April, 2014...
Suasana sibuk di rumah mak long Fatimah, cukup meriah dengan gelagat tetamunya yang berkunjung tiba. Beberapa bekas hantaran sudah siap di atas dulang dengan hiasan bunga-bungaan yang bertemakan warna biru laut dan putih. Beberapa minit lagi, mereka akan bertolak ke rumah Nani untuk mengikat tali pertunangan antara Nani dan Azlan.
Akhirnya, Nani memahami perhubungan antara Azlan dan Hakim. Mereka bukan sekadar berkawan baik, malahan ada hubungan darah juga. Sukarnya untuk memahamkan Nani pada awalnya kerana dia tak mahu percaya bahawa sepupu Hakim dan Azlan itu adalah orang yang sama. Puas juga Julia menjelaskannya.
‘’Julia..’’ Hakim memanggil Julia yang sudah semakin sarat perutnya itu.
‘’Ya..’’ Julia menjawab sambil mendongak, hantaran yang cuba diambil dilupakan buat seketika. Dia menatap wajah Hakim yang sudah merenung wajahnya.
‘’Biar orang lain saja yang buat. Julia tu bawa diri Julia sudah. Teruk sangat abang tengok. Termengah-mengah..jaga baby dalam tu saja. Ramai lagi orang yang boleh tolong.’’ Tegas saja suara Hakim kedengaran. Geram juga dia melihat tingkah Julia yang turut sibuk menolong itu dan ini.
‘’Alaa..bukan selalu pun, lepas bersalin nanti, nak kena rehat lagi. Bila lagi nak tolong, sementara masih kuat ini la, nak tolong pun.’’ Julia berkata dan terus membongkok untuk mencapai bekas hantaran yang masih berbaki. Hakim mengeleng kepala tanpa sedar dan mencapai bekas hantaran yang ingin diambil oleh Julia dan membawanya keluar. Terpana sekejap Julia memerhatikan Hakim yang sudah berlalu pergi.
‘’Aduhh..’’ Julia berpura-pura sakit dan memegang perutnya. Hakim berhenti melangkah dan menoleh kalut.
Share this novel