Langit dah mula jingga waktu aku keluar dari rumah Kak Amaraa. Angin petang bertiup sepoi, tapi rasa dalam hati aku tak tenang. Penat pun ada, sebab otak aku asyik fikir tentang rakaman suara tadi. Aku tunggang motor perlahan, mata aku dah mula berat.
Tiba-tiba...
Dari cermin sisi, aku nampak bayang motor lain yang jauh sikit di belakang. Mula-mula aku buat tak kisah. Tapi makin lama, makin dekat. Aku cuba toleh, tapi pandangan aku dah kabur sebab terlalu letih.
"Siapa pulak ikut aku ni?"
Seram sejuk badan aku. Tak fikir panjang, aku pulas minyak. Motor aku meluncur laju masuk ke lorong rumah. Sampai je depan pagar, aku brek mengejut, buka 'gate' dan terus 'park' motor ikut suka, yang penting boleh masuk rumah cepat.
"Ya Allah, kenapa aku rasa lain macam sangat ni..."
Belum sempat aku tutup pintu rumah, aku dengar orang buka 'gate'. Aku terlompat. Mata aku terbeliak dan tangan aku menggigil semasa menutup pintu dengan cepat. Aku larikan diri dan terus menyorok belakang sofa. Nafas aku laju, dada aku berombak.
"Ya Allah... janganlah jadi apa-apa.. siapa tu.. siapa tu?!"
Tiba-tiba - "Adreena??!"
"Mak!" Aku menjerit kecil. Terus aku bangun dan peluk Mak kuat-kuat. Tubuh aku menggigil. Mak pun terkejut tengok aku macam ni.
"Kenapa ni, muka pucat semacam?" tanya Mak, usap belakang aku. Aku belum sempat jawab, TOK TOK TOK Pintu diketuk. Aku terus pegang tangan Mak.
"Mak jangan bukak pintu tu. Bahaya."
Mak pandang aku pelik.
"Ishh kamu ni. Apa yang kamu takut sangat?"
"Mak, jangan! Tolong jangan!" Aku cemas.
Tapi Mak tetap jalan ke arah pintu. Aku cuba tarik tangan Mak tapi Mak dah buka pintu.
"Assalamualaikum..."
"Abah?!"
Aku terkedu. Rupanya-rupanya Abah yang ketuk dari tadi.
Abah tergelak kecil. "Kenapa laju semacam Dee bawa motor tadi? Sampai tak sempat Abah nak kejar."
Aku pandang Abah. "Abah yang ikut dari belakang?"
"Yelah... Abah nampak kamu keluar dari simpang. Abah pun nak balik sama lah. Abah jerit panggil, kamu toleh sekejap pastu kamu laju gila ke depan. Abah pelik lah, takkan lah kamu tak kenal vespa warna pink dengan helmet warna pink abah," katanya sambil ketawa.
Aku hembus nafas panjang.
"Ingatkan siapa tadi... ingatkan ada orang nak kejar. Adreena dah cuak habis dah..."
Mak pun tergelak. "Macam-macam lah kamu ni."
Aku ketawa hambar. Dalam hati, rasa lega tak terkata.
--
Malam tu, suasana rumah rasa lain. Tenang dan damai. Macam tiada apa-apa yang berlaku siang tadi. Mungkin sebab ada Abah kut. Abah pun baru balik dari markas sebab banyak kerja.
Mak masak lauk ayam masak kicap, kangkung goreng, sambal belacan dan telur dadar. Harum semerbak satu rumah. Perut aku dah berbunyi dari tadi.
Kak Amaraa pun ada sekali. Dia datang dengan senyuman lebar, siap bawa buah tangan iaitu tiramisu cake dalam bekas plastik.
"Thanks, Kak Amaraa. Dah lama tak makan tiramisu cake," kata aku sambil senyum.
Dia gelak kecil. "Alah, sikit je tu."
Kami duduk semeja - aku, Mak, Abah dan Kak Amaraa. Suara ketawa kami bersahut-sahut di ruang makan. Masing-masing berkongsi cerita ringan. Mak pun tersenyum sambil suapkan aku dan Kak Amaraa sayur kangkung.
"Nah, makan ni. Jangan tinggal sayur."
"Mak ni..." aku dan Kak Amaraa ketawa.
Tapi jujur, malam tu rasa macam dunia berhenti sekejap. Tiada benda yang aku perlu hiraukan. Hanya kami, sebuah keluarga sedang makan bersama. Aku pandang wajah mereka satu-satu. Dan dalam hati aku... Aku harap hubungan kami kekal sampai bila-bila. Aku tak nak kehilangan mereka.
Aku pandang Kak Amaraa yang duduk di sebelah aku. Wajah dia berseri, mata dia bercahaya. Aku tahu... dalam diam, dia pun rindu saat-saat macam ni.
"Tiramisu cake tu nanti kita makan sama-sama lepas ni," kata aku sambil senyum.
Kak Amaraa angguk. "Lepas ni, kita layan drama. Rindu nak tengok TV sama-sama macam dulu."
Aku tersenyum.
"Jom."
Share this novel