17

Romance Series 28536

Dua minggu kemudian…

“Hei, kenapa ni?” Harraz mencari anak mata Donna yang sengaja mengelaknya.
Donna mengerling ke arah lain. Sakit jiwanya. Dia tidak suka Harraz mengusiknya seperti itu.

“Che D kesayangan Abang Yas merajuk eh?” Harraz berkerut.

Tidak lama kemudian, Harraz menyimpul senyum sambil memandang ke tanah.

Donna masih menguis jari-jarinya melepaskan geram.

“Che D tak suka Abang Yas cakap macam tu. Che D tak pernah simpan hati dekat dia. Dia je yang selalu kejar Che D. Abang Yas ingat Che D tak rimas ke? Rimaslah!” Tekannya.

Harraz itu seolah-olah berpura tidak mengerti hatinya. Nama saja belajar tinggi-tinggi sampai jadi doktor. Tapi sekeping hati kecilnya itu pun susah mahu mengerti. Benci!

“Ya ke? Habis tu, kenapa abang tengok dekat bilik Che D banyak jambangan bunga? Bunga ros pula tu. Bukan ke ros tu ertinya cinta? Kasih sayang?” Dia sengaja mahu menguji Donna.

Tika itu, Donna menikam pandangan Harraz. Berdesing telinganya mendengar pertuduhan yang dinyatakan oleh Harraz.

“Abang Yas ni kenapa? Nak sangat Che D pergi dekat dia ke?” Bentaknya geram.

Seliparnya ditanggalkan. Tanpa memberi sebarang isyarat terlebih dahulu, seliparnya dibaling mengenai lutut Harraz.

Harraz menunduk sambil mengambil selipar yang dibaling tadi. Kemudian, dia berpusing ke belakang meneruskan langkahnya ke teratak umi. Dia meninggalkan Che D dibelakang.

“Abang Yas!” Donna menjerit. Tetapi Harraz tidak menoleh ke arahnya.

“Abang!!!” Jeritnya lagi. Harraz tetap tidak menoleh.

Langkahnya diteruskan sehingga dibawah pokok rambutan. Namun, langkahnya terhenti. Dia memandang selipar Donna ditangannya.

Tanpa sedar dia tersengih sendiri. Pasti dia sedang marah. Harraz menoleh ke belakang.

Donna sedang bertinggung sambil memeluk lutut. Mukanya ditekup ke lutut. Merajuklah tu. Pura-pura. Mengada-ngada saja lebih.

Harraz berjalan menghampiri Donna. Hujung bibirnya terjungkit senyuman.

Dia bertinggung dihadapan Donna.

“Okeylah, okeylah. Abang minta maaf.” Harraz mencuit lengan Donna dengan hujung jari telunjuknya.

“Tsk, Che D. Merajuk betul-betul ke?” Harraz mencuri pandang dibahagian tepi mukanya. Mana tahu Donna hanya mengenakannya.

Bahu Donna terhinjut kecil. Esakkan mula kedengaran.

“Alaa. Che D. Menangis pula. Ish, okey. Abang Yas minta maaf. Nah.” Tangan kanan dihulur pada Donna.

Perlahan-lahan Donna mengangkat muka. Rambutnya berserabai terkena air mata.

Ketika itulah….

“Aww, aww, aww! Koyaklah kulit abang!” Harraz mengaduh sambil menyeringai kesakitan.

Hah, puas hatinya sekarang. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menggigit tangan itu sampai membengkak. Padan muka! Suka sangat menuduhnya yang bukan-bukan.

“Padan muka.” Donna mengelap air matanya dengan belakang tangan.

Harraz menggaru-garu kepala. Haih, bukannya dia mahu menuduh. Tetapi memang itu hakikatnya. Dia sendiri nampak tiga jambangan bunga didalam bilik Donna. Bukan itu saja, malah ada juga dua kotak hadiah kecil. Entah apa isi dalamnya dia sendiri tidak pasti. Kerana hadiah tersebut masih berbalut kemas diatas meja soleknya. Maklum saja, buah hati yang beri sudah tentu sayang mahu dibuka.

“Abang Yas kalau tak tahu cerita tak payahlah buat cerita. Selama ni bukannya Abang Yas ada dekat sini pun. Abang Yas sukalah dapat belajar jauh-jauh. Dekat sana Abang Yas sikit pun tak pernah fikir pasal Che D. Cuma che d aje yang selalu ingat Abang Yas.” Sekali lagi dia teresak-esak menangis.

Kali ini Harraz benar-benar mati kutu. Mahu dipujuk bagaimana? Aduh!

“Habis tu kenapa dalam bilik Che D tu ada banyak hadiah? Ada jambangan bunga lagi. Abang rasa Che D tak rindukan abang pun. Sebab Che D dekat sini dah ada peneman.” Lain pula yang terlontar dari mulutnya. Dia mahu memujuk. Tetapi dia semakin menyesakkan jiwa Donna pula.

Masih belum habis lagi isu bunga ros tadi.

Donna mengangkat kepala. Air matanya dikesat.

“Mana ada! Che D tak pernah sukakan dia. Hadiah-hadiah tu pun Che D terpaksa ambil. Takkan Che D nak tolak mentah-mentah. Che D tak sampai hatilah nak jatuhkan air muka dia. Abang ingat Che D ni jahat sangat ke?”

Huh, terpaksa terima konon. Cakap sajalah kau memang punya hati dengan dia. Siapa juga budak hingusan yang berani merebut hati Donna?

“Tipu. Habis tu kenapa Che D masih simpan hadiah-hadiah tu? Sebab Che D dah mula sukakan dia? Hm, macam nilah. Apa kata, Che D bawa Abang Yas jumpa dia. Kenalkan dia pada Abang Yas.” Ujarnya sinis.
Donna memandang Harraz tidak percaya.

“Sudahlah. Mulai hari ni Che D tak nak cakap dengan Abang Yas lagi!” Dia membentak.

Donna menyarung selipar. Air matanya dilap kasar. Dia berlalu pergi meninggalkan Harraz dibelakang.
Harraz diam dan membiarkan tanpa memujuknya. Mukanya diraup berkali-kali. Hanya kerana sakit hati, kata-kata tajamnya melukakan hati Donna.

Didalam bilik, Donna memandang tiga jambangan bunga ros merah dan putih diatas meja soleknya. Dia menggigit bibir bawah.

“Bukan aku yang nak terima bunga ni.” Dia menghempas punggungnya dibirai katil. Matahari yang semakin tenggelam dipandang sepi.

Agak-agak Harraz sudah pulang ke belum? Ingatannya kembali pada saat dia menginggalkan Harraz dibelakang.

Dia mengeluh berat. Tuala dicapai dipenyidai dan terus menuju ke bilik air.

“Assalamua’laikum.” Harraz melangkah masuk sambil membasuh kakinya dengan air ditempayan. Setelah bersih, batuk disangkut semula pada paku.

“Ha, walaikumsalam Yas. Lambat balik? Kamu dari mana?” Soal tok yang mahu ke surau. Tok melangkah ke motor skuter merahnya sambil membetulkan kopiah.

“Yas jalan-jalan tadi. Ambil angin petang. Saja pusing-pusing kampung. Tak lama lagi dah nak balik sana lagi. Rugi kalau Yas asik terperap dekat rumah aje.” Jawabnya.

“Oh, tok ingat kamu keluar dengan Che D. Tok cari dua-dua tak ada. Senyap aje pula tu.” Ujar tok sambil tersengih.

Harraz menggaru-garu kepala sambil tersengih.

“Yalah, pergi masuk mandi. Kejap lagi dah nak maghrib ni. Tok pergi surau dulu.” Ujar tok. Enjin skuternya sudah dihidupkan sejak tadi.

“Yalah tok. Hati-hati. Assalamualaikum.” Ujarnya.

“Walaikumsalam warrahmatullah.” Jawab tok. Tok semakin menjauh dari pandangannya.

Harraz melangkah masuk ke rumah. Di mendaki tangga menuju ke biliknya yang bersebelahan dengan bilik Donna.

“Yas. Kamu nak ikut abah ke surau?” Soal abah yang sedang sibuk membersihkan songkoknya.

Harraz menghampiri abah. “Taklah, bah. Yas belum mandi lagi ni.” Dia tersengih bak kerang busuk.

“Yalah. Kalau macam itu abah pergi dulu.” Pamit abah sambil berlalu.

“Hati-hati, bah.” Ucapnya.

Setelah menghantar abah dengan pandangan, dia terus menuju ke bilik. Dia memandang sekilas ke arah pintu bilik Donna yang tertutup rapat. Biliknya hanya bersebelahan dengan bilik Donna.

Tiada tanda-tanda dia mahu keluar dari bilik. Nampaknya tidak berkesempatanlah dia mahu berbicara tentang kepulangannya minggu hadapan.

Dia terus masuk ke bilik. Mahu bersiap-siap untuk menunaikan solat maghrib.

Umi sedang membentang tikar sejadah diruang tamu sementara menunggu Harraz memanggil Donna.

“Yas tolong umi panggilkan Che D. Kita solat berjemaah sekali.” Pinta umi. Umi kemudiannya duduk dikerusi rotan.

“Baik, umi.” Harraz menurut perintah. Dia menuju ke bilik Donna dengan debaran dihati. Dia tahu si cantik manis itu masih berjauh hati dengannya.

Tok, tok, tok!

Dia mengetuk pintu bilik Donna.

Klak!

Pintu bilik dibuka dari dalam. Donna terpacul didaun pintu sambil bersembunyi dibelakang langsir.

“Jom, solat sama-sama. Umi tengah tunggu tu.” Dia memuncung ke arah umi.

Donna diam. Dia hilang dibalik pintu. Ah, mungkin dia masih merajuk agaknya. Dia kembali semula ke ruang tamu.

“Jomlah, umi. Donna…err tengah cuti agaknya.” Dia berdalih.

Tanpa berlengah, umi bangun. “Ya ke? Ha, kalau macam itu jomlah. Lewat dah ni.” Kata umi.

Dia berdiri tegak. Songkoknya dibetulkan. Dia memandang ke tempat sujud.

“Usolli fardha maghribi thalatha rak’ataini ada’an lillahi ta’ala.” Niat solat maghrib mula dibaca.

“Allahuakbar.” Harraz mengangkat takbiratul ihram.

Gemersik suaranya mula mengalunkan doa iftitah. Sesekali bunyi cengkerik mula menamani solat mereka.

“Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. Arrahmanir rahim.” Surah Al-Fatihah dibaca dengan tartil.

Dalam diam Donna membentang sejadah disebelah umi. Dia mengorak senyuman kecil saat telinganya menangkap bacaan Al-Fatihah itu.

Dia juga turut mengangkat takbir memakmumkan solat maghrib itu.

Bebrapa minit kemudian, mereka tiba dirakaat yang terakhir. Harraz sujud lama dalam rakaat terakhirnya. Bagai ada satu doa yang dipanjat pada Sang Tuhan.

“Allahuakbar.” Dia bangun dari sujudnya. Bacaan tahiyat akhir dibaca.

“Fil ‘alamina innaka hamidum majid. Assalamualaikum warrahmatullah.” Salam pertama diberi.

“Assalamualaikum warrahmatullah.” Diikuti pula dengan salam kedua. Doa selepas salam kedua turut dibaca. Barulah dia meraup muka.

Dia mengangkat tangan membaca doa dengan khusyuk. Umi dan Donna mengaminkan perlahan.

“Bismillahir rahmanir Rahim. Ya Allah, ya tuhan kami. Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang. Kau rahmatilah kehidupan kami dalam agama Islam-mu, sejahterakan kami dengan anugerah kesihatan-mu, luaskan rezeki kami seluas air dilaut agar kami dapat berkongsi dengan orang yang memerlukan. Ampuni dosa-dosa kami tika kami lalai dan alpa dengan suruhan engkau. Ampuni dosa kedua-dua ibu bapa kami. Terimalah amal taubat kami sepanjang hayat kami. Permudahkan urusan kami didunia juga diakhirat. Matikan kami dalam keadaan kami khusnul khatimah. Ya Allah, maha mengasihini. Perkenankan doa-doa kami. Rabbana atina milladunka rahmah wahai’lana min amrina rashada. Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah waqina a’zabannar. Wasalallahu a’ala sayyidana Muhammad wa’ala alihi wasahbihi wa sallam wal hamdulillahi rabbil ‘alamin. Amin.” Dua tangannya diraup ke muka.
“Amin ya rabbal a’lamin.” Sahut umi dan Donna.

Harraz menoleh ke belakang untuk menyalami umi. Tetapi pergerakannya terjeda. Matanya bertembung dengan pandangan Donna.

Donna mengelak pandangan itu dan terus memandang ke dinding.

Berkerut umi melihat tingkah laku mereka berdua. Dari tadi umi menghulur tangan pada Harraz. Tetapi tidak disambutnya.

“Ehem.” Umi berdehem menyentak lamunan Harraz.

Harraz memandang umi sambil tersenyum malu. Terus dia tunduk menyalami tangan umi.

Giliran Donna pula menyalami umi. Manakala, Harraz tetap memandang Donna. Dia mahu senyum. Tetapi dia segan jika umi sedar dengan tingkah nakalnya itu.

“Suka umi Yas jadi imam. Rasa macam solat dekat surau pula.” Gurau umi sambil tersenyum.

“Alhamdulillah umi. In syaa Allah mana tahu ada rezeki nanti dapat Yas jadi imam lagi. Untuk tok, abah, umi…dan Che D.” Dia memandang Donna sambil menyimpul senyum.

Umi tahu erti pandangan dan senyuman Harraz. Bukan umi tidak sedar selama ini. “Yas doa apa tadi? Lama masa sujud terakhir tadi.” Korek umi sengaja mahu tahu rahsianya.

Aduh, umi ni. Apa mahu dijawabnya? Takkan mahu menipu? Tidak mungkin juga mahu berkata jujur. Malulah dia nanti.

Harraz membetulkan duduknya. “Err...doa yang biasa-biasa aje umi.” Jawabnya malu-malu.

Umi ketawa kecil. Bahu harraz diusap lembut. “Tak apala kalau Yas malu nak bagi tahu dengan umi. Apa jua doa Yas, umi doakan supaya Allah makbulkan doa anak bujang umi ni.”

Harraz menunduk sambil tersenyum. “Amin in syaa Allah.”

“Okey, umi nak siapkan makan malam. Kejap lagi tok dengan abah balik dari surau tu. Jom, Che D. Tolong umi.” Umi mencuit bahu anak daranya.

“Ha? Okey umi.” Jawab Donna.

Umi bangun terlebih dahulu sambil membawa sejadah masuk ke bilik.

Tinggal Harraz dan Donna yang masih terkial-kial melipat sejadah.

“Abang Yas, doa apa tadi?” Soal Donna.

Harraz berkira-kira mahu memberi tahunya. Muka manis Donna dipandang lama.

“Abang doa pasal jodoh abang.” Jawab Harraz perlahan.

Donna berkerut. Jodoh apa pula ni?

“Jodoh?” Soalnya mahu mengorek lagi jawapan tadi.

Harraz menggangguk. “Hm.”

“Doa untuk bakal isteri abang.” Jawab Harraz sambil tersenyum.

Raut muka Donna mendung. “Oh, jadi Abang Yas dah ada calon ke?”

Harraz mengangguk sambil tersenyum lagi. “Mestilah.”

‘Mestilah.’ Cukup jawapan itu membuatkan matanya mula berkaca. Donna bangun sambil membawa sejadahnya menuju ke bilik.

“Che D nak ke mana?” Soal Harraz.

Soalannya tidak dijawab. Takkan merajuk lagi? Baru saja berbaik tadi. Dia memicit dahi.

“Siapa bakal isteri Abang Yas?” Soal Donna yang tika itu berada didepan pintu biliknya.

Harraz mengangkat muka memandang Donna.

Jawapan itu tidak dijawab. Sebaliknya hanya senyuman yang diberi dengan jungkitan bahu.
Siapa dia? Siapa bakal isteri Abang Yas?

Kali ini air matanya tidak dapat dibendung lagi. Cepat saja dia masuk ke bilik. Dibelakang pintu dia mula memuntahkan air matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience