Aku tak balik ke rumah.
Jalan yang aku lalui bagaikan tak berpenghujung. Jantung aku masih berdegup tak menentu. Kotak bukti pembunuhan itu duduk diam di bakul motor EX5 aku, tapi kehadirannya terasa berat. Seolah-olah menyimpan lebih dari sekadar kertas dan rakaman.
Satu-satunya tempat yang terlintas dalam kepala aku ialah rumah Kak Amaraa.
Dia satu-satunya yang aku percaya sekarang.
--
Motor Yamaha Kak Amaraa terletak rapi di depan rumah, bermaksud dia ada di rumah. Pintu pagar aku tolak sendiri. Jam hampir pukul 12 tengah hari. Aku tahu aku telah ganggu waktu rehat dia tapi benda ni tak boleh tunggu.
Ding dong
Beberapa saat kemudian, pintu terbuka perlahan. Kak Amaraa muncul di hadapan pintu.
"Adreena...? Kenapa ni?" suara dia penuh kebimbangan bila dia nampak muka aku yang pucat lesi.
"Aku... aku tak tahu nak mula dari mana. Tapi aku perlu masuk sekarang."
Dia beri laluan tanpa banyak soal. Aku terus bawa kotak hitam itu masuk, langkah aku laju ke ruang tamu.
"Apa benda tu?" dia tanya perlahan.
Aku buka kotak dan serahkan sekeping demi sekeping gambar, laporan forensik, salinan rakaman, semuanya. Mata Kak Amaraa terbeliak. Aku nampak tangan dia menggigil masa pegang satu salinan laporan bedah siasat.
"Ini... ini Pak Ngah?"
Aku angguk. Nafas aku pendek.
"Pak Ngah tak meninggal sebab serangan jantung macam yang polis laporkan. Tapi sebenarnya... dia diracun oleh ayah. Dan semua orang tutup mulut sebab yang terlibat tu bukan calang-calang orang, Kak."
Suasana menjadi senyap.
Kak Amaraa duduk perlahan di sofa, mengurut perlahan kepalanya. "Ya Allah, Adreena... benda ni boleh buat kita diburu."
Aku genggam tangan Kak Amaraa. "Sebab tu aku datang sini. Aku tak boleh simpan benda ni kat rumah. Kalau orang yang hantar mesej tu cakap benda yang betul, nyawa aku dah dalam bahaya."
Kak Amaraa pandang aku, mata dia dah mula berkaca.
"Please, Kak. Tolong simpan dulu. Sampai aku tahu apa nak buat seterusnya. Kalau apa-apa jadi dekat aku... kau tahu nak buat apa dengan kotak ni." Kak Amaraa angguk perlahan, walaupun jelas dia takut.
"Aku janji... aku akan jaga kotak ni," suara dia bergetar.
"Tapi kau kena jaga diri kau jugak, Adreena. Jangan buat benda bodoh."
Aku senyum nipis. Tapi dalam hati - aku tahu, perjalanan aku baru saja bermula.
--
Langkah aku longlai bila sampai ke halaman rumah. Matahari sudah terik, tapi peluh yang mengalir bukan kerana cuaca. Jantung aku berdegup laju. Jemari aku menggenggam telefon. Aku tarik nafas panjang sebelum buka pintu rumah.
Klik
"ADREENA!"
Tersentak aku dengar suara mak yang bergema. Mak dah berdiri di ruang tamu, muka tegang dan tangan bersilang di dada. Pandangan mak menikam aku.
"Ke mana kamu pergi? Dari tadi mak telefon! Kamu tak angkat langsung! Kamu tahu tak mak risau?!"
Aku cuba buka mulut, tapi kata-kata tak keluar. Nafas aku berat.
"Mak call banyak kali, mesej pun tak dibalas. Kamu keluar rumah tak bagitahu pun. Kamu tahu tak apa perasaan mak bila tengok kamu dah takde kat rumah tiba-tiba?"
Aku tunduk.
"Mak... maaf. Adreena ada hal penting tadi. Adreena pergi rumah Kak Amaraa. Adreena tak perasan mak call sebab Adreena mute kan phone..."
"At least bagilah tahu sebelum keluar rumah. Barulah mak tak risau." Nada mak tajam. Suara dia bergetar antara marah dan risau. Aku diam.
"Kalau jadi apa-apa kat kamu tadi macam mana? Kamu fikir mak boleh duduk diam?"
"Adreena minta maaf, mak. Adreena betul-betul tak sengaja."
Mak tarik nafas dalam-dalam. Aku nampak dia cuba untuk bertenang.
"Masuk. Mandi. Solat. Makan. Ada lauk udang masak lemak cili padi."
Aku angguk perlahan. Langkah aku beralih ke arah bilik, tapi minda aku masih ligat.
--
Selesai aku lipat telekung, aku duduk sejenak di atas sejadah. Hati aku sedikit tenang.
Bzzzt
Baru saja nak bangun dari duduk tiba-tiba bunyi notifikasi telefon menghentak kesunyian. Aku toleh perlahan ke arah meja. Skrin telefon menyala. Nombor yang sama. Tiada nama. Tiada gambar. Hanya kosong. Tapi isinya selalu buat hati aku berdegup kencang.
Dengan tangan menggigil, aku capai telefon. Mesej itu terbuka sendiri.
"Kenapa kau bagi dia?"
Aku pandang mesej itu lama. Seolah-olah telefon aku sedang memerhati balik. Aku taip perlahan.
"Siapa kau sebenarnya? Apa yang kau nak dari aku?"
Mesej itu belum sempat aku hantar, satu lagi mesej masuk.
"Aku ingatkan kau nak simpan benda tu sorang-sorang.. Rupanya, kau suruh kakak kau simpan. Boleh percaya ke?"
Aku terus tekan 'send' pada mesej aku tadi. Tangan aku menggigil kuat. Jantung aku rasa macam nak pecah.
Beberapa saat sunyi.
Kemudian...
"Jangan fikir aku tak tau apa yang kau buat. Aku tahu setiap gerak geri kau. Aku nak pesan kat kau... Bukan semua orang kau boleh percaya walaupun dia rapat dengan kau."
Aku terus berdiri. Aku buka langsir sedikit - matahari masih di tengah langit. Tapi kenapa aku rasa seperti malam sudah merangkak masuk?
Mesej terakhir datang seminit kemudian.
"HATI-HATI"
Telefon aku tiba-tiba mati lagi, walaupun bateri masih 79%.
Aku tergamam.
Share this novel