BAB 3

Action Series 285

Pukul 8 lebih, aku hidupkan enjin motor EX5 kesayangan. Helmet 'Hello Kitty' yang dibeli oleh abah, aku pakai. Walaupun aku benci warna merah jambu tapi aku tetap pakai sebab ini hadiah hari jadi aku tahun lepas. Setelah sampai ke Qahwa Café, aku pun parkir di sebelah motor Aiman. Aku pun terus masuk ke belakang kaunter. Aku capai apron hitam dan mulakan kerja seperti biasa.

---

Aku baru sahaja letak secawan cappuccino di meja pelanggan bila seorang wanita lewat 30-an pandang aku dari atas sampai bawah.

“Eh, awak kerja sini ya? Pakai macam ni masa kerja… tak panas ke?” Dia senyum kelat. Bagi aku, soalan itu normal. Sudah berkali-kali aku dengar.

Aku tarik nafas perlahan, senyum balik dengan tenang.
“Kadang-kadang panas juga, akak. Tapi kalau kita suka sesuatu, kita sanggup tahan. Macam akak pakai high heels kan? Mesti sakit, tapi tetap pakai sebab akak suka.”

Wanita tu terdiam sekejap, mungkin tak sangka aku jawab begitu.

Dia ketawa kecil, cuba 'cover'. “Eh, betul jugak…”

Aku sambung lembut, nada aku santai.
“Macam tu lah saya dengan pakaian saya. Saya suka cara ni, saya rasa selesa. Panas tu sekejap, tapi hati saya tenang.”

Wanita tu angguk perlahan. “Hmm… saya faham. Mungkin sebab saya tak pernah rasa, tu yang saya pelik.”

Aku balas dengan senyuman kecil. “Tak apa kak, pelik tu biasa. Nanti kalau akak datang selalu, dah tak pelik dah tengok saya macam ni.”

Dia tergelak kecil, suasana jadi ringan. Aku pun teruskan kerja, hati lega sebab dapat jawab tanpa marah.

Dari jauh, aku perasan Aiman yang tengah bancuh kopi sengih kecil sambil geleng kepala. Bila aku lalu dekat kaunter, dia sempat bersuara perlahan.
“Pelanggan tu selalu tanya soalan pelik-pelik. Mujur kau ni penyabar.”

Aku tersenyum sambil kemas dulang. “Dah biasa dah. Kalau semua benda nak simpan dalam hati, memang susahlah .”

Aiman ketawa kecil. Dia letak sudu panjang ke dalam balang sambil jeling aku sekejap.
“Betul. Aku sendiri pun kadang-kadang pening layan kerenah orang. Tapi tengok kau jawab tadi, tenang je.”

Aku senyum kecil. “Tenang luar je.”

Aiman tergelak. “Itu normal.”

Kami sama-sama ketawa kecil, tapi kemudian cepat-cepat aku sambung lap meja. Aku tak nak perbualan tu jadi terlalu lama.

Sebelum aku berlalu, Aiman sempat tambah dengan nada ringan.
“Eh, lepas ni shift kau habis pukul tiga kan? Nanti jangan lupa punch card. Aku tak nak kau lupa macam minggu lepas.”

Aku terus tersenyum malu, teringat betapa cuainya aku hari tu. “Iya bos. Janji tak ulang.”

Dia cuba untuk acah 'nonchalant' tapi senyum kecil tetap terlepas di hujung bibirnya.

---

Petang itu, matahari dah mula condong ke barat bila aku pulang dari Qahwa Café. Suasana taman perumahan kami tenang, cuma bunyi daun bergesel dengan angin dan suara burung petang yang sesekali bersahut. Aku lepaskan nafas panjang bila sampai depan pagar rumah.

Rumah dua tingkat kami tak mewah sangat, tapi ada tanah lapang kat sebelah yang mak jadikan mini dusun dan kebun. Pokok limau purut, serai, pandan, lidah buaya, dan macam-macam jenis tanaman tumbuh subur. Dekat bahagian depan, mak tengah bercucuk tanam - duduk mencangkung dengan topi jerami lebar menutupi muka.

"Assalamualaikum, mak!" aku jerit sambil buka pagar.

Mak toleh, senyum sambil angkat tangan yang berlumur tanah.
"Waalaikumussalam, anak dara mak dah balik. Penat kerja?"

Aku jalan ke arah dia, letak beg dekat bangku batu di sisi pokok bunga raya.
"Penat tu biasa... tapi tengok mak macam ni, hilang sikit rasa letih."

Mak ketawa kecil. Dia letak cangkul kecil ke tepi, lalu duduk di pangkin batu. Aku ikut duduk sebelah, tengok hasil tanamannya yang dah mula berbuah. Ada pokok cili yang merah menyala, dan pokok tomato yang dah naik galah.

"Mak buat semua ni sorang-sorang ke?" aku tanya sambil lap peluh mak.

"Abah kau tolong sikit-sikit tadi. Tapi dia masuk berehat sebab panas. Mak tanam-tanam ni buat hati tenang. Lagi-lagi lepas banyak fikir."

Aku diam. Hati aku tiba-tiba jadi sayu. Walau mak dah bahagia sekarang, luka lama tu tak pernah betul-betul hilang. Tapi tengok dia sekarang, dengan baju lengan panjang lusuh dan senyuman ikhlas, aku tahu... mak dah jauh lebih kuat dari dulu.

"Mak..."aku pegang tangan dia yang kasar tapi hangat.
"Mak tahu tak... Adreena bangga jadi anak mak."

Mak pandang aku, mata dia berkaca tapi masih senyum.

"Mak pun bangga ada anak macam kamu, Adreena. Kuat, bijak, dan selalu rendah diri."

Langit petang mula bertukar jingga. Angin bawa bau tanah yang lembap, dan dalam diam, aku rasa... damai. Macam semua yang retak dulu, perlahan-lahan sedang sembuh.

---

Makan malam pun tiba. Hari ni Kak Amaraa makan malam dengan kami. Jarang sangat dapat makan macam ni sejak Kak Amaraa duduk asing.

"Akak, CBR150R tu tak pakai lagi ke?" aku tanya sambil cedok sayur.

"Tak. Nak jual pun malas. Kau nak?" tanya Kak Amaraa sambil kunyah ayam.

"Eh, jangan galakkan adik kamu tu. merempit," tegur mak.

"Ni bukan rempit yang mak selalu tengok tu, ni rempit versi halal." Sambung kak Amaraa.

"Sayang... dia bukan budak kecik lagi. Dia Adreena Nadeera, dia pandai jaga diri," balas abah perlahan.

---

Lepas makan, kak Amaraa ajak aku keluar.
"Kita naik motor. Aku nak tunjuk tempat best," katanya sambil hulur kunci. Aku sambut kunci tu dengan terpinga-pinga.

"Ni kunci CBR?"

"Yelah, kau yang minta tadi kan," katanya dengan senyuman sinis.

CBR150R - bukan motor biasa-biasa. Warna hitam matte dengan calitan merah darah, memang ngam dengan 'taste' aku.
Kami keluar dari garaj. Kak Amaraa naik Yamaha R6 - motor idaman para 'rider', bunyi dia bila hidupkan enjin boleh buat jantung bergetar.

Aku hidupkan enjin CBR150R. Suaranya kasar, penuh dengan tenaga. Aku rasa lain macam.

"Let's go Deera. Ikut aku. Aku nak bawa kau tempat yang tenang, tempat yang boleh buat kau lupakan hal dunia."

Aku angguk. Helmet dipakai, sarung tangan dipasang.

"Mak, kami gerak dulu."
"Ye, hati-hati. Jangan sampai lewat malam. Ingat rumah."
"Bye abah, bye mak"
"Bye anak-anak abah. Bawak motor tu elok-elok ye."
Kemudian kami pun bergerak.

---

Aku yang ada di belakang kak Amaraa, mendengar bunyi motornya semakin mengaum garang.
"Jom, Deera. Rasakan angin malam dan kebebasan," kak Amaraa menjerit dari depan. Aku hanya senyum, ikut setiap derap langkahnya. Kami terus meluncur atas jalan yang semakin lengang, ditemani cahaya jalan yang malap.

Lepas beberapa kilometer, kak Amaraa tiba-tiba memperlahankan motornya dan membelok ke satu lorong kecil yang dikelilingi pokok-pokok tinggi.
"Sini," katanya ringkas dan aku ikut di belakang.

Kami sampai di satu kawasan lapang atas bukit kecil. Tiada bunyi kereta, tiada hiruk-pikuk manusia. Hanya deruan angin malam dan bunyi cengkerik sahaja. Di hadapan kami - langit malam terbentang luas, bertaburan bintang. Bulan mengambang penuh, bersinar terang. Awan nipis mengalir perlahan seperti lukisan hidup.

Aku buka helmet, biar angin malam menyentuh wajah. Nafas aku terhenti sekejap apabila lihat pemandangan yang indah ini.
"Subhanallah..." aku bisik. "Cantiknya..."

