‘’Yalah..mungkin jugak, tapi kesian pula dengan buah hati pengarang jantung awak tu. Menangis tak berlagulah dia nanti, kalau awak dah tak ada. Tak ada lagi tempat dia nak bergurau senda, nak bertepuk tampar.’’ Giliran Julia pula berkata dengan nada sinis. Hakim sudah menjeling tajam. Tak senang hati dia dengan sindiran Julia terhadapnya.
‘’Sampai bila kita nak macam ni Julia?’’ suara Hakim kembali tenang. Dia menoleh ke arah Julia sebelum menekan minyak dan keretanya meluncur laju membelah jalan raya yang disinari lampu-lampu jalan yang berwarna –warni. Bagaikan pesta lampu layaknya.
‘’I just follow you! Awak buat baik, saya akan jadi baik. Awak kurang asam, saya follow!’’ giliran Julia menjawab sambil menjungkit kening kanannya. Hakim memandang lama Julia sementara menunggu lampu isyarat hijau menyala untuk masuk ke simpang.
‘’Awak yang cakap saya buang tabiat tadikan? Takkan tak nak mengaku. Siapa yang mulakan dulu?’’ Hakim tak mahu mengalah. Julia membeliakkan mata.
‘’Salahkah saya bertanya? Awak tu yang berubah drastik sangat. Manalah tahu, kalau awak buang tabiat, boleh jugak saya minta ampun, minta maaf. Kalau awak rasa umur awak panjang lagi, okeylah..tapi..’’ Julia menghentikan kata-katanya, tanpa menyambung ayat seterusnya. Bibir Julia sudah tersenyum lebar.
‘’Elok sangatlah tu, nak tunggu saya mati, baru nak minta ampun, minta maaf. Buatnya saya mati tanpa sempat awak minta ampun, macam mana?’’ Hakim memulangkan paku buah keras. Julia berdiam lama sebelum membalas kata-kata Hakim.
‘’Haih..awak dah bersedia ke nak bertemu Allah? Awak ingat, awak tu sempurna sangat sampai tak buat dosa. Sejak kecil lagi kita bergaduh, hari raya saja kita saling minta maaf, tak sampai sejam pun, kita bergaduh lagi. Awak ingat boleh lupus macam tu saja ke?’’ Julia bertanya soalan cepugangsa pula. Hatinya sudah digeletek lucu. Begitulah sikap mereka sejak dulu. Sifat iri hati dan dengki mendengki sesama mereka, usah diceritakan lagi, memang kritikal punya dengki. Lebih-lebih lagi dengan Hakim yang selalu tak puas hati dengan layanan kedua ibu bapanya terhadap Julia.
‘’Awak jangan lupa Julia, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suami.’’ Hakim berkata yakin. Julia sudah ketawa terbahak-bahak. Ketawa yang sengaja dibuat-buat.
‘’Syurga di bawah tapak kaki suami yang sebaik Rasullullah saja kot. Kalau awak tu, layakkah?’’ semakin pedas pula kata-kata Julia. Hakim menghela nafas panjang. Dia ingin beralah tapi keegoaannya semakin mengila mendengar kata-kata Aish. Seolah-olah Julia sedang mencabar dirinya.
Hakim menghentikan keretanya secara mengejut di tepi jalan. Julia terdorong ke hadapan dan dia menoleh pantas ke arah Hakim yang sudah merah telinganya. Hati Julia berdebar tiba-tiba. Keterlaluan sangat ke kata-katanya tadi.
‘’Awak tak pernah bagi saya peluang tu pun Julia. Macam mana saya nak buktikan, bahawa saya mampu menjadi suami yang terbaik untuk awak. Ada saja alasan awak, setiap kali saya ajak berbaik. Macam sekarang ni, saya nak ajak awak keluar untuk berbincang dan menjernihkan perhubungan kita, tapi..sejak tadi, awak asyik cari salah saya saja.’’ Sekali lagi Hakim bersuara tegas. Suaranya bergetar dan giginya terasa berlaga atas dan bawah. Tubuhnya mengigil menahan amarah. Julia sudah tak mampu untuk berkata-kata, dan dia sendiri bingung untuk memulakan kata-kata yang lemah lembut seperti yang Hakim mahukan. Julia juga punya rasa ego yang menebal dalam dirinya. Kalau Hakim tak mahu beralah, kenapa dia pula yang harus beralah terlebih dahulu?
Share this novel