BAB 3

Fantasy Series 447

Abriel mengelap peluh yang mengalir. Setelah tiga hari berjalan dan berhenti, dia sudah nampak tembok besar yang melindungi negara Tamim.

“Akhirnya, aku boleh berehat,” kata Aqlan Fann dengan lega. Bekalan mereka sudah kekurangan. Jadi, mereka perlu berjimat sepanjang tiga hari itu.

Mereka beratur sebelum masuk ke Tamim untuk diperiksa oleh askar-askar Tamim. Seperti yang dikatakan oleh pelanggan yang mereka jumpa di Martin, mereka perlu melalui cermin itu dahulu sebelum masuk.

Selepas hampir setengah jam berbaris, giliran mereka semakin hampir. Apabila tiba giliran mereka, barang mereka diperiksa satu persatu. Kemudian, mereka disuruh menghadap cermin itu.

Belum sempat Abriel memandang keistimewaan cermin itu, tangannya ditarik oleh seseorang. Dia terperanjat.

Seorang wanita sebaya bondanya sedang memegang pergelangan tangannya. Abriel berfikir. Wajah itu tidak asing baginya tetapi dia sudah lupa di mana mereka berjumpa.

“Kenapa? Sudah lupa?” Wanita itu bersuara sambil menahan senyumannya.

“Mak cik Yatna.” Abriel menyapanya setelah teringat akan wanita itu.

Yatna tersengih, “Aku datang untuk menjemput kamu.”

“Tapi saya belum sudah diperiksa lagi,” jawab Abriel. Dia belum diperiksa oleh askar di situ dan melihat cermin itu.

“Tak perlu. Aku sudah beritahu mereka kamu tak perlu diperiksa memandangkan aku yang menjemput kau ke sini atas urusan penting,” bisik Yatna.

Abriel hairan. Pasti rakan bondanya antara orang yang berpengaruh.

“Aku tahu apa yang kamu fikirkan. Kamu tak perlu tahu siapa aku. Cukuplah kamu hanya tahu aku rakan Jasmin.”

Abriel hanya mengangguk walaupun dia tetap rasa ingin tahu tentang Yatna.

“Saya datang dengan rakan baru saya, Aqlan Fann,” kata Abriel lau menunjuk ke arah Aqlan Fann yang sudah selesai diperiksa dan sedang mendekati mereka.
“Pasti bonda kamu lega jika dia tahu kau sudah tahu mencari kawan.”

Aqlan Fann menundukkan kepalanya kepada Yatna tanda hormat. Abriel terus memperkenalkan kedua-duanya. Kemudian, mereka sama-sama ke rumah Yatna.


***************************
Hari yang dinantikan oleh Abriel telah pun tiba. Ujian Akademi Mettasha. Memang ramai yang berminat untuk menyertai akademi ini. Abriel dan Aqlan Fann tenggelam dalam lautan manusia di situ.

Tiba-tiba, muncul beberapa orang pelajar Akademi Mettasha, senior-senior di situ. Mungkin mereka ditugaskan untuk menguruskan ujian pada hari ini.

“Semua, sila berkumpul,” arah seorang pelajar lelaki.

Semua orang mengikut arahan supaya tidak menyusahkan pelajar-pelajar itu. Abriel turut berasa teruja seperti orang lain.

“Aku Nabhan, ketua pelajar Akademi Mettasha. Hari ini, akademi mengadakan dua ujian bagi melayakkan kemasukan pelajar baru. Kedua-dua ujian adalah ujian fizikal tetapi ujian kedua lebih mencabar. Bagi ujian pertama, peserta perlu berlari tanpa menggunakan sebarang kuasa masing-masing dan sampai pada garisan penamat. Hanya 100 orang sahaja yang akan dipilih untuk ujian seterusnya. Sebarang penipuan atau penguasaan kuasa adalah dilarang. Sesiapa yang melanggar peraturan ini akan dikeluarkan daripada kedua-dua ujian.”

Selepas pelajar lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Nabhan itu memberi penerangan tentang ujian pertama, peserta-peserta ujian itu diminta bersedia untuk memulakan ujian. Mereka perlu berlari dari akademi itu dan kembali di situ semula.

Sepanjang ujian itu, mereka perlu mengikut bendera akademi yang terpacak sebagai laluan larian mereka. Abriel masih mengingati kata-kata bondanya tentang ujian Akademi Mettasha.
-“Ujian Akademi Mettasha akan berbeza pada setiap tahun. Jadi, bonda tak tahu ujian apa yang akan kamu duduki. Dalam setiap ujian, tempat pertama adalah tempat paling selamat tetapi Akademi Mettasha tidak akan melihat itu sahaja. Mereka mahu mengumpul pelajar yang kuat dari segi fizikal dan juga rohani. Walaupun, kamu berjaya dalam ujian pertama, ujian kedua belum tentu berpihak pada kamu.”

“Apa maksud bonda?” tanya Abriel yang masih kehairanan. Dia cuba mencerna kata-kata bondanya.

“Bonda tak kisah kamu berjaya masuk ke sana atau tidak. Kamu tetap anak bonda. Bonda cuma berharap kamu tidak terlalu memaksa diri kamu sendiri untuk Berjaya. Bonda hanya mahu kamu selamat.”-

“Ujian bermula,” jerit salah seorang pelajar Akademi Mettasha disertai dengan bunyi gong yang dipukul.

Semua orang berpusu-pusu keluar dari akademi itu. Begitu juga dengan Abriel dan Aqlan Fann. Pada awal ujian pun sudah ramai yang terjatuh akibat tertolak sesama sendiri. Tiada siapa kisah sakit yang mereka dapat, asalkan dapat memenuhi keinginan masing-masing yang mahu menyertai akademi ini.

Tidak sia-sia dia meluangkan masanya selama berbulan-bulan untuk berlatih bersama bondanya. Setiap pagi, dia akan berlari dengan menggalas beberapa biji batu besar.

Sekarang, dia dapat rasakan badannya sangat ringan dan lariannya juga pantas. Aqlan Fann juga tidak kurang hebatnya. Dia berada di belakang Abriel.

Sepanajng pelarian mereka, ramai rakyat yang memberi sokongan dari tepi. Ujian Akademi Mettasha memang dinanti-nantikan oleh rakyat Tamim. Lima orang pelajar yang terbaik akan diberikan kerja sebagai pegawai kerajaan.

Jadi, masa depan mereka lebih cerah berbanding rakyat biasa. Mereka juga dapat menghadap Raja Tamim untuk menerima pangkat mereka dalam kerajaan itu.

Siapalah yang tidak mahu berjumpa dengan Raja Tamim itu. Raja yang disegani oleh rakyat.

Semasa Abriel berlari bersama-sama Aqlan Fann, sebuah kemalangan berlaku di hadapan mereka. Beberapa orang peserta di situ terlanggar beberapa buah bakul yang dijual oleh seorang lelaki tua. Mereka hanya menunduk meminta maaf. Kemudian, berlalu pergi.

Lelaki tuan yang merupakan pemilik bakul buah-buahan itu hanya menggeleng tidak kisah. Memahami kekalutan mereka yang mahu menyelesaikan ujian itu.

Abriel yang kebetulan melepasi orang tua itu terus berhenti. Dia membantu mengutip buah-buahan yang berselerakan.

“Abriel, kita sudah jauh ketinggalan,” kata Aqlan Fann yang turut berhenti.

Dia juga ingin membantu tetapi dia juga risaukan ujian ini.

“Kau tolonglah juga. Kalua dibiarkan, bagaimana peserta-peserta lain nak melalui laluan ini. Nanti, hancur buah ini dipijak oleh mereka.”

Aqlan Fann terdiam. Dalam diam, dia bersetuju dengan kata-kaat Abriel. Jadi, dia menunduk mengutip buah-buahan itu.

“Kami perlu pergi dahulu,” kata Abriel yang sudah selesai membantu.

Abriel dan Aqlan Fann terus menyambung larian mereka. Dari jauh, mereka mendengar orang tua itu berkata, “Kamu berdua pasti lulus kedua-dua ujian.”

Abriel dan Aqlan Fann tersenyum. Mereka Cuma berharap kata-kata orang tua itu menjadi kenyataan.

Tidak lama kemudian, mereka sudah dapat melihat papan tanda akademi dari jauh. Akhirnya, mereka sudah tiba.

Abriel dan Aqlan mendekati meja di hadapan pintu akademi. Beberapa orang pelajar sedang bertugas di situ. Mereka mendekati pelajar yang sedang mengagih nombor.

“96.”

“97.”

Aqlan Fann menepuk bahu Abriel lalu berkata, “Aku tak sangka kita masih ada peluang untuk duduki ujian kedua.”

Abriel pula hanya tersenyum lega. Kata-kata orang tua itu menjadi kenyataan. Untuk ujian kedua, dia
belum tahu nasibnya lagi.

Kemudian, 100 orang yang terpilih dikumpulkan di daratan akademi. Seorang lelaki tua muncul. Berpakaian labuh dan berambut separas bahu tidak berikat. Walaupun wajahnya nampak tua tetapi fizikalnya kelihatan masih gagah.

“Tahniah kepada siapa yang Berjaya melepasi ujian pertama tadi. Saya penolong pengetua Akademi Mettasha, Nail Ihsan.”

Setelah Nail Ihsan memperkenalkan dirinya, semua orang berbisik-bisik sesama sendiri. Abriel tertanya-tanya apa yang menarik perhatian mereka.

Nail Ihsan pula hanya tersenyum lalu menyambung,
“Nama saya Nail Ihsan tetapi saya bukan seorang legenda yang menjadi buah mulut rakyat. Lagipun, sudah beratus tahun berlalu sejak kita menerima orang yang dapat menguasai enam kuasa.”

Abriel tidak faham apa yang dimaksudkan oleh penolong pengetua itu. Dia berpaling kea rah Aqlan Fann.

Aqlan Fannlah sumber pengetahuannya.

“Siapa Nail Ihsan?” bisik Abriel di tepi telinga kawannya itu.

“Pembangkit Enam Kuasa muncul lebih kurang 100 tahun lepas. Nama dia Nail Ihsan dan kebetulan sama dengan penolong pengetua akademi.”

Abriel mengangguk-angguk faham. Pembangkit Enam Kuasa. Pertama kali dia mendengar perkataan itu. Dia tertarik ingin mengetahui gelaran itu.

“Sebenarnya, untuk pengetahuan semua, saya telah selitkan satu ujian kecil. Saya tidak sangka ada orang yang berjaya lulus untuk ujian itu. Adi Abriel dan Aqlan Fann. Tahniah kerana dapat menduduki ujian kedua.” Pandangan Nail Ihsan terhenti pada wajah Abriel.

Bunyi tepukan bergema meraikan kata-kata Nail Ihsan. Abriel dan Aqlan Fan menjadi tumpuan ramai. Mereka pula hanya tersenyum.

Aqlan Fann menolak bahu Abriel lalu berbisik, “Adakah orang tua tadi adalah ujian kecil itu?”

“Nampaknya begitulah.”

“Tak sia-sia aku dengar kata-kata kau,” kata Aqlan Fann sambil tersenyum puas.

“Untuk ujian seterusnya, pertempuran satu lawan satu. Lawan kamu semua berdasarkan nombor yang kamu dapat ketika ujian pertama tadi. Nombor satu dan nombor 100, nombor dua dan nombor 99 dan begitulah seterusnya. Di tepi kamu semua adalah arena pertempuran. Sesiapa yang keluar dari petak arena dikira kalah dan gagal dalam ujian kedua.”

“Nampaknya giliran kita agak awal. Aku akan berlawan dengan nombor empat dan kau nombor lima.”

“Kalau begitu, semoga Berjaya. Kau perlu menang, Aqlan.” Abriel menepuk bahu Aqlan Fann memberi sokongan.

Pertempuran pertama telah pun bermula. Seorang Penguasa Angin mengalahkan Penguasa Penglihatan. Pertempuran kedua pula, Penguasa Pendengaran mengalahkan Penguasa Bau. Begitu juga pertempuran-pertempuran seterusnya. Seorang demi seorang terkeluar dari arena itu.

Kini, tibalah giliran Abriel sendiri. Selepas pertempuran yang diemnangi oleh Aqlan Fann, dia mula bersemangat untuk memenangi pertempurannya. Dia perlu masuk akademi ini.

“Peserta lima dan peserta 96.”

Abriel melangkah ke arena sebaik sahaja nombornya dilaungkan. Begitu juga lawannya.

Seorang perempuan berambut panjang. Riak wajahnya serius tanpa senyuman. Memandang Abriel dengan pandangan beku.

Ketika bertempur, jantina bukanlah halangan bagi mereka memandangkan perempuan juga boleh memenangi pertempuran ini.

Kemudian, gong dipukul tanda pertempuran bermula antara mereka. Perempuan itu memulakan serangannya dengan menggunakan tali sebatan sebagai senjatanya. Abriel pula tidak menggunakan apa-apa senjata.

Abriel terdengar perbualan peserta-peserta yang berdekatannya, “Budak lelaki itu tidak ada senjata. Aku tak rasa dia akan menang. Kau nak buat taruhan dengan aku?”

“Baiklah. Aku yakin lelaki itu akan menang. Lagipun, dia hanya kekurangan senjata. Kau tak tahu bagaimana kusanya.”

Abriel tersenyum dalam hati. Bukannya dia tak mahu menggunakan senjatanya tetapi bondanya sudah berpesan untuk menggunakan senjatanya ketika dia berada dalam keadaan terdesak. Bonda telah memberikan pedang tinggalan ayahnya.

Abriel mula menumpukan perhatiannya kembali. Dia dapat mengelak sebatan demi sebatan yang dilemparkan oleh perempuan itu.

Abriel hanya membiarkan lawannya menyerang. Sebenarnya, dia juga tidak yakin untuk berlawan dengan tangan kosong tetapi kata-kata bondanya sentiasa tersemat dalm ingatannya.

-“Kamu tidak pelukan apa-apa semasa berlawan. Apa yang penting ini dan kekuatan kamu sendiri.” Jasmin menunjuk kepalanya menandakan apa yang mahu disampaikan.-

Tindakan Abriel yang asyik mengelak dari tadi membangkitkan kemarahan lawannya. Setiap tindakannya lawannya menjadi agresif.

Semakin lama semakin tinggi tali sebatan itu dilibas. Abriel berjaya menangkap hujung tali itu lalu menarik tali itu. Lawannya turut terdorong mendekati Abriel. Abriel melepaskan tumbukannya.

Walaupun dia tidak menggunakan sepenuh tenanganya, lawannya tetap terseret ke belakang dan hanpir keluar dari arena. Pertempuran mereka tidak berakhir di situ.

Perempuan itu melibas lagi tali sebatannya. Kali ini semakin kuat sehingga tapak arena yang diperbuat daripada kayu itu tercabut. Abriel dapat mengagak kuasa yang dikuasai oleh lawannya iaitu Kuasa Graviti.

Penguasa Penglihatan sepertinya mungkin tidak dapat menewaskan lawannya. Pergerakan lawannya juga semakin pantas. Abriel mula menyerang setelah dia yakin dengan perancangannya.

Tanpa membuang masa, dia mengambil kayu yang terpisah daripada tapak arena itu lalu menjadikannya sebagai senjata. Dia menghalang sebatan-sebatan lawannya lalu maju ke arah lawannya.

Kayu itu menjadi cebisan setiap kali terkena libasan itu. Abriel kini berdiri betul-betul di hadapan lawannya.

Tangan lawannya ditolak dengan kuat sehingga tali libasan itu terpelanting keluar dari arena. Lawannya berdiri kaku. Abriel mengambil peluang itu menolak lawannya keluar dari arena.

Suasana menjadi sunyi sepi tetapi beberapa detik kemudian, bunyi sorakan memenuhi suasana.

“Peserta 96 menang.”

Abriel mengambil tali sebatan yang terkeluar lalu dihulurkan kepada lawan perempuannya. Tali itu kembali kepada pemiliknya.

Abriel menunduk lalu melempar senyuman tanda menghormati lawannya. Kemudian, dia turun dari arena itu.

Aqlan Fann memeluk bahu Abriel, “Hebat betul kau. Itu baru betul-betul lawan kau.”

Abriel hanya tersenyum. Dia tidak menafikan bahawa dia tertarik dengan kekuatan lawannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience