BAB 7

Fantasy Series 447

Hampir sebulan telah berlalu selepas Perjumpaan Wira-wira. Abriel belajar untuk menguasai kuasa barunya. Walaupun pada mulanya agak sukar tetapi Abriel mampu untuk menghadapi kesukaran itu.

Beberapa minggu kebelakangan ini, hujan turun dengan lebat. Hanya berhenti seketika. Matahari pun tidak bersinar dengan terang kerana dihalangi awan. Jadi, aktiviti luar kelas mereka banyak tertangguh akibat cuaca tersebut.

Abriel agak risau akan bondanya kerana dia sudah mendengar banyak berita tentang kampung yang telah dilanda banjir. Surat yang dihantar kepada bondanya juga masih tidak berbalas. Dia tertanya-tanya akan keadaan kampung itu.

“Abriel, semua pelajar perlu ke dewan. Tuan Nail mahu memaklumkan sesuatu,” kata Aqlan Fann yang sahaja masuk ke dalam bilik asrama mereka.

Abriel bangun daripada pembaringannya lalu mengekori Aqlan Fann ke dewan. Hampir semua pelajar telah berkumpul. Nail Ihsan sedang berdiri tegak di atas pentas dewan.

Setelah semua pelajar ada, Nail Ihsan memulakan bicaranya. “Seperti yang kamu semua tahu, sekarang musim hujan lebat. Jadi, ramai penduduk yang menghadapi masalah tempat tinggal, makanan dan kerja mereka. Jadi, pihak akademi akan menghantar seramai yang boleh untuk menghulurkan bantuan.”

“Semua orang tidak diwajibkan untuk pergi. Jadi, saya akan memberi taklimat untuk siapa yang sukarela. Sesiapa yang tidak berminat boleh beredar. Maaf kerana mengambil masa kamu semua.”

Kemudian, hampir setengah pelajar keluar dari dewan itu. Abriel dan Aqlan Fann antara yang tinggal di dalam dewan itu.

Abriel mahu menyertai aktiviti membantu mangsa banjir ini. Mungkin dengan cara ini dia dapat mendengar berita tentang bondanya.

“Baiklah, saya akan memberi taklimat ringkas. Esok kita akan bergerak ke kawasan banjir. Kamu semua akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Jadi, kamu bantu apa yang perlu dari segi makanan, merawat luka mereka atau apa-apa saja. Malam ini, kamu boleh mngemas barang-barang kamu. Tidak perlu membawa terlalu banyak. Kamu tak sempat nak mandi atau berehat pun di sana,” jelas Nail Ihsan.

Semua pelajar mengangguk faham.


********************
Pada awal pagi itu, para menteri menghadap raja mereka untuk memaklumkan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Kebiasaanya, perjumpaan antara raja dan menteri-menteri akan diadakan seminggu sekali.

Namun, minggu itu tidak seperti sebelum-sebelum ini. Perjumpaan kali kedua diadakan pada hari ini.

Ghifari Hafis melepas nafas berat. Berita-berita yang baru sahaja didengarinya amat merisaukan. Ramai penduduk Tamim yang menjadi mangsa banjir. Keadaan semakin teruk kerana hujan lebat secara berterusan.

“Ada apa-apa cadangan untuk membantu mereka ini?” soal Ghifari Hafis kepada menteri-menteri itu.

Kebanyakan para menteri sudah berusia. Jadi, mereka sudah makan garam dan lebih tahu apa yang perlu dibuat.

Ada juga menteri yang masih muda. Mereka juga mungkin ada cadangan baru.

“Ampun, Tuanku.” Seorang menteri berdiri di hadapan Ghifari Hafis.

Badannya sedikit bongkok menunjukkan umurnya yang semakin bertambah. Janggut putihnya panjang dan disikat dengan kemas.

“Aku tidak ada apa-apa cadangan tetapi ada satu perkara yang bermain dalam fikiranku.”

“Katakan apa yang kau mahu aku dengar,” arah Ghifari Hafis.

“Aku risau jika Puak Hitam mengambil kesempatan dalam keadaan ini,” kata menteri itu.

Kemudian, kedengaran bunyi menteri-menteri berbisik. Mungkin mereka tidak menyangkakan hal itu yang difikirkan oleh menteri itu.

Tetapi apa yang dikatakan itu benar. Puak Hitam adalah ancaman mereka. Lagi-lagi, sekarang mereka dalam masalah.

“Kalau begitu, aku mahu kau, Bareeq. Bantu aku halang Puak Hitam. Jika kau beberapa orang tentera, kau boleh maklumkan kepada Jeneral Said atas arahan aku.”

Bareeq menunduk menerima perintah Ghifari Hafis.

“Dalam beberapa hari ini, aku akan berangkat dan membantu mangsa banjir. Jadi, aku tidak akan berada di istana. Kalau ada urusan penting, tinggalkan saja pesanan kepada puteraku,” titah Ghifari Hafis.

Semua menteri mengangguk faham. Kemudian, Ghifari Hafis beredar. Perjumpaan mereka tamat di situ.

***************
Matahari bersinar terang petang itu. Hujan baru sahaja berlalu. Langit sedikit cerah berbanding hari-hari sebelumnya. Pelangi menghiasi dada langit.

Abriel tersenyum melihat perubahan cuaca hari itu. Dia melepas nafas lega. Sekarang ini, mereka berada di kawasan luar bandar Tamim. Banyak kampung-kampung kecil yang didirikan tetapi semuanya hancur sekelip mata akibat banjir.

Sudah empat hari Abriel ada di situ. Begitu juga Aqlan Fann. Mereka diletakkan dalam kumpulan yang sama.

“Abriel, roti untuk kau,” kata Dawas yang muncul bersama-sama Aqlan Fann.

Dawas, Haira dan Aileen Amanda sekumpulan dan kawasan banjir yang sepatutnya mereka pergi sudah bertambah baik keadaannya. Jadi, mereka dihantar ke sini semalam memandangkan kawasan ini kekurangan sukarelawan.

“Terima kasih.” Abriel mengambil roti itu lalu membukanya.

Aqlan Fann dan Dawas melabuhkan punggung mereka di atas kayu yang dijadikan tempat duduk mereka.

“Aku dengar Raja Tamim mencemar duli di kampung sebelah. Aku agak hari ini pasti baginda datang ke sini.” Dawas memulakan topik bicara mereka.

“Mungkin ya, mungkin tak. Entah-entah, baginda pun banyak urusan yang perlu dibuat,” kata Aqlan Fann pula.

“Betul juga. Dengan keadaan Puak Hitam lagi,” kata Dawas.

Sudah lama Abriel tidak mendengar perihal Puak Hitam. Mendengar nama itu membuatkan hatinya mahu mengetahui tentang puak itu. Bondanya pun tidak banyak bercerita tentang Puak Hitam dan Puak Putih.

“Kenapa dengan Puak Hitam?” tanya Abriel.

“Semasa aku menolong mangsa banjir, aku terdengar perbualan antara penduduk kampung itu. Pada waktu malam, mereka ternampak beberapa orang yang berselubung sedang berlari. Tubuh mereka tertutup daripada atas sampai bawah.” Dawas bercerita.

Abriel teringat peristiwa ketika dia dan Aqlan Fann di bandar Martin. Dia risau jika mereka juga menerima layanan yang sama seperti sepasang adik beradik itu.

“Kenapa mereka dilayan sebegitu. Bukankah mereka juga manusia seperti kita?”

“Kau tak pernah cerita tentang Puak Hitam?” tanya Dawas.

Abriel dan Aqlan Fann sama-sama menggeleng.

“Cerita Puak Hitam ini seakan-akan satu cerita yang perlu diketahui oleh rakyat Tamim. Aku mendengar cerita-cerita itu dari kecil lagi. Ada yang mengatakan Puak Hitam telah bertukar menjadi raksasa yang dahagakan daging manusia. Kalau kau berjumpa de…”

“Kau tak payah nak mereka cerita, Dawas,” kata Haira yang muncul secara tiba-tiba bersama Aileen Amanda di sisi.

“Mana ada aku mereka cerita.” Dawas tidak bersetuju dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Haira.

“Cerita yang kau dengar tu hanya mahu menakutkan kau saja. Orang tua kau tak mahu kau keluar bermain sampai lewat malam. Jadi, mereka reka cerita itu untuk kau. Tak sangka sampai sekarang kau masih mempercayainya.” Haira tergelak besar.

Begitu juga Abriel dan Aqlan Fann. Dawas menayang wajah terkejut. Mulutnya memuncung.

“Sampai hati kau orang gelakkan aku.” Dawas mendengus.

“Biar aku ceritakan cerita dogeng kau itu,” kata Haira sambil menaham senyum.

“Puak Hitam sudah disisihkan beribu-ribu tahun dahulu. Hanya raja dan orang-orang kepercayaannya sahaja yang mengetahui keberadaan mereka. Rakyat biasa seperti kami tidak tahu mereka dipenjarakan di mana. Kau pasti sudah mendengar kisah tentang batu istimewa yang menyebabkan keruntuhan Puak Hitam.”

Semua yang mendengar di situ mengangguk.

“Disebabkan itulah, Puak Hitam tinggal dalam kegelapan. Kemudian, 10 tahun lepas berlaku satu pemberontakan. Katanya pemberontakan itu diketuai oleh seorang raja daripada Puak Hitam. Pemberontakan itulah yang menyebabkan nasib mereka semakin teruk. Mereka dianggap sebagai ancaman.”

“Peperangan 10 tahun lepas? Bukan itu apa yang aku dengar daripada ibu aku,” kata Aqlan Fann tiba-tiba.

“Apa maksud kau?” tanya Haira.

“Ibu aku merupakan salah seorang tentera Tamim dahulu. 10 tahun lepas…”

IMBAS KEMBALI

“Reena, kau tolong serahkan surat ini kepada Jeneral Adi. Surat dari Tamim,” kata seorang tentera kem itu lalu menghulurkan sekeping surat.

Reena mengangguk lalu mengambil surat itu. Dia menuju ke khemah milik jeneral mereka.

Jeneral Adi. Kehebatannya dalam peperangan memang tidak dapat disangkal. Seorang yang bijak mengatur strategi dan kuat dari segi fizikalnya. Kelebihannya itu menarik perhatian anak-anak gadis.

Kalau bukan kerana dia sudah berkahwin dan Jeneral Adi pun sudah beristeri, dia mungkin terpikat dengan lelaki itu.

Semasa Reena mahu melangkah masuk, dia berhenti seketika di hadapan khemah itu. Dia terdengar suara Jeneral Adi sedang berbicara dengan seseorang.

“Jadi, selama ini isteri kau tahu? Hanya aku sahaja yang tak tahu. Aku ni kawan baik kau, Adi. Sampai hati kau buat macam ni.”

“Aku betul-betul tiada niat jahat mahu menjatuhkan baginda. Aku tahu aku daripada puak hitam. Puak yang dibenci tetapi aku juga mempunyai tanggungjawab aku. Aku mahu adakan perdamaian antara puak hitam dan puak putih. Aku cuma takut rahsia aku terbongkar. Bukan aku tidak mempercayai kau tapi kau pun tahu persekitaran kau bagaimana.”

Reena menjerit terkejut.

“Siapa?” suara Adi Armada kedengaran.

Belum sempat Reena melarikan diri, Adi Armada sudah memanggilnya masuk. Dia masuk ke dalam khemah itu sambil menunduk. Dia betul-betul tidak sengaja mencuri dengar perbualan mereka.

“Apa nama kau?” tanya Adi Armada.

“Reena, Jeneral,” jawab Reena takut-takut.

“Jadi, kaulah wanita itu. Satu-satunya wanita yang menyertai tentera.” Adi Armada bersuara kagum.

“Saya minta maaf, Jeneral. Saya betul-betul tak sengaja. Saya hanya mahu serahkan ini saja,” kata Reena lalu menyerah surat yang dipegangnya.

Adi Armada mengambil surat itu lalu membacanya.

“Baginda mahu kita semua pulang,” kata Adi Armada dengan dahi berkerut.

“Apa yang baginda mahukan?” tanya seorang tentera lelaki yang bersama Adi Armada.

Reena pula hanya diam mendengar perbualan mereka.

“Tidak ditulis. Kita perlu ke Tamim malam ini juga. Baginda seakan-akan ada perkara penting mahu dibincangkan.”

“Kau, Reena. Bantu aku rahsiakan identiti aku. Aku betul-betul tiada niat mahu membuat onar,” kata Adi Armada seakan-akan merayu.

Reena mengangguk perlahan. Mungkin Adi Armada tidak sejahat itu. Lagipun, Adi Armada sangat setia. Menerima perintah Raja Tamim tanpa bantahan dan melakukan tugasannya dengn baik.

Malam itu, tentera-tentera kem itu bergegas pulang ke Tamim seperti yang dititahkan oleh baginda. Keesokan paginya, mereka sudah tiba di hadapan tembok negara itu.

Semua tentera itu menunggu pintu depan itu dibuka.

Adi Armada yang mengetuai tentera itu mengetuk pintu pesar itu untuk memaklumkan kedatangan mereka. Pintu itu terbuka. Adi Armada disuruh masuk menghadap raja.

Adi Armada kehairanan. Begitu juga tentera-tentera yang dibawa olehnya. Sekurang-kurangnya, bawalah mereka masuk ke tanah air mereka sendiri dan berehat seketika.

Tentera yang mengawal pintu besar membantah keras. Arahan sudah dikeluarkan bawaha hanya Adi Armada yang diperlukan.

Saat berganti saat, minit berganti minit dan jam berganti jam. Reena mengeluh berat. Matahari semakin terik. Mereka dibiarkan menunggu di luar. Bekalan mereka pun sedikit.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi kekecohan dari dalam kota itu. Reena tertanya-tanya keadaan di dalam kota itu.

“Serang! Mereka tentera pemberontak.”

Laungan itu mengejutkan tentera-tentera kem itu. Mereka diserang secara mengejut. Malah dianggap sebagai pemberontak.

Ramai tentera mati kerana tidak sempat menyelamatkan diri. Nyawa Reena juga hampir-hampir melayang. Dia sempat mengelak tetapi dia menerima luka kecil akibat torehan anak panah yang dilepaskan.

Reena melarikan diri ke kampung halamannya iaitu Martin. Sejak dia menyertai tentera, anak lelakinya ditinggalkan kepada orang tuanya.

Selepas melarikan diri itu, dia tinggal beberapa hari di Martin. Kemudian, dia membawa anak lelakinya keluar dari negara itu dan tinggal dia dalam pedalaman. Mereka berdua tinggal bersama. Setahun sekali, dia akan kembali ke Martin untuk melawat orang tuanya.

Begitulah tahun berikutnya tetapi beberapa tahun kebelakangan sakitnya bertambah teruk. Akibat peperangan itu, dia telah diracun. Dia terpaksa menyusahkan anak lelakinya untuk membeli ubatnya.

Dia tahu segala kesusahan yang dihadapi anaknya. Terpaksa bekerja pada usia remaja semata-mata untuk menyembuhkannya. Namun, takdir sudah tertulis. Ajalnya telah tiba.

Sekurang-kurangnya, dia dapat bergembira dalam sisa baki hidupnya.

IMBAS KEMBALI TAMAT

Aqlan Fann menarik nafas dalam-dalam. Ceritanya tamat di situ. Dadanya sebak ketika bercerita. Ditinggalkan ibunya bukanlah penyebab untuk dia membenci. Malah, dia belajar untuk merindui. Rindu akan kepulangan ibunya.

“Kenapa aku macam pernah dengar nama Adi Armada itu?” tanya Haira sambil berfikir.

Begitu juga Abriel. Nama itu seakan-akan tidak asing baginya tetapi dia tidak dapat mengingati apa-apa.

“Seperti yang diceritakan Aqlan. Seorang Jeneral Tamim dan antara yang terkuat. Jeneral Said pun tidak dapat menandinginya. Kisah dirinya terkenal sebelum pemberontakan itu bermula. Jadi, dia pernah menjadi topik bualan rakyat Tamim,” jelas Aileen Amanda.

Mereka mengangguk-anggukkan kepala.

“Habis tu, siapa dalang sebenar di sebalik pemberontakan 10 tahun lepas kalau bukan Adi Armada?” tanya Dawas tiba-tiba.

Semua terdiam.

“Kenapa Jeneral Adi dipanggil menghadap raja dan tidak keluar dari situ?” soal Abriel pula.

“Jadi, tidak mustahil jika Jeneral itu sendiri membuat pemberontakan ini.”

“Bukankah dia masuk berseorangan? Tentera yang dibawanya tidak sampai separuh daripada tentera Tamim sedangkan dia mahukan kemenangan. Jika dia ingin memberontak, pasti dia mahu menang tetapi sekarang ini dia berseorangan. Bagaimana dia mahu menang? Peperangan 10 tahun lepas berakhir dengan kematiannya dan tentera-tentera kem itu,” kata Aileen Amanda.

Jarang Aileen Amanda ingin berbicara. Namun, mereka tidak dapat menyangkal kata-kata itu kerana apa yang diakatakan oleh Aileen Amanda betul.

“Jadi, ada sesuatu yang tidak kena dalam hal ini.” Haira bersuara.

“Hal ini tak pernah diutarakan lagi. Tiada siapa yang berani membantah kerana hal ini telah disiasat sendiri oleh raja Tamim,” jelas Aileen Amanda lagi.

“Kau banyak pengetahuan tentang hal itu. Kau dapat maklumat itu dari mana?” tanya Aqlan Fann.

Aileen Amanda terdiam. Dia baru tersedar. Dia bercakap dengan banyak.

“Aku lupa aku dengar di mana,” jawabnya perlahan.

“Kamu berlima, buat apa di situ? Giliran kamu bertugas pula,” panggil seorang sukarelawan dari jauh.


Mereka berlima bergegas bangun. Mereka hampir terlupa tujuan utama mereka di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience