(01 Oktober 2009, Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan)
Dalam terik tengah hari itu, seorang pengawal keselamatan lelaki berjalan laju ke pejabat guru.
Ditangannya terdapat beberapa keeping sampul surat putih. Dia perlu segera menyerahkan semua kepingan itu pada guru.
Tiba di pejabat, pintu kayu ditolak sambil memberi salam.
“Assaamualaikum.” Kepala menjengah ke dalam mencari kelibat guru.
“Walaikumsalam warahmatullah.” Jawab seorang guru lelaki setengah abad. Pada tanda namanya tertera Aminuddin. Beliau merupakan guru kaunseling disitu. Juga terkenal dengan sikap peramahnya dengan penghuni Kolej Tunku Kurshiah.
“Cikgu. Minta maaflah Pak Wan menganggu. Ini ada surat dari posmen tadi. Minta tolong cikgu sampaikan pada anak-anak ya nanti.” Pinta Pak Wan sopan.
Beberapa kepingan sampul putih itu dihulur pada Cikgu Aminuddin.
“Baiklah. Nanti saya sampaikan pada mereka. Terima kasih ya, pak wan.” Huluran dari Pak Wan disambut.
“Sama-sama. Pak Wan balik ke pondok jaga dulu ya. Assalamualaikum.” Dia melangkah sambil menutup pintu.
“Yalah. Walaikumsalam warahmatullah.” Cikgu Aminuddin meneliti satu-persatu nama yang tertera pada sampul putih.
Dia mengangguk kecil. Langkahnya dibawa ke kaunter pertanyaan. Disitu terdapat sebuat mikrofon. Punat kecil pada badan mikrofon ditekan. Serta-merta bunyi mikrofon memekakkan telinga.
“Assalamualaikum dan selamat tengah hari semua. Minta perhatian ya pada nama yang akan saya sebutkan ini.” Mikrofon berbunyi lagi memekakkan telinga.
“Ehem, ehem. Saidatun Nafisah Binti Muhammad, Nik Aqilah Binti Nik Amran, Che Donna Binti Che Darwin, Nur Sakinah Binti Yahya, Wan Nuriah Binti Wan Faizal Dan Sarina Binti Mohd Solihin. Sila ke pejabat segera untuk mengambil pesanan. Terima kasih. Assalamualaikum.” Pengumuman ditamatkan.
Kepingan sampul putih tadi diletakkan diatas kaunter. Kemudian, dia kembali menyambung kerjanya semula.
Sementara itu di perpustakaan…
Donna yang tekun dengan ulangkajinya memasang telinga dengan pengumuman yang baru dibuat itu.
Che Donna Binti Che Darwin. Namanya disebut tadi.
Halaman buku Geografi ditutup cermat. Dia memandang Aina yang duduk bertentangan dengannya.
Tuk, tuk, tuk.
Meja diketuk perlahan memberi isyarat kecil pada Aina.
Aina memberhentikan catatannya pada buku tulis. Dia memandang Donna sambil membetulkan kaca mata bulatnya.
“Aina. Saya turun sekejap tau. Nak pergi ke pejabat. Ada nama saya dalam pengumuman tadi.” Dia mengemas barang-barangnya agar meja itu nanti tidak berselerak.
“Pesanan apa?” Soal Aina sambil mengorak sengih nakal.
“Ish, sibuklah. Awak tunggu sini tau. Nanti saya datang semula.” Ujarnya lembut. Ada saja Aina mahu mengusiknya.
“Okey.” Aina menghantar Donna dengan pandangan sehingga ke muka pintu.
Donna mengatur langkah menuruni tangga. Perpustakaan terletak di tingkat dua. Tidak jauh dari pejabat.
Sesekali Donna memegang tudung hitamnya yang terbuai dek angin pagi. Hatinya penuh debaran tika menghampiri pejabat.
Ya. Selama ini dia sedang menunggu sesuatu. Sesuatu yang bikin hatinya semakin rindu. Selalu bikin hatinya tertunggu-tunggu.
Tiba dihadapan pejabat, dia menanggalkan kasut sekolahnya. Saat pintu mahu dibuka, dua orang pelajar keluar dari pintu pejabat. Donna melempar segaris senyuman buat mereka. Sekadar menegur seniornya.
“Assalamualaikum. Cikgu, minta maaf menganggu. Nama saya Che Donna Binti Che Darwin. Ada pesanan untuk saya ke, cikgu?” Sopan dia menghampiri Cikgu Aminuddin.
Cikgu Aminuddin menurunkan sedikit kaca mata memandang pelajar dihadapannya. Segaris senyuman ditarik buat Donna.
“Walaikumsalam. Ada, ada. Cuba kamu tengok dekat atas kaunter. Saya letakkan disitu. Kamu tengok sendiri ya.” Pesannya sebelum menyambung kembali tugasnya.
“Terima kasih, cikgu.” Tanpa membuang masa dia satu-persatu sampul putih itu dibelek. Mahu mencari miliknya.
Tiba pada sampul yang kelima, matanya tertancap pada sebaris nama. Itu miliknya. Hatinya semakin berdebar.
Sekeping sampul putih itu diambil. Dia keluar dari pejabat. matanya melilau memandang sekeliling kawasan sekolah. Matanya terpandang sebuah pondok kayu yang terukir cantik seninya. Dia mula menapak ke arah pondok tersebut.
Dia melabuhkan punggungnya disitu. Nafasnya ditarik dalam. Tidak sabar dia mahu mengetahui isi didalam sampul putih itu. Dengan lafaz bismillah sampul itu dibuka.
“Bismillahirrahmanirrahim.” Dia menarik beberapa keping kertas tebal. Gambar pertama mula menyapa mata bundarnya. Tidak semena-mena matanya mula berkaca-kaca.
Gambar Harraz yang sedang tersenyum membuatkan hatinya semakin rindu. Hanya gambar itu yang mampu ditatap. Dia tidak punya telefon bimbit. Jika ada pun, hanya telefon dirumah saja. Dia tidak mahu mengganggu pelajaran Harraz disana.
Dia beralih pada gambar yang kedua. Gambar Harraz diperpustakaan. Disisinya juga terdapat dua buah buku tebal. Matanya mula meneliti penampilan Harraz.
Dia masih sama. Senyumannya masih sama. Cuma…
“Cuma…Abang Yas makin segak. Makin tampan.” Hatinya mula terbit kerisauan terhadap Abang Yas-nya. Mungkin disana ada hati gadis-gadis yang menaruh hati padanya. Nanti bagaimana dengannya?
“Ish, mengarutlah.” Kepala digeleng-geleng beberapa kali. Menidakkan kata-kata hati.
Dia beralih pula pada kepingan ketiga dan keempat. Belum sempat dia membaca isi poskad, matanya tertancap pada coretan kemas dibelakang gambar ke dua.
‘Abang dekat perpustakaan. Besar tempatnya! Mewah! Nanti ada masa abang bawa Che D ke sini.’ Usai membaca, dia beralih pada poskad yang tergendala tadi.
Satu-persatu nukilan Harraz dibaca.
‘Kepada: Che D kesayangan Abang Yas,
Assalamualaikum, Che D. Che D sihat? Abang dengar Che D dapat masuk sekolah berasrama penuh ya? Kolej Tunku Kurshiah? Alhamdulillah. Abang harap Che D belajar rajin-rajin. Jangan lupa janji kita. Abang tak pernah lupakan Che D dekat sini. Setiap masa abang ingat pada Che D. Cuma sekarang, abang tengah sibuk. Tak lama lagi abang ada peperiksaan. Abang masih okey dekat sini. Walaupun…abang tengah rindukan Che D kesayangan abang ni. Abang minta maaf sebab baru sekarang abang hantar poskad pada Che D. Che D nak tahu? Tempat-tempat dekat sini semua cantik. Tak apa. Satu hari nanti, abang bawa Che D ke sini ya. Che D. jaga diri Che D untuk abang. Ada masa abang hantar poskad lagi.
Salam rindu,
Abang Yas kesayangan Che D.’
Dalam tangis, bibirnya tidak lekang dengan sengihan. Biarlah hanya Tuhan yang tahu betapa rindunya dia pada Abang Yas. Biar Tuhan saja kirimkan rasa rindunya pada Harraz disana. Biar Tuhan saja tolong jagakan hati mereka berdua.
Dia rindu. Rindu pada Abang Yas-nya. Pelajarannya juga disini semakin hari semakin susah. Rata-rata pelajar disini semua bijak. Cuma dia yang suam-suam kuku. Tetapi demi janjinya pada Harraz satu ketika dulu, dia perlu kuatkan semangat. Dia perlu mengotakan janjinya pada Harraz.
Kepingan gambar dan poskad dari Harraz disimpan semula ke dalam sampulnya. Sampul putih itu digenggam erat. Dia tidak sabar mahu bertemu dengan Harraz lagi.
Donna menyimpul senyum dalam diam. Dia suka dengan perasaan yang sedang bertamu dalam hatinya.
Share this novel