BAB 18

Fantasy Series 447

Hari ini merupakan hari terakhir perlawanan arena antara akademi. Hanya satu perlawanan sahaja yang tinggal. Perlawanan terakhir yang akan menentukan juara perlawanan arena pada kali ini.

"Mari kita mulakan perlawanan terakhir kita." Nail Ihsan memulakan bicara.

Semua mata tertumpu ke arahnya.

"Pada hari ini, kita didatangi oleh Raja Tamim sendiri, Tuanku Ghifari Hafis. Selamat datang, Tuanku."

Kini, semua pandangan tertumpu ke arah Ghifari Hafis yang sedang duduk di atas kerusi.

"Perlawanan hari ini juga sangat menarik minat semua orang memandangkan putera mahkota kita layak untuk memasuki pertarungan akhir ini. Dijemput Putera Farhat daripada Akademi Diraja dan Aqlan Fann daripada Akademi Mettasha."

Kesemua pelajar mula bersorak. Kebanyakan tumpuan diberikan kepada putera mahkota berbanding Aqlan. Aqlan hanya menjeling daripada ekor matanya. Tingkah Putera Farhat yang melayan pelajar-pelajar perempuan di situ hanya dipandang sekilas.

Mereka menghadap sesama sendiri. Putera Farhat tersenyum memandang lawannya. Begitu juga Aqlan. Sebagai tanda menghormati lawan mereka.

Perlawanan bermula. Aqlan memulakan serangannya dahulu. Tenaganya dilepaskan sekuat hati dengan melibas pedangnya ke arah Putera Farhat. Walaupun, libasan pedang itu sangat laju, Putera Farhat tetap mampu menangkis segala serangan Aqlan.

Sesuailah dengan gelaran putera mahkota yang dipegangnya.

"Aku tak sangka lawanku sekuat ini." Putera Farhat memuji kekuatan Aqlan.

Aqlan tersenyum lalu membalas, "Sepadan dengan kelayakan aku untuk memasuki perlawanan akhir ini."

Aqlan masih melepaskan serangan. Putera Farhat pula membalas dengan tenang. Mereka seakan-akan mampu bertahan sehingga esok hari.

Serangan itu berjalan dalam waktu yang panjang. Masing-masing tidak mahu melepaskan senjata mereka. Keadaan ini menyukarkan pihak penonton meneka pemenang perlawanan akhir itu.

"Kau rasa Aqlan mampu bertahan?" tanya Haira.

"Dari segi kekuatan, aku yakin kekuatannya setaraf dengan putera itu tetapi tahap ketahanan dia aku tak pasti dia mampu menang atau tak," jawab Dawas.

Sedang asyik mereka melihat perlawanan di atas arena itu, bunyi kecoh kedengaran berdekatan arena.

"Tabib! Cepat, panggil tabib istana!" jerit orang istana yang menemani Ghifari Hafis.

Ketika itu, raja Tamim itu sedang menyentuh dadanya yang turun naik. Dia seakan-akan tidak cukup nafas. Dari jauh, Haira dan Dawas perasan akan tanda-tanda merah yang timbul pada kulit raja itu.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki tua yang hampir mencecah separuh abad berlari dengan tergesa-gesa ke arah Ghifari Hafis. Selepas memeriksa raja Tamim itu, riak wajahnya terus berubah. Ghifari Hafis dibawa keluar dari tempat duduknya itu.

Nail Ihsan berdiri berdekatan arena seperti ingin mengatakan sesuatu. "Maafkan pihak kami kerana terpaksa menunda perlawanan akhir ini. Jadi, tarikh baru akan dimaklumkan tidak lama lagi. Semua boleh bersurai dan terima kasih," kata Nail Ihsan sebelum tergesa-gesa keluar dari situ.

Semua orang terpinga-pinga dan tertanya-tanya akan keadaan Ghifari Hafis.

"Nampaknya aku tak dapat kalahkan kau kali ini. Mungkin lain kali. Aku perlu pergi dulu," kata Putera Farhat sebelum berlalu pergi. Mahu melihat ayahandanya.

Aqlan hanya menghantar pemergian putera itu dengan pandangan matanya. Dia terus mendekati Dawas dan Haira yang turut keluar dari tempat duduk penonton.

"Teruk sangat ke keadaan tuanku tadi?" soal Dawas ingin tahu memandangkan Aqlan berada lebih dekat dengan Ghifari Hafis berbanding mereka berdua.

"Aku pun tak pasti tapi pada pandangan aku macam teruk juga. Muka tuanku habis merah. Lengan dan leher naik bintik-bintik merah. Tuanku pun sesak nafas jugak."

Riak wajah Haira dan Dawas bertukar terkejut.

"Aku risaulah," kata Haira tiba-tiba.

"Kenapa pula?" tanya Aqlan.

"Aku tak pernah dengar lagi penyakit yang ada tanda-tanda macam tu atau aku yang tak tahu."

"Memanglah kau tak tahu. Kau bukannya berminat dengan perkara-perkara macam ni," kata Dawas.

Haira menjeling geram. Kalau tak sakitkan hati dia, memang bukan Dawaslah namanya.

"Kau tak payah risaulah, Haira. Tuanku ada tabib istana. Pasti penyakit tuanku dapat disembuhkan," kata Aqlan cuba untuk meredakan kegelisahan rakannya itu.

"Aku pun harap begitu."

********

Dua hari mereka menuntut ilmu dengan Sinan. Sekarang, tibalah masa untuk mereka pulang. Ucapan terima kasih tidak lekang daripada mulut mereka berdua.

Walaupun mereka tidak terlalu mahir dalam bidang ini, sekurang-kurangnya mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

"Terima kasih, Pak Nan. Kami minta maaf kalau ada menyusahkan Pak Nan selama dua hari kami di sini," ucap Abriel ikhlas.

Sinan hanya mengangguk mengerti. "Aku faham. Aku juga mahu berterima kasih kerana kau sudi belajar daripada aku. Aku harap penduduk Kampung Angin cepat sembuh."

"Kami pulang dulu." Abriel dan Aileen melambai sebelum mereka berdua berlalu pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience