BAB 16

Action Series 285

Beberapa hari berlalu.

Aku masuk kerja seperti biasa di Qahwa Cafe. Seolah-olah tiada apa berlaku. Jam sembilan pagi, aku dah pakai apron. Senyum palsu aku lemparkan kepada pelanggan yang datang awal pagi - kebanyakan pekerja pejabat yang mengejar masa.

Dalam kepala aku, suara Mu'az masih terngiang-ngiang.

"And aku rasa, bapak kandung kau tengah cari kau. So, be ready."

Be ready. Dua perkataan yang sentiasa buat aku berdebar.

"Adreena, kau okay?" tanya Kak Nia. Dia tegur aku masa aku termenung sambil mencuci tangan di sinki.

Aku angguk perlahan.
"Tak cukup tidur je."

Kak Nia senyum kecil.
"Ish ish ish... Dah tau nak kerja, tidurlah awal cik adik oi."

Aku ketawa kecil. Sikit sebanyak, itu dapat melegakan dada aku.

Tapi ketenangan tu tak lama.

Pukul 10:43 pagi, aku ternampak seorang lelaki duduk di meja hujung, dekat tingkap. Sama seperti yang hari tu. Kemeja hitam. Rambut sikat rapi. Mata dia tertumpu pada buku nota... tapi setiap dua minit, dia tengok aku.

Jantung aku terus berdegup laju. Aku cepat-cepat ke kaunter, pura-pura betulkan mesin espresso. Tangan aku gementar. Aku taip mesej cepat-cepat ke Mu'az:

"Muaz. Lelaki tu datang lagi. Kemeja hitam. Duduk meja hujung."

Tak sampai satu minit, Mu'az balas:

"Jangan buat apa-apa. CCTV Qahwa boleh detect dia. Aku dah alertkan Shadow."

Aku pandang sekeliling. Shadow? Bayang-bayang? Siapa tu?

Belum sempat aku berfikir, lelaki berkemeja hitam tu bangun dan keluar... tanpa memesan apa-apa menu. Tapi sebelum keluar, dia berhenti di depan pintu kaca.

Pandang aku. Lama. Kemudian, dia senyum nipis. Seram.

"Wei, dia dah pergi tapi... seramnya cara dia pandang aku. By the way, siapa Shadow?"

"Shadow ni nama samaran dia. Nama sebenar dia Fayyad Anaqi. Dia kawan aku dan juga pengintip bebas. Kita orang kenal dekat rumah anak yatim."

"Rumah anak yatim?"

"Ya. Aku duduk kat rumah anak yatim dari umur 3 tahun. Aku tak ingat mak ayah aku sape. Dorang cakap mak aku yang hantar aku kat sini. Kat sinilah aku jumpa Fayyad."

Aku tenung mesej tu lama.

---

Hari pun berlalu.

Jam 3.15 petang, aku buka apron, lipat kemas dan simpan di rak seperti biasa. Waktu balik macam ni selalunya buat aku lega, tapi hari ni... aku rasa gelisah. Otak aku tak henti fikir. Lelaki misteri tu.

Aku naik motor EX5 kesayangan aku balik rumah macam biasa. Lalu kawasan perumahan sampai ke rumah dua tingkat yang tenang milik abah.

---

"Adreena." Suara Mak dari dapur sambil lap tangan dengan kain.
"Mak kemas bilik tadi. Kotak hitam atas meja tu... kotak apa tu, nak?"

Aku kaku.

Kotak tu? Kotak tu aku lupa nak sorok!

"Mak... mak buka ke?" Aku tanya perlahan, tekak aku kering.

Mak pandang aku. Tak ada marah tapi tak ada senyum juga.

"Buka. Nak tengok kosong ke tak. Tapi... mak terjumpa fail-fail tu. Gambar, surat, pemacu kilat..." Suara Mak makin perlahan. "Semua tu... bukti untuk kes kejadian tu ke?"

Aku tunduk. Tak mampu cakap apa-apa. Dada terasa sesak.

Tiba-tiba suara Abah kedengaran dari ruang tamu.
"Adreena."

Aku berpaling. Abah berdiri di tangga. Dia dengar semua.

"Dee," suara Abah tegas tapi tenang. "Sekarang, kamu bagitahu abah dan mak apa yang kamu sembunyikan selama ni. Semua."

Aku telan air liur.

"Mu'az..." aku mula.

"Kenapa dengan Mu'az? Siapa dia sebenarnya?" soal Abah.

"Dia... bukan orang biasa yang tolong Adreena terbabas motor je tapi... dia bekas penyiasat persendirian. Nama penuh dia Muhammad Zaidan Mu'az. Semua bukti ni ialah hasil siasatan dia. Pegawai tinggi yang suruh dia siasat kes ni secara senyap-senyap sebab dorang curiga dengan laporan kematian. Lepas je dia hantar laporan dekat pegawai tu, dia disembunyikan dan terpaksa berdiam diri sebab dorang takut bukti ni semua terbongkar. Pegawai tinggi tu semua dah kena beli dengan si Nazmi tu."

Mak duduk di sofa hadapan aku. Abah masih berdiri, renung mata aku.

Aku tarik nafas dalam-dalam.

"Kalau mak dan abah tertanya-tanya macam mana Adreena dapat kotak hitam tu. Sebenarnya, Adreena dapat mesej dari satu nombor tak dikenali. Nombor tu cakap ada something dekat Rumah No. 42, Jalan Merah iaitu rumah lama Mak. Itu yang Adreena pergi tapi tak bagitau Mak. Lepas tu, Adreena terus pergi rumah Kak Amaraa. Adreena minta dia tolong jagakan sebab tak nak Mak ngan Abah tahu kalau Adreena bawak balik sini."

"Lagi?" Sambung Abah.

"Kak Amaraa dan Adreena dah tengok rakaman CCTV dan rakaman audio yang ada dalam pemacu kilat tu. Tapi masih ada lagi yang Adreena tak habis tengok. By the way, nombor tak dikenali yang mesej Adreena tu ialah Mu'az. Adreena dapat tahu masa dia tolong Adreena. Dia sendiri yang bagitau."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience