Orang kampung sudah berpusu-pusu ke padang bola kerana disitulah ada wayang pacak untuk malam ini.
Malam minggu seperti ini memang ramai penduduk kampung meluangkan masa bersama keluarga. Mujurlah tidak hujan. Jika tidak sudah tentu Accra wayang pacak malam ini dibatalkan.
Ada beberapa kelompok kecil yang sudah mengambil tempat.
Bukan sahaja wayang pacak, tetapi ada juga jualan kecil-kecilan ditepi padang. Ada yang menjual sate ikan, ada gula-gula kapas, dan juga belon-belon yang pelbagai bentuk. Meriah suasananya.
"Jom, kita duduk sini." Ajak Harraz.
Sambil melabuhkan punggung ke tanah, Donna ralit melihat penjual makanan yang ada ditepi padang.
"Abang, Che D nak gula-gula kapas tu boleh tak?" Dia berharap agar Harraz menunaikan permintaannya.
Nampak menyelerakan pula gula-gula kapas bewarna putih dan biru itu.
Harraz berpaling melihat si penjual gula-gula kapas.
"Tak boleh." Tegas jawapannya.
"Ala, kenapa?" Dia cemberut.
"Gula-gula tu kan manis. Tak eloklah. Lagipun, ini kan dah malam. Nanti susah nak tidur sebab banyak sangat gula dalam badan."
Donna mencabut rumput-rumput kecil. Bukannya dia mahu makan banyak pun. Cukuplah jika tekaknya dapat melepaskan rasa keinginan itu.
Harraz menoleh ke arahnya. Mulalah timbul rasa kasihan pada gadis itu.
Tanpa memberitahu Donna, dia bingkas bangun sambil mengibas punggungnya. Dia menuju ke satu tempat.
Tidak lama kemudian, Harraz muncul semula dan melabuhkan punggung disebelah Donna. Dia menghulur sesuatu padanya.
"Nah." Hulurnya tanpa riak. Masih geram agaknya dengan permintaan kecil itu.
Donna berpaling. Gula-gula kapas!
Membulat matanya memandang huluran yang ada dipegangan Harraz. Silih-berganti dia memandang gula-gula kapas.
Dia menarik senyum lebar. Sepantas kilat dia menyambut huluran itu.
Dalam diam Harraz tersengih sendiri. Ralit dia memandang Donna yang sedang menyuap gula-gula kapas ke mulutnya.
"Abang Yas. Aaaaa!" Hulurnya.
Harraz terkebil-kebil memandang secubit gula-gula kapas ditangan Donna.
"Tak naklah. Che D makanlah." Dia menolak lembut tangan Donna.
"Aaaaa!" Sekali lagi mulutnya dinganga besar-besar memberi isyarat pada Harraz agar menerima suapan itu.
"Ish, dia ni." Suapan itu diterima juga. Memang dia akan kalah dengan Donna.
"Manisnya." Ujarnya sambil mengerut dahi.
Donna tersengih sambil menyambung suapan besarnya. Puas hati.
"Mestilah, nama pun gula. Dungulah abang ni kadang-kadang. Haha." Selamba saja dia melontar ayat itu.
Membuntang mata Harraz dengan ayat itu. Bukan main betul dia ya.
"Ewah-ewah! Sedapnya mulut dia dungukan abang. Abang tarik balik gula-gula tu baru tahu." Dia sudah mengacah untuk menarik gula-gula itu.
"Eh, janganlah. Che D gurau aje." Dia tersengih sambil menyambung suapannya.
Harraz menebar pandang ke sekeliling padang. Orang-orang kampung tidak begitu ramai. Maklum saja. Hari pun sudah malam. Mungkin ada yang lebih gemar merehatkan badan dirumah.
"Hai, boleh saya duduk dekat sini?" Tegur satu suara lelaki.
Mereka berdua mendongak serentak. Dua orang pemuda dalam lingkungan 20-an sedang berdiri disebelah Donna.
"Boleh, tapi awak kena duduk sebelah saya." Harraz terus memberi jawapan.
Gerak-geri mereka membuatkan dia tidak selesa. Sejak dari tadi pemuda berbaju Melayu kelabu itu tersenyum-senyum ke arah Donna.
"Terima kasih." Jawabnya atas pelawaan tersebut.
Mereka berdua mengambil tempat disebelah Harraz.
Sesekali, ada juga Donna mencuri-curi pandang mereka dengan pandangan tidak selesa.
"Abang Yas." Dia menyenggol Harraz sambil berbisik.
"Hah, kenapa Che D?" Soalnya.
"Kenapa bagi dia orang duduk sini?" Soalnya berbisik.
Harraz turut menoleh pemuda disebelahnya. Rancak berbual isi yang dia tidak mahu ambil peduli. Sekejap mereka ketawa. Sekejap mengangguk.
"Che D tak sukalah ada orang kacau kita."
Harraz senyum sendiri.
"Tak apalah. Lagi pun, dia orang kan duduk sebelah abang. Padang ini pun besar. Janganlah kedekut sangat. Tak manis perempuan ada perangai macam itu, tau."
Dia mencuit sedikit gula-gula kapas yang disua Donna. Cukuplah sekadar menjamah. Dia pun bukannya suka manis-manisan.
Sejak tadi ada yang memasang telinga dengan dialog mereka berdua. Teragak-agak mahu menegur.
"Saudara." Tegurnya sebagai pemula bicara.
Harraz menoleh ke kanan. Kedua-dua keningnya terangkat.
"Ya."
"Yang disebelah saudara tu, adik saudara ke?" Soal pemuda yang lebih kurang dengan umurnya.
Harraz faham dengan soalan itu. Dia memandang Donna yang sedang meratah gula-gula kapas.
Dia berpaling semula kepada pemuda itu.
"Bukan." Jawabnya serius.
Bukan dia tidak tahu tujuan pertanyaan itu diaju. Dari tadi dia perasan demgan tingkah lakunya yang mencuri-curi pandang Donna sambil tersengih-sengih.
Terus berubah air muka terkejut pemuda itu. Sayangnya jika dia terlepas gadis genit yang ayu itu.
"Boleh saya tahu siapa dia dengan saudara?" Masih lagi tidak mahu berhenti separuh jalan.
"Tunang saya." Dengan segaris senyuman.
Tunang?
"Oh, tunang."
Harraz kembali mendengar celoteh Donna. Entah apalah inti perbualannya, dia tidak fokus kerana keberadaan pemuda itu.
"Abang Yas, ish dengar tak Che D tanya ni?"
"Ya, Che D tanya apa tadi? Ralit sangat abang tengok Che D makan gula-gula." Dia ketawa kecil.
"Che D nak beli gula-gula kapas lagi, boleh?"
Berkerut dahi dengan permintaan itu lagi. Aduhai.
"Ish, tak boleh. Tadi kan baru makan. Lagi pun, tak eloklah makan manis-manisan banyak sangat. Lagi-lagi orang perempuan. Nanti kulit muka cepat tua." Hujahnya tidak mahu kalah.
Bukan dia suka-suka mengeluarkan fakta. Memang itulah yang dibacanya dibuku.
"Ya ke? Mana Abang Yas tahu? Ini mesti tipu, kan?"
"Eh, betullah. Abang baca apa yang tertulis dalam buku. Bukan saja-saja abang buat auta tau. Sudahlah. Lain kali aje ya kita beli."
Dia pandang Donna yang sedang menunduk. Merajuklah tu.
"Yalah, yalah."
Pemuda itu masih termangu-mangu. Betul ke gadis itu tunangan orang? Macam tak percaya. Jika ditelek gayanya seperti budak sekolah.
Jika betul, awalnya pertunangan mereka? Bukankah budah sekolah sepertinya harus memberi tumpuan pada pelajaran? Apakah orang tuanya yang memberi keizinan? Semakin pelik pula dunia ini.
"Pst, kau percaya ke budak perempuan tu tunangan orang?" Badrul menyenggol Rajesh yang sedang melahap sate ikan. Kebulur betul gayanya.
"Aiyo. Kalau itu dia cakap, kau percaya sajalah. Apalah kau ni. Eh, kan banyak lagi perempuan dekat kampung ni. Kenapa kau nak juga budak perempuan tu? Aku tengok dia bukannya lawa sangat pun. Biasa saja."
Kata-kata Rajesh membuatkan dia berpaling memandang Donna.
Sungguhlah si anak Tamil ini juling. Kecil molek nan ayu itu dikatakan biasa?
Ciptaan Allah itulah yang paling indah pernah dia pandang.
Hidungnya terletak elok, tidak mancung dan tidak juga pesek. Bentuk mukanya pula bujur sireh. Dikenakan pula dengan baju kurung bunga kecil-kecil. Manisnya dia.
Pap!
Rajesh menghadiahkan setepek penampar ringan didahinya.
"Mungkin pada pandangan aku dia biasa-biasa saja. Pada pandangan kau dia luar biasa. Itulah perbezaan pandangan kau dan aku. Kalau aku tengok dia cantik sama macam kau, bererti kita akan bergaduh sebab berebut seorang perempuan. Apalah, bodoh. Hahaha." Mengekek ketawa Rajesh.
Ya. Betul juga yang dikatakan si anak Tamil itu. Jika pandangan mereka sama, sudah tentu mereka akan berebutkan seorang perempuan. Bijak, bijak.
"Kalau betul dia dah bertunang, buat apa kau nak mengurat dia lagi? Kasi pilih perempuan lainlah, Bad. Jangan buang masa."
"Hah, kau pun akan pergi bekerja di Singapura, apa kata kau cari perempuan disana? Buat apa mahu cari perempuan di sini. Dapat orang jauh sikit." Tokok si Rajesh.
Badrul yang mendengar omelan dan cadangan itu hanya tersengih.
Entahlah. Susah nak kata sebab hati sudah terpikat. Macam mana ya?
Badrul memandang lagi ke arah 'budak sekolah' yang dikata Rajesh tadi.. Dia sedang gelak-tawa dengan lelaki itu yang dikatakan tunangannya.
Betul ke sudah bertunang? Susah mahu percaya.
Badrul oh Badrul. Bagai menanti bulan jatuh ke riba ya?
Share this novel