“Boleh saya berjumpa dengan Che D kesayangan Harraz?” Elok dia tersenyum manis pada Donna yang sedang bergenangan air mata.
“Hei, tak suka ke abang balik ni?” Harraz mula menghampiri Donna. Dia mendukung beg sandang hitam besar.
Donna menggeleng laju sambil menuruni tangga. Air matanya dibiar membasahi pipi. “Su...suka.” Jawabnya dalam sedu.
“Ish, nangis pula dia. Sudahlah. Kan Abang Yas dah balik ni.” Air mata Donna diseka lembut.
“Umi, tok dengan abah mana?” Harraz menanggalkan sepatu Nike-nya. Dia menjengah ke dalam rumah. Sunyi saja.
“Umi dengan abah keluar ke pasar. Macam biasalah belanja barang dapur. Tok ada dekat surau dari subuh tadi.” Donna terkial-kial menghampiri Harraz.
“Kenapa Abang Yas nak balik tak bagi tahu?” Soal Donna perlahan. Dia berdiri dihadapan Harraz sambil bercekak pinggang.
Gayanya membuat Harraz tersenyum sendiri. Masih tidak ubah perangai merajuknya.
“Sorry lah. Abang terlupa nak bagi tahu. Tak sempat.” Jawab Harraz menarik sengih.
Tidak sempat? Alasan!
Ketika itu, abah dan umi baru tiba diperkarangan rumah. Dari jauh abah tersenyum sambil menunggang perlahan motornya menghampiri halaman rumah.
Anak itu sudah pulang.
Donna dan Harraz turut memandang kea rah bunyi motor itu.
“Assalamualaikum, Yas.” Sapa abah dari atas motor. Umi pula terkocoh-kocoh mahu turun. Tidak sabar mahu bertemu Harraz.
Harraz menarik sengih.
“Walaikumsalam, bah. Umi.” Dia menyapa umi yang baru turun dari motor.
“Kenapa yas tak bagi tahu kami dulu nak balik sini? Haih, kalau tak boleh umi beli barang-barang dapur lebih sikit buat masak.” Umi melangkah masuk dari pintu dapur.
“Yas cuti semester, umi. Itu yang tak sempat nak bagi tahu. Minggu ni pun yas baru habis ujian. Itu yang tak menyempat terus ambil flight ticket balik sini.” Dia terengih lagi.
Donna pula sejak tadi merenung Harraz seperti mahu ditelannya.
“Lah, kalau macam itu kenapa tergesa-gesa nak balik sini juga? Kalau tak sempat balik minggu ni, Yas boleh aje balik minggu depan. Lagi pun, rumah ni bukannya lari ke mana pun.” Ujar abah sambil melabuhkan punggungnya dibangku kayu.
“Tak apalah, bah. Yas tak nak buang masa. Malaslah Yas nak duduk sana lama-lama. Kelas pun dah habis. Sementara tunggu semester depan naik, bolehlah Yas cuti lama dekat sini.” Dia tersenyum nipis.
‘Eleh, yalah tu. Entah-entah dia balik sini nak bercerita pasal buah hati dia dekat sana. Macamlah aku tak tahu. Huh!’ dalam diam Donna mengetap bibir.
“Che D. Termenung apa pula tu dekat situ? Duduklah.” Ajak abah.
Dari tadi abah perhatikan, berkerut-kerut puterinya itu seperti memikirkan sesuatu.
“Tak apalah, bah. Abah berbuallah dengan Abang Yas dulu. Donna nak tolong umi dekat dapur.”
“Yalah. Nanti kalau ada makanan sedap, bawalah sini.” Sengih abah.
“Okey, bah.” Balas Donna.
Dari tadi ralit Harraz merenung Donna. Tidak rindukah dia pada aku? Kenapa tidak mahu berbual dengan aku dan abah?
“Yas cuti berapa lama?” Soal abah mengalihkan perhatiannya.
“Sebulan, bah. Yas harap abah tak pernah bosan bila Yas ada dekat sini.” Guraunya sambil tersengih.
“Ish, hahaha. Ada pula cakap macam itu. Abah tak pernah bosan dengan anak-anak abah. Yas nak tahu? Tak sampai sehari Yas berangkat ke sana hari tu, abah dengan umi dah mula rindu Yas tau.”
Senangnya hati Harraz mendengar pengakuan dari mulut tua itu. Bukan abah dan umi saja yang merinduinya, dia juga merindui mereka. Dia juga rindu pada si cengeng yang seorang itu, Che D-nya.
Tidak lama kemudian, datang umi dan Donna dari dapur sambil menatang sedulang air teh o suam dan kuih keria.
Dengan penuh berhati-hati, Donna menuang air ke dalam cawan. Kemudian, air itu diberi pada abah, Harraz dan umi.
“Macam mana dengan pelajaran Yas dekat sana? Boleh bawa semua subjek?” Soal abah sambil menghirup minumannya.
Dalam diam, Harraz sempat mencuri pandang ke arah Donna. Hujung bibirnya terjungkit senyuman. Namun, cepat saja dipadam. Risau nanti abah dan umi sedar akan tingkah laku nakalnya. Yalah, curi-curi pandang anak dara mereka pula.
“Pelajaran Yas semua okey, bah. Ada masa susah, ada masa senang nak faham. Kita ni bukan lahir-lahir terus bijak pandai, bah. Yas kena lebihkan usaha lagi nampaknya lepas ni. Kalau tak, Yas risau tak mampu score untuk semester 1 ni. Yas tak nak keputusan Yas merundum. Buat rugi biasiswa je.” Jelasnya.
Sebiji kuih keria dicapai dan disuap ke mulut. Kunyahan demi kunyahan. Kerangupan kulit luar bahagian keria dirasai dengan teliti. Setiap kemanisan yang ada pada kuih keria itu dinikmati dalam diam.
Abah dan umi pula mengangguk-angguk kecil. Bukan senang mahu menjadi orang yang berilmu. Lebih-lebih lagi menuntut ilmu dalam Bahasa asing.
“Jadi, banyaklah ya subjek yang Yas ambil dalam satu semester ni? Susah juga tu.” Tokok umi sambil berkerut.
Mendengar kata-kata membuatkan Harraz tersengih sendiri.
“Susah juga, umi. Mana ada yang senang dalam dunia ni. Dalam satu semester ni, yas ambil lima subjek. Risau Yas kalau ambil sampai 10 subjek, boleh pengsan yas bawah meja belajar. Hahaha.”
“Hahaha. Ish, janganlah sampai macam itu. Tak apa Yas. Perlahan-lahan. Kami dekat sini sentiasa doakan urusan pembelajaran Yas dekat sana dipermudahkan. Senang nak menimba ilmu.” Ujar abah.
Umi memandang Donna. Senyap saja anak daranya. Kenapa? Selalu jika ada Harraz, dialah yang paling becok riuh sekampung. Hari ini jadi orang bisu pula.
“Che D. Senyap aje kenapa? Tak nak berbual dengan Abang Yas?” Soal umi sambil mengusap belakang badan puterinya.
Donna memandang semua yang ada disitu. Kemudian, matanya bertembung pandang dengan Harraz. Tetapi, cepat saja dialih pandangannya.
“Tak ada apa nak cakap, umi. Jadi, Che D diam ajelah.” Jawabnya acuh tak acuh.
Berkerut dahi Harraz dengan jawapan yang diberikan. Merajuk ke dia dengannya? Tetapi sebab apa?
“Tak apa umi. Nanti kalau ada benda che d nak cakap pada yas, dia cakaplah tu.” Jawab Harraz berjauh hati.
“Em, yalah. Hari tu, kamu tak ada macam inilah perangai dia. Tiba-tiba senyap. Ada satu masa tu tiba-tiba dia menangis. Ya kan, bang?” Umi menyoal abah yang sedang menyuap keria.
“Emm, ha’ah Yas. Mula-mula abah ingat dia sakit ke apa. Anak kesayangan abah ni bukan Yas tak tahu. Selalu sangat sakit kepala. Tapi bila abah tanya jawapannya tidak. Hmm, rupa-rupanya dia rindu orang jauh. Hahaha.” Sakan abah ketawa. Umi juga turut tergelak.
“Pula tu, bila umi tanya dia tak mahu mengaku tau, Yas. Peliklah umi dengan perangai Che D ni sejak kamu tak ada dekat rumah. Haih, pening kepala umi.”
“Ish, apa umi dengan abah ni. Pandai-pandai aje buat cerita.” Donna terus mencapai keria. Punggungnya diangkat mahu segera beredar dari situ. Berbahang mukanya.
“Eh, nak ke mana pula tu?” Soal umi.
“Che D nak sambung buat homework. Lusa nak kena submit pada teacher. Nanti kalau tak siap, teacher nak jemur dekat padang sekolah. Habislah hitam muka Che D macam bontot kuali nanti. Dah tak cantik.” Donna melangkah ke dalam.
“Eleh, Che D ingat selama ni Che D cantik sangatlah ya?” Gurau umi dalam diam.
Laju saja Donna memaling ke arah umi.
“Ish, umi ni. Dahlah. Che D naik dulu.” Cemberut mukanya sambil mengunyah keria. Dia hilang dibalik pintu.
“Tak apa umi, abah. Nanti Yas pergi tengok dia.” Ujar Harraz.
Share this novel