18

Romance Series 28536

KEDENGARAN bunyi motor skuter tok dari luar rumah. Itu menandakan tok dan abah sudah pulang dari surau.

“Baik-baik, yah.” Kata abah pada tok. Tok turun perlahan-lahan dari tempat pembonceng sambil memegang bahu abah.

“Alhamdulillah.” Tok mendahului abah menuju ke pintu. Tok membasuh kaki dengan air ditempayan. Begitu juga abah. Setelah selesai, batuk digantung semula dipaku.

“Assalamua’laikum.” Ucap tok pada seisi rumah. Dingin malam mula menyapa tubuh tuanya.

“Wa’laikumsalam, tok.” Jawab Harraz sambil membuka daun pintu.

“Berangin malam ni. Nak hujan agaknya.” Kata tok.

“Nak hujanlah tu agaknya. Lagipun dah lama tak hujan. Panas terik aje minggu ni, ayah.” Kata abah sambil memipin tok ke meja makan.

“Sedapnya bau. Tok lapar dah ni.” Ujar tok sambil tersengih.

“Jomlah tok, kita makan dulu. Umi ada masak daging salai masak cili padi tu. Yas pun dah lama tak makan lauk macam tu.” Ujar Harraz teruja.

“Betullah. Dekat tempat belajar kamu tu mana ada lauk-pauk kampung macam kita ni ha. Kalau ada pun, susah nak dapat Yas. Dan tak sama macam air tangan umi masak.” Abah pula mencelah sambil mencedok nasi yang masih berwap panas untuk tok.

Umi memang rajin orangnya. Tengok saja dimeja makan ketika ini, kecur air liur dibuatnya. Ada ulam-ulaman seperti kacang botor, daun ulam raja, daun tenggek burung lawanannya pula dengan sambal belacan limau. Sedapnya hingga tak terkata.

Donna membawa air pencuci tangan dan diletakkan disebelah tok.

“Tok, basuh tangan dulu.” Beritahu Donna sambil tersenyum nipis.

Tok menghulur tangan dibawa air yang dituang.

Kemudian, beralih pula pada abah. Abah mencuci tangan. Selesai giliran abah, Donna beralih pada umi dan tiba giliran Harraz.

“Tak apa. Abang boleh buat sendiri.” Ujar Harraz sambil merenung Donna dengan senyuman. Air pencuci beralih tangan.

Donna terus duduk ditempatnya bertentangan Harraz. Susahlah jika begini. Harraz selalu membuat hatinya terbuai sekejap dengan senyumannya. Berangan saja.

“Makan banyak Yas. Nanti dah balik sana, dah tak dapat nak makan selalu lauk-pauk kampung macam ni. Rugi.” Gurau abah.

Donna terus memandang abah dan Harraz silih-berganti. Abang Yas sudah mahu pulang? Mulutnya berhenti mengunyah. Seleranya putus tiba-tiba.

Harraz menarik sengih. “Ini pun dah banyak, abah. Selalu kalau umi masak mananya Yas pernah makan sekali aje. Bertambah-tambah rasanya, kan umi?” Dia tersengih memandang umi.

Umi senyum sambil mengangguk. “Terharu umi kalau Yas suka dengan masakan umi. Habis itu kalau dekat sana selalu Yas makan apa aje?” Soal umi.

Donna sudah berhenti makan. Sejak tadi dia terkuis-kuis makanan dipinggannya. Dia memasang telinga dengan perbualan mereka. Tidak berminat mahu menyampuk.

“Biasanya Yas masak sendiri umi. Dekat hostel ada dapur. Kalau Yas rajin, Yas masak lauk-lauk kampung juga. Tapi tak boleh lawan air tangan umi lah. Haha.” Dia tergelak kecil.

Tok dan abah ikut ketawa. “Rajin pula kamu masak ya? Tak penat ke balik belajar terus masak?” Soal tok pula.

“Penat juga tok. Biasanya yas jalan kaki aje kalau nak ke kampus. 20 minit juga kalau jalan kaki. Nak tak nak kena paksa diri jugalah memasak. Dapatlah Yas jimat-jimat sikit duit biasiswa.” Dia mencapai daun ulam raja dicicah dengan sambal belacan kulit limau.

“Lah, tak ada bas ke dekat-dekat situ?” Soal abah.

“Ada, abah. Nak jimat punya pasal. Tapi tak apalah. Berjalan kaki setiap hari tak sempat nak gemuk Yas dekat sana. Haha.” Tetapi dia memang tidak kisah. Apa sangatlah berjalan kaki setiap hari. Hanya 20 minit saja. Tiada apa yang mahu dirugikan.

“Hahaha. Ada-ada sajalah kamu ni, Yas. Tapi tak apalah kalau berisi sikit. Masih segak lagi. Ini mesti dekat sana ramai orang putih selalu curi-curi pandang kamu.” Gurau abah dengan sisa tawanya.

Ketika itu, Donna memandang tajam ke arah Harraz. Berbulu hatinya dengan gurauan abah. Harraz pula sukalah jika disakat begitu. Lelaki mana yang mahu menolak jika ada ramai anak gadis tergila-gilakannya. Sama saja dengan Harraz.

“Hai, Che D. Diam aje kamu dari tadi kenapa? Dah sudah ke makannya?” Soal tok mengalih tumpuan seisi meja makan.

Harraz turut merenungnya lama.

“Che D dah kenyang.” Jawab Donna dengan senyuman nipis.

Harraz menyorong bekas air pencuci tangan pada Donna. Dia memberi isyarat mata agar Donna membasuh tangannya.

Donna mengerti dengan isyarat itu. Dia mencapai bekas air dan mencuci tangannya dengan bersih.
“Sampai bila Yas cuti?” Tok menyambung kembali topik perbualan.

Mendengarkan pertanyaan dari tok, Harraz memandang Donna yang tika itu sedang memandangnya.
Serba salah dia mahu berbicara soal kepulangannya. Pada mulanya petang tadi dia mahu mengkhabarkan pada Donna tentang kepulangannya. Tetapi lain pula yang jadi tadi.

“Err…sampai minggu depan tok.” Dia menyimpul senyum nipis.

Sekejapnya Abang Yas mahu pulang. Rasanya kalau dia tidak sakit hari itu, sudah tentu banyak masa yang bakal diluangkan bersamanya. Tetapi siapa dia mahu menolak dengan ketentuan Sang Tuhan?

“Sekejap aje Yas dah nak balik. Nanti Yas tak ada, sunyilah rumah ni.” Ujar umi sayu. Matanya mula bergenangan air mata.

“Tak apalah. Nantikan Yas ada cuti semester lagi. Bukannya Yas duduk sana terus.” Abah mengusap lembut belakang badan umi. Faham benar dia dengan sifat lembut hati sang isteri. Dia juga turut merasakan perasaan yang sama. Pasti lain nanti suasana rumah kecilnya jika anak bujang itu sudah pulang ke Tanah Inggeris.

Umi menyeka air mata yang gugur akhirnya dipipi. Dia sebak dan sedih. Anak itu sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dia juga yang paling rapat dengan Harraz. Sudah pasti dia yang akan merasakan kehilangan besar.

Tidak mengapalah. Anak itu bukannya mahu ke mana-mana. Hanya mahu berjuang menuntut ilmu ditanah orang.

Donna menelan air liur. Dia mahu menelan kepahitan yang barusan dia dengar tadi.

“Umi janganlah sedih. Nanti cuti semester akan datang Yas balik sini jenguk umi, tok dan abah.” Ujar Harraz meredakan kesedihan yang mula menerpa ruang meja makan itu.

“Tak lupa juga…Che D.” Harraz merenung tepat ke dalam anak mata Donna. Bagai mahu menyalurkan satu rasa rindu yang bakal ditanggungnya nanti.

Donna bangun dari meja sambil mengangkat pinggannya ke sinki. Dia membasuh pinggannya. Sebenarnya dia tidak betah berlama-lamaan dimeja makan. Bimbang nanti dia yang tewas sebelum umi.
Matanya dirasakan hangat. Setitis air matanya gugur ke pipi. Namun, cepat saja diseka. Tidak mahu yang lain nampak.

“Biar Yas basuh pinggan aje malam ni.” Harraz bangkit dari kerusi. Pinggan kotor dikutip satu-persatu. Susasana dimeja makan bertukar sepi.

Pinggan kotor dibawa ke sinki. “Che D.” Tegur Harraz.

Cepat saja Donna menyeka air matanya. Mukanya dibasuh.

Harraz merenung sepi belakang Donna. Dia tahu perubahan air mukanya. Pahit namun kenyataan itu yang semua harus terima. Dia perlu menghabiskan segera pelajarannya disana. Dia juga tidak betah berlama-lamaan dinegara orang. Apatah lagi mahu berjauhan dengan keluarga ini. Terutama dengan Donna kesayangannya.

“Che D.” Dia memanggil Donna sekali lagi.

“Kenapa Abang Yas tak bagi tahu Che D yang Abang Yas dah nak habis cuti? Kalau tak, kita tak perlu bazirkan masa bergaduh tak tentu pasal.” Nadanya kecewa berbaur sedih.

Harraz menelan liur pahit. “Bukan abang tak nak bagi tahu. Tadi petang abang nak bagi tahu Che D pasal ni. Tapi Che D pula yang merajuk dengan abang. Tak jadi abang nak bagi tahu.”

Donna berpaling memandang Harraz. Dia mengetap gigi geram. “Habis tu, sekarang ni Che D ke yang salah?” Air matanya gugur kian laju. Suaranya diperlahankan agar tidak didengari oleh orang tuanya.
Harraz mati kutu. Nampaknya tersilap langkah lagi dia kali ini.

“Demi Allah! Abang tak berniat pun nak sembunyikan hal ni dari Che D. Okey…abang minta maaf sebab sakitkan hati Che D. Tapi rasanya kita akan baik-baik aje kalau bukan sebab orang yang bagi hadiah-hadiah tu. Tak pasal-pasal kita bergaduh pasal dia.” Sekali lagi dia tersilap langkah. Kata-katanya tajam membelah tangkai jantung Donna.

Donna menyeka air matanya kasar. Dia geram dan marah dengan Harraz.

“Abang Yas masih lagi nak salahkan Che D? Sampai hati Abang Yas kan, buat Che D macam ni. Susah sangat agaknya nak faham perasaan Che D? Kalau macam ni gayanya, abang pergilah balik sana. Jangan balik sini terus. Selalu sangat nak cari salah orang.” Donna terus berlalu pergi meninggalkan Harraz.

Harraz benar-benar mati kutu. Lidahnya kelu untuk bertikam lidah dengan Donna. Nafas berat dilepaskan. Dia meraup muka menahan sabar.

Pili air dibuka. Dia mencuci pinggan-pinggan kotor.

“Che D naik bilik dulu.” Dia berpamitan dengan tok, abah dan umi.

Merek bertiga memandang satu sama lain. “Bergaduh ke budak berdua tu?” Soal tok pada umi dan abah.
Umi dan abah berbalas pandang.

Donna menutup pintu bilik. Daun tingkap dibuka. Nampaknya malam ini bulan sabit dan bintang-bintang bakal menemaninya. Bolehlah dia mengadu pada mereka.

Dia menongkat dagu pada tingkap sambil merenung ke dada langit nan indah. Tanpa sebarang isyarat, dia teresak-esak menangis.

Mukanya ditekup dengan tapak tangan. Bahunya terhinjut menahan getar tangisnya. Dia marah pada diri sendiri kerana tidak pandai menghargai masa emas yang dia punya tika bersama dengan Harraz. Dia juga marah pada dirinya dek kerana terlalu mengikut emosi marahnya. Tidak patut dia menengking Harraz tadi.

Air matanya diseka. Setelah reda, dia bangun menuju ke meja solek. Tiga jambangan bunga dan dua bungkusan hadiah kecil dibuang ke dalam tong sampah.

Kemudian, dia duduk dihadapan meja solek. Dia menatap dirinya pada pantulan cermin. Muka sembapnya direnung.

“Siapa calon isteri Abang Yas?” Dia menggumam sendiri.

“Comot sangat ke aku sampai Abang Yas pilih orang lain selain aku?” Rambut ikalnya diselit ke telinga. Terserlah kemanisan dan keayuan dirinya.

“Mungkin orang putih dekat sana semua cantik-cantik belaka. Kulit putih bersih. Tinggi. Bijak. Aku ni tak ada apa-apa. Comot. Sekolah pun tak habis lagi ada hati nak kahwin dengan Abang Yas. Abang Yas tu lainlah. Bijak, segak, tinggi…budiman. Memanglah dia tak pandang aku. Berangan ajelah kau.” Dia berbicara dengan pantulan dirinya dicermin.

Selamat pagi semua. Hihi

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience