BAB 15

Fantasy Series 447

Perlawanan arena antara akademi berlangsung hari ini. Akademi-akademi yang terlibat sudah sampai dari tadi. Hanya menunggu masa perlawanan ini dimulakan. Tahun ini, giliran Akademi Mettasha yang menjadi tuan rumah.

Jadi, kelibat Nail Ihsan yang sedang berdiri di tengah-tengah arena sangat dinanti-nantikan. Nail Ihsan memandang peserta-peserta yang berada di depannnya. Dia tersenyum melihat bilangan peserta yang ada. Sangat ramai.

"Selamat datang ke Akademi Mettasha. Seperti yang semua tahu, perlawanan arena antara akademi bermula pada hari ini. Ada yang sudah sedia maklum akan peraturan semasa berlawan tapi saya rasa pelajar baharu juga ada menyertainya perlawanan arena ini. Jadi, peraturan yang utama adalah jangan membunuh lawan kamu. Kedua, siapa yang keluar dari arena dikira kalah. Apa-apa yang berlaku atas arena, pengadil akan tentukan sama ada dia perlu menyambung perlawanan itu atau tidak."

"Ketiga, segala senjata dan kuasa dibenarkan dan dilarang menipu dalam perlawanan. Pusingan pertama merupakan perlawanan berkumpulan. Dua lawan dua. Jadi, guru daripada setiap akademi akan mencabut dua nama peserta akademi masing-masing." Nail Ihsan menerang satu-persatu peraturan tentang perlawanan arena itu.

Empat orang guru daripada setiap akademi berdiri di hadapan sebuah kotak yang berisi nama peserta akademi masing-masing. Tuan Karman dari Akademi Paradista, Tuan Merzif dari Akademi Dyvette, Tuan Nash dari Akademi Diraja dan Tuan Nail Ihsan dari Akademi Mettasha.

Mereka menyeluk tangan lalu mengeluarkan dua keping kertas. Lapan nama sudah dipilih. Kemudian, mereka perlu mengundi lagi untuk menentukan lawan masing-masing. Hasil undian tersebut adalah Akademi Mettasha dan Akademi Paradista berlawan bagi perlawanan pertama.

Aqlan dan Dawas terpilih untuk mewakili akademi mereka pada pusingan pertama ini. Lawan mereka ialah Harzan dan Lutfi. Aqlan masih ingat akan wajah itu.

"Kau?" jerit Dawas terkejut. Jarinya diarahkan kepada Harzan.

Harzan menayang wajah pelik. "Kau kenal aku?"

"Disebabkan kau, Haira hampir-hampir cedera dan disebabkan kau juga Abriel cedera teruk." Dawas memandang Harzan dengan pandangan tidak puas hati.

"Oh, aku hampir lupa pasal kejadian tu. Kawan kau yang berani cabar aku tu ke mana? Dah tak boleh berlawan?" Harzan mengejek.

"Berani kau kata macam tu!" Dawas meluru ke arah Harzan.

Pedangnya dihunus lalu berlaga dengan pedang milik Harzan yang sedang mempertahankan dirinya. Tetapi tenaga Harzan jauh lebih kuat daripada Dawas. Dawas terseret ke belakang. Kakinya hampir dengan hujung arena.

Dawas melepas nafas lega. Dia hampir-hampir tersingkir daripada perlawanan itu. Aqlan terus menarik lengan rakannya itu. Dia tidak boleh membiarkan Dawas bertindak melulu.

Harzan tersenyum angkuh. "Nampaknya, aku bertuah hari ini. Dalam masa yang singkat, kau akan tewas," katanya dengan sombong.

Dawas mendengus. Dia tahu Harzan memandang rendah akan mereka berdua tapi ini Dawaslah. Dia akan memenangi perlawanan ini.

Perlawanan yang sebenar bermula selepas arahan dikeluarkan. Masing-masing berlari ke tengah arena. Bunyi senjata mereka bertembung kuat kedengaran. Harzan memandang Dawas yang sedang menahan serangannya.

Mereka bermain-main pedang. Masing-masing tidah mahu mengaku kalah. Dawas melibas pedangnya tetapi berjaya dielak oleh Harzan. Libasannya tak selaju libasan Harzan. Apabila tiba giliran Harzan menyerang, Dawas tidak sempat untuk bertindak. Tanpa dia sedari, dia sudah ditendang ke belakang.

Walaupun responnya sedikit lambat, dia tetap bereaksi. Dia menghunus senjatanya di atas lantai arena itu. Lantai itu terbelah dua akibat pedang Dawas. Badannya berhenti hampir dengan hujung gelanggang arena.

Aqlan yang sedang berlawan dengan Lutfi perasan akan situasi yang dihadapi oleh Dawas. Dia perlu mengalahkan Lutfi dengan segera.

Aqlan melajukan pergerakannya. Pedangnya dihunus ke kanan. Kemudian, ke kiri. Pergerakan itu diulangnya beberapa kali sambil mara ke hadapan sehingga Lutfi kelihatan termengah-mengah keletihan dan menyebabkan lawannya berundur sedikit demi sedikit.

Aqlan perasan kelebihan yang berpihak kepadanya. Dia menolak lembut tubuh Lutfi ke luar arena. Lutfi berjaya disingkirkan. Sekarang, hanya tinggal Harzan seorang.

Tanpa berlengah, Aqlan mendekati Dawas yang sedang berlawan pedang dengan Harzan. Harzan terpaksa bertindak dengan lebih pantas memandangkan dia dikelilingi oleh Dawas dan Aqlan.

Dawas menyerang di sebelah kirinya manakala Aqlan menyerang di sebelah kanan. Jika dia bergerak ke belakang, mereka berdua juga bergerak ke belakang.

"Kau takkan boleh bertahan lama, Harzan. Kau akan kelelahan," kata Dawas cuba untuk menyakitkan hati lawannya itu.

Memang benar kata Dawas. Harzan sudah keletihan. Tambahan pula, serangan yang dilepaskan oleh Aqlan bukan serangan biasa. Gerakan Aqlan lebih pantas daripada gerakan Dawas. Mungkin hampir sama laju dengan gerakan Harzan.

Aqlan dan Dawas tidak habis-habis menyerang. Mereka tidak memberi peluang langsung kepada Harzan untuk menyerang. Tiba-tiba, pedang yang digunakan oleh Harzan terlucut daripada pegangannya.

Aqlan dan Dawas terkejut dengan situasi. Mereka tidak sempat untuk menarik serangan masing-masing. Nasib baiklah pedang mereka hanya menyebabkan luka kecil pada lengan Harzan.

Libasan Dawas menyebakan luka pada lengan Harzan manakala pedang Aqlan betul-betul berdekatan dengan leher Harzan. Jika dia lambat bertindak, mungkin kepala Harzan sudah terpisah daripada badannya.

Perlawanan berhenti di situ. Peluh yang keluar terlalu banyak dan menyebabkan tangan Harzan licin dengan peluh. Harzan terduduk sambil melepaskan lelah.

Dawas tergelak. Harzan memandangnya tajam.

"Nampaknya, kehebatan kau setakat itu saja. Akhirnya, kau dikalahkan oleh aku yang lemah ini," ejek Dawas.

Aqlan menggeleng kepalanya. Dia menarik kolar baju Dawas lalu mengheretnya keluar dari arena. Mereka sudah menang perlawanan itu. Tidak perlu untuk menyakitkan lagi hati lawan mereka.

"Aku tak sangka kau orang akan menang. Apapun, tahniah," ucap Haira yang berlari mendekati mereka selepas perlawanan itu tamat.

"Aku puas tengok muka masam Harzan tadi. Kalau Abriel tengok tadi, mesti dia bangga," kata Dawas.

Suasana bertukar senyap. Aqlan menunduk. Apabila nama Abriel atau Aileen disebut begitulah keadaan mereka bertiga selepas itu.

"Tak payah tayang muka ketat. Mereka pasti akan balik tak lama lagi." Dawas cuba mengembalikan suasana yang telah dihancurkan olehnya. Menyesal pula sebut nama Abriel. Dia pun tak sedar nama itu keluar dari mulutnya.

"Jomlah, kita duduk. Perlawanan masih belum tamat," ajak Haira.

Mereka berdua mengikut langkah Haira yang membawa mereka ke tempat duduk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience