PULANG dari sekolah, Adila dan Adira terus menerpa masuk ke rumah tanpa memberi salam.
Puan Wajiha yang melintasi mereka mengundang kerutan didahi.
“Assalamualaikum.” Ucap Tuan Arshad.
“Walaikumsalam warahmatullah.” Segaris senyuman dilempar buat sang suami. Penuh hormat dia menciumi tangan Tuan Arshad yang baru pulang senja itu.
“Kenapa dengan anak-anak dara abang tu?” Soal Puan Wajiha ingin tahu. Dia mencapai mangkuk tingkat dari pegangan suaminya.
Tuan Arshad ketawa kecil. Pandangannya dibawa ke bilik belakang.
“Entahlah. Dari dalam kereta tadi sok-sek-sok-sek berdua dekat belakang. Bila abang tanya, katanya rahsia.” Sengihannya melebar taktala mengenangkan peristiwa dikereta tadi.
Macam-macam ragam bila anak-anak meningkat remaja. Jika kecil dulu segala macam perkara pasti akan diceritakan pada mereka. Tetapi dia tidak kisah. Anak-anak pabila meningkat usianya pasti memerlukan ruang sendiri. Ruang privasi yang dimaksudkannya.
“Oh, ingatkan ada apa tadi. Masuk rumah dengan tak bagi salam. Main terjah masuk je. Abang rehatlah dulu. Saya dah siap masak untuk makan malam. Sekejap, saya ambilkan air untuk abang.” Terus saja Puan Wajiha menuju ke ruang dapur.
Segelas air teh o suam yang telah siap disediakan dibawa ke ruang tamu.
“Air untuk abang.” Sua Puan Wajiha sambil tersenyum.
“Alhamdulillah. Terima kasih sebab buatkan air abang. Walaupun teh o je.” Dia ketawa kecil sambil menghirup minumannya.
“Tapi…” Tuan Arshad memegang cawannya sambil memandang Puan Wajiha.
“Kenapa bang?” Soalnya kembali.
“Air teh o je ke? Kuih tak ada?” Dia ketawa kecil lagi dengan gurauannya.
“Allah. Eh, ada, ada. Saya ambilkan kejap.” Puan Wajiha meluru ke dapur. Siang tadi sempat juga dia membuat kuih bakar daging.
Puan Wajiha datang dari dapur dengan sedulang kecil. Pinggan kecil yang terhidang kuih bakar daging diletakkan diatas meja.
“Jemput makan, abang.” Punggungnya dilabuhkan disebelah Tuan Arshad.
“Amboi. Sedapnya. Tengok pun dah sedap. Awak baru buat ya?” Soalnya sambil mengambil sepotong kuih bakar.
“Ya, bang. Siang tadi saya buat. Tak ada apa nak buat, itu yang saya ‘bekerja’ dekat dapur.” Dia tersengih.
“Alhamdulillah. Bertuah abang ada isteri yang rajin macam awak. Abang doakan moga Allah sentiasa merahmati setiap pekerjaan awak. Allah saja yang dapat membalas semua jasa awak.” Tuan Arshad menyua kuih bakar daging yang baru digigitnya tadi.
“Amin, amin, amin Ya Rabb.” Mulut dibuka menerima suapan dari Tuan Arshad.
Sejak dari awal perkahwinan lagi, mereka sudah terbiasa makan berkongsi. Makan sepinggan. Makan bersuap.
“Abang makan dulu ya. Saya siap-siap dulu. Sekejap lagi nak masuk maghrib.” Peha Tuan Arshad ditepuk lembut.
“Yalah.” Dia menghantar isterinya dengan pandangannya. Kemudian, dia tersenyum sendiri. Sungguh dia bersyukur memiliki isteri seperti Wajiha.
Sementara itu dibilik Aryan…
“Abang. Pagi tadi abang janji nak ceritakan dekat kami?” Ujar Adila sambil merenung Aryan dengan riak serius.
Aryan yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya menoleh ke belakang. Tawanya ditahan saat melihat riak serius adik-adiknya.
“Ooo, dah balik rupanya adik-adik abang yang busuk ni.” Aryan tersengih.
“Ish, cepatlah cerita.” Asak Adira.
Aryan berkerut.
“Cerita apa pula ni? Abang nak siapkan kerja sekolah tau. Esok nak kena hantar.” Aryan menggaru-garu kepala. Itulah. Berjanji lagi. Sekarang sudah dituntut janjinya padai pula buat-buat lupa.
“Ish, pagi tadi abang dah janji nak cerita pasal Donna. Kami nak tahu macam mana abang boleh kenal Donna. Jangan nak buat-buat lupa pula eh.” Ugut Adila mahu mencubit Aryan.
Adira disebelah mengangguk laju mengiyakan ugutan Adila.
“Hahaha. Ooo, pasal itu rupanya.” Buku kerja ditutup mahu memberi tumpuan pada si kembar.
“Okey. Abang cerita ya. Dengar tau.” Aryan mahu ketawa memandang mereka berdua. Serius benar.
“Bulan lepas, Kolej Tunku Kurshiah ada hantar permintaan pada pengetua sekolah abang. Katanya, nak minta kumpulan pancaragam abang mengajar budak-budak baru dekat situ. Jadi, abang kan salah seorang pemain pancaragam. Dari situ abang kenal dia.” Saat itu bibirnya tersimpul senyuman.
Serta-merta bayangan itu muncul dilayar matanya kembali.
--
(23 September 2009- Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan)
Alat-alat percussion telah tersedia ditempatnya. The Percussion Boy sibuk mengambil tempat masing-masing.
Seorang guru lelaki memasuki bilik muzik. Cikgu Rahmat nama yang tertera pada tanda namanya.
“Assalamualaikum semua.” Cikgu Rahmat mengambil tempat dihadapan sambil diperhatikan tiga puluh pasang mata disitu.
“Walaikumsalam wbt.” Jawab yang lain.
“Hari ini seperti yang awak semua lihat, sekolah kita menjemput kumpulan pancaragam dari Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR). Seperti yang kita sedia maklum, The Percussion Boy acap kali mendapat tempat pertama didalam pertandingan orkestra luar dan dalam negara. Contohnya, baru-baru ini mereka memenangi anugerah ‘The Best Asian Percussion Boy’ di Itali. Jadi, saya mahu awak beri kerjasama pada mereka untuk memberi tunjuk ajar pada awak. Anggap mereka adalah senior awak sendiri ya.”
Mereka yang ada didalam bilik itu memberi tepukan gemuruh.
“Pstt. Kau nampak tak budak perempuan tu?” Soal Aiden yang berbangsa Cina. Dia menyenggol lengan Aryan yang sejak tadi leka dengan percussion-nya.
Aryan turut memandang ke arah yang sama.
“Weh, siapa?” Soal Ezra anak Sabah sambil memandang mereka berdua.
“Itu ha. Budak perempuan yang senyap duduk sendiri.” Aiden menuding jari pada seorang budak perempuan yang duduk ditepi dinding. Dia sendirian. Pelajar yang lain semua mempunyai teman.
Aryan mengecilkan mata memberi fokus padanya.
“Kenapa dengan dia?” Soal Ezra dengan kerutan didahi.
“Cantik.” Jawab Aiden sepatah sambil menarik sengih.
“Eleh! Kau ni dasar mata keranjang. Pantang nampak perempuan cantik.” Belakang kepala Aiden ditepuk kasar Ezra.
“Sakitlah ngok!” Dia mengaduh sambil mengusap belakang kepalanya. Mahu tertanggal rasanya kepala dari leher. Tak guna betul Ezra.
Aryan ketawa kecil melihat pertelingkah dua sahabatnya.
“Biarlah dia. Jangan usik anak orang. Ingat. Kita dekat sini nak berkongsi ilmu dengan budak-budak ni. Kau orang jangan buat perangai eh.” Dia menyelak lembaran not.
Tetapi anak matanya mahu memandang ke arah budak perempuan itu. Dalam diam hujung bibirnya terjungkit senyuman.
Benar. Dia cantik. Nampak manis dan sopan orangnya.
“Nanti kalau aku dapat dia kau jangan cemburu pula. Mana tahu kau hantar nasi kangkang dekat aku.” Ujar Aiden penuh keyakinan. Masih tiada penghujungnya perkelahian mereka.
“Ah, eloklah aku hantar nasi kangkang. Lagi elok aku yang kangkang sendiri. Bagi kau. Hidup menyusahkan orang aje. Ada hati nak dekat anak dara orang. Pigidah!” Balas Ezra mahu menang.
“Eii, tak nak aku nasi kangkang kau. Kalau kau tak bagi pun, aku tak mahu. Uwekkk!” Ejek Aiden.
Malas Aryan mahu melayan kerenah mereka. Biasalah, nanti sudah penat senyaplah mereka.
Hampir 15 minit berlalu, setiap ahli ditugaskan untuk mengajar seorang pelajar. Termasuklah Aryan.
Aryan menghampiri budak perempuan yang dibualkan tadi.
“Assalamualaikum.” Ucapnya sambil tersenyum.
Budak perempuan itu mendongak.
“Walaikumsalam.” Jawabnya sepatah. Takut- takut saja gayanya.
“Minta maaf kalau saya kacau awak.” Serba-salah pula Aryan melihatkan gaya takut-takutnya. Kepala digaru.
“Err, kalau awak tak keberatan boleh saya ajar awak? Memandangkan kawan-kawan saya yang lain dah ada anak murid sendiri.”
Budak perempuan itu memandang ahli yang lain. Benarlah, hanya dia seorang saja yang masih sendirian.
“Err…boleh. Boleh.” Jawabnya ragu-ragu.
Aryan tersenyum dengan gelagatnya. Manis. Malu-malu pula.
“Nama siapa?” Soal Aryan mula mengambil tempat dihadapannya.
“Err…Donna.” Jawabnya sepatah.
“Ooo. Donna. Unik nama awak. Nama penuh pula?” Soalnya lagi ingin tahu.
“Che Donna Binti Che Darwin.” Jawabnya sambil mengalih pandangan ke tempat lain. Malu mungkin sejak tadi asek direnung Aryan.
“Cantiknya nama. Che Donna Binti Che Darwin.” Dia mengulangi lagi sebaris nama Donna.
Lama direnung muka manis itu. Alis mata yang lentik. Bibir comel yang bewarna merah jambu. Yang penting rautnya bukan seperti anak patung yang menjadi kegilaan perempuan. Entahlah. Yang dia pasti, raut itu manis. Sangat manis walaupun tanpa segaris senyuman. Itulah agaknya yang dikatakan orang ‘aura’.
“Mari. Saya ajarkan awak.” Mereka menghampiri sebuah alat muzik.
“Awak tahu yang ini namanya apa?” Soal Aryan pada Donna.
Donna menggeleng kecil.
“Yang ini namanya, chimes.” Sambil mencapai kayu kecil dan dilarikan pada barisan bar besi alat itu.
Sepanjang sesi latihan itu, tidak puas matanya menjamah raut manis Donna. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman sejak tadi. Sungguh, hatinya tika itu bagai terisi dengan sebaris nama si cantik manis Donna. Hati lelakinya mahu lebih mengenali Donna. Tidak mengapa. Dia masih punya banyak waktu untuk itu.
--
“Macam tu lah abang kenal dia.” Jawab Aryan sesudah ceritanya selesai.
Adila dan Adira memandang satu sama lain.
“Ish, gatallah abang ni.” Adila mencebik.
“Abang tahu tak, Donna pujaan hati abang tu sekelas tau dengan kami. Itu pun kalau abang nak tahulah.” Jawab Adira tersengih-sengih.
Terkebil-kebil Aryan mendengarkan pengakuan Adira.
“Betul?” Soalnya mahu kepastian.
“Yalah.” Jawab Adila malas.
“Okey. Nanti kalau ada apa-apa pertolongan, abang minta tolong dekat adik-adik abang yang cantik ni ya.” Ujarnya sambil tersengih.
“Eleh, nak minta tolong baru nak puji-puji kami. Tak payahlah. Jom, Dira.” Terus saja Adila menarik tangan Adira keluar dari bilik abangnya. Sudahlah belum mandi. Mahu nanti kena piat telinga dengan bonda. Seram!
Setelah memastikan adik-adikya keluar, buku kerjanya dibuka kembali. Aryan mengusap tengkuk sambil tersenyum. Oh, selama ini dekat rupanya dia dengan dirinya. Dia membiarkan senyuman yang terlakar dibibir. Mungkin sejak hari itu nama Che Donna Binti Che Darwin mula terpahat dalam hatinya.
Hari itu bukan main jual mahal. Sekarang dia pula diserang angau. Payah!
Share this novel