(16 Mac 2007, Kg Seri Menanti, Muar, Johor)
“Abang Yas nak pergi jauh dari Che D?” Soal remaja perempuan itu polos.
Harraz tersenyum tawar. Rambut Donna dielus lembut. Dia mengangguk kecil.
“Hm…abang pergi sekejap je.” Jawabnya rigkas.
“Tipu! Abang Yas selalu cakap ‘pergi sekejap’. Tapi abang pergi lama.” Donna menunduk. Tanpa sedar, butir-butir jernih hangat mula menitik ke tanah.
Harraz mara ke hadapan dua langkah. Pipi kanan Donna dipegang kejap. Hatinya turut sayu. Buat seketika dia memandang tok, umi dan abah.
Kemudian, pandangannya jatuh semula pada Donna.
“Hei…syhhh…Che D janganlah sedih. Kali ni abang janji pergi sekejap je. Tak lama pun.” Tubir matanya mula hangat. Nafas ditarik dalam.
Donna mendongak memandang Abang Yas-nya. Dalam genangan air mata, dia terkebil-kebil meminta kepastian.
Melihatkan Abang Yas-nya tersenyum dalam air mata, sedunya mula berlagu sayu.
“Huu…huu…Che D…huu…Che D nak ikut Abang Yas.” Tubuh Harraz dipeluk erat.
Erat sehingga menyesakkan dia untuk bernafas.
“Ish…Che D kan dah besar. Mana boleh peluk abang yas.” Pujuk tok lembut.
Harraz menggeleng pada tok tanda membiarkan seketika pelukan itu. Mungkin itu akan menjadi pelukan terakhirnya.
Dia melakar senyuman buat Donna.
“Syhh…hei, buruknya muka dia nangis.” Harraz tersengih lebar. Air mata Donna diseka lembut.
“Tsk! Biarlah.” Air matanya dilap pada t-shirt Harraz.
“Eii, Che D! Habislah kotor baju abang.” Dia memandang bahagian dadanya yang basah dek air tangisan Donna.
“Padan muka!” Sedunya masih bersisa.
“Sudahlah Che D. Abang Yas lambat nanti.” Ujar abah sambil memaut bahu anak perempuannya.
“Abah…Che D nak ikut Abang Yas…boleh?” Matanya mula bergenangan. Mengharap abah mengizinkannya turut serta dengan Harraz.
Abah memandang tok dan umi serba salah. Tok menggeleng perlahan.
Kini giliran abah mengeluh. Dia menunduk menyamai paras Donna.
“Tak boleh sayang. Che D kan kena pergi sekolah. Nanti kalau Che D ikut Abang Yas, pelajaran Che D macam mana?” Abah masih lagi memujuk puterinya.
Donna memandang Harraz dengan tiga buah bagasi disisinya. Pandangan itu membuatkannya lagi hiba. Pastinya dia akan berjauhan dengan Abang Yas-nya dalam tempoh yang lama. Melihatkan bagasinya saja sudah banyak. Besar-besar pula. Abang Yas penipu!
“Che D. Bukannya Abang Yas tak balik sini lagi. Abang Yas pun kena pergi belajar juga. Bezanya Abang Yas kena sekolah dekat sana. Abang yas tak boleh belajar dekat sini. Boleh ya Che D? Bagi Abang Yas pergi.” Kini giliran Harraz pula memujuk Donna.
Dia masih punya waktu tiga jam lagi untuk menaiki penerbangannya ke kota inggeris.
Donna menggeleng laju. Baju Harraz dipegang. Lagaknya seperti anak kecil yang akan ditinggalkan.
“Hei, Che D sayang Abang Yas kan?” Harraz memandang redup pada anak mata bersih Donna.
Donna mengangguk kecil. Sudah tentu! Dia sayang lelaki itu.
“Kalau sayang, bagi abang pergi belajar. Ya? Abang Yas janji. Abang Yas belajar sampai pandai. Abang janji habiskan belajar cepat-cepat. Nanti bila dah habis belajar, Abang Yas terus balik jumpa Che D. Boleh?” Dia mengelus jari runcing Donna.
Che D menunduk. Kali ini sedunya semakin kuat. Tidak. Dia tidak rela berjauhan dengan lelaki itu lagi. Nanti dia dihurung rindu bagaimana? Siapa yang mahu menemaninya jika dia keseorangan? Siapa yang mahu mengajarnya nanti jika ada kerja sekolah yang rumit? Siapa? Yang pasti abah, tok dan umi tidak sama dengan Abang Yas. Dia suka layanan Abang Yas selama ini.
“Che D jaga diri ya. Belajar rajin-rajin. Ingat. Che D pernah janji dengan Abang Yas, Che D nak jadi cikgu. Che D masih ingatkan janji kita dekat bawah pokok sana?” Harraz menuding ke arah pokok ciku.
Donna turut mengalihkan pandanganya ke arah pokok itu. Pantas dia mengangguk. Ya. Dia pernah berjanji dengan Harraz bahawa satu hari nanti dia mahu jadi seorang guru. Minatnya mahu menabur bakti seperti umi. Mahu mendidik anak bangsa.
“Kalau macam itu, mulai hari ini kita kena belajar rajin-rajin. Che D izinkan Abang Yas pergi ke sana. Abang janji nanti abang kirim poskad pada Che D.” Dia menarik senyum manis buat Donna. Dia tidak mahu Donna melupakan janjinya. Begitu juga dia. Kerana dia tidak suka mungkir pada janji.
Sekali lagi Donna memeluknya. Tidak! Dia tidak mahu melepaskan lelaki itu. Dia mahu mendengar detak jantung Harraz. Hatinya tenang tika mendengar rentak itu.
Perlahan-lahan Harraz melepaskan dakapan itu. Bahu Donna dipegang lembut.
Saat itu, mata mereka bertatapan untuk beberapa detik.
Air liurnya ditelan pahit. Masa mencemburui mereka. Lambat-laun dia perlu meninggalkan Donna untuk tempoh yang dia sendiri tidak pasti lamanya.
Matanya berkaca kembali saat menatap satu-persatu wajah yang menjaganya selama ini. Sungguh, dia terhutang budi dengan jasa baik keluarga ini.
Tidak lupa juga buat si cantik manis dihadapannya, Donna. Acap kali menyenangkan hatinya. Dialah penawar jika duka menyapa harinya. Sayangnya pada Donna semakin hari semakin menggunung.
Andai nanti cita-citanya tercapai, dia mahu Donna tahu bahawa dia telah mengotakan janjinya. Janji yang dia ingat sampai mati.
“Hei, sudahlah. Jangan menangis. Comotnya Che D bila nangis.” Dia tersenyum dalam hiba.
“Sudahlah. Jangan dilayan sangat Che D. Pergilah Yas.” Abah menghampiri mereka berdua.
Rambut Harraz diusap sayang.
“Pak cik. Terima kasih untuk beberapa tahun ni. Terima kasih sebab menumpangkan saya dengan keluarga pak cik. Terima kas…”
Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, abah memintas terlebih dahulu.
“Yas. Panggil abah. Jangan berterima kasih dengan abah. Sebaliknya, abah yang perlu berterima kasih pada Yas sebab selalu ada dengan puteri kesayangan abah ni.” Ujar abah sambil mengusap rambut Donna.
Harraz hanya tersenyum. Lidahnya seolah-olah kelu. Tidak terbalas jasa keluarga ini padanya.
“Mari, dik. Kita berangkat sekarang. Nanti terlewat pula sampai di airport.” Ujar pemandu teksi.
Abah mengangkat bagasi-bagasinya ke dalam bonet teksi. Donna dari tadi usah dikata. Esakannya semakin pilu.
“Syhh, sudahlah Che D. Apa nangis macam ni. Malulah anak dara buat perangai macam ni.” Pujuk umi sambil menarik puterinya ke dalam pelukan.
Berat hati Harraz mahu meninggalkan keluarga itu. Bukan dia tidak pernah berpisah seketika dengan Donna. Cuma kali ini pemergiannya mungkin lama. Tidak mungkin setahun tidak juga dua tahun.
Harraz menyalami tok dan abah. Tidak lupa pelukan dari tok dengan segala macam pesanannya. Begitu juga abah. Lama pelukannya. Pasti dia akan merindui anak teruna itu. Kebiasaanya Harraz yang akan menjadi imam solat mereka. Kebiasaannya, Harraz yang akan membantu tok dan penduduk kampung jika ada majlis keraian atau gotong-royong. Kebiasaannya, Harraz juga yang rajin menemani umi ke pasar atau ke mana saja.
Tetapi mulai hari ini kehidupan seharian mereka tidak akan dipenuhi lagi dengan kewujudan Harraz. Begitu juga dengan Donna. Tiada lagi Abang Yas yang akan membantunya dalam menyiapkan segala tugasan sekolah.
Harraz menghampiri umi. Tangan dihulur mahu menyalami tangan lembut yang telah membesarkannya selama ini.
Mata umi mula berkaca. Tetapi cepat saja ditutupi dengan segaris senyuman buat Harraz.
“Yas. Jaga diri elok-elok dekat sana ya nak. Kalau ada apa-apa terus telefon kami disini. Jangan tinggal solat. Ingat pesan tok dan abah, ya.” Lembut umi mengusap pipi Harraz.
Harraz sebak. Tangan umilah yang banyak membelainya bagi mengganti kasih seorang ibu kandungnya. Tangan umi yang masih dipipinya dipegang erat.
Kini pandangannya jatuh pada Donna. Mulutnya juga berat mahu mengucapkan kata-kata.
“Umi. Jaga Che D untuk Yas, boleh?” Dia berbisik pada telinga umi.
Rambut Donna diusap sayang. Umi mengangguk kecil sambil tersenyum. Air matanya gugur lagi.
“Assalamualaikum.” Ucap Harraz.
“Wa’laikumsalam warrahmatullah.” Jawab mereka.
Harraz memboloskan dirinya ke dalam perut teksi. Cermin tingkap diturunkan. Hanya sepasang matanya yang memerhati Donna melalui cermin sisi.
‘Tunggu abang. Jangan lupa janji kita.’ kata-kata itu hanya terucap dalam hatinya.
Teksi meluncur keluar dari perkarangan teratak umi.
Share this novel