Esok paginya, bunyi sudu berlaga dalam cawan buatkan aku terjaga. Bau kopi panas dah semerbak dari dapur. Aku bangun perlahan, rambut masih kusut dan mata masih berat. Aku melangkah masuk ke bilik air untuk mandi dan ambil wudhu untuk solat subuh.
Setelah selesai solat, aku intai dari tepi langsir bilik. Kak Amaraa tengah lipat baju masuk dalam bagasi, dah siap cantik-cantik pakai baju kurung warna biru laut. Dia senyum sendiri sambil susun barang dalam bagasinya.
"Awal kak bangun..."
tegurku perlahan sambil bersandar di pintu bilik.
Dia berpaling, senyum.
"Nak balik universiti, mestilah kena awal. Kelas nanti tengah hari."
Aku angguk, duduk di birai katil. Satu rasa kosong mula muncul. Rasa macam baru semalam dia datang, kenapa cepat sangat nak balik?
Mak hulurkan bekal makanan yang Mak buat.
"Ni, bawa lauk sambal sotong ni. Kawan-kawan kamu mesti suka."
Kak Amaraa gelak kecil.
"Kalau mereka nampak lauk ni, mesti berebut. Terima kasih, mak."
Tak lama lepas tu, bunyi enjin kereta Abah kedengaran. Kak Amaraa salam, peluk dan cium pipi mak.
"Jaga diri, kak..." bisikku.
Dia angguk, mata dia seperti mahu memberitahu 'kau pun sama, Adreena' tapi dia hanya senyum.
Aku tengok kereta tu berlalu pergi dari depan rumah. Kak Amaraa lambai dari tingkap dan aku balas lambaiannya. Dan tiba-tiba rumah jadi sunyi balik. Kosong.
Aku tarik nafas dalam.
"Okey, shift pagi hari ni. Jom kerja."
Aku bersiap cepat - pakai blaus coklat, kain hijau taik kerbau, tudung dan purdah warna hijau cair serta kasut. Selepas itu, aku turun ke dapur, teguk secawan kopi yang mak buat. Letak dalam sinki, capai helmet dan kunci motor.
"Mak, saya gerak dulu." kata aku sambil salam, cium dan peluk mak.
"Bawa elok-elok! Jangan laju-laju macam semalam!" pesan mak.
Aku tergelak.
"Baik, bos."
Aku hidupkan enjin motor dan mula bergerak. Angin pagi sejuk menyapa wajah. Langit cerah, burung-burung bersiul.
Dan dalam hati, aku baca ayat kursi dan berdoa.
Bismillahi tawakkaltu 'alallahi laa haula wa laa quwwata illaa billah
La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minadzolimin
Aku senyum nipis. Pecut perlahan ke Qahwa Café, bersedia untuk menjalani hari seperti biasa...
mungkin tak se-biasa yang aku sangkakan.
--
Qahwa Café pagi ni sunyi sekejap, tapi tenang. Bau kopi baru lepas dibancuh mengisi udara. Aku masuk sambil bagi salam, terus jalan ke kaunter dan sarung apron.
"Awal, Adreena," tegur Kak Nia, pekerja Qahwa Café juga tapi dicutikan selama tiga bulan yang lalu kerana baru lepas bersalin.
Aku senyum. "Eh, Kak Nia! Rindunyaaa Kak Nia! Akak sihat?"
Kak Nia angguk, "Sihat, Alhamdulillah. Akak pun rindu nak bekerja kat kafe ni."
Belum sempat aku sambung borak, pintu berdenting. Beberapa pelanggan masuk. Ada seorang pelanggan lelaki masuk, berkemeja hitam, gaya korporat. Rambut disikat rapi. Dia terus duduk di meja dekat tingkap dan kemudiannya beratur di belakang dua pelanggan perempuan.
Aku ambil pesanan dua perempuan muda yang memesan dua caramel macchiato dan dua cheese croissant. Kemudian, giliran lelaki itu pula untuk memesan sesuatu.
"Selamat pagi, nak pesan apa ya?" tanyaku.
Mata dia redup, tapi tajam. "Flat white. Kurang manis dan blueberry bagel."
"Baik. Flat white kurang manis dan blueberry bagel. Sekejap ya." Aku senyum sopan.
Aku ke belakang, siapkan minuman dan bagel, letak atas dulang. Masa nak hantar ke meja lelaki tu, Aiman tiba-tiba muncul dari stor.
"Adreena. Kau okay tak semalam?" tanya Aiman sambil membasuh tangan di sinki.
Aku angkat kening. "Kenapa tanya?"
"Mak aku cakap nampak kau macam kelam-kabut masuk rumah. Dia lalu depan rumah masa tu," kata Aiman dengan nada selamba.
Aku telan air liur.
"Aku ingat ada orang ikut aku."
Dia ketawa kecil sambil geleng kepala. "Cepat gelabah kau ni."
Aku jeling dia. "Memang betul ada orang ikut aku...tapi rupanya abah."
Aiman gelak lagi. "Astagfirullah, kuat sangat overthinking."
"Aiman, tolong refill susu kat dapur!" jerit Kak Nia dari kaunter.
Aiman sengih. "Dah lah, pergi sambung kerja kau."
Aku geleng dan sambung bawa pesanan ke meja lelaki tadi.
"Ni pesanan encik. Flat white kurang manis dan blueberry bagel."
Dia angguk perlahan tapi masa aku nak pusing, dia bersuara.
"Nama awak Adreena Nadeera, kan?"
Langkah aku terhenti sekejap. Perlahan aku toleh semula.
"Ya... Saya Adreena Nadeera."
Dia senyum nipis. "Nama yang indah."
Aku senyum sopan, tapi jantung aku... berdebar sikit. Macam mana dia tahu nama aku?
Aku jalan semula ke kaunter, tapi kepala mula dipenuhi tanda tanya. Siapa dia? Pelanggan biasa? Atau...?
Share this novel