BAB 4

Action Series 285

Aku duduk di tepi tingkap bilik, tengok 'sunrise'. Aku menghirup udara segar. Angin masuk perlahan, bawa sekali memori yang dah lama aku simpan dalam hati - kenangan masa mak pertama kali jumpa abah.

Waktu tu aku baru tingkatan satu. Kak Amaraa baru tingkatan tiga. Kami tak pernah percaya pada lelaki, apatah lagi selepas apa yang ayah kandung kami pernah buat pada mak dan pada kami juga. Hati kami keras tapi sekeras-keras hati aku, keras lagi hati kak Amaraa seperti batu. Jiwa kami lari dari sebarang harapan untuk hidup bahagia.

Tapi semuanya berubah masa mak kenal dengan seorang lelaki. Mak pernah kerja sambilan dekat kedai makan selepas setahun mak dan ayah bercerai. Lelaki tu selalu datang, duduk dekat meja belakang, pesan benda yang sama setiap kali datang iaitu teh tarik dan roti bakar. Mula-mula kami fikir dia pelanggan biasa tapi setiap kali mak sibuk, dia akan ringan tulang tolong angkat pinggan dan
lap meja.

"Akak tak letih ke kerja macam ni hari-hari?" tanya dia sekali tu, dengan suara yang lembut.

Mak senyum. "Letih tu biasalah. Asalkan halal, rezeki berkat."
Lepas dari tu, dia makin kerap datang dari yang biasanya. Dia tolong bila mak penat. Tolong waktu mak sakit. Dia suruh 'anak buah' dia gantikan kerja mak waktu mak tak datang kerja sebab mak tak sihat supaya mak dapat gaji penuh.

Dia jugalah yang tolong waktu aku dan kak Amaraa nak beli buku tapi duit tak cukup. Dialah yang hulurkan duit tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Mak ambil masa hampir setahun untuk betul-betul buka hati. Tapi lepas setahun tu - mak luahkan apa yang dia pendam selama ni,

"Mak tak pernah cari pengganti ayah tapi Allah SWT mungkin hantar seseorang yang boleh buat kita bahagia. Inn Syaa Allah."
Kami diam tapi jauh dalam hati, aku tahu... mak telah jumpa lelaki yang sebetulnya.

Kemudian, rumah kami yang kecil jadi saksi satu peristiwa yang tak pernah aku bayangkan akan berlaku. Ruang tamu dihias ringkas, ada sedikit kuih-muih atas dulang dan air sirap bandung yang Kak Amaraa susun. Bau wangi bunga melur yang Mak letak dalam pasu kaca memenuhi ruang dan suasana menjadi sangat tenang.

Aku duduk di sebelah Kak Amaraa, genggam tangannya erat. Nafasku turun naik, dada berombak. Suasana ruang tamu terasa berat, penuh debaran.

Abah masuk dengan langkah sederhana, berbaju Melayu hijau muda. Wajahnya redup, senyuman nipis tapi mata dia jelas bercahaya. Di kiri kanannya, ada beberapa ahli keluarga rapat yang ikut menemani.

Bila abah duduk, suasana jadi senyap seketika. Maklong kami, kakak kepada mak, pandang abah dengan renungan yang tajam.

“Awak tahu kan, Melur dah lalui banyak benda.” Suara Maklong perlahan tapi tegas. “Jadi sebelum awak cakap apa-apa, saya nak tahu — ni ikhlas ke, atau sekadar janji manis?”

Abah tunduk sejenak, menarik nafas. Suaranya keluar tenang.
“Saya datang sebab saya benar-benar mahu bina hidup baru dengan Melur. Saya tak mampu janji semuanya sempurna, tapi saya janji untuk hormat dia, jaga dia, dan lindungi dia selagi saya hidup.”

Toklang kami, Pak Lang kepada Mak yang dari tadi bersandar diam, akhirnya bersuara.
“Kami bukan nak bebankan awak dengan syarat macam-macam. Cuma satu — jangan ulangi kisah yang lama. Itu saja.”

Mak hanya tunduk, jari jemarinya bermain di riba. Tapi aku nampak bibirnya terketar menahan senyum, manakala matanya mula basah.

Neklang, isteri kepada Toklang pandang ke arah mak, kemudian ke arah abah. Senyuman halus terukir di wajahnya.
“Kalau awak ikhlas, kami takkan halang. Melur berhak rasa bahagia semula.”

Aku telan air liur, dada aku rasa hangat. Waktu tu, mak angkat wajahnya — senyuman kecil bercampur air mata. Senyuman yang aku dah lama tak nampak.

--

Tapi dalam kehangatan suasana itu, suara garau TokMan - adik bongsu kepada arwah atuk menyampuk, dengan muka tak puas hati sengaja kuatkan suara.
"Aku peliklah... baru kenal kejap dah nak nikah. Tak takut ke nanti sejarah berulang... atau kau ada niat lain?"

Nek Timah pulak potong cakap, senyum sinis.
"Hidup jangan menyusahkan orang... kalau hidup nak bergantung dengan orang je, baik tak payah hidup! Tak malu ke? Kau tu dah tua, tak payah lah sibuk nak kahwin. Lepas tu, majlis belah perempuan nanti, kau nak kita orang tolong ke? Jangan harap lah! Kau yang gatal nak kahwin kan.. kau uruskan sendiri!"

Mak telan air liur, menahan diri dari menitiskan air mata depan orang ramai. Tapi Kak Amaraa tak tinggal diam, dia berdiri daripada duduk, pandang tepat ke muka Nek Timah dan TokMan dengan pandangan tajam.
"Seingat saya, mak tak pernah menyusahkan sesiapa. Dari dulu sampai sekarang, semua dia tanggung sendiri. Tak pernah minta tolong dari sesiapa pun."

TokMan cepat-cepat tarik tangan Nek Timah, takut keadaan makin panas. Tapi Kak Amaraa belum habis. Nafas dia naik turun.
"Sebelum nak cakap seseorang tu menyusahkan, cermin diri dulu. Dah lah jalan pun pakai tongkat, orang kena papah. Lagi satu, nek dengan tok dah tua kan. Orang selalu cakap, 'rumah kata pergi, kubur kata mari'. Jadi, jaga lah mulut tu, jangan sakitkan hati orang je. Takut tak sempat minta maaf je nanti. Dan untuk majlis tu nanti, jangan risau. Kami tak pernah rancang pun nak libatkan sesiapa dari pihak nek dengan tok."

Tiba-tiba, anak sulung Nek Timah, si Rafiqah - pangkat makcik kepada kami, bangun dari kerusi. Suaranya lantang, menyebelahi ibunya tanpa rasa bersalah. "Hoi, budak! Kau ingat kau sape nak cakap dengan mak aku macam tu? Terima jelah fakta yang sebenarnya korang memang suka menyusahkan orang. Tak terkejut lah kan, sebab memang dari atuk kau lagi, suka menyusahkan orang."

Muka mak dah pucat, Kak Amaraa pula genggam tangan kuat-kuat menahan marah. TokMan yang masih duduk hanya senyum sinis, puas hati anaknya menyebelahi dia dan isterinya.

Toklang bersuara tegas, "Fiqah! Jaga mulut kamu tu. Orang yang dah meninggal, tak perlu disebut-sebut lagi. Korang tak malu ke, depan tetamu pun nak berbalah. Amaraa... duduk, istighfar banyak-banyak. "

Toklang pandang satu-satu wajah yang ada di situ. Kemudian, dia pandang tepat ke arah TokMan dan Nek Timah.
"Kita ni dah tua, hidup pun dah hujung-hujung. Tak payah nak berbalah. Kalau rasa tak suka, simpan dalam hati. Jangan disebabkan mulut macam puaka, keluarga berpecah-belah. Satu lagi aku nak ingatkan... jangan sombong sangat dengan orang. Hari ni mungkin semua benda kau ada, jadi mulut kau lancang berbicara. Esok lusa, kalau kau dah hilang nikmat tu semua, baru kau tau langit tu tinggi ke rendah. Masa tu barulah kau terhegeh-hegeh minta tolong."

--

Tiba-tiba, pintu bilik aku dikuak dari luar.
"Adreena... buat apa termenung tu?" suara lembut mak kedengaran. Aku terkejut sedikit, tersentak daripada lamunan. Aku cepat-cepat lap hujung mata yang tak sedar berair, pura-pura sibuk menyusun buku di atas meja.

"Tak ada apa, mak. Adreena saja... teringat balik memori lama," jawabku dengan senyuman nipis, walaupun dalam hati masih terasa cebisan emosi tadi. Mak melangkah perlahan masuk ke bilik, duduk di birai katil sambil memerhati wajahku.

"Jangan dikenang sangat benda yang menyakitkan, sayang. Yang penting, kita semua dah survive. Alhamdulillah... kita mampu laluinya kan?" suara mak tenang, penuh kasih. Aku angguk perlahan. Aku bangun, berjalan ke arah mak dan memeluk wanita itu erat-erat. Mak usap belakangku perlahan, membiarkan suasana hening sebentar.

Di luar, burung-burung berkicau dan angin pagi masuk melalui tingkap yang terbuka tadi.
Segala rasa marah, sedih, sakit hati - aku lepaskan perlahan-lahan. Yang tinggal hanya ketenangan yang memeluk jiwa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience