak banyak.

Namun, setelah sebulan berlalu, keadaan semakin bertambah baik dan pulih. Jadi, pada hari itu dia mahu pergi ke taman. Dia mahu berjumpa dengan budak lelaki itu.

Seperti biasa, dia membawa permainannya dan pergi ke taman itu. Kelibat budak itu masih tidak kelihatan. Dia menunggu budak itu di tempat biasa mereka bermain.

Masa berlalu. Dia melihat ke dada langit. Matahari makin menghilang. Langit juga sudah bertukar warna.

Dia tertanya-tanya keberadaan budak itu. Disebabkan hari makin gelap, dia pun beredar pulang. Mungkin budak lelaki itu akan datang esok.

Keesokan harinya, dia datang lagi. Dia menunggu lagi. Budak lelaki itu masih tidak muncul.

Walaupun begitu, dia tetap menunggu dan seminggu telah berlalu. Pada hari ketujuh itu, sekumpulan kanak-kanak yang biasa bermain di taman itu mendekatinya.

“Kau tunggu budak bisu itu ke?” Salah seorang daripada mereka bertanya.

Dia hanya diam.

“Budak bisu itu dah tinggalkan kau. Tiada siapa yang mahu main dengan pembawa malang macam kau.”

Dia memandang budak lelaki yang berdiri di hadapannya.

“Apa maksud kau?”

“Budak bisu tu tak mahu bermain dengan pembawa malang macam kau.”

Dia menahan marahnya. Bahunya naik turun. Dia mengenggam buku limanya.

“Kenapa kau nak marah? Betullah apa yang aku cakap. Dah berapa hari kau tunggu? Batang hidung budak bisu itu pun aku tak nampak. Dia pun tinggalkan kau macam mak kau.”

Tanpa berkata-kata, dia melayang buku limanya ke
muka budak lelaki itu. Mereka berbalas tumbukan.

“Tak perlu sebut tentang ibu aku. Kau nak maki aku, maki saja tapi bukan ibu aku. Satu lagi, jangan suka mengata orang. Aku lebih suka berkawan dengan orang bisu daripada orang yang bermulut busuk macam kau.”

Dia melepaskan tangannya daripada memegang kolar baju budak lelaki itu.

“Kau tunggu. Aku beritahu mak aku. Biar mak aku beritahu ayah kau.” Budak lelaki itu menjerit.

Dia tidak menunggu lama di situ. Dia terus berlalu pergi.

Apabila dia pulang ke rumah, ayahnya belum lagi pulang. Dia mengurung dirinya di dalam bilik.

Tiba-tiba, bunyi bising dari luar mengejutkannya. Dia terus keluar dari biliknya. Mahu mengetahui apa yang berlaku.

Ayahnya berdiri di luar biliknya dengan muka merah menahan marah. Dia kecut perut. Dia tak pernah melihat muka ayahnya semarah itu.

“Apa yang kau dah buat?” tanya ayahnya dengan nada tinggi.

Dia diam.

“Aku tanya apa yang kau dah buat?” Ayahnya mendekatinya.

Dia masih lagi diam.

Bunyi rotan dilibas kuat kedengaran. Rotan itu dilibas ke kakinya.

Dia menahan sakit. Dia tetap senyap. Dia tahu dia salah. Dia yang memulakan perbalahan itu.

Rotan itu dilibas lagi.

“Ayah, sakit.” Dia merintih sakit.

IMBAS KEMBALI TAMAT

“Ayah!” Dia menjerit dengan kuat.

Dahinya berpeluh. Nafasnya tidak teratur. Sudah lama dia tidak bermimpi tentang masa kecilnya.

“Kau dah sedar, budak.” tegur suara garau itu.

Dia memandang lelaki yang sedang berjalan mendekatinya. Wajahnya masih muda. Misai nipisnya tidak bercukur. Mungkin berumur sekitar 30 tahun.

“Aku terjumpa kau di tepi sungai. Jadi, aku bawa kau pulang. Badan kau banyak luka. Aku dah tolong balutkan,” kata lelaki itu.

Dia terkejut. “Kau buka baju aku?”

Lelaki itu mengangguk tanpa rasa bersalah.

“Aku perempuan.”

“Aku tahu. Takkanlah aku nak biarkan kau mati kerana tak dirawat.”

Respon lelaki itu mengejutkan. Lelaki itu bercakap tanpa rasa bersalah pun. Kata-katanya juga agak kasar.

“Tak payah nak tunjuk muka ketat kau. Aku bergurau saja. Isteri aku yang tolong rawat kau.”

Dia melepas nafas lega. Dia teringat sesuatu.

“Kawan kau ada di bilik sebelah. Nasib kawan kau malang. Dada dia tertusuk kayu tajam. Dia masih tak sedarkan diri.”

“Ilham, awak ada pesakit.” Seorang wanita muncul di muka pintu.

Wajah itu cantik tanpa secalit bedak pun. Wajahnya putih bersih.

“Kau berehatlah. Aku perlu bekerja.” Lelaki yang bernama Ilham itu terus beredar dari situ.

Wanita itu memasuki bilik itu.

Dia pula cuba untuk turun dari katil tetapi ditahan oleh wanita itu.

“Keadaan awak masih lemah. Awak baru sahaja tersedar. Nak makan apa-apa?” tanya wanita.

Dia memandang wanita itu tidak berkelip. Suara wanita itu lembut menyapa telinganya.

“Nama akak Harsha. Panggil saja kak Sha. Apa nama awak?” tanya wanita itu.

“Aileen.” Dia menjawab sepatah.

“Awak tak jawab lagi soalan akak.”

“Saya nak tengok kawan saya.”

“Boleh tapi awak kena makan dahulu. Biar bertenaga. Selepas itu, baru awak boleh lihat kawan awak.”

Aileen Amanda mengangguk bersetuju. Harsha tersenyum. Dia keluar pergi mengambil makanan yang telah disediakan untuk Aileen Amanda.

Aileen Amanda makan dengan gelojoh. Saat itu barulah dia tahu perutnya benar-benar lapar.

“Berapa hari saya tak sedarkan diri?” tanya Aileen Amanda.

“Kami jumpa kamu berdua tiga hari lepas di tepi sungai. Luka kawan awak lebih teruk. Dia masih tak sedarkan diri.”

“Apa nama tempat ini?”

“Kampung Angin. Sempadan antara Tamim dan Martin.”

Aileen Amanda mengangguk.

“Lelaki tadi tu suami akak ke?” soal Aileen Amanda ingin tahu.

“Ya. Kenapa?”

“Bagaimana akak boleh kahwin dengan dia? Dia tak sesuai dengan akak. Perangai dia…” Aileen Amanda tidak menghabiskan kata-katanya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

Harsha pula hanya ketawa mendengar pendapat Aileen Amanda.

“Ramai orang cakap macam itu. Keluarga akak pun cakap begitu. Akak pun tak tahu macam mana akak boleh bersetuju untuk berkahwin dengannya,” kata Harsha.

“Walaupun dia nampak kasar macam tu tapi sebenarnya dia taklah seteruk itu. Dia tetap ada sisi baiknya. Dia suka menolong. Dia tak suka tengok orang susah. Mungkin sebab itulah akak sukakannya.”

“Dia beruntung dapat akak tapi akak tak beruntung sebab dapat dia.”

“Suka hati kau mengata aku, budak.” Ilham muncul secara tiba-tiba.

Aileen Amanda terkejut. Itulah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

“Betullah apa yang saya cakap.”

“Eh, kau dah tukar panggilan.”

“Yalah. Saya perlu berkelakuan baik sebab saya akan tinggal di sini. Betul kan, pak cik?”

“Pak cik? Umur aku tak jauh pun daripada umur Harsha. Sepatutnya, kau panggil aku abang. Lagipun, siapa yang benarkan kau tinggal di sini,” jawab Ilham dengan geram.

“Dengan budak pun nak berbalah. Pergi sediakan ubat untuk budak lelaki di sebelah itu,” arah Harsha.

Jika dibiarkan, entah sampai bila mereka berdua akan berbalah.

Ilham menjeling ke arah Aileen Amanda lalu berlalu pergi.

“Tengok tu, akak. Macam budak-budak.” Aileen Amanda menggeleng.

Harsha pula hanya ketawa. Dia rasa gembira dengan kehadiran gadis itu.


*****************

Haira berlari di koridor kelas. Dia mencari-cari Dawas dan Aqlan Fann. Dia masuk ke dalam kelas mereka bertiga tetapi kelibat Dawas dan Aqlan Fann tidak kelihatan.

Haira duduk di atas kerusi. Dia melepaskan nafas lelahnya.

Tiba-tiba, bahunya disentuh dari belakang.

“Aku dengar kau cari aku,” kata Dawas.

“Merata aku cari kau orang. Kau tahu apa-apa tentang Abriel dan Aileen?” soal Haira.

Dawas dan Aqlan Fann menggeleng. Melihat wajah Haira yang berkerut itu, pasti berita buruk yang akan didengari oleh mereka.

“Aku dengar Tuan Nail bercakap dengan seseorang. Sudah seminggu lebih berlalu, mereka masih tidak jumpa. Mungkin Abriel dan Aileen akan dikatakan sudah tiada.”

Aqlan Fann menunduk. Dia meraup wajahnya.

“Aku sendiri yang akan mencari mereka berdua,” kata Aqlan Fann.

“Tapi…”

“Jangan halang aku lagi, Dawas. Aku mahu mencari mereka secara senyap.”

“Aku mahu ikut kau,” kata Haira.

“Bila kau nak cari mereka?” tanya Dawas.

“Hujung minggu ini.”

“Aku ikut,” kata Dawas.

Aqlan Fann mengangguk setuju.

Tiba-tiba, pintu kelas mereka diketuk. Semua pelajar yang berada di dalam kelas itu berpaling.

Dua orang wanita berdiri di muka pintu.

“Ini kelas Abriel ke?” tanya wanita yang separuh wajahnya. Hanya kelihatan sepasang mata itu sahaja.

“Ya,” jawab Aqlan Fann.

Dia mengamati wajah wanita di sebelah wanita yang bertanya itu.

“Doktor Yatna.” Haira menyapa.

“Haira, kau masih ingat aku rupanya.” Haira tersengih.

“Siapa Aqlan Fann?” tanya wanita yang datang
bersama Yatna.

“Saya,” jawab Aqlan Fann. Dia tertanya-tanya siapa wanita itu.

“Kau datang sini, Aqlan,” arah Yatna.

Mereka bertiga keluar dari kelas itu.

“Aku Jasmin, bonda Abriel.” Jasmin memperkenalkan dirinya.

Aqlan Fann terkejut. Dia tidak sangka wanita di hadapannya merupakan bonda Abriel.

“Aku mahu meminta tolong daripada kau,” kata Jasmin.

Aqlan Fann memandang wajah wanita itu. Wajahnya serius menandakan apa yang bakal dikatakannya sangat penting.

“Aku mahu kau cari siapa yang selalu keluar lewat malam.”

“Keluar malam?”

Jasmin mengangguk mengiakan.

“Kau perlukan memerhati dari jauh. Aku mahu tahu jika dia akan keluar pada setiap malam atau selang hari. Boleh kau bantu?”

Aqlan Fann mengangguk.

“Dan satu lagi, kau tak perlu menekan diri kau. Aku tahu kau rasa sangat bersalah tetapi Abriel tidak akan menyesal jika dia ada kawan seperti kau. Beberapa hari ini, kau lupakan dahulu tentangnya. Jika umurnya panjang, dia tetap akan kembali.” Jasmin menepuk bahu kawan anaknya itu.

Aqlan Fann tersenyum kelat.

“Di mana boleh saya cari mak cik?”

Jasmin menghulurkan sekeping kertas yang sudah ditulis alamat rumahnya. “Aku tahu kau pasti akan bertanya soalan ini. Jadi, aku sudah sediakannya.”

“Jom, Jasmin. Mereka ada kelas pula selepas ini,” sampuk Yatna.

Kemudian, mereka berdua beredar meninggalkan Aqlan Fann yang menghantar pemergiannya dengan matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience