26

Romance Series 28536

SUASANA dipadang malam itu hanya kedengaran suara dari wayang pacak saja.

Para penonton diam tak berkutik menghayati babak sedih dalam cerita itu.

Ada yang berbaring beralaskan rumput. Tidak kurang juga ada yang membawa tikar mengkuang dan bantal untuk menghayati suasana santai malam itu.

Bukan selalu boleh tonton wayang pacak begini.

Tetapi lain pula dengan Donna. Tergaru-garu ditangan dan muka. Biasalah, banyak nyamuk. Nama pun duduk dipadang. Lainlah kalau duduk dalam kelambu.

"Abang Yas, ish... tsk, banyak nyamuklah!" Dia menggerutu sambil menepuk nyamuk yang hinggap dilengannya.

Harraz pun menoleh.

"Alah, sikit saja tu. Kena biasakan duduk dekat tempat-tempat macam ni. Ini baru nyamuk. Belum lagi jumpa harimau, gajah, penyu. Lagi buas tu."

Eh, penyu?

"Abang Yas nak melawak ya? Mana ada penyu duduk dekat tengah padang macam ni. Penyu tak bahayalah." Dia menepis nyamuk yang berterbangan didepan mukanya.

"Siapa kata dekat sini tak ada penyu? Tu..." Mulutnya dimuncungkan ke sebelah kanannya dan ditujukan ke arah pemuda yang menegurnya tadi.

Terkebil-kebil Donna melihat gerangan si penyu yang sedang meniarap sambil menongkat dagu. Khusyuk.

"Saja tambah dosalah Abang Yas ni. Tak baiklah." Hampir saja dia terlepas tawanya. Sempat dia mengetap bibirnya rapat-rapat.

"Yalah. Dari tadi dok pandang-pandang sini kenapa? Dia dengan penyu tak ada beza. Dua-dua bahaya. Penyu boleh menggigit, macam itu juga dia. Ah, pendek kata macam-macamlah dia boleh buat. Dia lagi bahaya dan buas dari penyu."

Dia bukannya marah. Itu kan hak masing-masing untuk melihat orang sekeliling. Tetapi 'penyu' yang satu itu selalu mencuri-curi pandang Che D nya. Dia belum buta lagi itu menilai pandangan pemuda itu.

Kalau diikutkan hati, mahu saja dia mengaku bahawa dia itu suami Donna. Takut nanti lain pula yang difikir nanti.

Yalah, mungkin orang akan menilai dia pemuda gila kerana mengahwini gadis yang masih bersekolah.

"Amboi, tak baik mengata orang macam tu. Abang Yas belum kenal hati budi dia lagi, dah nilai orang macam tu."

"Abang ajelah yang tak baik? Huh, abang ni bukannya apa. Kita tak kenal hati budi dia. Dari tadi dok pandang-pandang Che D. Bukan abang tak tahu mata lelaki macam mana."

"Eh, betul ke dia pandang Che D? Oh, entah-entah dia nak mengurat Che D agaknya. Haha." Akhirnya tawa terlepas jua.

Geli hati pula melihat perangai marah-marah Harraz. Entah apa agaknya yang dimarahkan sangat?

"Berangan bolehlah."

Tunggu kau ya. Akan ku pastikan kau tak kan dekat-dekat dengan Che D.

"Cerita ni sedihlah. Che D tak suka cerita sedih-sedih." Matanya masih memandang skrin layar putih didepan.

"Seronok. Abang Yas suka jalan cerita ni. Ada suka, ada duka."

Bawa Aku Ke Manhattan. Cerita yang sedang ditayangkan.

"Ooo. Abang... Manhattan jauh tak dari sini?" Dalam fikirannya, pasti akan dijejakinya tanah asing itu nanti.

"Uish, jauh! Beribu-ribu kilometer. Tambang nak ke sana pun mahal. Tapi banyak tempat-tempat cantik."

Bercahaya matanya mendengar penjelasan Harraz. Tetapi bila dikenangkan duit, dia tidak ada duit yang banyak untuk ke sana. Macam mana?

"Ooo, jauhnya." Dia menguis rumput.

Harraz memandang Donna.

"Nanti kalau Abang Yas dah dapat kumpul duit banyak, abang bawa Che D ke sana."

Dia menaruh janji lagi. Janji yang satu dulu, masih belum terlunas.

Anak mata Donna yang bundar dipandang tunak.

"Tak mahulah. Abang selalu berjanji tapi tak pernah tunaikan. Che D yang beria-ia tunggu macam pokok. Penat tau. Malaslah nak janji-janji lagi."

Ayat yang dilontarkan itu membuatkan Harraz menarik senyum senget. Ingat juga dia.

"Abang tak pernah mungkir janji, cuma terlewat sikit aje. Buktinya, sekarang abang ada depan Che D kesayangan abang ni. Sanggup abang bawa buku-buku abang nak belajar dekat rumah semata-mata nak teman kesayangan abang seorang ni."

"Memanglah. Sekarang memang abang ada depan Che D. Cuba kalau abang masih disana? Mesti liat betul abang nak balik sini, kan?" Giatnya.

"Ish, tak baik menuduh abang macam tu. Kalau abang tak balik maksudnya abang tengah berjuanglah tu dekat sana."

"Eleh, berjuang apa sangat dekat sana?"

"Betullah, abang berjuang menahan rindu dan seksa jiwa raga abang pada Che D. Ingat senang ke?"

Nadanya seperti berseloroh, hakikatnya itulah yang dimaksudkan.

"Ah, malas Che D nak dengar."

Tetapi dalam samar cahaya bulan, bibirnya tersungging sengihan.

Badrul sejak tadi memasang telinga.

Gadis itu sememangnya manis. Bohonglah jika jiwa terunanya tidak terusik. Lagilah melihat si gadis manis itu tersenyum malu.

Agaknya apalah yang dibualkan 'dua ekor belangkas' dari tadi? Cemburu juga bila difikir-fikir balik.

Alah, apa yang mahu dicemburukan? Bukankah dia hanya mengenali gadis itu tadi?

Oh, lupa. Bicara soal kenal, dia masih belum mengenali namanya. Patutkah dia tanya gerangan nama gadis itu?

Mahu bangun atau tidak?

Berkira-kira mahu mengangkat punggung.

"Tak lama lagi, abang akan jalani peperiksaan akhir semester. Mungkin, dalam beberapa bulan lepas ni abang tak balik."

Dia memandang raut Donna dalam terang bulan.

Renungannya dibalas semula. Kedengaran keluhan berat dilepaskan Donna.

Dia menunduk sebelum membuka bicara.

"Lama tu... berapa bulan? Sebulan? Dua bulan?"

"Atau lima bulan?" Sambungnya lagi.

"Entah. Abang tak pasti. Lagipun, kalau abang nak balik sini lagi duit abang takkan cukup untuk tampung kos penerbangan. Biasiswa yang abang dapat setiap bulan bukan besar mana pun, Che D. Jadi, abang kena selalu berjimat."

Jika tidak dia melakukan kerja-kerja sambilan ditanah Inggeris itu, tidak mungkin sekaran dia berada disisi Donna.

"Biar Che D suarakan dekat tok. Tok tu banyak duit tau. Nanti Che D minta tok bagi duit kocek dekat abang. Nak tak?"

Terkejut juga dia dengan buah fikiran Donna. Buat malu saja.

"Eh, jangan! Jangan, Che D. Abang tak mahu susahkan siapa-siapa. Abang dah dewasa, Che D. Biarlah abang yang mencorak kehidupan abang."

"Tapi, tok bukan siapa-siapa dengan abang. Dia kan tok Abang Yas juga. Abang pula, abang Che D. Kita satu keluarga lah. Kalau abang susah, biarlah kami yang tolong abang."

Harraz menarik sengih. Kadang-kadang dalam matang percakapan itu, terselit juga kelucuannya.

"Wahai Che D kesayangan Abang Yas. Jangan risaukan abang. Kalau abang tak boleh nak jaga diri abang sendiri, macam mana nanti abang nak jaga Che D dan yang lain?"

Dia menarik nafas tenang sebelum menyambung hujahnya.

"Biarlah abang buat semuanya sendiri. Buat masa ni, cukuplah Che D jaga diri elok-elok bila abang jauh. Kalau boleh, jangan sampai penyu yang tak diundang datang dekat-dekat dengan Che D. Abang tak suka."

Sempat dia menjeling ke sebelah.

Manakala, Badrul yang mahu bangun sejak tadi mematikan niatnya. Seram pula bila melihat jelingan pemuda itu.

"Hahaha. Apalah Abang Yas ni. Kalau ada penyu yang datang pun, Che D akan pulangkan balik dia dekat habitatnya semula."

"Huh, tak payah pulangkan semula. Timbus ajelah dengan pasir pantai tu. Pandai-pandailah dia nak hidup nanti."

Kacau daun saja!

DERAP langkahnya dilajukan. Dia tidak mahu menoleh gerangan yang mengejarnya. Walhal, dia tahu pemilik suara itu.

"Che Donna!" Tekannya lagi.

"Tunggu...tunggu." Dia sempat menghalang langkah Donna.

Aryan.

Dia mengalihkan pandangan ke arah padang sekolah.

Sungguhpun wajah anak muda itu tampan, ia sedikit pun tidak menarik perhatiannya.

Termengah-mengah Aryan mengatur nafas. Dia memegang dada sambil terbatuk-batuk.

"Uhuk, uhuk!" Sesekali dia menepuk dadanya.

Setelah tenang, dia berdiri tegak menghadap perempuan idamannya.

"Kenapa awak lari dari saya?"

"Ya, saya lari dari awak. Sebab saya tak suka awak. Awa tak faham bahasa ke?" Tegasnya.

Aryan terkedu. Lama dia membisu.

Kemudian, setelah jiwanya reda dia menguntum senyum.

"Mungkin saya selalu mendesak awak. Silap saya. Maafkan saya. Buat masa ni, saya takkan ganggu awak. Saya nak beri ruang dan masa untuk awak. Mana tahu dengan ketiadaan saya nanti dapat membuka pintu hati awak."

"Ikhlas dari hati saya, memang saya teringin sangat nak kenal awak dengan lebih rapat. Tapi apakan daya, takkan saya nak jadi seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Saya hormat apa jua keputusan awak."

Dalam Aryan sibuk berkata-kata, dia hanya bermain-main dengan jarinya. Tidak minat mahu mendengar hujah panjang berjela itu.

"Tak nak. Saya tak nak. Saya tak suka awak. Sudahlah, saya nak masuk kelas. Jangan cari saya lagi lepas ni. Kalau boleh, jangan panggil-panggil nama saya lagi. Saya rimas."

"Aik? Takkan nak panggil nama awak pun tak boleh? Janganlah kejam sangat." Penuh rayuan nampaknya.

"Ish, tak boleh! Jangan jumpa saya lagi."

Tergaru-garu dia melihat Donna yang berlalu pergi tanpa memandang belakang.

"Aduh! Pening kepala aku."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience