Series
                        
285
                    Siren polis memecah keheningan malam di halaman 'mansion' Pit Viper. Lampu biru merah berkelip-kelip, memantul pada dinding marmar putih. Aku terpaku melihat deretan polis lengkap bersenjata keluar dari van dan kereta polis.
"Polis! Jangan bergerak!" Jerit seorang pegawai dengan suara lantang.
Nazmi yang masih diikat merenung mereka dengan mata yang tajam, senyummannya sinis.
"Hah... akhirnya? Kau panggil polis ke?" Tanyanya sambil menoleh ke arah kami.
Abang Aidil tampil ke depan. "Ya, aku yang panggil. Dah tiba masanya kau terima hukuman."
Nazmi ketawa panjang, suaranya seram.
Polis menyerbu masuk dan mengheret Nazmi keluar. Dia masih melawan dan ketawa seperti orang gila.
Aku menggenggam tangan Mak, menahan air mata. Abah berdiri tegak, wajahnya tegang tapi lega.
"Bawa dia pergi. Jangan biar dia terlepas. Pastikan dia kena hukuman yang setimpal." Arah Abah kepada pegawai polis.
Malam itu... Tamat sudah mimpi gelap yang menghantui aku, Mak dan Kak Amaraa.
--
Beberapa bulan kemudian
Hari-hariku kembali normal. Pagi itu aku sibuk di Qahwa Cafe, tempat aku bekerja sambilan. Aroma kopi segar memenuhi ruang, bercampur dengan bau roti bakar dan kek yang baru keluar dari oven.
"Adreena, boleh tolong hantar latte ni ke meja hujung sana?" Arah Aiman dari belakang kaunter.
"Baik," jawabku.
Aku mengangkat dulang berisi latte dan menghantar pesanan itu ke meja pelanggan, lalu kembali ke kaunter.
"Aiman, aku nak tanya... macam mana kau boleh sabar layan macam-macam karenah cutomer setiap hari? Aku kalau jadi kau, dah lama pecah kepala."
Dia tersenyum wajahnya tenang.
"Sebab aku minat dengan kerja ni. Jadi aku sanggup buat apa je dan sentiasa sabar. Aku suka tengok orang minum kopi hasil tangan aku."
Aku terdiam seketika. Kata-katanya buat aku rasa kagum.
Jam di dinding menunjukkan pukul 3 petang. Aku melepaskan apron dan lipat kemas sebelum letak di laci.
"Aku balik dulu, Aiman. Jumpa esok!"
"Okay, hati-hati. Baca bismillah sebelum naik motor tu." Katanya sambil melambai ke arah aku.
--
Sebaik tiba di rumah, aku terkejut melihat Mak berlari ke arah aku, wajahnya penuh semangat.
"Adreena! Cepat naik, check laptop kamu. Ada benda penting!"
Aku panjat tangga dengan lajunya. "Mak, are you okay? Asal gembira semacam ni?"
Kami duduk berdua di hadapan laptop. Mak suruh aku buka laman web kemasukan pelajar universiti.
"Cuba login. Cepat check."
Tanganku menggigil saat menaip nombor kad pengenalan. Jantungku berdegup laju, macam nak pecah. Bila skrin loading... Aku pejam mata rapat.
"Ya Allah..."
"Adreena, tengok tu!" Mak menggoncang lenganku.
Aku buka mata dan menjerit gembira. "Mak! Adreena dapat! Adreena dapat masuk UiTM Shah Alam!"
Air mata mengalir laju. Aku terus peluk Mak erat-erat.
"Terima kasih Mak! Kalau bukan disebabkan doa Mak, Adreena takkan dapat berita yang macam ni!"
"Mak tersenyum sambil usap kepalaku.
"Mak tahu kamu boleh, Adreena. Mak sentiasa bangga dengan kamu."
Aku masih menangis teresak-esak. Cepat-cepat aku capai telefon dan dail nombor Mu'az.
"Mu'az! Aku dapat masuk UiTM Shah Alam!" Aku menjerit di talian.
Suara Mu'az kedengaran teruja. "Serius?! Alhamdulillah! Aku bangga gila dengan kau!"
Tak lama lepas tu, aku telefon Aiman pula. "Aiman! Aku dapat masuk UiTM Shah Alam! Kau dengar tak?"
Suara Aiman kedengaran riang. "Alhamdulillah! Tahniah, Adreena! Kau memang hebat. Nanti kalau dah masuk UiTM, jangan lupa kafe ni pulak."
Aku tergelak kecil. "Mana boleh. Qahwa Cafe tu dah macam rumah kedua aku."
--
Kami sekeluarga duduk semeja makan malam. Ayam masak merah, sayur campur dan sup panas - semuanya terhidang. Bau masakan Mak terasa lebih enak malam ni. Kak Amaraa pula membawa agar-agar buah.
Aku memandang Kak Amaraa dan Abah. "Abah, Kak Amaraa... Adreena ada benda nak bagitau."
Semua mata tertumpu padaku.
"Adreena... dapat masuk UiTM Shah Alam."
Suasana sunyi seketika, sebelum Kak Amaraa menjerit teruja. "Ya Allah, betul ke? Tahniah Adreena!"
Dia bangun memelukku erat.
Abah mengangguk perlahan, senyuman bangga di wajahnya. "Abah tahu, anak Abah akan diterima."
Air mata aku jatuh lagi. Malam itu, kami makan bersama dengan penuh kegembiraan, gelak ketawa memenuhi ruang makan. Untuk seketika, semua luka lama, semua kenangan pahit... seolah-olah hilang ditelan bahagia.
Aku tahu, ini permulaan hidup baru untuk aku.
Share this novel