Kak Amaraa duduk di atas batu besar, aku juga ikut duduk di sebelahnya. "Tempat ni.. Aku selalu datang bila hati aku rasa kacau-bilau," katanya sambil merenung langit.
"Langit malam.. Tak pernah gagal menenangkan aku."

"Ingat lagi tak dulu.. Masa kita kecik, mak selalu baring dengan kita kat luar rumah lama, tunjuk bintang satu-satu?"

Aku senyum kecil.
"Ingat.. Mak kata bintang-bintang tu ibarat harapan. Walaupun gelap, dia tetap bersinar." Kami terdiam seketika. Angin malam bertiup perlahan.

"Tapi tak semua kenangan lama kita indah, kan.." suara kak Amaraa mula menurun. Aku tahu topik tu berat.

"Ayah..." dia sambung, perlahan.
"Dia bukan ayah yang kita impikan."

Aku tunduk. Dada aku rasa sesak.

"Bila dia balik, rumah jadi macam medan perang. Pantang silap sikit..tangan dia naik. Mulut dia, tak pernah berhenti maki. Dan mak... mak selalu jadi mangsa." Sambung kak Amaraa.

"Sebab dia tak reti kawal amarah dia... Bila syaitan dah berbisik, begitulah jadinya.. Iman tak kuat." Aku sambung, suara mula bergetar.
"Dulu aku fikir, kenapa mak tak lari je. Tapi sekarang aku faham... sebab dia sayang kita. Dia tahan semua tu sebab dia tak nak kita kehilangan keluarga. Tapi mak tak tahu yang sebenarnya kita lagi suka daripada tengok dia kena macam tu."

Kak Amaraa angguk.
"Mak tu kuat. Tapi dia pun manusia jugak. Ada masa aku nampak mata dia baru lepas nangis, tapi dia senyum depan kita."

"Sebab tu aku takkan sia-siakan hidup aku,kak. Aku nak berjaya. Aku nak bahagiakan mak. Aku nak dia tahu.. semua kesakitan dia yang dulu bukanlah sia-sia."

Kak Amaraa pegang bahu aku.
"Dan aku ada dengan kau, Deera. Sampai bila-bila. Kita dah lalui neraka sama-sama.. Sekarang, kita cari syurga sama-sama juga." Langit malam terus bersinar. Cahaya bulan menyimbah lembut ke wajah kami berdua.

Kak Amaraa tunduk seketika.

"Tapi Allah tu Maha Adil, Deera.." dia bersuara perlahan.
"Lepas semua yang mak lalui, Allah SWT gantikan dengan seseorang yang betul-betul jaga dia dengan penuh kasih sayang."

Aku senyum perlahan. Hati aku jadi sejuk bila sebut tentang Abah.

"Abah.." aku sambung.
"Tak pernah tinggi suara pun. Kalau mak merajuk, dia pujuk dengan sabar. Dia tolong mak buat kerja rumah sebab tak nak mak penat. Kalau mak sedih, dia setia mendengar dan berikan pelukan yang hangat. Zaman sekarang susah nak jumpa lelaki macam tu.."

"Kadang aku tengok cara dia pandang mak.." Kak Amaraa menyambung.
"Macam mak tu dunia dia. Macam tak ada yang lebih penting dalam hidup dia selain mak."

Aku angguk, mata mula berkaca jika bercakap tentang Kisah cinta Mak dan Abah.
"Aku selalu doa, biarlah Allah SWT panjangkan umur Abah. Bagi dia sihat sentiasa. Sebab.. Sejak dia masuk dalam hidup kita, baru mak boleh tidur lena. Baru kita semua rasa macam.. Ada rumah yang betul-betul rumah."

"Dulu aku benci lelaki," kak Amaraa jujur.
"Tapi abah ubah pandangan aku. Dia buktikan yang tak semua lelaki kejam. Ada yang datang untuk menjaga dan melindungi, bukan merosakkan dan melukakan."

Aku genggam tangan kak Amaraa. Kami senyum, dalam diam bersyukur. Dalam ribut masa silam yang menghancurkan, Allah SWT kirimkan insan yang baik bernama Abah.
"Mungkin kita tak lahir dalam keluarga yang sempurna, tapi Allah SWT bagi kita peluang bina keluarga yang lebih kuat."

---

Langit malam terus bersinar. Dan dalam keheningan itu, ada dua anak perempuan yang pernah melihat mak mereka menangis dalam diam kini tersenyum kerana mereka tahu, mak mereka akhirnya bahagia dalam pelukan lelaki yang tahu erti kasih sayang.

Kita mungkin tak datang dari kisah yang sempurna... Tapi kita akan cipta pengakhiran yang luar biasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience