Harraz menapak ke ruang tamu atas. Dia menjengah juga ke bilik tidur Donna. Senyap saja. Kipas bilik terpasang. Membazir betul.
Suis kipas dimatikan. Kemudian, dia melangkah ke anjung rumah. Terdengar suara kecil sedang berlagu merdu.
Serta-merta dia menyimpul senyum. Disini rupanya dia.
"Che D. Buat apa dekat sini?" Dia melabuhkan punggung disebelahnya.
"Tengah bakar sampah." Laju jawapan itu meluncur dari mulutnya. Sarkastik gayanya.
Harraz tidak terus menjawab. Sebaliknya, dia memerhatikan Donna yang leka menulis tanpa memandangnya.
Merajuklah tu. Kalau tidak, mana mungkin akan keluar jawapan 'bakar sampah' seperti itu.
Dia tersengih sendiri. Bagaimana mahu ditinggalkannya lagi nanti? Kalau begini saja sudah merajuk. Dia sendiri tidak tahu kesalahannya apa.
"Kalau bakar sampah, mana asapnya?" Harraz memeluk tubuh sambil mencerun pandang ke arah Donna.
"Tak ada asap. Asap tak elok. Pencemaran udara." Jawabnya lagi.
Haih, tak boleh jadi. Jika begini sampai habis cuti semesternya nanti dia tidak dapat bercakap dengan si Donna.
"Hei. Kenapa ni?" Soalnya lembut. Lengan Donna dicuit perlahan.
"Tsk. Tak payahlah cuit-cuit orang." Getusnya geram.
Harraz menggaru kepala. Kes apa pula kali ini?
"Che D. Pandang Abang Yas sekejap." Arahnya lembut.
Pen yang ada ditangan Donna diambil perlahan. Tidak mahu mencurah minyak lagi.
Donna mengalih pandang ke arah Harraz. Kali ini pandangannya tidak beriak. Reaksinya kosong.
"Che D kesayangan Abang Yas kenapa? Marah abang? Hm?" Pandangannya mula bersatu. Anak mata bundar itu direnung dalam. Rindunya dia dengan pandangan itu.
Donna menggeleng lambat. Dia tewas dengan renungan itu hari ini. Entahlah. Dadanya sempit.
"Habis itu, kalau tak marahkan abang, kenapa Che D tak nak berbual dengan abang tadi? Senyap aje. Abang nak tegur pun takut tau. Macam singa lapar. Atau umi dengan abah tak bagi Che D kesayangan abang ni makan? Ohh, mungkin sebab badan Che D dah berisi sikit agaknya. Itu yang umi dengan abah tak bagi makan." Serius hujahnya mahu menarik perhatian Donna.
Pap! Satu tamparan kuat singgah dilengannya. Harraz menyeringai kesakitan.
"Aduhhh! Ssss! Apa ni? Sakitlah abang." Perit rasanya. Lengan yang kemerahan digosok-gosok.
"Pandai-pandai cakap Che D dah gemuk. Che D jaga makanlah. Che D sekarang dah jarang makan. Banyak homework. Selalu sibuk dengan latihan pancaragam dekat sekolah. Mana ada masa nak makan." Donna mula dengan amarahnya.
"Okeylah, okeylah. Che D tak gemuk. Cuma..." Harraz berjeda seketika. Dia menyimpul senyum.
"Cuma apa?" Soal Donna.
"Cuma...gedempol je. Besar macam badak air. Hahahahaha." Terus saja Harraz bangkit dari duduknya. Mahu lari jika serangan hendap Donna berlaku lagi.
"Eiii, Abang Yassss!" Donna memeluk lutut sambil menekup mukanya.
"Alahai, merajuk lagi. Cepat sangat merajuk sekarang ni kenapa? Astaghfirullah." Harraz menepuk dahi. Dadanya diurut menahan sabar.
"Alaa, abang minta maaf. Okey? Hei, janganlah merajuk."Harraz menghampiri Donna secara senyap.
"Psst! Che D. Angkatlah muka tu. Nanti abah dengan umi marah abang pula sebab buat anak dara dia yang gedempol ni merajuk." Harraz menyimpan tawa. Perutnya sudah kejung menahan senak ketawa.
Mahu pujuk atau mahu mengejek lagi?
Donna mengangkat kepala. Matanya tajam merenung Harraz.
"Okey. Abang Yas minta maaf. Janji tak ejek Che D lagi." Dia tersengih-sengih seperti kerang busuk.
"Ish, tepilah! Jangan kacau Che D. Nanti homework tak siap." Keras nadanya. Pen dicapai mahu menyambung kembali penulisannya.
"Tak boleh." Harraz merampas semula pen yang berada digenggamannya.
"Tsk, bagilah balik!" Dia menahan getar amarahnya.
"Tak boleh. Selagi Che D tak maafkan abang, selagi tu abang takkan bagi balik." Pen disorokkan dibelakang badan.
"Tak nak bagi sudah." Malas Donna mahu berebut. Akhirnya dia juga yang mengalah.
Kotak pensel dibuka. Mengambil sebatang lagi pen hitam.
Baru saja dia mahu menyambung penulisannya, pen tersebut dirampas kembali.
"Abang Yas! Tolonglah jangan kacau Che D. Ishh!" Mahu menangis rasanya.
'Abang Yas jahat!' Jerit hatinya.
"Alaa, maafkan abang dulu. Boleh?" Harraz bagaikan merayu pada Donna.
"Umiii!!!" Donna menjerit.
Tetapi Harraz lebih tangkas menekup mulut Donna.
Pen ditangannya juga terlepas jatuh ke lantai.
"Syyyhh! Janganlah jerit-jerit. Okey, okey. Abang minta maaf. Janji, abang tak ejek Che D lagi macam tu." Tangannya masih lagi menekup mulut Donna.
"Mmm...phfff..." Ujar Donna sambil menepuk tangan Harraz. Lemas dibuatnya.
"Sorry, sorry. Che D okey tak ni?" Soal Harraz cemas melihat nafas yang tercungap-cungap itu.
Donna mengangguk.
"Abang minta maaf sekali lagi. I'm so sorry for hurting you. Jangan merajuk lagi dengan abang eh? Nanti abang tak ada kawan." Dia merenung anak mata Donna.
"Em. Tadi beria ejek orang. Lepas tu minta maaf. Tsk, yalah, yalah. Che D maafkan." Jawabnya dalam terpaksa.
Harraz kembali ke tempat asalnya. Pen Donna dipulang semula sambil tersenyum.
"Abang Yas kenapa balik sini tiba-tiba?" Donna memulakan perbicaraan.
Harraz memandang Donna dengan kerutan didahi. Aneh soalan itu dipendengarannya.
"Sebab abang rindukan Che D." Jawabnya jujur.
Penulisan Donna jadi terbantut.
Ketika itu, pandangan mereka bertaut lagi. Angin sepoi-sepoi bahasa membuai rambut Donna.
"Abang tak tipu. Abang rindukan Che D abang. Abang rindukan suara Che D. Abang rindukan senyuman Che D. Abang rindukan semua tentang Che D. Tak pernah tertinggal satu pun tentang Che D dalam fikiran abang." Sekali lagi jawapan itu membuat Donna terpaku.
"Bukan ke abang balik sini semata-mata nak bagi tahu umi dengan abah tentang buah hati abang dekat sana?" Donna mula serkap jarang.
Soalan itu hanyalah mahu mengelak rasa debaran dihati.
"Hell no!" Cepat saja dia menekup mulutnya dek carutan itu.
"Sorry again. Apa pula Che D cakap macam itu? Abang mana ada buah hati dekat sana. Lagi pun, abang dekat sana sibuk belajar. Mana ada masa nak cari perempuan lain." Jawabnya penuh sabar.
"Ya ke?" Donna masih lagi dengan syak wasangkanya. Harraz ada kalanya tidak boleh dipercayai. Otak mereng.
Harraz mengeluh kecil. Hish budak ini. “Haih, betullah. Ingat Abang Yas ada masa ke dekat sana nak cari buah hati? Lagi pun, dekat kolej abang tu ramai lelaki tampan, lebih pandai dari abang ni ha. Orang berada pula tu. Apalah nak dibandingkan dengan abang. Sudahlah anak yatim piatu. Anak orang kampung pula tu. Malang lagi, menumpang pula dekat rumah Che D. Hmm.” Sudah habis sedih ayatnya disusun.
Donna menggigit bibir serba salah. Itulah. Mulut celupar sangat tanya yang bukan-bukan.
“Err…alaa, kenapa Abang Yas cakap macam tu? Keluarga Che D tak pernah pun fikir macam tu. Lagi pun, keluarga Che D, keluarga abang juga. Tak baik tau cakap macam tu. Kalau tok, umi dengan abah dengar, mesti diorang sedih.” Ujar Donna cuba memujuk Harraz yang kononnya sedang berjauh hati.
“Tapi, Abang Yas tak nak jadi keluarga Che D. Kalau macam itu, maksudnya Che D adik abang. Dan Abang Yas akan jadi abang Che D. Sama je macam adik-beradik.” Terangnya lagi.
“Hah? Kenapa Abang Yas tak nak jadi keluarga Che D?” Reaksi mukanya suram. Sedih hatinya bila Harraz terang-terang tidak mahu menjadi bahagian dari keluarganya.
“Sebab Abang Yas tak nak. Abang Yas tak nak Che D jadi adik Abang Yas.” Ucapnya serius. Matanya tunak menikam pandangan Donna.
“Ish, peliklah Abang Yas ni. Sudahlah, Che D nak sambung buat homework. Nanti kalau tak siap, teacher jemur dekat padang sekolah.” Terus dia menunduk kembali menghadap kerja sekolahnya.
Harraz hanya memerhati kelakuan Donna. Dia berpeluk tubuh.
Tak mengapa. Satu hari nanti kau juga akan faham dengan setiap kata-kata aku.
“Che D nak abang tolong?” Soalnya mahu mencuri perhatian Donna.
Dia tidak mahu membuang masa sedetik pun jika berada dengan Donna. Tidak mahu waktu yang ada terbuang begitu saja.
“Em, tak payahlah. Yang ini senang je. Che D kan pandai macam Abang Yas.” Donna tersengih sambil memandang Harraz.
Rambut yang menutupi pipinya diselitkan ke telinga. Harraz menongkat dagu sambil merenung Donna.
“Kalau Abang Yas nak berehat, naiklah dulu. Che D nak duduk sini. Dekat dalam tu panas. Sini sejuk. Berangin je.” Dia masih lagi membebel sendirian.
Sebaliknya, Harraz sudah tenggelam dengan angannya sambil merenung Donna.
Share this novel