Julia merenung di kejauhan. Seminggu berada di Kuala Terengganu, Hakim macam orang angau. Setiap detik dan setiap ketika dia menerima mesej melalui WhatsApp dari Hakim. Pesanan dari Hakim, agar Jukia jaga diri, katanya lagi, sebab dia tak ada berdekatan dan dia tak mahu sesuatu yang bakal menimpa Julia. Kadang-kadang, Julia terasa sangat lucu dengan sikap Hakim. Tak pernah dia temui sikap prihatin Hakim terhadapnya. Mungkin sebab, sebelum ini mereka hanya pandai bertegang urat saja, jadi sikap prihatin itu mereka sembunyikan di dalam hati. Bagi Julia sendiri, walaupun mereka selalu bertegang urat, tapi dalam hati Julia, tidak pernah ada perasaan benci. Mereka tinggal serumah sejak kecil, bohonglah kalau Julia menafikan rasa sayangnya terhadap Hakim, cuma rasa cinta itu saja yang masih belum disemai lagi. Sayang tak bermakna cintakan? Sayang ni banyak kategori. Kita sayang sahabat, sayang Negara, sayang cikgu, sayang ibu dan bapa, sayang abang, adik, kakak dan sebagainya. Cinta, hanya untuk orang tertentu dan sudah pastinya cinta juga banyak kategori kan?
‘’Kau rindu Hakim ke Julia? Itulah, masa buat keputusan nak transfer dulu, tak fikir masak-masak dulu. Bila dah berjauhan macam ni, barulah nak merindu bagai nak rak.’’ Nani yang memerhatikan saja gelagat Julia dari jauh tadi, kini sudah ada di sebelah Julia. Dia yang masih terkejut dengan berita yang diterimanya, kini rasa menyesal kerana menurut kehendak Julia. Dia langsung tak menyangka perhubungan Hakim dan Julia. Mulanya, dia hanya serkap jarang saja sebab Julia tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Hanya nama Hakim saja yang selalu Julia sebut, tak kira di mana dan setiap masa.
‘’Tak adalah rindu bagai nak rak. In sha Allah, aku masih boleh bernafas lagi. Macam ni baru best sikit. Sekurang-kurangnya, dengan berjauhan macam ni, boleh menguji perasaan kami. Aku pun nak tahu juga, sejauh mana perasaan aku terhadap dia. Selama ini, aku keliru, sama ada aku sayang dia sebagai suami atau pun tak.’’ Perlahan Julia berkata, dia menoleh sekejap ke arah Nani dan tersenyum. Pandangan kembali di lontar ke hadapan, memerhati permandangan saujana mata memandang dengan gelagat manusia di sekelilingnya.
‘’Dah dapat jawapan ke?’’
‘’Jawapan apa?’’
‘’Jawapan yang kau cari tu. Perasaan kau terhadap Hakim.’’ Julia tersenyum lagi. Dia berjeda lama sebelum memberi jawapan. Hatinya, masih mencari jawapannya.
‘’Entahlah..mungkin sayang tu, dah lama ada. Tapi..cinta tu aku tak pasti. Aku dan Hakim membesar bersama. Selepas papa dan mama aku meninggal, aku tinggal dengan keluarga Hakim. Aku ni dah macam anak kandung umi dan ayah mertua aku. Hakim tu, sejak kecil lagi selalu cemburukan aku. Dia iri hati dengan aku. Dia kata, umi dan ayah dia lebih sayang aku, dari sayang dia.’’ Julia mula bercerita disusuli ketawa perlahan. Terimbas lagi kenangan lama antara dia dan Hakim. Julia mengeleng sambil ketawa dan bibirnya terus merekah dengan senyuman.
Share this novel