Keesokan paginya
Aku baring di katil sambil memegang telefon. Kaki kanan aku masih berbalut ais yang dibalut dengan tuala kecil. Masih terasa berdenyut-denyut. Aku tekan aplikasi 'WhatsApp' dan hantar mesej pada Aiman.
"Assalamualaikum Aiman. Hari ni aku tak dapat masuk kerja sebab kaki terseliuh sikit semalam."
Tak sampai seminit, Aiman balas.
"Waalaikumsalam. Ya Allah, Adreena.. Rehat cukup-cukup. Semoga kau cepat sembuh. Jaga diri."
Aku senyum kecil. Aku letak telefon atas meja sisi katil dan duduk perlahan. Tak boleh lama-lama baring. Kepala aku ligat berfikir. Tentang kejadian semalam. Tentang kotak hitam tu. Tentang semua benda pelik yang berlaku akhir-akhir ni.
Aku pandang meja belajar aku, tempat aku letakkan kotak hitam itu. Sebelum Kak Amaraa berangkat pergi ke universiti semalam, dia berikan aku kotak itu.
"Aku tak boleh jaga buat masa ni. Kau simpan dulu, Adreena. Aku takut kalau simpan kat rumah aku nanti hilang."
Aku angguk saja. Lagipun, aku masih belum puas meneliti isi kandungan kotak hitam itu. Aku capai laptop dari atas meja. Aku cucuk pemacu kilat dari kotak hitam tu dan buka satu persatu fail. Tiba-tiba, pintu bilik di buka oleh Mak.
"Adreena, keluar kejap. Motor kamu sampai."
Aku bingkas bangun - walau terhincut - dan buka pintu. Di luar, kelihatan seorang lelaki berjaket hitam berdiri di sebelah motor EX5 kesayangan aku. Masih dalam keadaan sedikit calar tapi nampak dah dibersihkan dan dibaiki.
"Cik Adreena?" tegur lelaki itu sopan sambil hulur kunci.
"Ya, saya."
"Saya hantar motor ni atas arahan Encik Zaidan."
Aku angguk perlahan. "Terima kasih..."
Namun, aku perasan Abah berdiri tidak jauh di samping lelaki itu, dengan wajah yang penuh tanda tanya.
"Abah?" aku tegur, sedikit pelik.
Abah pandang lelaki itu atas bawah. "Macam pernah nampak awak ni... tapi kat mana ye..." gumam Abah lebih kepada bercakap dengan diri sendiri, mata masih tak lepas dari penjaga peribadi Mu'az itu.
Lelaki itu hanya tunduk sopan. "Mungkin saya terserempak dengan tuan sebelum ni."
Abah masih termenung.
"Muka kamu... macam orang yang saya pernah nampak masa..."
Tapi sebelum Abah sempat sambung, lelaki itu terus senyum kecil dan memberi salam.
"Saya minta diri dulu. Terima kasih."
Dia terus berlalu pergi, menaiki kereta hitam yang aku tahu - milik Mu'az.
Aku dan Abah saling berpandangan.
"Abah... pernah nampak dia ke?" soalku.
Abah diam lama sebelum balas perlahan, "Mungkin... Tapi Abah tak pasti kat mana. Cuma... rasa tak sedap hati lah."
Aku telan air liur perlahan.
Share this novel