Perlahan-lahan Julia masuk ke dalam rumah Hakim. Malam masih muda dan pintu rumah belum dikunci lagi, kalau kunci pun Julia memang ada kuncinya. Ini rumah mereka yang dibeli bersama, cuma mereka mengambil keputusan untuk tidak bersama sepanjang tiga tahun ini. Seperti kata Hakim sebelum ini, dia sedang memberi peluang kepada Julia untuk menerima dirinya sebagai suami. Dia pun tak menyangka, masa yang mereka ambil akan berlarutan hingga tiga tahun lamanya. Masing-masing keras kepala. Masing-masing tak mahu beralah dan suka sangat nak menegakkan benang yang basah. Sampai bila nak tegak? Nasib baiklah, malam ini Hakim sanggup beralah dan Julia turut terpujuk melihat tingkah lakunya yang selamba itu. Julia pun, bukan nak jadi kepala batu, dia cuma takut Hakim terus membuli dia macam selalu.
Julia masuk senyap-senyap dan melepak di ruang tamu. Jantungnya berlari laju. Ini kali pertama dia akan tinggal serumah bersama Hakim. Memang pelikkan? Tapi, inilah hakikat kehidupan mereka. Kalau balik kampung, mereka tak pernah ditinggalkan berdua. Ada saja rakan-rakan atau saudara mara yang bertandang ke rumah. Walaupun mereka pernah tidur sebilik, namun tak pernah tidur sebantal. Setakat peluk dan cium tu, pernah juga Azril lakukan secara curi-curi. Sama ada secara bergurau, atau ketika Julia sedang nyenyak tidur. Hakim juga ada perasaan dan keinginan.
Dia pun macam lelaki lain juga, asalkan berkesempatan, dia tak pernah melepaskan peluang tu. Walau pun begitu, mereka masih belum bersama sebagai suami isteri yang sebenar. Hakim tak pernah meminta secara nyata dan Julia juga tak pernah terfikir untuk memberi secara rela. Masing-masing ada fikiran sendiri. Yang pastinya, masing-masing mempunyai ego yang sangat tinggi.
Sedang Julia bermenung di atas sofa dan memikirkan tindakan selanjutnya, telefon bimbitnya berbunyi. Julia melihat skrin telefon, nama Hakim terpampang di skrin telefon. Julia tersenyum sebelum menjawab dan merebahkan tubuhnya di atas sofa.
‘’Hello..’’ Julia cuba mengawal nada suaranya. Cuba bertenang sedaya mungkin.
'’Awak dah tidur?’’ Hakim menyoal dengan nada romantik. Aduh, boleh gugur jantung Julia mendengarnya.
‘’Belum.’’ Sepatah saja jawapan yang Julia beri.
‘’Awak tengah buat apa tu?’’ soalan Hakim yang seterusnya. Soalan yang ditanya kebiasaannya oleh orang yang sedang bercinta. Ececeh..ewah, bercinta gitu.
‘’Tengah bercakap dalam telefon. Kenapa tanya? Tak nak tahu ke, saya tengah bercakap dengan siapa?’’ jawapan Julia membuatkan Hakim ketawa. Julia turut tersenyum mendengarnya.
‘’Awak tak nak balik ke? Saya rindukan awak tahu. Saya nak hug awak, saya nak kiss awak..’’ manja sekali suaranya. Julia yang mendengar terus berbahang wajah. Macam nak keluar dan balik ke rumah sebelah semula.
‘’Iyelah tu..saya dah sejam ada kat ruang tamu ni. Awak tu dah macam anak dara, tak keluar-keluar bilik, kenapa? Malu agaknya?’’ dengan beraninya Julia berkata sambil memutuskan talian. Julia bangun dan membuka tv dan mengambil remote control. Dia kembali merebahkan tubuh ke sofa dan mencari rancangan yang menarik perhatiannya.
Share this novel