Aku baru je nak lintas jalan keluar dari Qahwa Café bila telefon dalam poket seluar bergetar. Skrin menyala terang - Kak Amaraa. Dahi aku berkerut sedikit. Jarang sangat Kak Amaraa 'call' waktu-waktu macam ni. Aku cepat-cepat jawab.
"Assalamualaikum Kak."
"Waalaikumussalam... Adreena kau kat mana sekarang?" Suara Kak Amaraa kedengaran sedikit cemas.
"Baru nak balik dari kafe. Kenapa?"
Dia senyap sekejap. Aku boleh dengar hembusan nafasnya yang berat.
"Aku rasa kau kena datang rumah aku sekarang. Ada benda...penting. Benda yang kau kena tengok sendiri."
"Benda apa?"
"Aku tak boleh cakap kat sini. Kau datang je,boleh?"
Nada suaranya serius. Tak main-main. Aku terus rasa tak sedap hati.
"Okay... aku datang sekarang," kataku sebelum panggilan dimatikan. Tanpa fikir panjang, aku tukar arah. Tak jadi balik. Hati mula diasak pelbagai rasa.
Benda apa yang penting sangat sampai Kak Amaraa sendiri telefon? Tak mungkin kotak tu...? Entah-entah Kak Amaraa dah tengok apa yang ada dalam pemacu kilat tu?
--
Setelah sampai di hadapan rumah Kak Amaraa, aku matikan enjin. Jantung aku masih berdegup kencang sejak dalam perjalanan tadi. Lampu ruang tamu terpasang dan bayang Kak Amaraa kelihatan berdiri di hadapan pintu.
Aku masuk dengan tergesa-gesa. "Kak, apa yang-"
"Masuk dulu," potong Kak Amaraa. Pintu terus ditutup rapat di belakangku. Wajahnya tegang. Dia memimpin aku ke ruang tamu.
"Duduk sini," arah Kak Amaraa. Dia menuju ke meja kecil, capai komputer ribanya dan cari sesuatu dalam fail video. Aku duduk, kepala ligat meneka.
Kak Amaraa duduk di sebelah aku dan serahkan komputer ribanya kepadaku.
"Kau kena tengok video ni. Sekarang."
Tangan aku sedikit menggigil saat Kak Amaraa menekan 'play' pada komputer ribanya.
"Rakaman ni dari pendrive yang ada dalam kotak tu. Ini salah satunya lah yang ada dalam pendrive tu. Aku check pendrive tu semalam..." katanya perlahan.
Paparan menunjukkan ruang tamu rumah Pak Ngah yang kemas dan sederhana dengan kualiti yang jelas. Kamera dari pelbagai sudut. Pintu rumah terbuka dan seorang lelaki masuk. Aku kenal wajah itu. Aku takkan lupa walau macam mana sekalipun. Ayah kandung kami.
Dia masuk dengan senyuman palsu yang aku benci.
Rakaman jelas menunjukkan mereka bersalaman. Suara tak kedengaran tapi dari gerak bibir, dia cakap "Lama tak jumpa sejak aku bercerai dengan adik kau," mungkin itu yang dia katakan.
Aku perasan gaya Pak Ngah agak tenang dan gembira. Beberapa minit kemudian, Pak Ngah bangun untuk ke dapur. Ketika itulah ayah kandung kami mengeluarkan sesuatu dari poket jaket dia. Sebotol kecil cecair bening.
Aku tutup mulut sendiri. Mata terbeliak. Dia tuang cecair itu ke dalam gelas yang Pak Ngah tinggalkan di atas meja. Beberapa saat kemudian, Pak Ngah kembali, duduk dan terus menyambung perbualan. Mereka kelihatan mesra seperti tiada apa yang berlaku. Pak Ngah kemudian capai gelas tersebut... dan minum. Sampai habis.
Tak lama selepas itu, Pak Ngah kelihatan tidak selesa. Dia mula mengurut dada. Nafasnya jelas berat.
Mulutnya bergerak - aku dapat baca : "Kau ada letak apa-apa ke dalam air aku ni?"
Ayah kandungku menafikan. Muka penuh kepura-puraan. Tapi saat Pak Ngah mula berbuih di mulut dan rebah perlahan di atas sofa, wajah lelaki itu berubah. Senyuman jahat mula terpampang di wajahnya. Kemudian dia ketawa. Ketawa yang buat darah aku mendidih. Mulutnya bergerak lagi dan apa yang aku dapat baca ialah:
"HAHAHAHAHAHAHA. Adik dengan abang... sama-sama bodoh." Ketawa itu makin menjadi-jadi.
"Sorang dah mati. Lepas ni siapa pulak ye?"
"Korang tunggu... sorang-sorang aku akan habiskan. Takde siapa boleh lari daripada aku."
Ayah kandung kami melangkah ke arah mayat Pak Ngah yang tidak bergerak, lalu merendahkan diri.
"Hey abang iparku... bangunlah. Takkan sikit ni je kau dah tumbang? Kau nak aku tolong angkat kan kau? Boleh je..."
Dia angkat tubuh Pak Ngah dan jatuhkan ke lantai macam sampah.
"Ishhh... jijik aku."
Dia kemudian tendang dan pijak badan Pak Ngah berkali-kali. Tiada belas kasihan. Tiada rasa bersalah. Seperti tiada hati.
Aku dah tak tahan. Aku terus tekan 'F1' di komputer riba itu. Skrin jadi gelap. Aku hela nafas berat. Dada aku sesak. Air mata aku jatuh tanpa suara.
"Dia... dia... memang pembunuh kejam," aku bisik perlahan.
Kak Amaraa hanya memeluk bahu aku. Tak berkata apa-apa.
Share this novel