Heriqh baru sahaja ingin menuju ke arah pintu rumah namun langkahnya terhenti apabila ternampak seorang remaja perempuan duduk di atas sofa di ruang tamu. Heriqh berundur beberapa langkah ke belakang dan mengintai di sebalik dinding.
Dia melihat neneknya tengah berbual-bual dengan remaja perempuan itu tapi tidak jelas apa yang mereka bualkan. Tidak lama kemudian, neneknya berdiri dan berlalu pergi sementara remaja perempuan itu masih duduk di sofa.
"Nenek." Heriqh memanggil neneknya perlahan serentak dengan menahan neneknya dari meneruskan langkah. "Siapa perempuan tu?" Tanya Heriqh dalam nada berbisik.
"Nur Suraya. Mak cik Sal pergi bandar sebab nak jaga anak angkat dia dekat sana. Sementara tu, mak cik Sal minta nenek jaga Aya dekat sini sebab tulah nenek suruh Aya pindah sini." Jawab Halina.
"Oh." Heriqh menganggukkan kepala tanda faham. "Tapi..." Heriqh meneruskan bicaranya dan membuatkan langkah kaki Halina sekali lagi terhenti.
"Apa lagi Heriqh Sufian?" Soal Halina menanti soalan keluar dari mulut Heriqh.
"Berapa umur dia? Macam muda je lagi." Soal Heriqh lagi.
"Haah, muda dua tahun dari Riqh. Kenapa Riqh nak try Aya ke?" Usik Halina pada Heriqh.
"Tak lah! Heriqh tanya je." Jawab Heriqh menafikan usikan neneknya.
"Ada apa-apa soalan lagi ke nak tanya nenek? Kalau tak nenek nak masak ni."
"Tak." Jawab Heriqh.
Mendengarkan jawapan Heriqh, Halina terus melangkah pergi dari situ dan menapak ke dapur.
'Kalau dua tahun lagi muda dari aku maksudnya 15 tahun, tingkatan 3.' Getus Heriqh dalam hati.
"Riqh nak pergi sekolah kan? Hantar Aya sekali." Arah Halina pada Heriqh yang langkahnya terhenti sebaik sahaja Halina memanggil.
"Apa nama dia? Aya? Aya tu sekolah dekat mana? Riqh dah lambat ni. Tapi kalau satu sekolah tak apa." Balas Heriqh. Sesekali matanya melirik ke arah jam di tangan. Dia dah lambat!
"Satu sekolah." Jawab Halina.
"Panggil lah dia cepat!" Heriqh semakin tergesa-gesa apabila melihat masa untuk pergi ke sekolah tinggal 10 minit.
"Kejap, Aya! Aya!" Halina mula memanggil Suraya.
"Ya, nek!" Kedengaran suara lunak seorang perempuan menjawab dan tapak kaki orang berlari kedengaran.
"Aya ikut abang Heriqh tau." Pesan Halina pada Suraya selepas Suraya tiba di situ.
"Okey, nek. Aya pergi dulu." Tangan Suraya naik menyalami tangan Halina kemudian dia segera melangkah keluar mencari Heriqh yang telah menunggunya di basikal.
Heriqh menarik nafas panjang apabila melihat langkah Suraya sungguh lambat.
"Kita naik basikal ke?" Tanya Suraya pada Heriqh. Berkerut seribu dahi Suraya. Dia dah lah pakai baju kurung sekolah takkan nak naik basikal pula.
"Habis tu?" Heriqh mula hilang sabar. 'Dah lambat lepastu banyak tanya pula!' Bebel Heriqh dalam hati.
"Tapi..."
"Apa?" Heriqh memotong percakapan Suraya. "Kita dah lambat tau sekarang ni kalau nak jalan kaki. Naik basikal cepat sikit. Nak ke tak nak ikut?" Tajam anak mata Heriqh mencerlung Suraya yang berada di hadapannya tika ini.
Suraya menelan air liur. "Okey, okey." Suraya terpaksa bersetuju untuk pergi ke sekolah dengan berbasikal selepas melihat tajam pandangan mata Heriqh padanya. "Arr!" Baru sahaja Suraya duduk di atas tempat duduk di belakang, dia terkejut apabila Heriqh tiba-tiba mengayuh basikal dengan laju. Nasib, dia tak jatuh!
SURAYA tunduk menekur lantai. Tidak berani dia memandang Heriqh yang sedang berdiri di tepinya dengan perasaan yang sangat marah. Mereka didenda kerana terlambat datang ke sekolah dan itu semua salahnya. Kalau lah dia cepat sikit tadi dan tak banyak soal mesti semua ni takkan jadi. Kalau hanya dia tak apa juga tapi ini Heriqh sekali terlibat.
"Puas hati?" Heriqh menyoal dengan nada marah. "Kita dah kena denda. Lain kali boleh tak kalau dah tahu nak pergi sekolah cepat sikit lepastu tu tak payah banyak tanya!" Suara Heriqh naik seoktaf. Dia mengulangi apa yang difikirkan oleh Suraya sebentar tadi.
Suraya menelan air liur. Dia berasa takut apabila mendengar suara Heriqh semakin tinggi.
"Kenapa kau pindah rumah kami eh? Menyusahkan orang je tau! Entah-entah, mama kau dah serik nak layan perangai kau sebab tu lah dia jaga anak angkat dia dekat sana dan buang kau dekat kita orang!" Meluncur laju ayat-ayat itu keluar dari mulut Heriqh.
Suraya terdiam. Dia sudah menangis teresak-esak selepas mendengar apa yang dikatakan oleh Heriqh. 'Mama...' Dia semakin rindu mamanya dan menyesal kerana telah bersetuju untuk pindah ke rumah Halina buat sementara waktu.
"Tak payah nak nangis lah! Sebenarnya, aku tertanya kau ni siput ke? Atau baby yang baru lahir?" Heriqh bernada sarkastik. Ada lah tu yang nak disindirnya!
Suraya mendongakkan kepala memandang Heriqh dengan mata yang berkaca-kaca. Pelik dia apabila dengar soalan Heriqh yang tak masuk dek akal fikiran. 'Aku manusia bukan siput dan aku dah sekolah menengah bukan baby yang baru lahir.' Getus Suraya dalam hati. "Kenapa cakap Aya macam tu?" Soal Suraya polos.
"Sebab kau jalan terlampau slow macam siput dan macam baby yang baru nak belajar berjalan." Jawab Heriqh seraya tersenyum sinis dan berpeluk tubuh.
Suraya tersentak. Rupa-rupanya, Heriqh ingin mengutuknya. Suraya kembali menundukkan kepala bersama air mata yang kembali gugur.
'Cenggeng!' Kutuk Heriqh dalam hati selepas melihat Suraya sambung menangis.
"HERIQH! HERIQH SUFIAN!"
Heriqh segera berlari ke arah bilik neneknya selepas mendengar jeritan neneknya memanggil namanya. Bagai mahu gugur jantungnya! "Kenapa nek?" Soal Heriqh risau. Berkerut seribu dahinya apabila melihat tiada apa-apa yang terjadi pada neneknya.
"Baca ni!" Halina menyerahkan sepucuk surat pada Heriqh. Tidak keruan dia selepas membaca surat tersebut.
Heriqh menyambut huluran Halina. Dia mula membaca satu-persatu tulisan yang ditulis di atas surat tersebut.
-Assalamualaikum, nek. Mula-mula, sekali Aya nak minta maaf dekat nenek dan abang Heriqh kalau Aya ada buat salah selama Aya tinggal dekat rumah ni. Aya minta maaf sebab keluar senyap-senyap tanpa beritahu nenek. Nenek jangan risau Aya pergi sebab tak nak susahkan nenek kalau Aya tinggal dekat rumah ni. Bye, nek.-
Heriqh menelan air liur. Terasa pahit air liur itu mengalir turun di kerongkongnya. Walaupun Suraya tidak menulis hal yang terjadi di antara mereka tadi pagi tapi dia tahu Suraya keluar dari rumah kerananya!
"Macam mana ni Riqh? Nenek dah cari dekat rumah dia orang pun tak jumpa Aya. Patutlah, masa balik dari sekolah tadi Aya macam lain. Dah lah dia belum makan!" Halina terduduk di atas katil. Sakit kepalanya memikirkan ke mana Suraya pergi secara tiba-tiba dengan tidak membawa barang-barangnya? Dia dah janji pada Salimah untuk menjaga Suraya lagipun, dia dah anggap Suraya macam cucunya sendiri.
"Nek... sebenarnya... semua ni salah... Riqh." Tergagap-gagap Heriqh ingin mengaku.
"Maksud Riqh?" Halina bingkas berdiri dan matanya tajam mencerlung Heriqh. Dia dah agak pasti ada yang tak kena! Kalau tiada angin bertiup takkan pokok bergoyang?
"Kami..." Berdegup kencang jantung Heriqh saat ini. Dia takut untuk meneruskan kata apatah lagi memberitahu neneknya perkara sebenar.
"Kami?" Halina sabar menunggu jawapan dari Heriqh.
"Takde apalah nek! Riqh bergurau je!" Tiba-tiba, Heriqh menukar topik.
"Tak, tak. Nenek tak percaya! Riqh habiskan ayat. Nenek nak dengar." Tegas Halina.
Heriqh mengeluh. Walau macam mana pun dia tetap kena beritahu nenek perkara sebenar. "Kami kena denda tadi pagi sebab lambat sampai sekolah. Lepastu, Riqh termarah Aya. Tapi tak tau pula dia sampai keluar dari rumah." Jawab Heriqh namun masih sempat menyelitkan perkataan 'ter' untuk menutupi kesalahannya.
"Ter?! Riqh cakap apa dekat dia?" Turun naik nafas Halina menahan sabar. Dia kenal sangat perangai cucunya yang panas baran itu! Pasti ada ayat Heriqh yang kasar sehingga buatkan Suraya keluar dari rumahnya.
"Riqh cuma cakap..." Heriqh terhenti. Dia sedar dia tak patut cakap macam tu dekat Suraya tapi nak buat macam mana dia hanya manusia biasa yang tak dapat kawal marah.
"Riqh cakap apa?!" Naik dua oktaf suara Halina menyoal.
"Riqhcakapdiamenyusahkankitasebabdahpindahsini.Lepastu,Riqhcakapmama diadahtaksukadia.Riqhcakaplagiyangdiajalanmacamsiput." Jawab Heriqh laju akibat terkejut dengan nada suara Halina yang kuat.
"HAH?" Halina telah hilang sabar! Dia dah dengar dan tahu sebab Suraya tiba-tiba keluar dari rumahnya walaupun Heriqh cakap dengan laju. "Sekarang ni nenek tak kira Riqh kena cari Aya sampai jumpa! Kalau tak jumpa juga Riqh tidur dekat luar! Jangan balik selagi Riqh tak jumpa Aya!" Tegas suara Halina memberi amaran.
"Tapi dekat luar tu bahaya lah nek! Takkan nenek dah tak sayang Riqh? Nenek nak Riqh tidur dekat luar ke?" Heriqh seakan tidak percaya dengan apa dikatakan oleh neneknya.
"Tahu pun bahaya! Aya tu perempuan tau, lagi bahaya untuk dia. Riqh ingat kampung kita ni macam dulu? Kampung kita ni dah banyak berubah. Penculik pun dah banyak sekarang ni. Riqh tu dah besar, dah nak SPM dah pun. Tapi akal masih macam budak-budak! Kalau nenek cakap Riqh ni menyusahkan nenek dari kecil macam mana? Riqh terasa ke tidak? Entah-entah, Riqh sampai nak habiskan diri." Marah Halina lagi. Sesekali cucunya itu perlu diajar supaya lain kali jangan suka hati hendak mengeluarkan kata.
"Tapi nek..."
"Dah keluar!" Belum sempat Heriqh menghabiskan ayatnya, Halina terlebih dahulu menarik tangan Heriqh hingga keluar dari rumah dan lekas menutup pintu rumahnya. "Ingat, jangan balik selagi tak jumpa Aya!" Pesan Halina dari dalam rumah.
'Dekat mana aku nak cari Aya ni?' Heriqh semakin bingung. 'Salah kau Heriqh, kau kena cari dia sampai jumpa dan minta maaf dekat dia.' Bebel Heriqh pada diri sendiri dalam hati.
Enjoy Happy reading (:
Share this novel