Harraz memandang bangunan coklat yang tersergam indah dengan keseniannya. Sejak hari pertama dia menjejakkan kaki disini, dia sudah memasang cita-cita. Bahawa satu hari nanti tempat ini akan menjadi tanah yang mengalirkan rezeki untuknya. Cita-citanya mahu menjadi doktor. Dia mahu menjadi doktor yang terbaik yang mampu merawat orang dari golongan rendah.
“Che D. Abang rindu.” Dada langit yang membias cahaya terik dipandang kejap. Dia mahu kata-kata rindunya sampai padanya. Dia mahu Che D kesayangannya juga merasakan hal yang sama dengannya sekarang. Rindu. Hanya satu ungkapan saja.
Jika dia mampu, dia mahu membawa Donna ke tanah ini dengannya. Tetapi ada satu tanggungjawab yang perlu diselesaikan segera.
Sekali lagi bangunan Inggeris dihadapannya dipandang lama.
(Kg Seri Menanti, Muar, Johor)
Usai menyisir rambut ikalnya, dia terpandangkan sekeping sampul merah jambu diatas meja solek. Dia menghela nafas berat.
Dalam terpaksa, dia mencapai kepingan itu. Lama ditenung sampul merah jambu ditangan. Hatinya berbelah-bagi. Demi Allah, hatinya untuk Abang Yas.
Jarinya mula mengoyakkan sedikit bahagian atas sampul surat.
Sekeping kertas kajang putih terlipat kemas didalamnya. Kertas itu ditarik cermat.
Tika itu, sekuntum bunga mawar putih yang telah layu jatuh ke lantai. Bunga itu dicapai ke dalam genggamannya.
Kertas tersebut dibuka. Tulisan kemas menyapa pandangannya. Cantik.
‘Si cantik manis, Che Donna Binti Che Darwin.
Sudah sebulan lamanya saya menyimpan niat untuk berkenalan dengan awak. Saya mohon maaf terlebih dahulu. Bukan niat saya membuat awak tidak selesa. Saya hanya mahu lebih mengenali diri awak. Sejujurnya, hari pertama saya nampak awak hati saya tercuit. Mana mungkin saya menolak kenyataan tentang kemanisan yang ada pada diri awak. Saya harap dengan coretan ini mampu membuka ruang untuk saya mengenali diri awak. Sehingga berjumpa lagi, manis.
Salam kenal,
Aryan’
Nafas dihela berat. Hatinya berasa tidak senang dengan isi surat itu. Tanpa berfikir panjang, kepingan putih itu digumpal kemas lalu dicampak ke dalam tong sampah.
Dia merenung kosong pada gumpalan itu.
Kemudian, dia melangkah menuju ke dapur.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dia masih belum ada kesempatan untuk membalas poskad dari Tanah Inggeris. Nantilah. Bila hatinya sudah reda dengan segala bebanan rindu, tika itulah poskad Harraz akan dibalas.
“Che D. kenapa muram je muka anak dara abah ni? Macam banyak masalah je gayanya.” Gurau abah. Rambut panjang Donna diselit ke telinga.
Donna menggeleng lambat. Bangku kayu ditarik dan melabuhkan punggungnya disitu. Pinggan putih dicapai. Perutnya lapar. Sejak semalam belum ada sesuap nasi yang singgah dimulutnya. Sakit kepalanya datang kembali. Jadi, segala kerja rumah mahupun latihan pancaragam banyak tertangguh.
“Che D sakit kepala lagilah, bah. Tak tahulah kenapa. Oh, agaknya semalam Che D tak pakai payung keluar rumah. Semalam kan terik.” Mulutnya ramah memulakan perbualan dengan abah sambil tangannya mencedok dua senduk nasi lemak sambal kupang.
Abah mengeluh kecil. Bukan tidak pernah ditegur. Tetapi Donna saja yang selalu tidak mengendahkan tegurannya.
“Tak apalah. Nanti Che D mandi air limau. Nanti abah petikkan dekat pokok. Lagipun, limau dah banyak yang besar-besar. Sayang kalau tak dipetik. Busuk nanti.” Ujar abah lembut.
“Ish, tak mahulah. Busklah nanti rambut Che D. Bau limau.” Dia tersengih seperti kerang busuk. Suapannya diteruskan lagi. Belum pernah juadah nasi lemak sambal kupang umi memutuskan nafsu makannya.
Jika ada Abang Yas, pasti dia sudah disakat. Kononnya nanti dia buncitlah, gemuklah, muka berminyaklah. Ah, macam-macam.
“Abah.” Donna memberhentikan suapannya.
“Ya.” Abah menunggu ayat darinya.
“Bila…bila Abang Yas…nak balik sini?” Satu-persatu ayat itu meniti berat dibibirnya. Air liur ditelan kesat.
Abah merenung puteri kesayangannya. Acap kali, pertanyaan itulah yang sering menyapa dipendengarannya.
“Che D. Abang Yas kan tengah belajar dekat sana. Dia sibuk tu. Lagipun, bukannya dekat dia nak berulang-alik ke sini. Mahal tambangnya.”
Matanya mula bergenang air hangat. Dadanya sempit.
“Tapi, Abang Yas janji pergi sekejap je.” Sedikit lagi air jernih itu bakal gugur.
“Nanti Abang Yas baliklah tu.” Tidak tahu lagi ayat bagaimana yang sesuai untuk puterinya.
Donna mengangkat punggung dari bangku. “Abah. Che D dah siap. Che D naik atas dulu.” Pamitnya sambil membawa pinggan untuk dibasuh.
Abah mengangguk. “Yalah.”
Usai membasuh pinggan, Donna mendaki tangga menuju ke biliknya. Pintu ditutup rapat.
Dia menuju ke jendela. Pemadangan pagi menyejukkan hatinya.
Perlahan-lahan air matanya mengalir ke pipi.
Share this novel