24

Romance Series 28536

"Tak mahulah merajuk lama-lama. Kita nak berbual dengan dia. Kan dah lama kita tak jumpa. Dah lama kita tak makan saing-saing. Dah lama kita tak makan semeja. Ini Abang Yas dah ada depan mata, takkan nak ajak berentap pula? Kalau macam ni lah gayanya, lepas ni malaslah Abang Yas nak balik lagi. Biar Abang Yas duduk aje dekat sana. Ingat Abang Yas dekat sana tak ada kawan ke nak ajak berbual? Ingat dekat sana Abang Yas tak ada kawan ke nak duduk makan semeja? Ingat dekat sana Abang Yas tak ada kawan berentap ke? Abang Yas tahulah, kita ni cuma menumpang kasih orang-orang dekat sini aje. Banyak Abang Yas terhutang budi dengan orang-orang dekat sini. Terutamanya, orang yang cantik manis ni. Tak apalah kalau Che D dah tak sudi nak berkawan dengan Abang Yas. Abang Yas masuk dulu. Jangan lama-lama sangat tangan tu berendam dengan air sabun. Takut nanti kembang macam sotong pula."

Dalam lirih pujuk rayunya, ada saja ayat mahu menyakat Donna.

Mana boleh dia berjauh dengan Donna lama-lama.

"Abang!" Donna berdiri dengan tangan berlumuran buih.

Suara guruh memenuhi ruang langit. Kepulan awan hitam mula berarak dengan tugasnya.

"Che D tak pernah pun anggap Abang Yas orang luar. Kita kan satu keluarga."

"Kalau kita satu keluarga, tak mahulah masam muka dengan Abang Yas. Macam Abang Yas buat salah besar pula."

Sang awan mula menenun rintik-rintik gerimis.

"Tengok, Che D punya marah dekat Abang Yas hujan pun turun." Berlari-lari anak dia berteduh ditepi dapur.

"Cepat masuk. Kena hujan masa awal-awal turun ni tak elok. Nanti boleh demam." Dia membantu Donna memasukkan barang yang lain.

Donna menepis baju t-shirt kuningnya yang basah dibahagian bahu dek terkena tempias hujan.

Dia merenung hujan yang semakin lebat. Tapak tangannya dibiarkan basah. Sengaja dia menghulur tangan dibawah hujan. Dia suka.

"Siapa Aryan?" Tanya Harraz tanpa riak.

Donna memandangnya kaget.

Dari mana dia mengetahui kewujudan Aryan?

"Abang Yas tak sengaja baca surat yang ada atas tilam Che D. Mungkin Che D lupa nak simpan." Ayatnya mula kendur seperti orang jauh hati.

Donna menggigit bibir bawahnya. Aduh, nak beri jawapan apa ya?

Dia menelan liur yang terasa kasar bak batu-batu kecil dihalaman rumah.

"Di-dia... orang yang Che D kenal masa dekat er... se-sekolah." Tersekat-sekat suaranya.

Sekolah? Bukankah sekolahnya adalah dikalangan perempuan semuanya?

Dia memandang Donna meminta kepastian.

"M-masa... masa tu dia datang sekolah Che D. Sekolah kita orang ada buat latihan pancaragam. Jadi, pihak sekolah panggil ahli kumplan pancaragam sekolah Aryan untuk ajar kita orang."

"Che D punya hati dengan dia ke?"

Dia menguis jari-jemarinya.  Dia tidak punya hati dan perasaan pun pada Aryan.  Tetapi berat sungguh mulut mahu berterus-terang.

Donna geleng kepala.

Harraz menjungkit senyum walaupun sedikit.  Lega dengan pengakuan itu mungkin.

"Habis tu, kenapa dia tulis surat macam tu? Berpuitis bermadah pujangga? Warkah cinta ke? Atau dia yang bermain dengan perasaan sendiri?  Dasar anak mentah! Tak tahu malu!" Getusnya.

"Abang Yas marah ya?" Soal Donna berbasi-basi. 

Rasanya dia tidak bertepuk sebelah tangan, betul kan? Bolehkah jika dia melakar senyum sekarang? Atau masih diawal babak cerita lagi?

Harraz memandang Donna dengan mata yang sengaja dikecilkan.  Kemudian, dia mencubit pipi comel itu sambil menjawab.

"Tak.  Abang Yas tak marah.  Cuma geram berdongkol-dongkol saja dalam hati ni.  Huh, sekolah pun tak habis lagi, ada hati nak mengurat anak dara orang.  Jangan-jangan sunat pun belum lagi tu."

"Uish, dia dah 17 tahun lah Abang Yas. Haha." Geli hati pula dengan jenaka tak berapa cerdik Harraz itu.

"Eleh, macamlah dia tahu orang tu dah sunat ataupun belum?  Eii, tak malunya budak hingusan ni!"  Lantas, hidung Donna dipicit geram.

Hidung yang perit diusap-usap perlahan. Tawa kecilnya terlepas jua.

"Lah, budak berdua ni dekat luar rupanya.  Umi ingat kamu pergi mana lah tadi.  Ish, sudah.  Cepat masuk.  Hujan lebat ni.  Ya Allah, boleh pula dia bersidai dekat sini." Arah umi.

Mereka berdua membuntuti umi masuk ke dapur.

"Che D." Bisik Harraz tetapi jelas untuk didengar.  Nasib baik umi tak dengar dek hujan lebat.

Donna tidak jadi mendaki tangga.  Dia memusingkan tubuh memandang Harraz.

"Kenapa Abang Yas?"

"Jangan lupa, buang surat budak mentah tu.  Abang tak suka."

Che D menggangguk.  Mahu saja dia menarik senyum lebar.  Tetapi cepat saja dia mematikan niatnya. Seraya mengangguk laju.

Sebaik saja bayang Donna hilang dari pandangan,dia mengambil tuala dibiliknya dan menuju ke bilik air.

T-shirt putih yang basah dibahagian bahu dan dada menampakkan lagi bahagian tubuhnya yang sedikit kekar walaupun usianya baru 20-an.

Dia membuka t-shirt dan hanya membiarkan celana pendek separas peha menutupi bahagian tubuhnya. Pili air dibuka.  Dia mencapai gayung merah yang ada dikolah.

Dia membasahkan kakinya dahulu.  Setelah yakin suhu badannya turun sedikit, barulah dia menyiram air ke bahagian kepala dan diratakan ke seluruh badan.

Akalnya mula bekerja.  Siapakah Aryan?  Sudah berapa lama agaknya Donna mengenalinya? Rapatkah mereka berdua?

Usai mandi, dia melilit tuala putih yang tergantung di dawai penyidai. 

Dia ingin segera menunaikan solat Asar. Lagi 30 minit menginjak waktu Maghrib.

MALAM itu, selepas menunaikan solat Isyak di surau dia bergegas pulang ke rumah.  10 minit saja jika jalan kaki.  Manakala, tok dan abah pulang lewat sedikit.  Ada kelas takmir ganti katanya. 

Kebiasaannya, kelas itu dikelolakan oleh Ustaz Murad pada tengah hari tadi.  Tetapi kelas takmir terpaksa ditunda ke sebelah malam dek kerana ustaz ada jemputan kenduri doa selamat dan potong jambul.

Lampu suluh dimatikan sebaik saja dia tiba diperkarangan rumah.  Malam itu dia mengenakan baju Melayu cekak musang bewarna kuning cair dan berkain pelikat saja.  Setiap kali dia ke surau memang begitulah pakaian 'rasminya'.  Dia tidak gemar memakai baju Melayu dan seluar panjang.  Baginya, pakaian begitu tidak melambangkan jiwa ke-Melayu-an.  Bukankah tampak lagi manis dan segak jika berkain pelikat?  Parahlah jika ada anak gadis yang melihatnya dengan pakaian itu.  Sudah tentu berdarah hidung mereka.  Hahaha.

"Assalamualaikum."  Ucapnya sambil mengetuk pintu.

Tok, tok, tok!

Che D berlari-lari anak sambil memakai telekung untuk membuka pintu.  Alah, buka pintu atau disebabkan dia dengar suara Abang Yas-nya?

Klak!

Bunyi engsel pintu berkeriuk.

"Walaikumsalam."  Donna membuka pintu.

Sempat dia menjengah keluar pintu.  Sekejap melingas ke kiri, kemudian melingas ke kanan.

"Eh, tok dan abah mana? Pergi ngeteh ke?" Becok mulutnya menyoal sambil memegang kain telekungnya yang hampir terlucut.

"Ha, bagi Abang Yas masuk dulu boleh tak?" Selar Harraz dalam nada lembut.

Donna tersengih bagai kerang busuk.  Dia ke tepi sedikit memberi laluan Harraz untuk masuk.

"Tok dengan abah dekat surau lagi.  Ada kelas takmir ganti dengan Ustaz Murad."  Jawabnya.

Pintu ditutup dan dikunci.

"Habis tu, kenapa Abang Yas tak ikut sekali kelas takmir tu?" Becok lagi gayanya.

"He...he...he.  Malaslah abang.  Itu kan kelas orang tua-tua.  Abang Yas muda lagi."

"Ooo, kelas orang tua-tua ya?  Tak baik tau.  Allah tak suka perangai macam tu.  Itu kan kelas agama.  Lagipun, menuntut ilmu tak mengenal usia, tahu?" Bebelnya.

"Err... hii.  Yalah, lain kali abang ikut sekali dengar.  Sebab malam ni tak boleh.  Abang nak ajak Che D tengok wayang pacak. Tapi, abang kena tanya umi dulu.  Kalau umi izikan abang bawa Che D keluar, bolehlah kita pergi saing-saing."

"Hah, wayang pacak?  Seronoknya! Nak tengok, nak tengok.  Jomlah!"

Belum sempat Harraz membalas, Donna terlebih dahulu mencicit lari naik ke tingkat atas.

"Hai lah Che D, Che D."

Assalamualaikum, lama saya tinggalkan Yas dan Che D. Hihi. Sempat juga malam ni menaip dan mengarang cerita. Selamat membaca semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience